Saturday, July 06, 2019

SILATUL RAHIM


Sebulan Syawal dipenuhi dengan aktiviti dan acara sambutan hari raya. Antara tujuannya selain menzahirkan rasa syukur di atas segala ni’mat anugerah Allah ‘Azza wa Jalla, ialah mengeratkan silatul rahim dan mengukuhkan ikatan persaudaraan sesama insan pelbagai golongan.

Islam sangat menitik beratkan silatul rahim di kalangan umatnya. Ganjaran untuk mereka yang menghubungkan tali persaudaraan bukan sahaja akan dapat diraih di akhirat, malah disegerakan balasan sejak di dunia ini lagi. Hal ini dinyatakan di dalam sepotong hadis yang bermaksud:
“Sesiapa yang suka dilapangkan baginya rezekinya dan diberkati pada usianya, maka hendaklah dia menghubungkan silatul rahim.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah r.a.

Terdapat beberapa pandangan ulamak tentang maksud “diberkati pada usianya”.
Antara pandangan yang diutarakan:
i.               dipanjangkan usianya
ii.              diberi petunjuk melakukan amal soleh sepanjang hayatnya
iii.             diilhamkan untuk memanfaatkan setiap detik umurnya dengan amala-amalan yang mendatangkan kebaikan untuknya di dunia dan akhirat
iv.             dikenangi, disebut-sebut dan dimanfaatkan kebaikan yang lakukannya selepas kematiannya

itu adalah ganjaran di dunia selain ganjaran besar menanti di akhirat sana.


Mudah-mudahan aktiviti kunjung mengunjung sepanjang Syawal yang barlalu khususnya dan berterusan sepanjang tahun umumnya dicatat dan diterima sebagai usaha mengeratkan silatul rahim yang besar pahala serta ganjarannya itu.

Wednesday, July 03, 2019

INTEGRITY



Daripada Abi Humayd Abdul Rahman bin Saad as-Sa’eidy r.a.
Beliau menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. telah melantik seorang lelaki daripada al-Azdi yang dikenali sebagai Ibn al-Lutaibah sebagai amil zakat.
Selepas menjalankan tugas yang diamanahkan kepadanya, dia kembali ke Madinah menyerahkan hasil yang dipungutnya kepada Rasulullah s.a.w.
Dia berkata: “Inilah hasilnya (sambil menunjukkan harta yang diperolehinya) untuk anda (baitul-mal). Dan ini (sambil menunjukkan kepada bahagian yang lain) bahagian yang dihadiahkan kepada saya.”
Mendengar laporan yang sampaikan oleh amilnya itu, Rasulullah s.a.w. terus bangkit menaiki minbar dan menyampaikan ucapan.
Baginda memuji Allah dan mengulangi pujiannya. Kemudian Baginda bersabda: “Sesungguhnya aku telah melantik seseorang dari kalangan kamu untuk menjalankan satu tugas yang diamanahkan oleh Allah kepadaku. Kemudian dia kembali kepadaku dengan berkata, “ini untuk kamu dan ini hadiah yang diberikan kepadaku”.
Kenapa dia tidak duduk di rumah ayahnya atau di rumah ibunya menunggu datangnya hadiah kepadanya kalau dia benar berhak menerimanya? Demi Allah! Tidak ada seorangpun dari kalangan kamu yang mengambil sesuatu yang bukan haknya kecuali dia akan menemui Allah pada hari qiamat dengan membawa bersamanya apa yang diambilnya itu. Sesungguhnya aku tidak akan mengenali seseorang daripada kamu yang membawa bersama dengannya unta yang menjerit, lembu yang mengeboo atau kambing yang mengembek!”
Kemudian baginda mengangkat kedua-dua tangannya sehingga ternampak dua ketiaknya yang putih melepak seraya bersabda: “Ya Allah, adakah aku telah sampaikan?” sebanyak tiga kali.” Muttafaq ‘alaih

Pengajaran:

1.     Islam menekankan kejujuran, ketulusan, ketelusan, amanah serta sikap bertanggungjawab.
2.     Tanggungjawab yang dipikulkan ke atas bahu seseorang merupakan amanah daripada Allah SWT
3.     Kejujuran dan ketulusan di dalam menjalankan tanggungjawab bukan dinilai setakat di dunia semata-mata. Malah akan dihisab dan dibalas oleh Allah di akhirat kelak.

4.     Akhlak yang mulia bukan pilihan. Ia tidak terpisah dari agama. Sebaliknya ia merupakan sebahagian daripada agama itu sendiri.

Sunday, June 02, 2019

QIAMUL-LAIL WA QIAMUN-NAHAR (BANGUN MALAM DAN BANGUN SIANG)


Syaikh Ahmad ar-Raisuni

Di dalam al-Quran terdapat dua surah yang mempunyai persamaan, kedudukannya berdekatan sama ada dari segi tempat (susunan) ataupun masa kedua-duanya diturunkan. Surah-surah tersebut ialah al-Muzzammil dan al-Muddaththir.

Persamaan antara keduanya ialah dari segi lafaz dan makna juga nama yang digunakan sebagai seruan pembuka surah, iaitu “ya ayyuhal muzzammil” dan “ya ayyuhal muddaththir”. Dan selepas seruan, kedua-duanya dimulakan dengan perintah “qum!” iaitu “bangunlah!”.

