Thursday, November 14, 2013

Asyuraa' Perayaan Kemenangan Melawan Kezaliman


 Hari ke 10 Muharram adalah satu hari yang dibesarkan oleh Allah Ta'ala, diraikan oleh Rasulullah s.a.w. dan diperintahkan supaya umatnya berpuasa. Baginda bersabda mengenai hari tersebut (maksudnya): "Ia adalah satu hari daripada hari-hari Allah Ta'ala." Hari ini juga telah dimuliakan semasa jahiliah. Kaum Yahudi menjadikannya sebagai hari raya. Permulaan difardhukan puasa ke atas orang Islam sebelum Ramadhan adalah hari 'asyuraa'.
Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Ibn Abbas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. datang (berhijrah) ke Madinah, Baginda mendapati kaum Yahudi berpuasa pada hari 'asyuraa'. Lalu baginda bertanya: "Sempena hari apakah kamu berpuasa ini?" Mereka menjawab: "Ini adalah hari yang agung. Padanya Allah selamatkan Musa dan kaumnya, Allah tenggelamkan Firaun dan kaumnya. Maka Musa berpuasa sebagai tanda syukur. Lalu kamipun berpuasa." Maka Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya): "Kalau begitu, kami lebih berhak dan lebih utama mengikuti Musa daripada kamu." Maka Rasulullah s.a.w. berpuasa dan memerintahkan umatnya supaya berpuasa."

Tentang kelebihan berpuasa pada hari 'asyuraa', telah disebut di dalam sebahagian daripada Hadis yang panjang di dalam kitab Sahih Muslim, daripada Abi Qatadah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: "Dan puasa hari 'asyuraa', aku mengharapkan daripada Allah agar Dia menghapuskan dosa setahun sebelumnya." Dan di dalam kitab Sahih al-Bukhari daripada Ibn Abbas r.a., dia berkata: "Aku tidak pernah melihat Nabi s.a.w. bersungguh-sungguh dalam mengerjakan puasa lebih daripada yang lain, melainkan hari 'asyuraa' dan bulan ini, iaitu Ramadhan."

Rahsia hari ini diagungkan ialah kerana pertolongan Allah Ta'ala kepada Nabi Musa dan pengikutnya dan Allah tenggelamkan Firaun serta bala tenteranya. Ia merupakan satu perayaan sempena pertolongan Allah ke atas golongan beriman yang taat kepada Nabi mereka dan keluar bersamanya untuk membentuk daulah muslimah (negara Islam) di bumi yang baru. Ia sebagai menyatakan kegembiraan kerana Allah telah menewaskan kezaliman dan keganasan yang terjelma pada diri Firaun serta tentera-tenteranya yang membuat kekacauan di negeri Mesir dan merosakkannya dengan berleluasa.

Dan rahsia kenapa Yahudi tidak berhak untuk merayakan hari kemenangan ini ialah kerana mereka telah menggabungkan diri ke dalam qafilah keganasan, kezaliman dan keangkuhan. Bahkan mereka sekarang telah menjadi pemimpinnya di muka bumi ini. Justeru, mereka tidak layak untuk menyambut  dan mengingati hari kemenangan yang besar ini. Kitalah (umat Islam) yang lebih utama dan lebih layak untuk mengikuti Musa berbanding dengan mereka. Kita yang patut merayakan, malah cara kita berbeza dengan mereka dalam merayakannya. Kita berpuasa 9 atau 11 bersama dengan 10 Muharram supaya kita benar-benar berbeza dengan Yahudi penjenayah sebagaimana diperintahkan oleh Rasulullah kita yang tercinta s.a.w.

URUSAN ALLAH BERSAMA DENGAN ORANG-ORANG ZALIM

Pihak yang salah, kadang-kadang Allah membiarkan mereka menjelajah dan meneroka sana dan sini, membuat zalim, mengacau, memerintah, membunuh, merosakkan tanaman dan keturunan. Tetapi ini tidak bermakna Allah Ta'ala leka dari memerhati golongan yang batil ini bermaharajalela di atas bumi milikNya. Sebaliknya itu merupakan penangguhan dengan santun dan berhikmah sehingga ke suatu masa yang tertentu. Kadang-kadang setengah golongan yang mahu cepat, atau orang yang lemah imannya berasa hairan bagaimana Allah memberikan peluang kepada puak-puak yang batil ini berkuasa bertahun-tahun? Bagaimana Allah membiarkan hamba-hambaNya menanggung siksa yang teruk? Namun hakikatnya, itulah hikmah Allah dalam melewatkan (pertolongan). Iaitu supaya orang yang beriman terus berusaha mengumpul sebab-sebab kemenangan dan keteguhan, supaya kebatilan kian meluas dan sampai ke kemuncaknya sehingga hampir-hampir membinasakan Rumah Allah Yang Mulia sebagaimana yang dilakukan oleh Abrahah terkutuk yang terpedaya. Pada sangkaannya dia akan dapat menghancurkan Kaabah ketika tiada seorangpun yang bangkit melawannya. Di ketika itu, ketika kesulitan tiba di puncaknya, terbukalah pintu keselamatan, Tangan Yang Maha Kuasa tiba-tiba muncul merentapnya. Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abi Musa r.a. dia berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: "Sesungguhnya Allah memberi tempoh kepada orang yang zalim sehingga apabila Dia membalasnya, Dia tidak membiarkan seorangpun terlepas." Kemudian Baginda s.a.w. membacakan ayat al-Quran yang bermaksud; "Dan demikianlah azab Tuhanmu, apabila ia menimpa (penduduk) negeri-negeri yang berlaku zalim. Sesungguhnya azabNya itu tidak terperi sakitnya, lagi amat keras serangannya.” (Hud:102)

Dan sunnah Allah Ta’ala, Dia melewatkan dan menangguhkan supaya orang yang zalim itu insaf dan kembali kepada kematangannya. Namun seandainya dia berterusan melampaui batas dan merasakan bahawa di dalam genggamannya segala perkara, dia akan dicekup oleh Tangan Yang Maha Perkasa. Pada masa lampau, media massa menghebahkan keangkuhan Firaun: “Dan Firaun pula menyeru (dengan mengisytiharkan) kepada kaumnya, katanya: Wahai kaumku! Bukankah kerajaan negeri Mesir ini akulah yang menguasainya, dan sungai-sungai ini mengalir di bawah (istanaku)? Tidakkah kamu melihatnya?” (Az-Zukhruf:51)
Pada masa sekarang juga kita lihat media massa menghebahkan penguasaan satu pihak, seolah-olah kekuasaan hanya berpusat pada satu individu di seluruh pelusuk dunia. Dengan nada yang sama lisanul-hal diktator sekarang berkata: “Tidakkah kami memerintah dunia, kami kuasai keputusan-keputusan semua Negara? Tidakkah kami memerintah PBB? Tidakkah ia laksana barang permainan di tangan kami? Tidakkah kami berkuasa untuk menggerakkan dunia seluruhnya di bawah telunjuk kami sebagaimana yang kami kehendaki? Tidak kami menguasai seluruh hasil bumi?

Hari Raya Kemenangan dan Pengajarannya Pada Masa Kini

Kenangan 'asyuraa' menjenguk kita kembali pada waktu kebatilan sedang mengganas dan menindas. Dia menyangka bahawa di tangannya segala sesuatu, dia memiliki kekuasaan di seluruh alam, dia memerintah negeri dan rakyat jelata. Sedangkan hamba-hamba Allah yang beriman pula yakin bahawa di saat mereka dikepung oleh kezaliman, kenangan 'asyuraa' datang membawa bekalan supaya lebih kental dan teguh pendirian, membawa harapan kemenangan, kebebasan dari cengkaman diktator walau sekuat manapun kuasa mereka. Pakatan antara bangsa, ketumbukan tentera dunia, penguasaan politik, pengaruh ekonomi, perancangan jahat malam dan siang menyerang tiada henti seperti digambarkan oleh pengikut Musa "Setelah kedua-dua kumpulan itu nampak satu sama lain, berkatalah orang-orang Nabi Musa: Sesungguhnya kita akan dapat ditawan.” (Asy-Syu’araa’:61). Dan scenario penipuan, putar pelit dihebahkan secara terang-terangan tanpa malu dan segan. “Sesungguhnya kita akan dapat ditawan.” Di Suria selepas Iraq atau Iran. Kemudian datang pula giliran Saudi, selepas itu Mesir, kemudian.. kemudian… Siapakah yang akan menghentikan kezaliman yang terus melanda dan meredah ini?

Perasaan bahawa kita akan “ditawan” atau hampir-hampir akan tertawan bukan sesuatu yang aib dan memalukan kerana setiap orang yang berakal wajib mengikuti berita dan perkembangan semasa. Dan bagaimana kita membuat persediaan untuk berhadapan dengan percubaan yang diatur untuk menawan kita. Itulah yang diungkapkan oleh anak bangsa kita yang diburu ketakutan, yang resah gelisah, lalu mereka manyahut seruan pihak atasan mereka dengan anggapan, mereka sekarang sedang berjuang untuk mengelak daripada “ditawan”. Mereka membuat alasan di atas apa yang mereka lakukan adalah mengelak daripada “ditawan” kerana pihak lawan lebih gagah, lebih kuat, lebih hebat. Kita tiada pilihan kecuali tunduk dan menyerah… Dan apakah kesudahannya? “Sesungguhnya kita akan dapat ditawan.”

Datangnya ‘asyuraa’ setiap tahun untuk mengajar kita beberapa pengajaran, membawa kepada kita ibrah dan peringatan daripada kejayaan Musa dan pengikutnya, kebinasaan penguasa yang zalim yang diserlahkan pada watak Firaun dan bala tenteranya. Adakah natijah ini terjadi tanpa golongan manusia yang beriman berbuat sesuatu? Adakah pertolongan Allah dicurahkan ke atas hambaNya tanpa harga yang dibayar? Adakah kemenangan itu mungkin berlaku tanpa perseimbangan kekuatan antara kedua-dua pihak? Inilah yang akan kita pelajari bersama selepas kita melihat episod terakhir pertentangan antara hak dan batil di dalam al-Quran. “Setelah kedua-dua kumpulan itu nampak satu sama lain, berkatalah orang-orang Nabi Musa: Sesungguhnya kita akan dapat ditawan. Nabi Musa menjawab: Tidak! Jangan fikir (akan berlaku yang demikian)! Sesungguhnya aku sentiasa disertai oleh Tuhanku (dengan pemeliharaan dan pertolonganNya), Dia akan menunjuk jalan kepadaku. Lalu Kami wahyukan kepada Nabi Musa: Pukullah laut itu dengan tongkatmu. (Setelah dipukul) maka terbelahlah laut itu (kepada beberapa bahagian), lalu menjadilah air tiap-tiap bahagian yang terbelah itu terangkat seperti gunung yang besar. Dan Kami dekatkan golongan yang lain itu ke situ. Dan Kami selamatkan Nabi Musa serta orang-orang yang bersama dengannya, semuanya. Kemudian Kami tenggelamkan golongan yang lain (yang mengejarnya). Sesungguhnya pada peristiwa yang demikian, terdapat satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) dan (dalam pada itu), kebanyakan mereka tidak juga mahu beriman. Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad), Dialah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.” (Asy-Syu’araa’:61-68)

Undang-undang Kejayaan dan Kemenangan Ketika Tidak ada Keseimbangan Kekuatan Yang Nyata (Lahiriah)

1.    Taat kepada Allah Ta’ala: Sesungguhnya pengikut Nabi Musa a.s. telah menyahut seruan Allah supaya mereka keluar dari Mesir menuju ke negeri yang baru untuk membentuk Negara di mana mereka berupaya untuk mengabdikan diri kepada Allah di situ. Mereka telah menyahut seruan ini.
2.    Bersikap positif dengan mengikuti Pesuruh Allah dan bergerak sama-sama ke arah merealisasikan apa yang dituntut di bumi nyata: Pengikut Nabi Musa tidak berkata bahawa apa yang dituntut itu suatu khayalan yang mustahil dilaksanakan kerana kita tidak setara dengan Firaun dan bala tenteranya. Bagaimana kita boleh keluar dari cengkamannya sebagaimana orang-orang sekarang berkata bahawa membebaskan bumi kita yang berharga ini dari sungai ke laut adalah satu mimpi dan khayalan yang tidak mungkin terlaksana kerana kita tidak setara dengan Amerika dan apa yang dinamakan Israel. Pengikut Musa tidak berkata seperti itu, sebaliknya mereka berkumpul, mengatur langkah dan benar-benar bergerak keluar.
3.    Menolak penguasaan puak batil dan tidak tunduk kepada mereka:  Mereka tidak menyerah kalah di bawah pemerintahan Firaun dengan berkata kita bertolak ansur dengannya, kita selesaikan urusan ini dengan cara diplomasi. Tidak mengapa kalau kita tidak pertahankan semua hak kerana kepintaran politik menuntut kita supaya menggugurkan sebahagian daripada hak-hak kita. Masa untuk berpegang kepada kebenaran yang nyata telah berlalu. Pengikut Nabi Musa a.s. tidak berbuat begitu. Bahkan mereka berkata kepada puak batil, sesungguhnya engkau batil. Tidak cukup sekadar itu, malah mereka mengemas barang-barang mereka dan keluar mengikuti Nabi mereka.
4.    Merancang dan mengambil sebab serta langkah-langkah yang sepatutnya sedaya mampu: Sesungguhnya pengikut Nabi Musa a.as. telah merancang. Mereka menggunakan taktik, keluar pada hari perayaan mereka. Keluar dari cengkaman pemerintah yang zalim memang sebenarnya nikmat hari raya. Mereka telah mencurahkan tenaga sedaya mampu mereka. Dan Allah tidak membebankan hambaNya melainkan sekadar kemampuannya.
5.    Kekuatan jiwa dengan bekalan perasaan Allah Ta'ala sentiasa bersama (Ma'eiyyatullah): Sesiapa yang berdamping dengan Allah tidak mengukur kekuatan dengan ukuran zahir, tidak menimbang berasaskan keseimbangan material. Sebaliknya menimbang berasaskan kelebihan dan kemenangan kekuatan Allah Ta'ala. "dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkanNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Yusuf:21)  Sehinggakan sekalipun neraca kebendaan itu tidak setara dengannya. Inilah yang dihamburkan oleh Musa di kalangan pengikutnya ketika mereka berkata: "Sesungguhnya kita akan ditawan." Nabi Musa menjawab: Tidak! Jangan fikir (akan berlaku yang demikian)! Sesungguhnya aku sentiasa disertai oleh Tuhanku (dengan pemeliharaan dan pertolonganNya), Dia akan menunjuk jalan kepadaku.” (Asy-Syu’araa’:62) “Dan Kami selamatkan Nabi Musa serta orang-orang yang bersama dengannya, semuanya. Kemudian Kami tenggelamkan golongan yang lain (yang mengejarnya). Sesungguhnya pada peristiwa yang demikian, terdapat satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) dan (dalam pada itu), kebanyakan mereka tidak juga mahu beriman. Dan sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad), Dialah sahaja Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.” (Asy-Syu’araa:65-68)

Sesungguhnya apa yang berlaku itu adalah mukjizat. Tetapi mukjizat tidak diberi oleh Allah kecuali kepada orang yang berhak menerimanya dan telah membayar cukai melalui amal mengikut undang-undang yang telah ditentukan Allah Ta'ala kepada hamba-hambaNya. Dan apakah yang akan diperolehi oleh umat kita kalau mereka taat kepada perintah Tuhan mereka, mengikuti ajaran Rasul mereka, membuat persediaan dan merancang sedaya mampu, bergerak di bumi nyata untuk memenangkan isunya, dan berjalan di jalan yang betul dengan jiwa yang tabah bergantung kepada Allah Yang Maha Kuat, Maha Kuasa, Maha Gagah, Yang mengalahkan penguasa yang angkuh? Sudah pasti, demi Allah! Ketika itu akan datang kemenangan yang nyata. Inilah sunnah Allah di dalam sejarah. Ia sebaik-baik ibrah bagi mereka yang ingin berjalan di landasan yang sahih.

Sumber:

Tuesday, November 12, 2013

Kisah 'Asyuraa' (10 Muharram)


 Ibn Abbas r.a. menceritakan, Nabi s.a.w. berhijrah ke Madinah. Di situ Baginda mendapati kaum Yahudi berpuasa pada hari 'Asyuraa'. Maka Baginda bertanya: "Puasa apakah ini?" Mereka menjawab: "Ini adalah hari yang baik. Ini adalah hari Allah selamatkan Bani Israel daripada musuh mereka. Maka Musa berpuasa pada hari ini." Riwayat al-Bukhari. Di dalam riwayat Muslim, terdapat tambahan "Sebagai tanda syukur kepada Allah Ta'ala. Lalu kamipun ikut berpuasa."
Di dalam riwayat al-Bukhari daripada Abi Basyar, "Dan kami berpuasa pada hari ini sebagai membesarkannya." Lalu Baginda bersabda: "Kalau begitu, maka aku lebih berhak daripada kamu untuk mengikuti Musa." Maka Baginda berpuasa dan memerintahkan umatnya supaya berpuasa pada hari ini." Di dalam riwayat Muslim juga terdapat: "Ini adalah hari yang besar. Allah selamatkan padanya Musa dan kaumnya. Dan menenggelamkan Firaun serta kaumnya."

Daripada 'Aisyah r.a., beliau berkata: "Adalah Rasulullah s.a.w. memerintahkan supaya berpuasa pada hari 'Asyuraa'. Apabila  Ramadhan telah difardhukan, jadilah 'asyuraa' suatu pilihan; siapa mahu puasa dia berpuasa dan siapa mahu berbuka dia berbuka (tidak puasa)" Riwayat al-Bukhari.

Imam an-Nawawi berkata: Nabi s.a.w. telah melaksanakan puasa 'Asyuraa' ketika masih berada di Makkah. Manakala Baginda berhijrah ke Madinah, didapati kaum Yahudi berpuasa juga pada hari tersebut. Maka Nabipun berpuasa, sama ada dengan arahan wahyu atau dengan ijtihad Baginda, bukan dengan perkhabaran mereka.

Berkata Ibn Rajab: Kesimpulan daripada beberapa riwayat, terdapat empat keadaan Nabi s.a.w. berkaitan dengan 'Asyuraa':
Pertama: Baginda berpuasa ketika di Makkah tetapi tidak menyuruh sahabat supaya berpuasa.
Kedua: Setelah berhijrah ke Madinah, didapati Ahli Kitab berpuasa dan membesarkannya. Dan Baginda suka mensepakati mereka dalam perkara yang belum diperintahkan tentangnya. Maka Baginda s.a.w. berpuasa dan menyuruh para sahabat berpuasa dan memberi penekanan agar dilaksanakan.
Ketiga: Apabila Ramadhan telah diferdhukan, Baginda tidak lagi memberi penekanan agar dilakukan puasa 'Asyuraa'.
Keempat: Pada akhir usia, Baginda berazam untuk menggabungkan 'Asyuraa' dengan satu hari lagi supaya kita berbeza dengan Ahli Kitab. Dan ia tidak difardhukan sama sekali. Baginda bersabda maksudnya: "Sekiranya aku hidup sampai tahun hadapan, aku pasti akan berpuasa tasu'aa' (hari ke 9 Muharram)". Riwayat Muslim
Menurut sebahagian ulamak, kata-kata itu boleh difahami dengan dua maksud. Pertama, Baginda hendak menukar 10 kepada 9. Kedua, Baginda hendak menggabungkan 9 kepada 10. Oleh kerana Baginda wafat dan tidak sempat menerangkan maksudnya  yang sebenar, maka eloklah ditunaikan dua hari (9 dan 10). Ringkasnya, puasa 'Asyuraa' boleh dilakukan dengan tiga cara: 10 sahaja, 9 dan 10, atau 9, 10 dan 11 daripada bulan Muharram.

Berkenaan dengan fadhilat puasa 'Asyuraa', daripada Qatadah r.a. bahawa Nabi s.a.w.  telah ditanya tentang puasa hari 'Asyuraa'. Baginda s.a.w. menjawab: "Menghapuskan dosa setahun yang lalu." Riwayat Muslim. Maka pahala puasa hari 'Asyuraa' separuh daripada pahala puasa hari 'Arafah. Ini kerana Hari 'Arafah sunnah Nabi kita s.a.w. Manakala puasa hari 'Asyuraa' sunnah Nabi Musa a.s. Maka sunnah Baginda  dijadikan sekali ganda sunnah Nabi Musa dari segi pahala.

Ikatan sejarah yang tidak pernah putus.

Demikianlah eratnya hubungan persaudaraan iman. Nabi s.a.w. turut menyatakan kegembiraan dengan selamatnya Nabi Musa a.s. meskipun telah berlalu ratusan tahun lamanya. Malah dikatakan juga bahawa 'Asyuraa' adalah hari selamatnya Nabi Nuh a.s. Dan Nabi Musa berpuasa pada hari itu kerana syukur dan gembira dengan kejayaan Nabi Nuh daripada taufan dan banjir. Al-Hafidz Ibn Hajar berkata: "Sesungguhnya Ahmad telah mengeluarkan satu riwayat daripada Ibn Abbas r.a. sebagai tambahan kepada sebab orang Yahudi berpuasa pada hari 'Asyuraa'. Iaitu, bahtera Nabi Nuh mendarat di atas Judi pada hari tersebut. Maka Nuh berpuasa dan Musa ikut berpuasa sebagai tanda syukur.  Disebutkan Musa di sini tanpa menyebut Nabi-nabi lain seolah-olah menunjukkan persamaan antara Musa dengan Nuh dari segi kejayaan mereka daripada musuh di mana musuh kedua-duanya tenggelam lemas di dalam air. Secara tidak langsung mengajar kita, dalam melaksanakan puasa hari 'Asyuraa' bukan hanya mahu mengejar pahala, tetapi turut menghayati suka duka saudara seiman walau di mana dan pada zaman bila wujudnya mereka.

Sunday, November 03, 2013

ISU-ISU BERKAITAN BULAN MUHARRAM


Assalamualaikum.
         بسم الله الرحن الرحيم
Ada beberapa perkara yg agak keliru dikaitkan dengan bulan Muharram.
Antaranya, hijrah Nabi s.a.w dikatakan berlaku pada 1 Muharram, doa awal tahun dan buku catatan amalan ditutup dan dibuka yg baru.
HIJRAH
Hijrah Nabi s.a.w ke Madinah bermula pada bulan Safar. Manakala sahabat2 lain ramai yang berhijrah beberapa bulan sebelum baginda. Baginda sampai di Madinah pada bulan Rabi'ul Awwal. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, kitab sirah karangan Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri) Bukan bulan Muharram. 
Jadi, ada sedikit kekeliruan pada lirik nasyid yg kita dendangkan semenjak kecil dahulu..."Satu Muharram detik permulaan....perpindahan nabi dan umat Islam..."
Agak pahit utk menyampaikan, apatah lagi hendak ditelan,  tetapi kebenaran bukan untuk terus disimpan.
Muharram adalah bulan pertama daripada 12 bulan dalam perkiraan orang-orang Arab sejak zaman jahiliyyah. Namun mereka tidak ada sistem tahun seperti sekarang. Maka khalifah Umar al-Khattab r.a. memutuskan, selepas perbincangan dengan para sahabat yg lain, perkiraan tahun bagi umat Islam ialah bermula pada tahun hijrah nabi s.a.w. Pada tahun Nabi berhijrah itu, Nabi berhijrah dari tempoh Safar hingga Rabiul Awwal, bukan pada 1 Muharram.
DOA AWAL TAHUN (DAN BERANGKAI DENGAN DOA AKHIR TAHUN)
Doa itu ibadah, begitu juga memohon ampun, boleh dilakukan pada bila-bila masa yang sesuai. Termasuklah doa kita contohnya, "Ya  Allah, semoga bermula tahun baru hijrah ini, bertambah iman dan ilmuku, dan semakin baik amalanku."
Namun doa awal tahun dan akhir tahun, yg dibaca dengan kaifiyyat tertentu dikritik oleh para ulama, kerana ia disandarkan kpd sebuah riwayat 'yang antaranya menganjurkan dibaca doa itu 3 kali, dan syaitan pun dikatakan kecewa tidak dapat menggodanya pada tahun itu.'
Riwayat ini tidak ditemui asal usulnya oleh para ulama. Ia dikemukakan dalam buku tertentu tanpa dinyatakan sanad dan sumber.
Tiada dalam kitab2 hadith mu'tabarah, dan diputuskan sebagai riwayat yg batil.
Jadi, tidak boleh kita yakini bahawa ia adalah anjuran dalam agama Islam.
CATATAN AMALAN
Dakwaan yg mengatakan catatan amalan ditutup pada akhir Zulhijjah, dan dibuka pada awal Muharram tidak didasari dengan dalil al-Quran, tidak juga daripada hadith Nabi s.a.w.
Hadithhadith yang sahih/ thabit menyebut bahawa amalan kita dibentangkan pada :
1. Setiap hari (setiap pagi dan petang.)

2. Dua kali setiap minggu (setiap Isnin dan Khamis)

3. Setiap tahun, iaitu pada bulan Syaaban. (Bukan nisfu Syaaban.   -Hadith palsu juga banyak berkisar tentang nisfu Syaaban-)
Hadith-hadith sahih/thabit bagi setiap kategori adalah seperti berikut :
1. Amalan diangkat/dibentang 2 kali setiap hari :
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏"‏ يَتَعَاقَبُونَ فِيكُمْ مَلاَئِكَةٌ بِاللَّيْلِ وَمَلاَئِكَةٌ بِالنَّهَارِ، وَيَجْتَمِعُونَ فِي صَلاَةِ الْفَجْرِ وَصَلاَةِ الْعَصْرِ، ثُمَّ يَعْرُجُ الَّذِينَ بَاتُوا فِيكُمْ، فَيَسْأَلُهُمْ وَهْوَ أَعْلَمُ بِهِمْ كَيْفَ تَرَكْتُمْ عِبَادِي فَيَقُولُونَ تَرَكْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ، وَأَتَيْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ ‏"‏‏.

Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya : 
"Para malaikat (syif) malam dan malaikat (syif) siang silih berganti turun kepada kalian. Mereka berkumpul pada setiap waktu Subuh dan setiap waktu Asar. Kemudian, malaikat yg menjaga kalian (jika waktu Subuh, malaikat malam, jika waktu Asar, malaikat siang) naik ke atas. Allah pun bertanya kepada malaikat-malaikat itu - walhal Dia lebih mengetahui tentang hamba-hambaNya:
'Dalam keadaan bagaimana kamu semua tinggalkan hamba-hambaKu itu?'
Jawab para malaikat : 'Kami tinggalkan mereka dalam keadaan mereka sedang solat. Begitu juga ketika kami datang kepada mereka, mereka sedang solat.'"
(Sahih Bukhari, Kitab Waktu-Waktu Sembahyang, Bab Fadilat Sembahyang Asar. )
-Hadith Sahih-
Berbahagialah bagi mereka yang menunaikan solat Subuh dan solat Asar, lebih-lebih lagi di awal waktu.
2. Amalan juga diangkat setiap Isnin dan Khamis, dua kali seminggu :
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏"‏ تُفْتَحُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ يَوْمَ الاِثْنَيْنِ وَيَوْمَ الْخَمِيسِ فَيُغْفَرُ لِكُلِّ عَبْدٍ لاَ يُشْرِكُ بِاللَّهِ شَيْئًا إِلاَّ رَجُلاً كَانَتْ بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَخِيهِ شَحْنَاءُ فَيُقَالُ أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا ‏"‏ ‏.‏

Nabi s.a.w bersabda, maksudnya :
"Amalan-amalan manusia dibentangkan setiap minggu pada hari Isnin dan Khamis. Allah pun mengampunkan dosa setiap hambaNya yang beriman, kecuali hamba yang saling bermusuhan. Lalu dikatakan kepada para malaikat, 'Tinggalkan dahulu mereka berdua ini, sehinggalah mereka berdamai."
(Sahih Muslim, Kitab al-Birr wa al-Silah wa al-Adab, Bab Larangan Saling Bermusuhan Dan Saling Tidak Mempedulikan.)     
-Hadith Sahih.-
3. Amalan dibentangkan setiap tahun, pada bulan Syaaban. (Bukan Nisfu Syaaban)
عن زيد بن أسامة رضي الله عنهما قال: قلت: يا رسول الله لم أرك تصوم من شهر من الشهور ما تصوم في شعبان؟ قال: ذلك شهر يغفل الناس عنه بين رجب ورمضان، وهو شهر ترفع فيه الأعمال إلى رب العالمين، فأحب أن يرفع عملي وأنا صائم.

Usamah bin Zaid ra melaporkan, katanya, "Saya pernah bertanya, 'Wahai Rasulullah, mengapa saya tidak pernah lihat tuan berpuasa dalam bulan lain, sebanyak puasa tuan dalam bulan Syaaban?'
Jawab Rasulullah saw, "Itulah bulan yang ramai manusia lalai, antara bulan Rejab dan Ramadan. Ia adalah bulan yg diangkatkan amalan kepada Tuhan sekelian alam, dan saya suka amalan saya diangkat dalam keadaan saya sedang berpuasa.'"
(Al-Sunan al-Sughra, Kitab Puasa.)  
-Hadith Hasan-
BENARKAH ANJURAN MEMPERINGATKAN?
Tentang hadith anjuran supaya memperingatkan bulan Muharram, dengan ganjaran tidak dibakar api neraka, tidak dapat dikesan dari mana datangnya hadith itu.
Agak pelik bila lafaz yg sama juga disebarkan untuk bulan-bulan lain.
"Barangsiapa yg memperingatkan bulan Syaaban...."
"Barangsiapa yg memperingatkan bulan Zulhijjah...."
"Barangsiapa yg  memperingatkan bulan Rejab..."
Berdasarkan panduan para ulama dalam mengenali hadith palsu, dan jika kita biasa dengan hadith-hadith yang sahih, hadith ini perlu kita tawaqquf (jangan sebar, jangan beramal kerana hadith itu).
Sebarkanlah penjelasan tentangnya.
Kesimpulan :
Sedaya upaya yang mungkin, kita cuba pastikan sebaran yang dibuat menepati saranan hadith sahih :
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو، أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏"‏ بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً، وَحَدِّثُوا عَنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلاَ حَرَجَ، وَمَنْ كَذَبَ عَلَىَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ ‏"‏‏.


Nabi s.a.w bersabda, maksudnya, "Sampaikanlah daripadaku walau satu ayat. Ceritakanlah tentang Bani Israel dan tidak mengapa (jika kamu tidak menyampaikannya atau jika kamu menyampaikannya). Dan sesiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja maka biar dia sediakan tempatnya dalam neraka."
(Sahih Bukhari, Kitab Ahadith al-Anbiya, Bab Ma Dhukira Bani Israil.)‏
    والله اعلم.


Daripada tulisan Dr Abu Anas Madani, bukan al-Fadhil Ustaz Alias Othman. Mohon maaf atas kesilapan kerana salah faham.
Tulisan asal di sini:
https://www.facebook.com/AbuAnasMadani  

Sunday, October 13, 2013

Kenyataan ke 115 Tahaluf Wataniy : 'Eid al-Adha adalah 'Eid Syahid dan Tadhiyyah



Tahaluf Wataniy bagi pendokong legitimasi mengucapkan setinggi-tinggi tahniah, semurni-murni ucapan mubarak dan setulus-tulus doa buat rakyat Mesir tercinta sempena Hari Raya Qurban yang penuh keberkatan. Semoga Allah pulangkan kepada kita dan kepada umat Islam semua kebaikan, keamanan dan keberkatan. Semoga Allah anugerahkan kepada keluarga syuhada' kesabaran, kedamaian dan ketenangan dengan kemenangan mereka yang cedera, dipenjara dan syahid.

Hari raya hari bahagia, riang gembira. Hari Raya Qurban merupakan hari kemenangan dan kegembiraan. Allah limpahkan perasaan itu di dalam hati hamba-hambaNya yang beriman, yang sabar, tabah dan berterusan dalam perjuangan. Hari Raya Korban adalah hari di mana kita menimba inspirasi makna penebusan dan pengorbanan. Maka alangkah bahagianya mereka yang menghulur dan memberi, yang berbelanja dan berkorban, yang mengharap ganjaran dan keredhaan Tuhan. Mereka itulah orang yang paling layak untuk bergembira. Mereka itulah yang paling besar ganjarannya in syaa Allah.

