Thursday, June 03, 2021

BARANGSIAPA YANG MENGHINA SULTAN, MAKA ALLAH AKAN MENGHINANYA…

Apakah maksud menghina sultan?
Adakah menegur sultan itu bererti menghinanya?
Adakah apabila rakyat meminta supaya suara mereka didengar, permohonan mereka dipertimbangkan itu bererti mereka telah menghina sultan?
Maka apakah yang rakyat patut lakukan di kala suara mereka seperti tidak diendahkan?
Adakah pemimpin terdahulu tidak pernah ditegur oleh rakyat mereka?
Cuba kita renung kisah ini…
Diriwayatkan bahawa Khalifah Umar bin al-Khattab RA sedang berucap di atas mimbar. Dalam ucapannya itu beliau berkata: “Ingatlah! Janganlah kamu berlebihan dalam meletakkan maskahwin para wanita kamu…”
Lantas seorang wanita bangkit dan berkata: “Wahai Ibn al-Khattab, Allah telah memberikan kami hak, sedangkan anda menegahkan kami?” Wanita itu pun membacakan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan jika kamu hendak mengambil isteri (baharu) menggantikan isteri (lama yang kamu ceraikan) sedang kamu telahpun memberikan kepada seseorang di antaranya (isteri yang diceraikan itu) harta (maskahwin) yang banyak, maka janganlah kamu mengambil sedikitpun daripada harta itu. Patutkah kamu mengambilnya dengan cara yang tidak benar dan (yang menyebabkan) dosa yang nyata?”
(An-Nisaa' 4:20)
Mendengar teguran wanita itu, Umar terus berkata: “Semua manusia lebih faham (hukum agama) daripada Umar!”
Dan pada saat itu juga Umar menarik balik arahannya supaya tidak meninggikan maskahwin!
(Tafsir Mafatih al-Ghaib, ar-Razi (wafat 606H)
Adakah wanita itu telah menghina Umar?
Tidakkah wanita itu dianggap biadab kerana menegur Umar secara berdepan di hadapan khalayak?
Lihatlah apakah panggilan yang disebut oleh wanita itu? “Ibn al-Khattab”!
Dia tidak panggil “Amirul-mukminin”!
Namun, adakah Umar melenting dan rasa dirinya dihina?
Adakah pegawai-pegawai Umar bangkit dan menangkap wanita itu kerana telah menghina khalifah?
Umar, bukan sahaja tidak rasa terhina. Sebaliknya terus menarik balik arahan yang dikeluarkannya kerana teguran wanita itu ada asasnya. Subhanallah!
Maka, bilakah agaknya pemimpin-pemimpin kita akan belajar daripada sirah para sahabat yang mulia ini?

No comments:

Post a Comment