Tuesday, June 10, 2025

Dunia Di Dalam Sebiji Telur!

Ibnu Qayyim meriwayatkan dalam karya agungnya "Miftah Dar al-Sa’adah" bahawa Ibnu ‘Abbas berkata:

Syaitan-syaitan berkata kepada Iblis:

“Kenapa kami lihat engkau lebih gembira dengan kematian seorang ulama berbanding kematian seorang ahli ibadah?”

Iblis menjawab:

“Marilah ikut aku!”

Mereka pun pergi menemui seorang abid (ahli ibadah) yang sedang khusyuk beribadah.

Lalu Iblis bertanya kepadanya:

“Adakah Tuhanmu mampu untuk memasukkan seluruh dunia ke dalam sebiji telur?”

Abid itu menjawab:

“Aku tidak tahu.”

Lalu Iblis berkata:

“Tidakkah kamu lihat, dia telah kufur hanya dalam satu saat?!”

Kemudian mereka mendatangi seorang ulama, yang sedang duduk bersama murid-muridnya sambil bergurau dan berbual.

Mereka berkata:

“Kami ingin bertanya sesuatu.”

Ulama itu menjawab:

“Tanyalah apa sahaja yang kamu mahu!”

Lalu Iblis bertanya:

“Adakah Tuhanmu mampu untuk memasukkan seluruh dunia ke dalam sebiji telur?”

Ulama itu menjawab:

“Ya!”

Mereka bertanya:

“Bagaimana?”

Dia menjawab:

“Dia hanya perlu berkata ‘Jadilah!, maka ia pun terjadi.”

Lalu Iblis berkata kepada syaitan-syaitan:

“Kamu lihat? Yang pertama itu tidak memberi kesan selain kepada dirinya sendiri, tetapi yang ini, boleh merosakkan hasratku untuk mempengaruhi ramai manusia kerana ilmunya!”


No comments: