Monday, June 16, 2025

"Keajaiban Saintifik al-Quran dalam Surah at-Tāriq"

Ini merupakan satu topik yang agung, yang menghimpunkan antara tadabbur terhadap kalam Allah عز وجل dan penemuan sains moden. Pada zaman Nabi ﷺ, tidak mungkin manusia mengetahui kewujudan objek-objek angkasa yang begitu halus dan berbahaya ini.

Firman Allah:

"Demi langit dan at-Tāriq (yang datang mengetuk) ۝ Dan tahukah engkau apakah itu at-Tāriq? ۝ Ianya ialah bintang yang menembusi (kegelapan)."
(Surah at-Tāriq: 1–3)


Apakah itu at-Tāriq?

Ia merujuk kepada bintang mati yang sangat padat — saiznya sangat kecil, tetapi jisimnya amat besar (malah lebih besar daripada matahari). Ia berpusing dengan kelajuan yang sangat tinggi dan memancarkan denyutan berkala gelombang radiasi seperti gelombang radio, sinar-X, dan sinar gamma.

Mengapa dinamakan "at-Tāriq"?

Bintang ini memancarkan denyutan atau "ketukan" radiasi seakan-akan ia mengetuk langit waktu malam. Ia benar-benar sepadan dengan istilah "at-Tāriq", yang membawa maksud yang datang pada malam hari dan mengetuk.

"An-Najm ath-Thāqib" – Bintang yang Menembusi

Sinaran bintang ini menembusi kegelapan seperti anak panah – ini selari dengan maksud "الثاقب" (yang menembusi). Ia menerangi ruang gelap dengan pancaran luar biasa, walaupun tidak boleh dilihat dengan mata kasar, tetapi hanya boleh dikesan dengan teleskop dan teknologi canggih.


Kenapa ini dianggap sebagai Mukjizat?

  • Pada zaman penurunan al-Quran, manusia tidak mungkin mengetahui tentang objek angkasa seperti neutron stars dan pulsar (bintang denyut).

  • Nama dan sifat yang digunakan al-Quran seperti "الطارق" dan "الثاقب" sangat tepat menggambarkan fenomena fizikal yang hanya ditemui beribu tahun kemudian.

  • Firman Allah: "Dan tahukah engkau apakah at-Tāriq?" memberi isyarat bahawa apa yang bakal disebut bukan sesuatu yang biasa difahami manusia ketika itu.


Kesimpulan

Keajaiban al-Quran tidak hanya terletak pada keindahan bahasanya, tetapi juga pada kedalaman maknanya. Ia mengandungi mesej yang boleh difahami oleh manusia biasa, dan pada masa yang sama, terus menyingkap makna-makna baharu selaras dengan perkembangan ilmu dan teknologi. Inilah antara bukti bahawa al-Quran adalah kalam Tuhan yang mendahului zamannya, dan tidak mungkin lahir daripada manusia biasa.

“Sesungguhnya Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda Kami di seluruh ufuk dan dalam diri mereka sendiri, sehingga jelas bagi mereka bahawa al-Quran itu benar...”
(Surah Fussilat: 53)



"Bagaimana Kepimpinan Netanyahu Menulis Pengakhiran Bagi Israel?"

Bagaimana Kepimpinan Netanyahu Menulis Pengakhiran Bagi Israel?

Kita boleh memahami gelinciran sejarah ini melalui sekumpulan teori ketenteraan, politik dan sosial yang menjelaskan bagaimana kekuatan boleh berubah menjadi beban, kemenangan menjadi perangkap, dan peluasan menjadi kejatuhan. Apa yang saya tulis di sini bukanlah satu bentuk pendamaian dengan kesakitan, bukan juga menyemai ilusi, atau mencantikkan kekalahan. Ia adalah satu percubaan untuk membaca keadaan seperti mana adanya — dengan fikiran yang sejuk, pandangan yang tajam, dan hati yang tidak menipu diri.


1. Terlalu Meluaskan Diri (Overextension)

Setiap kali sesebuah negara meluaskan pengaruhnya melepasi sempadan geografi dan demografi secara berlebihan hingga melampaui keupayaannya untuk mengawal, negara itu tidak sedang menuju kekuatan — malah tergelincir ke dalam apa yang dikenali dalam wacana politik sebagai overextension (pengembangan berlebihan). Konsep ini merujuk kepada keadaan di mana negara melangkaui keupayaan sebenar lalu membuka pelbagai medan dan konflik yang tidak mampu ditanganinya, yang akhirnya menyebabkan keletihan dan keruntuhan.


2. Ilusi Kemenangan (Victory Delusion)

Apabila sesebuah negara menyangka bahawa siri kemenangan kecilnya bererti kemenangan mutlak, maka ia terdorong oleh keangkuhan untuk melakukan pengembaraan besar. Apa yang sedang berlaku pada Israel hari ini adalah satu persepsi keterlaluan terhadap kawalan, yang mendorong kepada keputusan peluasan yang emosional, lalu membawa kepada kebutaan strategik.


3. Kelesuan Kuasa Besar (Great Power Fatigue)

Istilah ini digunakan untuk menggambarkan keadaan apabila kekuatan sesebuah negara berubah menjadi beban, bukannya aset. Negara kecil dari segi penduduk dan geografi, tanpa kedalaman strategik yang sebenar, cuba memainkan peranan sebagai kuasa serantau utama, lalu membebankan institusi politik dan ketenteraannya, bahkan melemahkan penyokongnya. Lebihan kuasa yang digunakan secara tidak seimbang akan menghasilkan keletihan — bukan kemenangan.


