Sunday, October 30, 2022

MENGEJAR SHAHID DI JALAN ALLAH

Doa yang kita selalu mohon setiap hari berulang kali ialah”

“Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang ENGKAU TELAH KURNIAKAN NI’MAT KEPADA MEREKA, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.”

(Al-Faatihah 1:6-7) 

Siapakah “orang-orang yang telah dikurniakan ni’mat kepada mereka”?

Mereka terdiri dari empat golongan yang disebut oleh Allah dalam firmanNya yang bermaksud:

“Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka, iaitu Nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang Syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).”

(An-Nisaa' 4:69) 

Empat golongan yang telah dikurniakan ni’mat kepada mereka ialah:

- Nabi-nabi, 

- Siddiqiin, 

- Syuhada’ (orang-orang yang mati syahid), 

- Solihin (orang-orang yang soleh)

Adakah kita mempunyai peluang untuk termasuk dalam salah satu daripada empat golongan ini?

Pastinya boleh. Sebab Allah yang suruh kita minta. Mustahil Allah suruh kita minta perkara yang mustahil kita capai.

Daripada empat golongan itu, yang manakah paling realistic untuk kita capai?

Terdapat satu hadis yang membuka ruang kepada semua umat Islam pada setiap masa dan setiap tempat untuk mencapainya. Iaitu hadis yang bermaksud:

“Penghulu syuhada’ ialah Hamzah bin Abdul Muttalib, dan seorang yang bangkit di hadapan pemimpin yang zalim, dia menyuruhnya (melakukan kebaikan) dan mencegahnya (dari melakukan kejahatan), lalu pemerintah itu membunuhnya.” Riwayat al-Hakim. Dia berkata sahih. Juga al-Khatib dan diperakui sahih oleh al-Albani.

Hadis ini mengajar kita supaya mengambil berat tentang kepimpinan umat dan negara. Tidak boleh berdiam diri. Pasrah pada apa yang berlaku dan dilakukan oleh pihak yang berkuasa.

 Rakyat wajib cakna dan prihatin. Orang yang berani berkata benar, berani menegur dianugerahi kedudukan yang tinggi, penghulu syuhada’. 

Sesungguhnya kebenaran dan keadilan lebih berharga daripada nyawa.

Hadis ini amat sesuai dan bertepatan untuk difahami dan dihayati dalam suasana sekarang. Ramai yang rasa keciwa dan tawar hati sehingga mengambil sikap tidak mahu terlibat dengan politik hatta dengan mengundi. Ramai yang memilih untuk tidak turun mengundi kerana tidak percaya kepada semua pihak yang bertanding. Mereka beranggapan semuanya sama saja.

Kalau anda termasuk mereka yang berpandangan demikian, tolong amati hadis di atas dengan fikiran terbuka dan dada yang lapang. Berdiam diri bukanlah sikap yang terpuji. Nabi SAW menghendaki kita melibatkan diri secara aktif sehingga ke tahap berkorban nyawa.

Ambillah peluang untuk memilih calon atau parti yang terbaik berdasarkan ciri-ciri quwwah dan Amanah.

Jika kita rasakan semua calon tidak memenuhi ciri-ciri itu, maka pilih yang paling hampir dengannya.

Jika semua calon pada pandangan kita tidak baik, maka pilih yang paling sedikit kekurangannya.

Jika kita rasakan semua calon tidak membawa kebaikan, maka pilih yang lebih banyak kebaikannya di antara mereka.

Itulah asas pemilihan berdasarkan kaedah “irtikabu  akhaffu dhararain” yang bermaksud “ambil yang lebih ringan kemudaratannya”. 

Membuat keputusan untuk tidak mengundi mungkin membawa kepada menangnya pihak yang lebih besar kemudaratannya. Dan kita termasuk orang yang menjadi sebab kemenangan itu kerana kita tidak mengundi calon yang lebih sedikit kemudaratannya.


Ingat! Ia bukan masalah kecil…  



No comments: