Wednesday, April 14, 2021

TAZKIRAH RAMADAN 2 – WAKTU MUSTAJAB


Perkara yang paling diharapkan oleh setiap muslim yang berdoa ialah doanya diperkenankan oleh Yang Maha Esa.

Maka, cubalah panjatkan doa, angkatlah hajat, luahkanlah hasrat pada waktu-waktu yang dijanjikan mustajab. Banyak waktu mustajab. 

Antara 7 waktu doa mustajab:

1. Waktu di antara azan dengan iqamah. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Tidak akan ditolak doa (yang dipanjatkan) di antara azan dan iqamah.” At-Tirmizi 

2. Ketika sujud di dalam solat. Baginda SAW bersabda maksudnya: “Seseorang hamba itu paling hampir dengan Tuhannya ketika dia sujud. Maka hendaklah kalian memperbanyakkan doa.” Muslim

3. Sebelum memberi salam atau selepas membaca tahiyyat akhir. Nabi SAW mengajar sahabat banginda berdoa pada ketika itu, “Kemudian hendaklah kalian memilih daripada doa-doa yang kalian sukai dan berdoalah dengan doa itu.” Abu Daud

4. Di tengah dan di akhir malam. “Dibuka pintu-pintu langit pada waktu pertengahan malam, lalu ada yang menyeru: “Adakah sesiapa yang berdoa, lantas akan diperkenankan doanya? Adakah sesiapa yang  meminta sesuatu hajat, lantas akan ditunaikan permintaanya? Adakah sesiapa yang dicengkam kesempitan (memohon untuk dilapangkan), lantas akan dilapangkan jalannya? Maka tidak tertinggal seorang muslimpun yang berdoa pada Ketika itu kecuali Allah perkenankan doanya, melainkan pezina yang terus melacurkan maruahnya atau orang yang mengutip cukai secara zalim.” Al-Albani

5. Hari Jumaat. Nabi SAW bersabda: “Pada hari itu terdapat satu waktu, andainya berbetulan dengan seseorang hamba muslim berdiri menunaikan solat, dia meminta sesuatu daripada Allah, terus diperkenankan permintaannya.” Al-Bukhari

6. Antara waktu Zuhur dan Asar pada hari Rabu. Jabir bin Abdullah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW berdoa di masjid al-Fath selama tiga hari: Isnin, Selasa dan Rabu. Maka Allah perkenankan doa baginda pada hari Rabu pada waktu di antara dua solat (Zuhur dan Asar). Maka jelas terserlah kegembiraan pada wajah baginda SAW. Jabir berkata: maka, setiap kali aku berhadapan dengan perkara besar dan penting, aku akan mengintai waktu itu untuk berdoa dan aku memperolehinya.” Al-Albani

7. Ketika berpuasa khususnya waktu berbuka. “Sesungguhanya  bagi orang yang berpuasa itu doa yang tidak ditolak.” Ibn Majah

No comments: