Tuesday, March 19, 2019

RUMAHTANGGA DU’AT TIDAK HAPPENING?


Di dalam satu forum tentang rumahtangga du’at, saya ditanya:Ada orang melihat rumahtangga du’at penuh dengan suasana serius, tidak happening, tiada senda gurau, komunikasi yang tegang, ditambah dengan mentality lelaki Melayu yang sukar menunjukkan kemesraan…” Adakah betul begitu?

Pada pendapat saya, persoalan itu timbul daripada salah faham yang amat jelas. Ia boleh dirungkaikan dengan meneliti beberapa poin:

Pertama – du’at atau pendakwah adalah seorang manusia. Bukan malaikat, bukan haiwan atau lain-lain. Nabi Muhammad s.a.w. yang merupakan pemimpin utama bagi seluruh pendakwah berulang kali menegaskan hakikat kemanusiaan baginda sama ada menerusi ayat-ayat al-Quran yang diwahyukan kepada baginda atau menerusi ungkapan kata-kata baginda sendiri.
“Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah seorang MANUSIA seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya".
Di dalam sepotong hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Ummu Salamah r.a. baginda menegaskan (maksudnya): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang MANUSIA!....”

Seorang manusia yang mempunyai semua sifat-sifat kemanusiaan yang ditanam dan dibekalkan di dalam diri setiap manusia sejak awal kejadiannya.

Manusia ada perasaan ingin mencinta dan dicintai. Ada sayang dan benci. Ada suka yang ingin dikongsi. Ada duka yang mengharap simpati. Maka ke manakah hendak diluahkan semua itu kalau bukan kepada pasangan suami atau isteri yang halal?

Kedua – Allah telah jelaskan tujuan penciptaan pasangan:Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” (Ar-Ruum 30:21)

Allah menciptakan pasangan supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya (sakinah), dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang (mawaddah) dan belas kasihan (rahmah).

Bayangkanlah sekiranya sesebuah rumahtangga itu penuh dengan suasana serius, tidak happening, tiada senda gurau, komunikasi yang tegang; adakah terdapat padanya sakinah, mawaddah dan rahmah?

Sepatutnya du’atlah yang paling unggul dalam menghayatinya dan meni’matinya. Bagaimana mungkin seseorang pendakwah dapat menyampaikan ajaran Islam dengan jelas dan berkesan kalau cara hidupnya berbeza dengan apa yang diajarkan oleh agamanya sendiri?

Ketiga – di dalam ayat yang lain, Allah menggambarkan hubungan suami isteri dengan firmanNya yang bermaksudnya: “Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka…” (Al-Baqarah 2:187
Cuba bayangkan kalau pakaian yang kita pakai itu kesat, keras dan kasar. Adakah ia selesa? Adakah kita rasa nyaman dan tenteram? Begitulah bandingannya jika hidup dalam suasana tegang, serius tanpa usikan dan gurau senda.

Keempat – beberapa contoh dari sirah mengenai hubungan mesra antara suami dan isteri serta larangan bersikap dingin terhadap pasangan:

i.               Nabi s.a.w. mandi junub bersama-sama dengan isteri baginda. Daripada Mu’azah r.a. Dia berkata, Aisyah r.a. berkata: “Aku dan Rasulullah s.a.w. mandi dengan air daripada satu bekas. Kami kongsi bersama-sama. Maka baginda mendahuluiku, sehingga aku berkata: “Tinggalkan (air) untukku, tinggalkan untukku!” Mu’azah berkata: “Kedua-duanya (Aisyah dan Rasulullah s.a.w. berjunub)” Muttafaq ‘alaih.
ii.              Makan dan minum dari bekas yang sama. Aisyah r.a. berkata: “Aku meminum air, ketika itu aku sedang haid. Kemudian aku hulurkan bekas itu kepada Nabi s.a.w. Maka baginda meletakkan mulutnya di tempat aku meletakkan mulutku, lalu dia meminum air dari tempat itu. Dan  aku menggigit tulang. Kemudian aku hulurkan tulang yang telah aku gigit itu kepada baginda. Maka baginda meletakkan mulutnya di tempat aku gigit itu.” Riwayat Muslim.
iii.             Mencium isteri sebelum ke masjid. Urwah meriwayatkan bahawa Aisyah r.a. berkata bahawa Nabi s.a.w. mencium sebahagian isteri-isterinya kemudian baginda keluar (ke masjid) untuk solat tanpa mengambil wuduk.” At-Tirmizi.
iv.            Berusaha untuk menyenangkan hati isteri. Diriwayatkan bahawa Ibn Abbas r.a. berkata: “Sesungguhnya aku berhias untuk isteriku sebagaimana aku suka dia berhias untukku.”
v.              Aisyah r.a. menegur wanita yang tidak menjaga penampilan diri. Beliau  menceritakan bahawa: “isteri kepada Uthman bin Madz’un r.a. seorang wanita yang suka berhias; memakai inai dan wangi-wangian. Pada suatu hari dia datang ke rumahku tanpa semua itu. Aku bertanya: “Adakah suamimu ada bersama atau dia musafir?” Dia menjawab: “Dia ada. Tetapi dia tidak inginkan dunia dan wanita.” Aisyah r.a. menceritakan hal itu kepada Nabi s.a.w. Maka Nabi s.a.w. menegur Uthman dengan sabdanya bermaksud: “Wahai Uthman, adakah engkau beriman dengan apa yang kami Imani?” Uthman menjawab: “Ya wahai Rasulullah. Aku beriman.” Lalu baginda bersabda: “Kalau begitu, contohilah kami!” Riwayat Ahmad.


Kesimpulannya perkahwinan adalah satu tuntutan, satu keperluan untuk memenuhi maksud dan tujuan penciptaan manusia itu sendiri, iaitu menjadi khalifah yang berkembang biak di atas muka bumi ini. Tanpa perkahwinan yang sah mana mungkin lahirnya zuriat generasi demi generasi. Justeru, Allah SWT telah menghalalkan setiap pasangan meni’mati kemanisan hidup bersama antara satu sama lain. Namun perlu diingat ia tidak boleh sama sekali menjadi penghalang kepada perjuangan menegakkan Din Allah, menyebar dan mempertahankannya. Firman Allah Ta’ala bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).” (At-Taubah 9:24

No comments:

Post a Comment