Wednesday, September 09, 2020

SAAT PARA PENGIKUT BERASA BENGANG TERHADAP PEMIMPIN

 

Pagi itu Ustaz Nasir menyampaikan kuliah subuh di surau tempat dia selalu mengajar. Dia mengupas ayat 165 hingga 167 daripada surah Al-Baqarah yang bermaksud:

“Dan ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya,  sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta kepada Allah. Dan kalaulah orang-orang yang melakukan kezaliman itu mengetahui ketika mereka melihat azab pada hari akhirat kelak, bahawa sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu semuanya tertentu bagi Allah, dan bahawa sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya, (nescaya mereka tidak melakukan kezaliman itu).

(Iaitu) ketika ketua-ketua yang menjadi ikutan itu berlepas diri dari orang-orang yang mengikutnya, sedang kedua-dua pihak melihat betapa ngerinya azab seksa itu, dan (ketika) terputusnya segala hubungan di antara mereka.

Dan (pada masa yang mengecewakan itu) berkatalah orang-orang yang menjadi pengikut: Alangkah eloknya kalau kami dapat kembali ke dunia (dengan itu dapat kami berlepas diri daripada mereka sebagaimana mereka berlepas diri daripada kami (pada saat ini)!" Demikianlah Allah perlihatkan kepada mereka amal-amal mereka (dengan rupa yang mendatangkan) penyesalan yang amat sangat kepada mereka, dan mereka pula tidak akan dapat keluar dari neraka.

 

Beliau menjelaskan:

“Tuan-tuan dan puan-puan, menurut Al-Tobari, sebahagian ulamak mentafsirkan sekutu-sekutu” di dalam ayat 165 di atas ialah pemimpin-pemimpin yang ditaati dalam perkara maksiat kepada Allah. Dia meriwayatkan, ahli tafsir berkata: “sekutu-sekutu itu terdiri daripada tokoh-tokoh yang mereka taati sebagaimana mereka (sepatutnya) taat kepada Allah. Apabila pemimpin itu suruh, mereka pun taat kepada suruhan pemimpin itu dan membelakangi suruhan Allah.”

 

Haji Seman mengangkat tangan dan mengemukakan soalan,

“Ustaz, maksudnya taat kepada pemimpin yang kafir ke?”

 

“Bukan” jawab Ustaz Nasir dengan tegas. “Tidak kira sama ada pemimpin kafir atau muslim. Jika dia suruh perkara yang salah, kita taat dengan mengenepikan perintah Allah itu bermakna kita telah menjadikannya sekutu!”

 

Penerangan itu disambut dengan suara yang bercampur baur di kalangan hadirin. Mereka saling berpandangan kepada satu sama lain.

 

“Kalau pemimpin itu ulamak?” Soal Afandi mengharap kepastian.

 

“Tidak kira siapa. Jika ia mengajak kepada perkara yang bercanggah dengan perintah Allah, maka ia merupakan satu bentuk syirik kepada Allah. Di dalam surah Al-Taubah ayat 31 Allah SWT berfirman maksudnya: “Mereka menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli agama mereka sebagai “sembahan-sembahan” selain dari Allah, dan juga (mereka mempertuhankan) Al-Masih ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan.

 

“Ketika Rasulullah s.a.w. membaca ayat ini, seorang penganut Kristian bernama ‘Adi bin Hatim membantah. Dia berkata: “Kami tidak pernah menyembah padri-padri kami!”

Rasulullah s.a.w. menjawab: “Walaupun kamu tidak menyembah, tetapi apabila padri itu menghalalkan sesuatu yang haram dan mengharamkan sesuatu yang halal, semuanya kamu ikut. Itulah ertinya kamu sembah mereka!”

 

“Kalau begitu, jika pemimpin membawa dalil daripada Al-Quran dan hadis, kita boleh ikut, bukan?” celah Haji Seman seperti membuat satu kesimpulan.

 

“Macam mana pula kalau dalil itu berubah-ubah? Mula-mula kata ini haram, kemudian kata halal. Dua-dua ada dalil? Nak ikut yang mana?” sahut Afandi

 

“Baik, sebelum menjawab kemusykilan tuan-tuan, kita tengok maksud ayat-ayat ini sampai habis.”

 

Hadirin akur. Semua membongkok menumpukan perhatian pada Al-Quran terjemahan yang terbentang di hadapan mereka.

 

“Kita perhatikan ayat 166 dan 167,” sambung Ustaz Nasir, “Allah gambarkan suasana di hari akhirat kelak, pemimpin yang selama ini disanjung-sanjung dan diikuti segala cakap-cakapnya, langsung tidak dapat memberikan apa-apa pertolongan kepada pengikut-pengikutnya yang setia ketika di dunia. Mereka buat tak kesah saja. Dan pengikut-pengikut yang berada dalam keadaan kebingungan itu bercita-cita untuk kembali ke dunia supaya mereka dapat membebaskan diri dari memberi sokongan dan kerjasama kepada pemimpin itu!”

 

“Jadi... apa nasihat ustaz kepada kami agar tidak termasuk dalam kalangan mereka yang menyesal di akhirat nanti?” 

 

“Kami orang jahil. Tak banyak tahu tentang hukum-hakam, dalil-dalil dan sebagainya.” Sambung Haji Seman menyetujui soalan Afandi.

 

“Allah bagi kita akal. Sentiasa gunakan akal untuk membuat penilaian dan pertimbangan. Jangan taksub. Kebenaran itu bukan milik individu atau golongan tertentu sahaja. Kebenaran milik Allah dan datang dari Allah. Semua manusia mungkin betul dan mungkin salah kecuali Nabi Muhammad s.a.w. dan semua rasul-rasul utusan Allah.”

No comments:

Post a Comment