Wednesday, September 09, 2020

KETINGGIAN AKHLAK PARA SAHABAT R.A.

 

Imam Malik meriwayatkan di dalam kitabnya (Al-Muwatta’) daripada Abudullah bin Dinar. Beliau menceritakan:

“Aku dan Ibn Umar r.a. berada di rumah Khalid bin Uqbah yang terletak di pasar. Tiba-tiba datang seorang lelaki ingin bercakap (urusan personal) dengan Ibn Umar. Ketika itu tidak ada orang lain bersama dengan Ibn Umar selain dariku. Maka Ibn Umar memanggil seorang lelaki lain, menjadikan jumlah kami empat orang. 

Ibn Umar r.a. menyuruhku dan lelaki yang dipanggilnya supaya beranjak sedikit dari sisinya kerana dia hendak bercakap dengan lelaki yang datang tadi. Beliau berkata: “Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya): janganlah kamu berbisik dua orang (ketika kamu bertiga) tanpa yang seorang lagi!” - Kitab Riadhus-Salihin bab 281

 

Contoh akhlak mulia yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. kepada umatnya, menjaga hati saudara, sahabat serta kenalan. Ketika sedang duduk bertiga, tidak harus dua orang berbicara dengan cara yang tidak didengari oleh orang ke tiga atau dengan bahasa yang lebih mudah “berbisik” tanpa memperdulikan rakan yang sama-sama berada di situ. Kelakuan yang sedemikian akan membuatkan orang yang ketiga itu berkecil hati kerana boleh jadi dia akan menyangka dua orang itu memperkatakan sesuatu yang tidak elok tentang dirinya atau dia akan rasa rendah diri kerana tidak diberi perhatian seolah-olah kewujudannya tidak bermakna dan dihargai oleh orang lain.

 

Dan kita lihat betapa taatnya sahabat, Ibn Umar r.a. kepada pesanan Nabi s.a.w. Apabila seseorang datang hendak bercakap sesuatu hal personal dengannya, dia tidak terus malayan dan membiarkan Abdullah bin Dinar yang berada di sisinya sebelum kedatangan lelaki itu. Sebaliknya dia memanggil orang lain untuk menemani Abdullah. 

 

Subhanallah! Allahu Akbar! Begitulah hebatnya generasi yang mendapat tarbiah secara direct daripada Rasulullah s.a.w. Mereka bukan hanya menyampaikan apa yang didengar dengan lidah, tetapi menunjukkan teladan dengan seluruh anggota.

No comments:

Post a Comment