Thursday, November 18, 2004

Surah al-Fatihah

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG

Pendahuluan
Setiap orang Islam membaca surah yang pendek ini sekurang-kurangnya 17 kali sehari semalam dan berganda lagi apabila ia menunaikan solat sunat, dan sebanyak-banyaknya tanpa had apabila ia ingin mengadap Allah dengan solat-solat tambahan atau membacanya di luar solat. Setiap solat tidak sah tanpa membaca surah ini. (Hadith Bukhari dan Muslim dari ‘ubadah bin as-Samit: “Tiada solat bagi mereka yang tidak membaca surah al-Fatihah”).

Di dalam surah ini terkandung dasar-dasar ‘aqidah dan dasar-dasar kefahaman Islam, juga dasar-dasar perasaan (terhadap Allah) serta tawajjuh kepada-Nya. Mungkin ini merupakan sebahagian daripada hikmat mengapa surah ini dipilih untuk diulang-ulangkan bacaannya dalam setiap raka’at solat.

Pentafsiran ayat

Ayat 1
“Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah , Maha Penyayang”

Memulakan sesuatu dengan nama Allah merupakan satu adab yang diwahyukan Allah kepada Rasul-Nya dalam ayat pertama yang diturunkan (Iqra’).

Adab ini memang sesuai dengan dasar kefahaman Islam yang agung. Allah adalah Zat yang maujud yang sebenar. Seluruh maujud yang lain mendapat kewujudan mereka dari Allah. Kerana itu amatlah wajar segala pekerjaan, percakapan dan sebagainya dimulakan dengan nama-Nya.

Allah memulakan pengenalan tentang Zat-Nya dengan sifat ar-Rahman dan ar-Rahim. Kedua nama sifat itu adalah dari satu rumpun, iaitu RAHMAT, yang bererti murah, kasih sayang, cinta, santun, perlindungan dan sebagainya.

Kenapa kedua sifat itu yang terlebih dahulu dijelaskan sebelum menyebut sifat-sifat-Nya yang lain?

Hal ini dapat difahami jika kita kaji pengkhayalan orang yang masih sederhana peradabannya (primitive) tentang Tuhan. Sedia maklum bahawa kepercayaan terhadap adanya Zat Yang Maha Kuasa, adalah sama tumbuh dengan akal manusia. Tetapi sebagian besar mereka menggambarkan Tuhan itu sebagai sesuatu yang amat ditakuti, menggerunkan, seram dan kejam. Orang terpaksa memujanya kerana takutkan kemurkaannya. Jadi memulakan bacaan dengan menyebut nama Allah yang bersifat Rahman dan Rahim, memberikan perumusan baru dan benar tentang Tuhan. Sifat utama yang terlebih diketahui dan dirasakan oleh manusia ialah DIA Rahman dan Rahim.

Dengan nama Allah, Tuhan Yang Maha Murah dan Maha Sayang kepada hamba-Nya maka utusan-Nya, Muhammad s.a.w. telah menyampaikan seruan ini kepada manusia. Yang lebih dahulu mempengaruhi jiwa ialah bahawa Allah itu Pemurah dan Penyayang, buka Pembenci dan Pendendam. Dan contoh yang diberikan Nabi itulah yang kita ikuti, iaitu memulakan segala sesuatu dengan nama Allah. Di dalam bacaan itu (dengan nama Allah) tersimpullah suatu pengharapan atau doa moga-moga apa yang kita kerjakan mendapat kurnia rahmat dari Allah, dimudahkan-Nya kepada yang baik, dijauhkan dari yang buruk.

Rumusan:
Memulakan sesuatu dengan nama Allah mengandungi maksud mentauhidkan Allah dan beradab sopan dengan-Nya. Ini merupakan dasar pokok dalam kefahaman Islam.
Mengenali Allah yang memiliki sifat Rahman dan Rahim merupakan dasar kedua yang menggariskan hakikat hubungan yang wujud di antara Allah dengan sekelian hamba-Nya.