Persamaan dari segi masa diturunkan ialah kedua-duanya diturunkan secara berturur-turut atau dalam masa yang berdekatan termasuk di dalam kelompok surah-surah yang terawal. Manakalah dari segi tempat pula, ia diletakkan bersebelahan di dalam susunan surah-surah di dalam Mushaf yang mulia sedangkan kebanyakan surah dan ayat meskipun turun dalam masa yang berdekatan, susunannya di dalam Mushaf berjauhan.

Apa yang ingin aku tekankan di sebalik persamaan kedua-dua surah ini ialah perintah supaya qiam yang terdapat pada permulaan kedua-duanya:

“Ya ayyuhal muzzammil, qumil-lail!” (Wahai orang yang berselimut, bangunlah pada waktu malam!)
“Ya ayyuhal muddaththir, qum fa andzir!” (Wahai orang yang berselimut, bangunlah lantas berilah peringatan!)

Dua perintah dengan lafaz yang sama (qum) tetapi menghala ke arah tujuan yang berbeza.

Perintah pertama, perintah supaya bangun di waktu malam untuk solat dan beribadah mendekatkan diri kepada Tuhan. Lalu ia menjadi satu syi’ar agama, satu amalan yang dipegang dan dianuti untuk beribadah, bertaqarrub, untuk mendidik dan mentazkiah sehingga istilah “qiamul-lail” menjadi nama khas yang difahami dan digunakan tanpa keraguan dan kesamaran.
Adapun perintah ke dua, “qum fa andzir!” tidak mendapat tempat yang sewajarnya sebagaimana perintah pertama. Inilah focus tulisanku kali ini sebagai sebahagian daripada “awraq at-tajdid”.

Perhatikan surah al-muddaththir dan permulaannya dan bandingkan dengan saudara kandungnya, surah al-muzzammil! Surah al-muddaththir berbicara tentang “qiamun-nahar”. Surah al-muzzammil berbicara tentang “qiamul-lail”.
Qiamul-lail kandungannya ialah solat, zikir, tilawah.
Qiamun-nahar kandungannya ialah dakwah dengan segala tuntutannya, ranjau-ranjaunya serta cabaran-cabarannya.
Sesungguhnya surah al-muzzammil yang memerintahkan qiamul-lail itu sendiri yang mengarahkan pandangan kita kepada qiamun-nahar. Perhatikan selepas Allah berfirman yang bermaksud: “Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya.” (Al-Muzzammil 73:6), terus diikuti dengan ayat yang bermaksud: “(Kami galakkan engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam), kerana sesungguhnya engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan yang panjang kira bicaranya;” (Al-Muzzammil 73:7

Allamah Ibn ‘Asyur menerangkan maksud kedua-dua ayat itu dengan katanya: “Bangunlah waktu malam kerana ia lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya dan kerana siang adalah masa yang penuh dengan kesibukan yang tidak memberi peluang kepadamu untuk bersendirian dengan Tuhan. Dan kesibukan Nabi s.a.w. di waktu siang ialah dengan berdakwah, menyebarkan al-Quran, mengajar agama, menghadapi tentangan musyrikin, menyantuni mukminin yang lemah dan tertindas. Semua kesibukan itu diungkapkan dengan “sabhan towila” (urusan-urusan yang panjang kira bicaranya)” (At-Tahrir wa At-Tanwir, 462/92)

Sebagaimana Rasulullah s.a.w. menyibukkan sebahagian malamnya dengan qiamul-lail untuk beribadah kepada Allah, baginda menyibukkan seluruh siangnya dengan qiamun-nahar, berhadapan dengan para penentang serta kelompok yang sentiasa merancang untuk mencelakakan baginda. Ini digambarkan di dalam firman Allah yang bermaksud: “Dan bahawa sesungguhnya, ketika hamba Allah (Nabi Muhammad) berdiri mengerjakan ibadat kepadaNya, mereka hampir-hampir menindih satu sama lain mengerumuninya”. (Al-Jinn 72:19)

Dan meskipun qiamul-lail mempunyai peranan serta kesan yang cukup besar di dalam mentarbiah dan mentazkiah jiwa, namun hukumnya kekal sunat dan digalakkan. Masanya juga terhad di sekitar sebahagian malam, tidak bertambah dan berkurang. Sebaliknya qiamun-nahar yang kandungannya adalah dakwah, menyampaikan, berhadapan dengan tentangan musuh, berbahas dan berdialog dengan mereka, tidak terkira kewajipan serta kefardhuannya, ditambah lagi dengan yang sunat-sunat dan digalakkan. Lantaran itu tuntutannya lebih ditekankan dan dipentingkan. Dan kerana itu juga masa pelaksanaannya disebut “sabhan towila”

Sesungguhnya kita pada hari ini, pada waktu akhir-akhir ini khususnya sangat perlu menghidupkan qiaun-nahar, mengembalikan kedudukannya yang sebenar dan keberkesanannya. Sesungguhnya kita berhajat kepada qiam untuk dakwah sebagaimana kita berhajat kepada qiam untuk berdoa. Kita perlu melakukan amal-amal yang menjadi intipati kepada qiamun-nahar:
Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia).
Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya!
Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan.
Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi.
Dan janganlah engkau memberi (sesuatu, dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya.
Dan bagi (menjalankan perintah) Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar (terhadap tentangan musuh)!” (Al-Muddaththir 74:2-7

Sama seperti kita berhajat kepada amal-amal yang menjadi intipati qiamul-lail : rukuk, sujud, tilawah, zikir, doa.

Dan sesungguhnya qiamun-nahar itulah yang lebih awla dan lebih besar tuntutannya di sisi syara’ dan lebih diperlukan dari sudut reality semasa.


http://raissouni.net/2019/05/25/قيام-الليل-وقيام-النهار/