Sunday, January 31, 2021

Kisah Abu Dardaa’ r.a. memeluk Islam

 

Abu Dardaa’ r.a. atau nama sebenarnya Uwaimir bin Zaid bin Qais al-Ansari al-Khazraji adalah satu nama yang tidak asing kepada kita umat Islam. Sahabat Nabi s.a.w. yang dikenali sebagai Hakim al-Ummah, orang yang paling berhikmah atau bijaksana dalam kalangan umat ini.

 

Meskipun beliau merupakan golongan Ansar yang paling akhir memeluk Islam, namun ketokohan, kewibawaan, keunggulan serta sumbangannya di dalam pelbagai bidang tidak kurang daripada sahabat-sahabat Nabi s.a.w. yang lain ridhwanullahu’alaihim ajma’in.

 

Sebelum memeluk Islam, Abu Dardaa’ merupakan seorang penyembah berhala yang tegar.

 

Pada suatu hari, sahabatnya Abdullah bin Rawwahah r.a. dan Muhammad bin Maslamah r.a. yang telah memeluk Islam datang ke rumah Abu Dardaa’ semasa beliau tiada di rumah. Kedua-duanya memecahkan berhala yang disembah oleh Abu Dardaa’ sehingga pecah berkecai.

 

Apabila Abu Dardaa’ pulang, dia mengutip serpihan berhalanya yang telah berkecai itu seraya berkata, “Celaka engkau! Kenapa engkau tidak menghalang mereka? Kenapa engkau tidak mempertahankan dirimu sendiri?”

Mendengar rungutan Abu Dardaa’, isterinya Ummu Dardaa’ menambah, “Kalaulah berhala itu berguna atau dapat mempertahankan seseorang, pasti dia berguna atau dapat mempertahankan dirinya sendiri!”

 

Abu Dardaa’ bangkit lalu meminta Ummu Dardaa’ menyediakan air untuk dia mandi.

Selepas mandi dan memakai pakaian yang kemas, beliau terus keluar untuk bertemu dengan Rasulullah s.a.w.

 

Ketika dia sampai ke tempat Rasulullah s.a.w. Abdullah bin Rawwahah r.a. berada di sisi baginda s.a.w. Melihat Abu Dardaa’ datang, Abdullah r.a. berkata, “Ya Rasulullah, itu Abu Dardaa’ datang. Tentulah tidak ada lain tujuannya kecuali membalas dendam ke atas kami.”

“Sesungguhnya dia datang untuk memeluk Islam. Tuhanku telah berjanji kepadaku bahawa Abu Dardaa’ akan memeluk Islam.” jawab Rasulullah s.a.w.

 

Antara pengiktirafan Rasulullah s.a.w. ke atas Abu Dardaa’ ialah “Faris (tentera berkuda) yang terbaik” dan “Hakim Ummah”.

Beliau juga merupakan salah seorang yang ditugaskan mengumpul al-Quran pada zaman Nabi s.a.w.

Al-Bukhari meriwayatkan dengan sanadnya daripada Anas bin Malik r.a. katanya: “Ketika Nabi s.a.w. wafat tidak ada seorangpun yang mengumpul al-Quran sepenuhnya kecuali Abu Dardaa’, Mu’az bin Jabal, Zaid bin Thabit dan Abu Zaid.”

 

Abu Dardaa’ r.a. sangat berpegang teguh dengan apa yang diajar dan dipesan oleh Rasulullah s.a.w. kepadanya. Muslim meriwayatkan bahawa Abu Dardaa’ r.a. berkata: ‘Kekasihku s.a.w. berpesan kepadaku tiga perkara yang aku tidak pernah tinggalkan selagi aku masih hidup: berpuasa tiga hari setiap bulan, solat dhuha dan tidak tidur sebelum menunaikan solat witir.”

 

Abu Dardaa’ dikenali sebagai seorang yang sangat warak dan takut kepada Allah SWT. Ketika untanya mati, dia berkata kepadanya: “Wahai untaku, janganlah engkau mendakwa aku di hadapan Tuhanmu kelak. Sesungguhnya aku tidak pernah membebanimu membawa barang-barang lebih daripada kemampuanmu.”

 

Beliau juga sangat menjaga hak-hak ukhuwah fillah. Beliau pernah berkata: “Aku berlindung dengan Allah daripada datangnya satu hari dalam hidupku yang aku tidak ingat kepada Abdullah bin Rawwahah r.a. Setiap kali apabila bertemu denganku dari hadapan, dia akan menepuk dadaku, kalau dia datang dari belakang dia akan menepuk bahuku kemudian berkata kepadaku: “Wahai Uwaimir, mari kita duduk, kita beriman satu saat. Lalu kami duduk mengingati Allah selama mana yang kamu mahu. Kemudian beliau berkata: “Inilah majlis iman!”.

Di dalam menjaga ukhuwah fillah, Abu Dardaa’ r.a. berkata: “Sesungguhnya aku berdoa untuk 70 orang saudara-saudaraku fillah di dalam sujudku. Aku sebut nama mereka satu persatu!”

 

Antara kata-kata hikmahnya yang masyhur:

“Tiga perkara bagiku sangat melucukan: orang yang sibuk mengejar dunia sedangkan dia sedang dikejar kematian, orang yang lalai dari mengingati Allah sedangkan Allah tidak lalai dari menghisabnya, dan orang yang tertawa berdekah-dekah sedangkan dia tidak mengetahui adakah dia termasuk dalam kalangan mereka yang diredhai Allah atau dimurkainya...”

 

“Kalaulah seseorang itu lari dari rezekinya sebagaimana dia lari dari kematiannya, nescaya rezekinya akan mendapatkannya sebagaimana kematiannya mendapatkannya.”

 

“Sesiapa yang banyak bercakap, banyaklah dustanya. Sesiapa yang banyak bersumpah, banyaklah dosanya. Sesiapa yang banyak permusuhannya, tidak selamatlah agamanya.”

 

“Sesiapa yang tidak mengenali ni’mat Allah kecuali pada makanan dan minumannya sahaja maka sesungguhnya sangat kurang ilmunya dan dekatlah azabnya. Dan sesiapa yang tidak pernah berasa kaya di dunia maka tidak ada dunia baginya.”

 

Dipetik dan diolah daripada:

Islamstory.com

No comments: