Monday, April 23, 2018

UNDI atau BERKECUALI?


Apabila saya menulis TUKAR atau KEKAL beberapa hari lalu, ada yang bertanya “Kalau nak berkecuali Ustazah, tak boleh ke?”

Saya tidak akan terus menjawab boleh atau tidak. Tetapi saya ingin mengajak kita semua merenungi firman Allah yang bermaksud seperti di bawah:

“Dan (ingatlah) ketika segolongan di antara mereka berkata: "Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan membinasakan mereka atau mengazabkan mereka dengan azab yang amat berat?" Orang-orang (yang memberi nasihat) itu menjawab: "(Nasihat itu ialah) untuk melepaskan diri dari bersalah kepada Tuhan kamu, dan supaya mereka bertaqwa".
“Maka ketika mereka melupakan (tidak menghiraukan) apa yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang daripada perbuatan jahat itu, dan Kami timpakan orang-orang yang zalim dengan azab seksa yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasiq (derhaka).”

Perhatikan ayat di atas di mana Allah mengisahkan tentang tiga golongan manusia: 

Pertama: golongan yang zalim
Kedua: golongan yang memberi nasihat dan melarang daripada perbuatan jahat
Ketiga: golongan yang berkecuali. Mereka tidak termasuk di dalam golongan yang zalim dan tidak bersama dengan golongan yang memberi nasihat dan melarang perbuatan jahat.

Akhirnya apabila golongan yang zalim tidak menghiraukan larangan dan nasihat yang diberikan kepada mereka, maka berlakulah ketentuan Allah terhadap mereka, iaitu:

Pertama - Allah selamatkan orang-orang yang melarang daripada perbuatan jahat
Kedua - Allah timpakan orang-orang yang zalim dengan azab seksa yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasiq

Golongan yang berkecuali berada di mana?
Adakah mereka selamat bersama golongan yang memberi nasihat? Atau mereka ditimpa azab bersama golongan yang zalim?

Menurut ar-Razi (wafat pada tahun 606 hijriah), para mufassirun khilaf sama ada mereka termasuk di dalam golongan yang selamat atau yang diazab. Terdapat dua riwayat daripada Ibn Abbas r.a. Satu riwayat mengatakan beliau tawaqquf (tidak menyatakan sebarang pandangan). Manakala satu riwayat lagi menyatakan bahawa Ibn Abbas berpendapat, dua golongan binasa, hanya satu golongan sahaja yang selamat, iaitu golongan yang melarang berbuat zalim. Dan Ibn Abbas r.a. apabila membaca ayat ini beliau akan menangis sambil berkata: “Sesungguhnya mereka yang mendiamkan diri daripada mencegah mungkar itu telah binasa. Dan kita juga melihat perkara-perkara mungkar, kemudian kita berdiam diri dan kita tidak berkata apa-apa!”

Manakala Hasan al-Basri berpendapat bahawa golongan yang tidak mencegah adalah selamat. Ertinya yang selamat adalah dua golongan, hanya satu golongan yang binasa. Alasannya ialah mereka sebenarnya sangat mengingkari kezaliman golongan yang zalim itu, tetapi mereka tidak memberi nasihat kerana mereka hampir-hampir pasti bahawa golongan itu tidak akan mendengar dan mengendahkan apa yang dinasihati. Selain itu, dikatakan bahawa mencegah mungkar itu fardhu kifayah, jika terdapat satu golongan telah melakukannya, gugurlah kewajipan itu dari yang lain.

Berdasarkan pandangan mufassirin yang dikemukakan oleh ar-Razi, saya mohon supaya tidak ada di kalangan kita yang berkecuali. Kalau hendak berpegang kepada pendapat yang mengatakan mencegah mungkar itu fardhu kifayah, ia tidak sesuai dengan keadaan kita sekarang kerana tercegah atau tidak kemungkaran itu dikira berdasarkan undi orang yang pergi mengundi. Menang atau kalah pihak yang kita sokong ditentukan oleh hanya satu undi sahaja. Ya, satu undi sahaja.

Maka, fikirkanlah semasak-masaknya mahu TUKAR atau KEKAL? 
Undilah dengan niat untuk menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran.

Tidak ada sebab untuk BERKECUALI.

Allahu A’lam.

No comments: