Saturday, December 01, 2018

UKHUWAH MERENTAS SEMPADAN


Apabila Allah SWT menegaskan “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara” (Al-Hujurat:10), ia membawa maksud seluruh orang yang beriman tanpa mengira sempadan apa jua yang dianggap oleh manusia sebagai sempadan yang membatasi dan memisahkan mereka; sama ada sempadan benua, bangsa dan masa.
Lantaran itu seorang mukmin melihat dan memikirkan tentang saudaranya dengan kaca mata iman yang menembusi setiap sempadan yang menghalang.

Hal ini telah difahami dan dihayati oleh semua para nabi sejak dahulu.
Perhatikan doa Nabi Ibrahim, diikuti Nabi Nuh alaihimas-salam ribuan tahun yang lalu yang dirakamkan Allah untuk tatapan kita semua:

Doa Nabi Ibrahim: "Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan"

Doa Nabi Nuh: "Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku, dan bagi kedua ibu bapaku, serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dengan keadaan beriman; dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan (dalam segala zaman); dan janganlah Engkau tambahi orang-orang yang zalim melainkan kebinasaan!"

Begitu jugalah perintah Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. di dalam firmanNya yang bermaksud:
“Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, dan mintalah ampun kepadaNya bagi salah silap yang engkau lakukan, dan bagi dosa-dosa orang-orang yang beriman - lelaki dan perempuan; dan (ingatlah), Allah mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di dunia) dan keadaan penetapan kamu (di akhirat).”

Di dalam ayat yang berikut pula, Allah merakamkan generasi yang kemudian terus mendoakan generasi terdahulu yang kerana perjuangan merekalah kita mendapat limpahan cahaya iman sehingga ke hari ini, generasi demi generasi.
“Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (muhajirin dan ansar, berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu".

Tambah bermakna lagi, apabila Islam menjadikan persaudaraan iman yang merentas sempadan sebagai suatu ibadah yang diberikan ganjaran pahala yang tidak bersempadan juga, iaitu dengan mendoakan kebaikan untuk saudara, malaikat akan doakan untuk kebaikan kita.
Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Tidak ada seorang hamba (seorang insan) yang muslim berdoa untuk saudaranya di belakangnya (tanpa pengetahuannya) melainkan malaikat akan berkata untuk (yang berdoa itu): “dan untukmu separti apa yang engkau doakan itu!” Riwayat Muslim

Sesungguhnya persaudaraan berteraskan iman meruntuhkan semua tembok yang membataskan. Namun, hakikatnya Islam tidak membawa kita terhenti di situ. Persaudaraan iman ini membuka ruang yang jauh lebih lebar dan lebih luas. Katakan saja bahawa ia sebenarnya tiada sempadan.
Renungi ayat-ayat di bawah ini patah demi patah!
Siapakah yang berdoa dan memikirkan kebaikan untuk kita?

“Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji TuhanNya; dan beriman kepadaNya; serta mereka memohon ampun bagi orang-orang yang beriman (dengan berdoa merayu): "Wahai Tuhan kami! RahmatMu dan IlmuMu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta menurut jalanMu, dan peliharalah mereka dari azab neraka.
"Wahai Tuhan kami! Dan masukkanlah mereka ke dalam Syurga "Adn" yang Engkau telah janjikan kepada mereka; dan (masukkanlah bersama-sama mereka): orang-orang yang layak di antara ibu bapa mereka, dan isteri-isteri mereka, serta keturunan mereka. Sesungguhnya Engkaulah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
"Dan peliharalah mereka dari (balasan) kejahatan-kejahatan (yang dilakukannya); dan (sebenarnya) sesiapa yang Engkau pelihara pada hari itu dari terkena (balasan) kejahatan-kejahatan (yang dilakukannya) maka sesungguhnya Engkau telah mengurniakan rahmat kepadanya; dan yang demikian itulah kemenangan yang besar (nilainya)".

No comments:

Post a Comment