Sunday, May 30, 2021

SEMBANG CIK KIAH


“Leha, engkau dah tengok tak berita ni?” Soal Kiah sambIl mengunjukkan telefon bimbitnya kepada Leha.
“Berita apa?” Leha bertanya sambIl matanya melihat sepintas lalu ke arah telefon bimbit di tangan Kiah.
“Ni… engkau tengok la betul-betul.” Kiah mendekatkan lagi telefon bimbitnya ke muka Leha. Leha mengerutkan dahi, memecengkan mata ke arah berita yang terpapar di skrin telefon bimbit Kiah.
“Engkau pasti ke berita itu benar, Kiah?”
“Akhbar rasmi mereka yang siarkan. Takkan akhbar sendiri nak fitnahkan pemimpin dia pulak?”
“Itu gambar. Bukan link yang sebenar. Gambar, orang boleh buat, Kiah…” Leha memberi peringatan. Hatinya sukar mempercayai apa yang tertulis di muka depan akhbar HD itu (PAS RELA KONGSI KEBODOHAN, sedia memikul beban bersama PM Muhiyddin yg dilabel bodoh oleh rakyat)
“Hemm… tak tahulah,” keluh Kiah, “tapi kalau betul macam mana?” sambungnya.
“Aku pun tak tahu nak kata lah…” jawab Leha sambal menarik nafas, “takkan mereka taksub sampai begitu sekali?”
“Kalau berita ni tak betul, mereka patut saman. Ini fitnah besar, bukan?”

Leha masih membisu. Belum ada idea untuk menjawab.
“Kenapa engkau diam, Leha? Selalu bersemangat?”
“Aku tak percaya berita tu benar.” Suara Leha agak tegas.
“Kenapa?”
“Setakat yang aku tahu, dalam al-Quran tiga golongan sahaja yang dipanggil bodoh atau sufahaa’. Orang munafiq, orang yang kurang akal atau yang memboroskan harta dan orang Yahudi yang menentang ajaran Nabi SAW termasuk yang menentang para nabi alaihimus-solatu wassalam. Aku tak percaya kalau ulamak tidak tahu hal ini. Takkan mereka sanggup menjadi orang bodoh!”
“Betul juga tu…” Kiah mengangguk-angguk menyetujui hujah Leha, kemudian menyambung “kalau mereka tahu, kenapa mereka masih kekal bersama PM yang telah dengan sendiri mengaku bodoh?”
“Mungkin mereka tidak berpendapat begitu. Mungkin bagi mereka PM seorang yang bijak dan paling berwibawa.” Leha membuat telahan.
Kiah menjuihkan bibir seperti tidak bersetuju dengan kata-kata Leha.
“Pada pendapat aku, orang yang bijak tidak akan mengeluarkan kenyataan seperti itu. Dia sepatutnya buktikan dengan tindakan. Tunjukkan kemampuannya mengatasi segala kemelut yang berlaku sekarang. Atau kalau dah rasa diri tidak mampu, letak jawatan. Orang yang bijak tidak akan membebankan diri memikul sesuatu yang dia tidak mampu untuk menanggungnya.” Bebel Kiah panjang lebar.
“Yang ini aku setuju.” Pintas Leha. Kiah tersenyum lebar.
“Sebab itu aku sangat takut sekarang…” keluh Leha.
“Takut apa?” soal Kiah dengan pantas.
“Takut akan berlaku apa yang diperingatkan oleh Nabi SAW, “Apabila sesuatu urusan diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah kehancuran!”
“Eee…betullah, Leha. Seram aku. Sekarang dah nampak bibit-bibit kehancuran, virus makin mengganas, kebebasan bersuara disekat, pelabur asing lari, pendidikan anak-anak caca marba, keluarga berantakan, ramai hilang pekerjaan, dan macam-macam lagi lah yang dilaporkan dalam media setiap hari. Apa kita patut buat ya?”

Leha termenung seketika. Kemudian bersuara,
“Engkau ingat tak satu hadis yang kita baca minggu lepas?”
“Yang mana satu?”
“Kisah beberapa orang Sahabat Nabi SAW yang sedang musafir. Berlaku satu insiden menyebabkan salah seorang daripada mereka cedera di kepala. Kemudian dia bermimpi, iaitu mimpi yang menyebabkan dia wajib mandi ….”
“Ya, aku ingat hadis tu,” sahut Kiah dengan gembira. Dia menyambung, “Dia tanya bolehkah dia bertayamum sebagai ganti mandi wajib? Sahabat-sahabat dalam rombongan itu menjawab tak boleh sebab dia boleh guna air. Dia pun mandi. Lepas tu dia meninggal…”

Kiah berhenti seketika. Kemudian menyambung,
“Tapi… apa kaitan kisah itu dengan isu yang kita sedang bincang?”
“Engkau perhatikan apa komen Nabi SAW setelah peristiwa itu diceritakan kepada baginda!” sahut Leha. Dia menyambung,
“Baginda bersabda: Mereka telah membunuhnya! Semoga Allah membunuh mereka! Kenapakah mereka tidak bertanya jika mereka tidak tahu? Sesungguhnya penawar bagi kejahilan itu ialah bertanya!....”
“Memberi pandangan yang salah telah menyebabkan satu nyawa terkorban! Sekarang sudah berapa ribu nyawa melayang akibat jangkitan covid-19. PM pula enggan membuka Parlimen untuk memberi peluang kepada wakil-wakil rakyat memberikan pandangan. Adakah dia dan anggota kabinetnya tidak akan dipertanggungjawabkan di atas ribuan nyawa yang hilang itu? Adakah menutup parlimen itu satu langkah yang bijak?”
“Ooo, baru aku faham. Memang sangat penting ilmu … Sesiapa yang memikul amanah tanpa berilmu itu, tolonglah ingat. Insaflah…!” Kiah meluahkan rayuan daripada lubuk hatinya.
“Harap-harapnya begitulah… kita semua akan kembali mengadap Yang Maha Esa dan akan ditanya tentang segala-galanya….”

No comments:

Post a Comment