Ayat 2
“Segala puji-pujian untuk Allah, Pemelihara semesta alam”

Segala puji-pujian untuk Allah. Tidak ada lain yang berhak mendapat pujian itu. Misalnya ada seseorang berjasa baik kepada kita, meskipun kita memujinya, namun hakikat puji hanya kepada Allah. Sebab orang itu tidak akan dapat berbuat apa-apa kalau tidak kerana Tuhan Yang Maha Pemurah dan Penyayang tadi. Kita memuji seorang Ir. atau arkitek kerana dia mendapat ilham mendirikan sebuah bangunan yang besar dan indah. Tetapi kalau kita fikirkan lebih dalam, dari mana dia mendapat ilham perencanaan itu kalau bukan dari Tuhan. Oleh sebab itu kalau kita sendiri dipuji orang, janganlah lupa bahawa yang empunya puji itu ialah Allah, bukan kita.

Pemelihara semesta alam. Perkataan Rabb bererti pemelihara, penguasa, pentadbir, pengurus, pengasuh dan pendidik yang mengendalikan segala urusan seluruh makhluk-Nya. Dengan menyebut Allah sebagai Rabb, kita dapat memahami bahawa Allah bukan semata-mata pencipta, tetapi juga pemelihara. Buka saja menjadikan, bahkan juga mengatur. Seumpama matahari, bulan, bintang-bintang dan bumi ini; sesudah semuanya dijadikan, tidak lah dibiarkan begitu saja, melainkan dipelihara dan dikuasai terus menerus. Betapalah matahari, bulan dan bintang-bintang itu akan beredar demikian teraturnya, dari tahun ke tahun, bulan ke bulan, hari ke hari, jam ke jam, minit ke minit dan detik ke detik, berjalan teratur telah berjuta-juta tahun, kalau tidak kerana pemeliharaan Allah sebagai Rabb?

Manusiapun begitu. Dia bukan semata-mata dijadikan bahkan sejak masih dalam keadaan nutfah, sampai menjadi ‘alaqah dan mudhghah, sehingga muncul ke dunia, menjadi makhluk yang berakal, dan sampai meninggal kelak, tidak lepas dari pemerhatian Allah, Pencipta dan Pemelihara.

Untuk semua pemeliharaan, penjagaan, pendidikan dan perlindungan itulah kita diajar mengucapkan puji kepada-Nya.

Rumusan:
Di dalam ayat ini, kita telah didedahkan dengan dua jenis Tauhid, iaitu Tauhid Uluhiyyah pada ungkapan Alhamdulillah. Dan tauhid Rububiyyah pada ungkapan Rabbil-‘Alamin.

‘Aqidah Tauhid merupakan asas paling utama dalam ajaran Islam. Kepercayaan Tauhid yang sempuna, tulen, bersih dan menyeluruh merupakan landasan kefahaman yang ditekankan oleh Islam. Dan Islam terus berusaha membersihkan kepercayaan ini di dalam hati nurani manusia dan memeriksa setiap fikiran yang kotor di sekitar hakikat tauhid ini supaya ia sentiasa bersih dari segala kekeliruan dan kesamaran dan supaya tetap teguh tanpa dimasuki tanggapan yang karut baik dari apa-apa bentuk sekalipin.

Ayat 3
“Yang Maha Pemurah, Yang Maha Penyayang”

Ayat ini menyempurnakan maksud ayat yang sebelumnya. Jika Allah sebagai Rabb, sebagai Pemelihara dan Pendidik bagi seluruh alam, tidak lain maksud dan isi pendidikan itu, melainkan kerana kasih sayang-Nya dan kerana murah-Nya. Dan dalam memelihara dan menjaga hamba-Nya Dia tidak menuntut keuntungan bagi Diri-Nya.

Dengan melihat kasih sayang suami isteri, ayah dan ibu terhadap anak, datok dan nenek terhadap cucu, juga kasih sayang di antara binatang, burung-burung dengan berbagai jenisnya, dapatlah kita mengetahui betapa besarnya Rahman dan Rahim Allah atas makhluk-Nya, dan akan sirnalah rasa benci, dengki dan dendam dari hati kita.

Rumusan:
Asas hubungan antara Allah dengan makhluk-Nya ialah kasih sayang dan belas kasihan yang meransangkan kesyukuran dan sanjungan. Hubungan yang ditegakkan di atas rasa ketenteraman dan kemesraan.

Kesyukuran dan sanjungan merupakan luahan rasa dari hati seorang hamba yang mengenali Penciptanya, luahan yang terbit secara sepontan dan semula jadi apabila terkenangkan rahmat dan belas kasihan Tuhan terhadapnya.

Ayat 4
“Yang Menguasai Hari Pembalasan”

Lazimnya perkataan ad-din diberi erti agama. Hakikatnya perkataan ad-din juga bermaksud pembalasan. Menurut Islam segala gerak geri yang kita laksanakan tidak terlepas dari lingkungan agama. Dan semuanya kelak akan diperhitungkan di hadapan Tuhan di akhirat. Segalanya akan dibalas oleh Tuhan sendiri dengan pembalasan yang seadil-adilnya.

Apabila ar-Rahman dan ar-Rahim disambungkan dengan Maliki yaumiddin, barulah seimbang pengabdian dan pemujaan kita kepada Tuhan. kita memuji Allah yang memelihara dan mendidik sekelian alam, kita memuji-Nya kerana Rahman dan Rahim-Nya dan kitapun memuji-Nya kerana buruk baik yang kita kerjakan di dunia ini tidak terbuang percuma, melainkan akan diperhitungkan dan dibalasi dengan adil di akhirat.

Rumusan:
Kehidupan manusia tidak akan bergerak lurus di atas jalan Allah yang luhur selagi kepercayaan kepada Hari Pembalasan tidak wujud di dalam pemikiran mereka, selagi hati mereka tidak yakin bahawa ganjaran dan balasan di alam bumi ini bukanlah ganjaran yang terakhir, dan selagi mereka yang mempunyai usia yang terbatas ini tidak percaya bahawa di sana ada alam akhirat yang mereka patut berjuang dan berusaha untuknya, patut berkorban untuk membantu kebenaran dan mendokong kebaikan dengan keyakinan akan mendapat balasan serta ganjaran di sana.

Orang yang beriman kepada Hari Akhirat dan orang yang engkar kepadanya tidak mempunyai titik persamaan dari segi perasaan, akhlak, kelakuan dan amalan. Mereka merupakan dua golongan manusia yang berbeza. Mereka tidak sehaluan di bumi dan tidak akan bersatu di akhirat nanti.

Ayat 5
“Hanya Engkau sahaja yang kami sembah, dan hanya Engkau sahaja tempat kami memohon pertolongan”

Sebagaimana keterangan di atas, Allah adalah Rabb, iaitu Tuhan yang Mencipta dan Memelihara. Oleh kerana Dia Yang Mencipta dan Memelihara, maka hanya Dia sahajalah Ilah, iaitu yang patut disembah. Mengakui bahawa yang patut disembah sebagai Ilah hanya Allah, dinamai Tauhid Uluhiyyah. Manakala mengakui yang patut untuk memohon pertolongan, sebagai Rabb hanya Allah, dinamai Tauhid Rububiyyah.

Perkataan “na’budu” (nama terbitannya ialah ibadah) yang diterjemahkan sebagai sembah, sebenarnya mengandungi pengertian yang lebih luas daripada itu. Ibadah ialah memperhambakan diri dengan penuh keinsafan dan kerendahan. Dan dipatrikan lagi oleh cinta. Kita mengakui bahawa kita hamba-Nya, milik-Nya. Kita tidak akan terjadi kalau bukan Dia yang menjadikan. Kita beribadat kepada-Nya disertai dengan pengharapan akan kasih sayang-Nya, disulami cinta yang hakiki, tidak terbagi kepada yang lain.

Bahagian kedua dari ayat ini ialah “hanya Engkau sahaja tempat kami memohon pertolongan”. Sesungguhnya sebagai makhluk, kita tidak berupaya mencapai segala yang kita hajati dan yang kita rancangkan. Tenaga kita sangat terbatas. Tidak ada apa-apa yang mampu kita perolehi kalau tidak Tuhan yang menolong.

Tauhid dengan jalan isti’anah (memohon pertolongan) ini membangkitkan kekuatan pada diri sendiri supaya berhubungan secara langsung dengan Allah, sumber segala kekuatan. Memohon pertolongan kepada Allah bukanlah kelemahan, tetapi di situlah terletak kekuatan.