4. Perang Pelbagai Medan (Multi-Front Warfare Trap)

Membuka lebih dari satu medan pada masa yang sama mungkin kelihatan seperti tindakan proaktif, tetapi ia berubah menjadi bencana apabila negara gagal mengawal mana-mana medan. Israel kini terlibat dalam konflik di Gaza, Lubnan, Syria, Iran, dan sedang berdepan ancaman dari Yaman dan Iraq. Kepelbagaian medan ini melemahkan pusat kepimpinan dan mengganggu keupayaan tentera untuk mengurus sumber serta bertindak dengan berkesan.


5. Perang Abadi (Forever Wars)

Satu bentuk konflik di mana sesebuah negara kehilangan keupayaan untuk mencapai kemenangan muktamad atau memaksakan penyelesaian, lalu terperangkap dalam keadaan keletihan berpanjangan tanpa had masa. Israel hari ini tampak telah memasuki era ini: setiap pertempuran membuka medan baharu, dan setiap medan berubah menjadi paya lumpur.

(Sebagai catatan: istilah ini lahir selepas peristiwa 11 September untuk menggambarkan penglibatan Amerika dalam konflik tanpa kesudahan menentang musuh yang tidak jelas. Walaupun permulaannya cepat — menumbangkan Taliban dan Saddam — Amerika terjerumus dalam perang terbuka melawan kumpulan-kumpulan yang sentiasa diperbaharui, tanpa hala tuju atau kemenangan yang pasti.)

Hari ini, musuh mengulangi corak yang sama: siri operasi yang dianggap sebagai kemenangan, lalu tergelincir ke dalam pertempuran kekal melawan kuasa tidak berpusat — perang tanpa peta jalan. Tiada musuh yang jelas, tiada penamat yang hampir, hanya keletihan yang berterusan. Dilema? Israel meneruskan peperangan bukan kerana tahu apa yang akan berlaku selepasnya — tetapi kerana ia takut pada apa yang tidak dapat dilihat esok hari.


6. Kos Melebihi Keuntungan (Cost exceeds Gain)

Setiap pusingan baru yang dilalui Israel membawa kos politik, ekonomi dan ketenteraan yang lebih besar daripada keuntungan yang diperolehnya. Legitimasi semakin terhakis, dominasi semakin terhakis, dan masyarakat memasuki keadaan tekanan berterusan. Kemenangan sesaat berubah menjadi beban yang berlarutan.


7. Kemenangan Membunuh (Pyrrhic Victory)

Ini adalah kemenangan yang dicapai secara ketenteraan tetapi memusnahkan keseimbangan dalaman dan asas kelangsungan negara. Ia umpama menang dalam satu pertempuran tetapi ditinggalkan tanpa keupayaan untuk menyertai pertempuran seterusnya. Israel mungkin telah memenangi beberapa pusingan, tetapi kini kehilangan keupayaan untuk meneruskannya.


Dalam konteks ini, kita mengimbau kembali analisis Ibn Khaldun mengenai saat kejatuhan negara. Beliau menyamakan pengakhiran sesebuah negara dengan sinaran pelita sebelum padam — sinaran terakhir, kilauan yang menipu. Israel hari ini berada di puncak kuasanya, tetapi sedang terbakar di tengah-tengah puncak itu. Ia melebihi kapasiti yang dimilikinya, berperang lebih dari yang mampu, dan terus memaksa dominasi sambil kehilangan kawalan.


Oleh itu, kita perlu membaca lanskap ini dari kejauhan.

Bukan untuk berdamai dengan kesakitan, bukan juga untuk mencantikkan kekalahan, tetapi untuk memahami arah konflik.
Kerana perlawanan yang sedar tidak hanya bersorak, tetapi juga menganalisis, membina, dan bersiap untuk hari esok.

"Sesungguhnya mereka melihatnya jauh, sedangkan Kami melihatnya dekat."
(Surah al-Ma’arij: 6–7)

— Minna Hawwa (منى حوّا)



Tuesday, June 10, 2025

Dunia Di Dalam Sebiji Telur!

Ibnu Qayyim meriwayatkan dalam karya agungnya "Miftah Dar al-Sa’adah" bahawa Ibnu ‘Abbas berkata:

Syaitan-syaitan berkata kepada Iblis:

“Kenapa kami lihat engkau lebih gembira dengan kematian seorang ulama berbanding kematian seorang ahli ibadah?”

Iblis menjawab:

“Marilah ikut aku!”

Mereka pun pergi menemui seorang abid (ahli ibadah) yang sedang khusyuk beribadah.

Lalu Iblis bertanya kepadanya:

“Adakah Tuhanmu mampu untuk memasukkan seluruh dunia ke dalam sebiji telur?”

Abid itu menjawab:

“Aku tidak tahu.”

Lalu Iblis berkata:

“Tidakkah kamu lihat, dia telah kufur hanya dalam satu saat?!”

Kemudian mereka mendatangi seorang ulama, yang sedang duduk bersama murid-muridnya sambil bergurau dan berbual.

Mereka berkata:

“Kami ingin bertanya sesuatu.”

Ulama itu menjawab:

“Tanyalah apa sahaja yang kamu mahu!”

Lalu Iblis bertanya:

“Adakah Tuhanmu mampu untuk memasukkan seluruh dunia ke dalam sebiji telur?”

Ulama itu menjawab:

“Ya!”

Mereka bertanya:

“Bagaimana?”

Dia menjawab:

“Dia hanya perlu berkata ‘Jadilah!, maka ia pun terjadi.”

Lalu Iblis berkata kepada syaitan-syaitan:

“Kamu lihat? Yang pertama itu tidak memberi kesan selain kepada dirinya sendiri, tetapi yang ini, boleh merosakkan hasratku untuk mempengaruhi ramai manusia kerana ilmunya!”