Tuesday, March 12, 2019

SAMPAIKAN KEBENARAN, IKUTI KEBENARAN TANPA SYARAT


Abu Hurairah r.a. menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. berkunjung ke sebuah gereja yahudi di Madinah. Baginda berkata kepada mereka bahawa baginda ingin bertemu dengan seseorang yang paling alim dalam kalangan mereka. Lalu datanglah kepada baginda lelaki bernama Abdullah bin Dhauriya.
Rasulullah s.a.w. berbicara dengannya tanpa didengari kaumnya. Baginda menyebut kepadanya tentang agamanya, tentang pelbagai ni’mat yang Allah telah anugerahkan kepada bangsa mereka seperti menurunkan manna dan salwa, memayungi mereka dengan awan dan lain-lain.
Kemudian baginda bertanya kepada Abdullah: “Adakah kamu semua tahu bahawa aku adalah Pesuruh Allah?”
Abdullah menjawab: “Sesungguhnya ya. Dan sesungguhnya kaumku mengetahui sama seperti apa yang aku ketahui. Dan sesungguhnya sifat-sifatmu, ciri-ciri yang ada padamu diterangkan dengan jelas di dalam kitab Taurat. Tetapi mereka dengki kepadamu.”
Rasulullah s.a.w. bertanya: “Maka apakah pula yang menghalangmu dari beriman?”
Abdullah menjawab: “Aku tidak suka berselisih dan berbeza dengan kaumku. Aku harap suatu hari mereka akan mengikutimu dan memeluk Islam, maka akupun akan memeluk Islam.”

-       TALBIS IBLIS, Ibn Jauzi.

Betapa malangnya mereka yang mengetahui kebenaran tetapi tidak mahu mengikutinya semata-mata kerana hasad atau dengan alasan mahu menjaga hubungan dengan kaum atau bangsa sendiri. Akhirnya siapa yang rugi? Diri sendiri….

Kisah ini juga menunjukkan kegigihan Rasulullah s.a.w. dalam menyampaikan risalah. Baginda tidak memilih tempat, tidak memilih manusia berdasarkan bangsa dan puak. Sesungguhnya Islam yang dibawanya wajib disampaikan kepada semua insan di mana jua mereka berada.


Peringatan buat diriku dan kita semua.

No comments:

Post a Comment