Rumusan:
Matlamat hidup manusia yang sebenarnya ialah mengabdikan kepada Allah semata-mata.
Hanya Allah sahaja yang berkuasa memberikan pertolongan kepada kita dalam segala urusan. Tolong menolong sesama makhluk dalam perkara kebaikan memang dituntut. Namun pertolongan itu tidak siapapun dapat melaksanakannya tanpa pertolongan daripada Allah.

Ayat 6
“Tunjukkan kami jalan yang lurus”

Menurut ahli tafsir, “jalan yang lurus” itu ialah agama yang benar, iaitu Agama Islam. Dan sumber petunjuk dalam Islam itu ialah al-Quran, dan semuanya dapat diambil contohnya dari perbuatan Nabi Muhammad s.a.w. dan sahabat-sahabat baginda yang utama. Di dalam ayat ini kita diajar supaya memohon taufiq untuk mengenal pasti jalan yang lurus, dan selepas mengenalinya dikurniakan pula taufiq untuk mengikuti jalan yang lurus itu serta istiqamah di atasnya.

Rumusan:
Pertolongan paling penting dan paling utama yang perlu kita mohon kepada Allah, ialah memohon supaya diberi hidayah atau petunjuk jalan yang lurus. Jalan yang lurus adalah paling selamat dan paling singkat menuju ke destinasi.
Mendapat hidayah ke jalan yang lurus itulah jaminan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Ayat 7
“Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan ni’mat atas mereka, bukan jalan orang-orang yang dimurkai dan bukan pula jalan orang-orang yang sesat”

Orang-orang yang diberi ni’mat ialah mereka yang telah menempuh jalan yang lurus itu, yang terdiri daripada para anbiaa’, siddiqin, syuhadaa’ dan solihin.

Orang-orang yang dimurkai ialah mereka yang mengenal jalan yang benar, kemudian mereka menyimpang darinya. Mereka sengaja keluar dari jalan yang benar kerana mengikut hawa nafsu. Orang yang telah sampai kepadanya kebenaran Islam, lalu ditolak dan ditentangnya.

Adapun orang-orang yang sesat ialah mereka yang berani berani saja membuat jalan sendiri di luar yang digariskan Allah. Tidak mengenal kebenaran, atau tidak dikenalnya menurut maksud yang sebenarnya.

Rumusan:
Mendapat hidayah ke jalan yang lurus adalah satu ni’mat yang paling berharga.
Mengenali jalan yang lurus sahaja tidak memadai jika tidak mengetahui jalan yang salah dan sesat. Tidak mengenali jalan yang salah menyebabkan kita tersasar ke arahnya tanpa disedari.

Kesimpulan
Surah al-Fatihah mengandungi bimbingan untuk membentuk pandangan hidup muslim. Mula-mula dipusatkan seluruh kepercayaan kepada Allah dengan sifat-Nya Yang Maha Pemurah dan Penyayang disertai dengan keadilan-Nya yang berlaku sejak dari dunia lalu ke negeri Akhirat.

Pengakuan bahawa yang kita sembah hanya Dia (Tauhid Uluhiyyah) dan tempat kita memohon sesuatu hanya Dia (Tauhid Rububiyyah), itulah yang dikatakan Islam yang sejati.

Setelah kita akui bahawa hanya Dia yang kita sembah, barulah kita mengajukan permohonan. Permohonan yang pertama dan utama ialah minta ditunjuki jalan yang lurus. Kita tidak memohon perkara-perkara kecil dan remeh temeh.

Surah ini juga mengajar kita agar menjadi manusia yang bercita-cita tinggi, setaraf dengan kehidupan para nabi dan rasul, syuhadaa’ dan solihin.

Kita juga memohon agar diselamatkan dari tertempuh jalan mereka yang dimurkai dan jalan mereka yang sesat. Ini dengan secara tidak langsung kita disuruh mempelajari ilmu sejarah, ilmu kemasyarakatan dan ilmu jiwa. Kita mesti mempelajari sebab-sebab naik dan turunnya martabat sesuatu bangsa.
[1]

No comments: