Saturday, October 26, 2019

Kemepen BMF



Kempen BMF (Buy Muslim First) sedang rancak berjalan di kalangan umat Islam di seluruh pelusuk Negara. Dan ia mendapat sambutan yang baik di kalangan umat Islam. Kempen ini bertujuan untuk menggalakkan umat Islam membeli barangan keluaran muslim yang terjamin bukan sahaja halalan, tetapi juga toyyiban. Halalan toyyiban. Di samping untuk mengukuh dan menaikkan ekonomi umat Islam.

Makan makanan yang halal adalah satu tuntutan yang wajib dipatuhi berdasarkan perintah Allah yang bermaksud:
“Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” (Al-Baqarah 2:168)

Kalau kita perhatikan, ayat ini bukan ditujukan kepada orang yang beriman sahaja. Sebaliknya ia ditujukan kepada semua manusia tanpa mengira sama ada orang beriman atau tidak beriman. Ini menunjukkan bahawa memilih makanan yang halal dan toyyib itu tanggungjawab semua manusia kerana hanya makanan yang halal dan toyyib sahaja yang benar-benar memberi manfaat kepada diri manusia dalam semua aspek, khususnya dalam menjaga kesihatan dan kesejahteraan diri; fizikal dan spritual.

Di dalam sepotong ayat yang lain, Allah berfirman maksudnya: “Wahai Rasul-rasul, makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh; sesungguhnya Aku Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.” (Al-Mu'minuun 23:51)

Walaupun pada zahirnya ayat ini ditujukan kepada para rasul alaihimus-solatu was-salam, hakikatnya itulah yang dituntut ke atas para pengikut mereka kerana rasul-rasul semua diutus untuk memimpin umat dan menjadi teladan serta ikutan yang baik.

Mereka diperintahkan supaya makan benda-benda yang baik dan mengerjakan amalan-amalan yang baik atau soleh .

Jadi, makanan yang baik membawa kepada amalan yang baik. Kedua-duanya tidak boleh dipisahkan.

Maka amatlah tidak wajar jika kita hanya menekankan kepentingan memilih makanan yang halalan toyyiban tanpa menekankan amalan-amalan baik yang dianjurkan oleh Islam seperti berkasih sayang sesama manusia, hurmat menghurmati, jujur, berkata benar, menjauhi rasuah, salah guna kuasa dan lain-lain.

Cuba kita renung ayat yang berikut:
“Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya)....” (Al-Maaidah 5:42

Allah mencela Bani Israel kerana dua ciri yang ada pada mereka: mendengar berita dusta dan makan benda yang haram.

Oleh itu, selari dengan kempen BMF mari kita rancakkan juga kempen amal soleh, kempen jauhi penyebaran fitnah dan berita-berita dusta yang sangat berleluasa di dalam masyarakat, kempen menjaga lidah dari mencela dan memaki orang-orang yang dilihat tidak sehaluan dan tidak sependapat dengan kita, serta kempen menghurmati orang tua dan mengasihi orang muda.

Mudah-mudahan kita semua akan terpelihara dari azab Allah sebagaimana yang ditimpakan ke atas Bani Israel yang tidak takut berdusta dan tidak menjauhi makanan yang haram.

No comments:

Post a Comment