Wednesday, May 19, 2021

KERAJAAN PN TELAH BUAT YANG TERBAIK DEMI RAKYAT DAN NEGARA


(Sebuah cerpen seputar isu semasa)

Leha merenung telefon bimbit di tapak tangan kirinya. Sesekali dia menyentuh skrin dengan jari kanan, menolak dan menaikkan ke atas dan ke bawah sambIl merenung mesej-mesej yang terpapar di skrin. Dibacanya mesej-mesej itu satu persatu.
“Heh! Buat apa khusyuk sangat? Sampaikan orang bagi salam dua kali pun tak jawab!” tiba-tiba jirannya, Kiah menyergah di muka pintu.
Leha tersentak.
“Eh, engkau Kiah? Macamana engkau buka pintu rumah aku tanpa minta izin?”
“Aku cuba pulas tombol pintu ni, tak berkunci. Aku bukalah sikit. Nampak engkau tengah mengendap hand phone….”
“Masuklah…” pelawa Leha dengan mesra.
“Aku masak bubur kacang tadi. Teringat engkau suka. Aku bawalah ni…”
“Terima kasih, Kiah. Engkau memang jiran yang sangat baik” Leha menyambut mangkuk berisi bubur kacang yang dihulurkan oleh Kiah.
Leha meletakkan mangkuk di atas meja. Kedua-duanya duduk dengan menjaga jarak.
“Lain kali engkau jangan buat macam ni lagi tau? Kalau aku tak dengar engkau bagi salam, engkau ketuk lah pintu tu kuat-kuat.” Leha peringatkan adab Islam ketika berkunjung ke rumah orang.
“Ye, lah. Engkau tengok apa tadi, asyik bebenar?”
“Perbincangan dalam group WhatsApp tentang isu semasa.”
“Tentang politik lah tu”, Kiah menduga. Leha tertawa.

“Sebenarnya aku tak ada niatpun nak cetuskan kontrovasi. Tapi tetiba rasa terpanggil apabila seorang kawan menghantar satu tazkirah,”
“Tazkirah tentang apa?” pintas Kiah sebelum Leha menamatkan ayatnya.
“Tentang bahaya sifat sombong.” Jawab Leha ringkas.
“Jadi, apa masalahnya? Bukankah bagus peringatan tu?”
“Memanglah bagus. Tetapi yang aku rasa terpanggil nak beri pandangan ialah perbincangan itu hanya terfokus kepada rakyat jelata yang tidak mematuhi SOP. Jadi aku balaslah, penyakit sombong bukan terkena pada rakyat sahaja. Pemerintah yang tak panggil wakil rakyat bersidang itu pun termasuk dalam kategori sombong juga.”
“Kenapa engkau cakap macam tu?”
“Semua orang tahu, bukan? Dalam Islam, syura atau mesyuarat itu amat penting. Perintah mengenainya ada dalam al-Quran. Nabi SAW sendiri menunjukkan contoh dalam melaksanakannya. Baginda adalah pemimpin yang paling banyak bersyura dengan sahabat RA. Maka, bagi aku pemimpin yang tutup parlimen dan tidak melaksanakan syura itu sombonglah. Tak mahu dengar pandangan orang lain. Seolah-olah dia saja yang pandai. Lagipun MP2 tu dipilih oleh rakyat, mereka mesti menjalankan tugas menyampaikan suara rakyat di parlimen.”
“Itu yang buat mereka rasa panas sebab engkau kritik pemimpin yang mereka sokong.”
“Engkau tahu, ada yang respon seolah-olah dialah pemimpin yang dikritik tu.”
“Dia kata apa?”
“Pemerintah yang ada sekarang bukan sombong, dah fikir dah apa yang terbaik untuk rakyat dan negara”
Terbaik?” Kiah membeliakkan matanya dan menyambung, “terbaik dari segi apa? Covid mencanak setiap hari walaupun menterinya ramai terlebih saiz. Itupun mereka tak nampak ke? Membazirkan duit rakyat yang membayar cukai, digunakan untuk bayar gaji menteri-menteri yang berlebihan”
“Barang kali itulah yang terbaik pada pandangan mereka, sebab ramai yang dapat jawatan. Lagi ramai, lagi baiklah.”
“Indeks persepsi rasuah, kebebasan akhbar semakin teruk, harga barang keperluan semakin naik tak terkawal. Itukah yang dikatakan terbaik? Hemm… tak faham aku,” keluh Kiah. Kemudian menyoal,
“Engkau ada balas balik tak?”
“Tak.” Jawab Leha sepatah seperti malas nak layan.
“Mereka ada sambung lagi tak?” Tanya Kiah penuh minat.
“Mestilah ada.”
“Engkau ceritalah…!”
“Ada yang kata, syura beza dengan sidang parlimen.”
“Memanglah beza, tapi kita lihat dari segi prinsipnya itu selari dengan prinsip syura yang dituntut oleh Islam, bukan begitu? Atau jika betul-betul berbeza dan bercanggah dengan Islam, kenapa pula mereka masuk bertanding untuk jadi ahli parlimen? Untuk apa?”

