“Dan berkatalah pula orang-orang yang kafir itu kepada
Rasul-rasul mereka: "Demi sesungguhnya, kami akan mengeluarkan kamu dari
negeri kami atau kamu menjadi seagama dengan kami". Lalu Tuhan wahyukan,
kepada Rasul-rasulNya: "Demi sesungguhnya! Kami akan membinasakan
orang-orang yang zalim.
"Dan demi sesungguhnya! kami akan tempatkan kamu di
negeri itu sesudah binasanya kaum yang zalim itu; balasan baik yang demikian,
adalah bagi orang-orang yang takut akan sikap keadilanKu (menghitung amalnya),
dan takut akan janji-janji azabKu".
Satu daripada sekian banyak episode perjuangan rasul-rasul
Allah di dalam usaha menyampaikan risalah dakwah kepada kaum mereka. Kehadiran
mereka tidak disambut dengan hamparan permaidani merah. Sebaliknya mereka
dicemuh, dicaci dan dimusuhi. Apabila mereka gagal menghentikan rasul dari
dakwahnya, mereka akan menggunakan cara mengancam dan mengugut seperti yang digambarkan
di dalam ayat di atas.
Mereka menolak bukan kerana mereka yakin bahawa mereka
berada di pihak yang benar. Bukan kerana mereka mempunyai alasan yang kukuh untuk
mematahkan hujjah yang dibawa oleh rasul-rasul mereka. Tetapi mereka menentang
kerana kesombongan, tidak mahu menjadi pengikut, tidak bersedia untuk berubah
kepada yang lebih baik. Justeru kita lihat, mereka memberi hanya dua pilihan
kepada rasul: ikut kami atau berambus dari sini!!!
Namun, apapun rintangan dan halangan, apapun ugutan dan
ancaman, ia hanya bersifat sementara. Sementara untuk Allah melihat dan menilai
keimanan, kesungguhan dan keikhlasan rasul atau pendakwah, di samping memberi
ruang dan masa yang mencukupi untuk mereka yang menentang dan menolak berfikir
dengan waras dan matang agar dengan itu mereka akan menukar pendirian. Justeru,
pendakwah tidak perlu gusar. Teruskanlah tugas menyampaikan risalah. Mereka yang
keras menentang, mereka yang tidak mahu menerima, kesudahan mereka ditentukan
oleh Allah (Demi sesungguhnya! Kami akan membinasakan orang-orang yang zalim!)
Dan untuk mereka yang ikhlas dalam berdakwah, yang takut
kepada Allah semata-mata, yang berusaha menjauhi apa yang dimurkaiNya mereka
pasti akan meraih kejayaan dan keuntungan yang hakiki sama ada di dunia atau di
akhirat. Janji yang pasti.
Bekalan buat pendakwah:
1.
Yakin kepada janji Allah
2.
Ikhlas dalam menjalankan
tugas
3.
Tsabat dan istiqamah
4.
Fahami Sunnah dalam
perjuangan menegakkan kebenaran
5.
Sentiasa mengingati Allah
dan mentadabbur KalamNya.
No comments:
Post a Comment