Allah tahdirkan sebahagian kita bergembira pada hari raya dengan bertemu   orang-orang tersayang dari kalangan ahli dunia, iaitu kaum kerabat serta sahabat-sahabat. Sebahagian yang lain pula Allah anugerahkan mereka kegembiraan mendapat syahadah dan jannah, bertemu para kekasih yang terdiri dari Nabi Muhammad s.a.w. dan sahabat-sahabat Baginda. Maka tahniah kepada kamu wahai para syuhadaa' yang mulia dan terpilih. Tahniah kepada keluarga kamu, keluarga para pahlawan dan pejuang, keluarga mereka yang tabah, mulia dan bersemangat waja. Mereka adalah cahaya Mesir yang bergemerlapan, keberkatannya yang melimpah dan melata. Tahniah kepada kamu pada hari raya kamu dengan ganjaran dan pahala daripada Tuhan Yang Maha Pemurah dan Pemberi ni'mat.

Tahaluf ingin mengucapkan tahniah secara khusus kepada pemuda dan pemudi Mesir, lelaki dan wanitanya yang sabar, tabah dan teguh di medan juang. Mereka telah mengorbankan segala yang mahal dan berharga demi kebebasan, kemuliaan dan kemegahan tanah air mereka, supaya mereka dapat hidup sebagai insan yang merdeka dan bermaruah, tidak diinjak oleh mereka yang zalim, tidak ditindas oleh pelampau. Sehingga kini mereka terus berpegang kepada janji, mereka telah lakarkan di atas lembaran sejarah kisah-kisah sumbangan dan pengorbanan, lakaran di dada sejarah kemanusiaan dengan huruf-huruf daripada cahaya dan tinta daripada emas. Sesungguhnya tidak ada mana-mana bangsa yang bangkit menentang rampasan kuasa oleh tentera sebagaimana yang dilakukan oleh rakyat Mesir yang hebat.

Dengan ini Tahaluf menyeru semua rakyat dan warga Mesir yang mulia dan ikhlas supaya menyertai perhimpunan berjuta-juta yang kita namakan "Doa Untuk Mesir", yang akan berlangsung pada waktu Zohor Hari Arafah sehingga waktu Maghrib hari yang besar ini. Kita mengikuti dan mencontohi para hujjaj yang berwuquf dan berdoa pada hari yang dihadiri oleh saksi-saksi dari kalangan para malaikat, iaitu Hari Arafah. Doa adalah senjata paling tajam dan paling kuat yang dimiliki oleh orang beriman. Maka jadikanlah doa kita untuk Mesir memperolehi segala kebaikan, kebaikan dengan pertolongan Allah kepada kebenaran dan keadilan, kebaikan dengan Allah singkirkan kezaliman dan kekejaman, kebaikan dengan Allah  hapuskan kezaliman, pengkhianatan dan penipuan, Allah balas pelaku-pelakunya dengan pembalasan yang sepadan dengan mereka, kebaikan dengan Allah membersihkan bumi Mesir daripada ulamak jahat, fitnah dan pertumpahan darah, kebaikan dengan Allah jadikan setiap tangan yang dihulurkan ke arah seorang muslim lalu membunuhnya dan mencabut nyawanya tanpa hak sebagai ibrah kepada mereka yang mahu mengambil pengajaran, kebaikan dengan Allah sempurnakan kepada kita kemenangan dan menzahirkan kebenaran. Maka bersungguh-sungguhlah wahai hamba-hamba Allah dalam berdoa. Hari ini merupakan hari yang diharapkan terqabulnya doa. Justeru, jangan sia-siakan hembusan kemurahan Tuhan kamu pada hari yang mulia ini.

Dan dirikanlah solat hari raya di sepanjang negara dan selebarnya, timurnya dan baratnya. Jadikanlah solat itu untuk Allah. Jadikanlah beberapa detik pada hari raya bersama Maha Pencipta dan sunnah NabiNya yang terpilih s.a.w. Dan beberapa detik lagi bersama keluarga, anak-anak, suami-isteri. Mesukkan kegembiraan ke dalam hati mereka sebagaimana diperintahkan oleh Tuhan kita dan dipesankan oleh Rasul kita s.a.w. Jadikanlah setiap medan, setiap padang untuk solat. Solat kita sebagai solat satu bangsa, satu warganegara, tiada perbezaan, tiada pengkhususan untuk sesuatu golongan. Solat seluruh rakyat, satu bangsa, satu tanah air, satu Tuhan, tiada Tuhan melainkan Dia. Biar tersungkur hidung mereka yang benci.

Akhirnya, semoga sepanjang tahun kamu semua berada dalam kebaikan, kemuliaan, kemenangan, harapan, keazaman, keyakinan dan kesabaran sehingga Allah sempurnakan urusan kita, urusan kebaikan, urusan kemuliaan dan kemajuan Mesir.
 الله أكبر الله أكبر الله أكبر، لا إله إلا الله، الله أكبر ولله الحمد

Sumber:
http://www.ikhwanonline.com/Article.aspx?ArtID=165126&SecID=230