“Entahlah, Kiah. Aku pening dengan cara fikir sebahagian masyarakat Islam sekarang. Kata nak laksanakan Islam. Tapi tidak rasa bersalah apabila suruhan Allah diketepikan…” Leha menarik nafas, kemudian menyambung “Engkau tahu? Ada yang tanya, adakah DAP ahli syura?”
“Maksudnya?”
“Mungkin dia nak kata, DAP tak layak jadi ahli syura sebab dia kafir harbi, kot?”
“Mereka ahli parlimen yang sah yang dipilih oleh pengundi kawasan mereka. Samalah dengan ahli-ahli daripada parti lain yang dipilih oleh pengundi kawasan masing-masing. Kalau parlimen bersidang takkanlah wakil DAP tak dipanggil pula? Adilkah begitu? Dan jika hendak dipersoalkan kelayakan DAP sebagai ahli syura, boleh juga dipersoalkan PM yang ada tu cukupkah kelayakannya menjadi ketua negara menurut neraca Islam? Adakah dia seorang yang berakhlak, bersih, tidak khianat dan tidak menyalah gunakan kuasa?”
Leha membisu.
“Engkau setuju tak apa yang aku cakap tu? Kenapa diam saja”
“Aku tengah nak hadam la. Sebab tu aku diam…” Leha mengakhiri ayatnya dengan ketawa kecil. Kiah turut tertawa.

“Orang lain pula menyampuk engkau tahu?”
“Dia kata apa?”
“Rakyat dah bagi peluang PH memerintah Melaysia selepas PRU 14, tapi malangnya tak sampai 22 bulan mereka sendiri yang merunutuhkanya, jangan salahkan orang lain salahkan diri sendiri”
“Ke situ pulak? Dia tahu tak, orang yang bertanggungjawab meruntuhkan PH ialah PM yang dia sokong tu? Kalau tak ada parti lain yang sokong dan sambut, TSMY tak akan berani memungkiri persepakatannya dengan PH. Kerana ada parti pembangkang yang sokong dan sedia membentuk kerajaan bersama dengan dialah, dia berani bertindak menarik ahli partinya keluar PH. Betul tak?”
“Itu kata engkau. Tapi mereka tak fikir begitu…” sahut Leha dengan nada mengeluh.

“Satu lagi yang aku hairan…”
“Apa pulak?”
“Bukankah sifat khianat dan mungkir janji itu haram?”
“Eh, tak kan itu pun engkau hairan?”
“Memang aku hairan, sebab apabila ada orang tertentu melakukan pengkhianatan dan memungkiri perjanjian, dia tidak dibantah. Malah diangkat dan disanjung sebagai pemimpin no satu negara. Neraca apa yang digunakan sebenarnya? Engkau boleh jawab?”
Leha tersenyum memandang Kiah yang berkerut-kerut dahinya meluahkan persoalan yang menghantui fikirannya.
“Aku teringat satu ungkapan: halaluna haramukum.”
“Apa makna tu, Leha?” soal Kiah terkebil-kebil.
“Halal bagi kami, haram bagi kamu. Jika perkara itu selari dengan kepentingan kami, halallah, walaupun perkara itu haram jika dilakukan oleh pihak lain…”
Kiah terkedu.
“Matlamat menghalalkan cara…” ngomelnya sambil bangkit dari sofa.

“Aku balik dulu lah, Leha. Jangan lupa makan bubur kacang tu…”

No comments:

Post a Comment