Wednesday, August 05, 2020

DUHAI ORANG MUDA, INILAH QUDWAHMU...!!!

 

Zaid bin Thabit al-Ansori r.a. memeluk Islam ketika masih kecil bersama ahli keluarganya. Sewaktu Rasulullah s.a.w. tiba di Madinah Zaid baru berusia 11 tahun. 

 

Beliau memohon untuk menyertai Rasulullah s.a.w. di dalam peperangan Badar dan Uhud. Namun Rasulullah s.a.w. tidak menerimanya kerana usianya yang masih muda walaupun ketika itu beliau telah menghafal beberap surah daripada al-Quran. Kali pertama Zaid mendapat keizinan dari Rasulullah s.a.w. adalah sewaktu peperangan Khandaq yang berlaku pada tahun ke lima hijrah.

 

Musyrikin yang ditawan di dalam peperangan Badar dibebaskan dengan tebusan sebanyak 40 uqiah setiap seorang. Tawanan yang tidak mampu membayar sebanyak itu, mereka boleh menebus dengan mengajar 10 orang kaum muslimin menulis dan membaca. Zaid adalah salah seorang yang belajar daripada tawanan itu.

 

Bermula dari situ Zaid muncul sebagai pemuda yang luas ilmu pengetahuannya. Beliau menjadi salah seorang daripada penulis wahyu bagi Rasulullah s.a.w. yang paling menonjol ketokohannya. Ketika Rasulullah s.a.w. memulakan langkah menyebarkan dakwah ke luar Madinah dengan mengutus surat kepada raja-raja di beberapa negeri, baginda perintahkan Zaid supaya mempelarl bahasa-bahasa mereka. Lantas Zaid berjaya mempelajarinya dalam masa yang singkat. 

 

Zaid menceritakan bagaimana Rasulullah s.a.w. mula mengesani bakat yang ada padanya, ketika baginda tiba di Madinah, beliau dibawa ahli keluarganya bertemu dengan Rasulullah s.a.w. dan memberitahu baginda bahawa Zaid telah menghafal 17 surah daripada al-Quran. Baginda meminta Zaid membaca surah yang dihafalnya. Zaid membacanya di hadapan Rasulullah s.a.w. Baginda sangat kagum dengan bacaan Zaid. Maka Rasulullah s.a.w. perintahkan Zaid supaya mempelajari kitab Yahudi kerana tidak percaya mereka akan berkata benar tentang apa yang ada pada mereka. Zaid hanya mengambil masa setengah bulan untuk belajar sehingga mahir. Dia mengutus surat kepada Yahudi dengan bahasa mereka bagi pihak Nabi s.a.w. Apabila mereka menjawab surat itu, Zaid sampaikan isi kandungannya kepada baginda s.a.w.

 

Kemudian Rasulullah s.a.w. perintahkan pula Zaid mempelajari bahasa saryan. Maka Zaid mempelajarinya dalam masa 17 hari. 

 

Pada tahun kewafatan Nabi s.a.w. Zaid membaca di hadapan baginda keseluruhan al-Quran sebanyak dua kali khatam.

 

Dan setelah Abu Bakar r.a. membuat keputusan untuk mengumpulkan al-Quran di dalam satu mushaf atas cadangan Umar r.a. Zaid dipilih untuk memikul amanah yang berat itu. Dia pernah berkata: “Sekiranya mereka perintahkan aku memindahkan bukit dari tempatnya, nescaya aku rasa itu lebih ringan bagiku daripada tugas mengumpulkan al-Quran!” Namun begitu, tugas yang berat itu telah berjaya dilaksanakan dengan cemerlang.

 

Pada zaman pemerintahan Uthman r.a. apabila beliau membuat keputusan menyatukan tulisan al-Quran dengan menggunakan bahasa standard sahaja, sekali lagi Zaid dipilih untuk menulisnya, manakala Saeid bin al-As bertindak sebagai orang yang membacanya kerana lahjah atau cara sebutan beliau paling menyerupai lahjah Rasulullah s.a.w.

 

Demikianlah peranan besar yang telah dimainkan oleh anak muda Zaid bin Thabit. Tidak hairanlah kalau beliau dipandang mulia dan dihormati di kalangan sahabat radhiallahu’anhum ajmaein. Pada suatu hari, Zaid hendak menunggang untanya, lalu Ibn Abbas r.a. memegang unta tersebut tanda penghormatan. Zaid berasa tidak pantas beliau diperlakukan begitu. Maka dia berkata: “Sila ke tepi wahai sepupu Rasulullah.”

Ibn Abbas menjawab: “Tidak! Beginilah selayaknya kami berakhlak dengan para ilmuan kami!”

 

Anas bin Malik r.a. menyampaikan kata-kata pengiktirafan Rasulullah s.a.w. terhadap para sahabat baginda, termasuk Zaid:

- yang paling penyayang dari kalangan umatku, Abu Bakar al-Siddiq

- yang paling tegas dalam menegakkan hukum Allah, Umar bin al-Khattab

- yang paling pemalu, Uthman bin Affan

- yang paling mahir membaca al-Quran, Ubai bin Kaab

- yang paling mahir dalam ilmu faraedh, Zaid bin Thabit

- yang paling tahu tentang halal dan haram, Muaz bin Jabal

- dan setiap umat itu ada aminnya (yang amanah). Amin bagi umat ini ialah Abu Ubaidah bin al-Jarrah.

 

Sumber : islamstory.com

No comments:

Post a Comment