Saturday, October 19, 2019

ANTARA RAHMAH DAN HIKMAH


Abu Azzah al-Juhami adalah seorang penyair musyrik yang sering menyerang dan menyakiti Rasulullah s.a.w. serta para sahabat radhiallahu anhum menerusi syair-syair rekaannya.

Semasa peperangan Badar, dia termasuk di antara tentera musyrikin yang ditawan oleh tentera Islam. Tawanan-tawanan itu dibawa ke Madinah. Kemudian dibebaskan dengan tebusan.

Abu Azzah al-Juhami merayu kepada Rasulullah s.a.w. agar dia dibebaskan tanpa tebusan. Dia berkata: “Ya Muhammad, sesungguhnya aku seorang yang faqir yang banyak tanggungan sebagaimana engkau pun tahu. Maka bebaskanlah aku kerana kefaqiranku dan demi anak-anak perempuanku!”

Mendengar rayuan itu, Rasulullah berasa kasihan. Lantas baginda membebaskannya dengan ikat janji dia tidak akan menentang Rasulullah selepas ini dan tidak akan menyertai mana-mana pasukan yang memerangi baginda s.a.w.

Manakala dia pulang ke Mekah, dia memungkiri janjinya dengan Rasulullah s.a.w. 
Dia kembali menyerang kaum muslimin dengan syair-syairnya dan ikut serta kaum musyrikin menyerang umat Islam di dalam peperangan Uhud.

Dengan izin Allah dia sekali lagi ditawan oleh tentera Islam di dalam peperangan Hamraa’ al-Asad yang berlaku sejurus selepas peperangan Uhud.

Dan kali ini dia merayu lagi supaya dia dibebaskan dan berjanji tidak akan mengulangi lagi apa yang telah dilakukannya sebelum ini.

Namun pada kali ini Rasulullah s.a.w. tidak lagi memberi peluang kepadanya. Dengan tegas dan penuh hikmah beliau bersabda: “Tidak! Demi Allah, engkau tidak akan dapat menggosok dua pipimu (ungkapan yang menggambarkan gaya orang sombong) di Mekah seraya berkata, aku telah dua kali menipu Muhammad! 
Sesungguhnya orang beriman tidak akan disengat dari lubang yang sama dua kali!” 
Baginda menyambung lagi: “Penggallah kepalanya wahai Zaid!”

Demikianlah contoh teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. kepada kita. 
Rahmah tidak bermakna merendah, mengalah dan menyerah sepanjang masa.
Rahmah mestilah dengan hikmah, tegas dan penuh izzah. 

No comments:

Post a Comment