Monday, April 26, 2021

DRAMA SATU BABAK

MASA – Suatu hari pada masa akan datang
TEMPAT – Neraka Jahannam
WATAK –
1. Pemimpin, Pemerintah, Ketua Yang Bongkak, Sombong, Menindas rakyat
2. Pengikut, Rakyat Yang Taat dan Patuh tanpa soal, tanpa bangkang, tanpa berfikir

ADEGAN – Ketika Api Neraka Jahannam sedang marak menyala, menjulang, menyambar, membakar semua yang dicampakkan ke dalamnya. Suasana ngeri yang tidak tergambar dan tidak terungkap.
Dalam kepedihan yang tidak terperi, kesakitan yang tidak tertanggung, terdengar bicara antara DUA pihak yang sedang lemas dengan penyesalan dan kekeciwaan:
PENGIKUT: Sesungguhnya kami telah menjadi pengikut-pengikut kamu, maka dapatkah kamu menolak dari kami sebahagian daripada azab neraka ini?
PEMIMPIN: Sebenarnya kita semua menderita bersama-sama dalam neraka (tidak ada jalan untuk kita melepaskan diri), kerana sesungguhnya Allah telah menetapkan hukumanNya di antara sekalian hambaNya.
Sungguh! Mereka semua tidak ada upaya untuk keluar dari penjara Jahannam yang menyiksakan. Pengikut yang selama ini menjadi pak turut kerana ditabur dengan pelbagai habuan duniawi, cuba meminta pertolongan ketua yang dijadikannya tempat bergantung semasa di dunia. Namun ketua yang angkuh sombong itu sudah hilang segala-galanya. Pangkat dan harta yang bertimbun di dunia tiada satu pun yang dapat dibawa bersama. Dia tidak dapat menyelamatkan dirinya sendiri, apa lagi pengikutnya yang setia, yang selalu mengikut semua perintahnya dengan membabi buta.
Lalu mereka cuba mengadu untuk mendapatkan sedikit simpati daripada Penjaga Jahannam tempat mereka terpenjara:
PENDOSA: Pohonkanlah kepada Tuhan kamu, supaya Ia meringankan sedikit azab seksa dari kami, barang sehari.
PENJAGA JAHANNAM: Bukankah kamu telah didatangi Rasul-rasul kamu dengan membawa keterangan-keterangan (yang menyatakan akibat perbuatan derhaka kamu)?
PENDOSA: Ya, telah datang.
PENJAGA JAHANNAM: Jika demikian, maka berdoalah kamu sendiri.
Itulah jawapan tuntas para malaikat yang ditugaskan untuk menjaga Jahannam. Bukan simpati. Tetapi tempelakan yang menambah derita dan sengsara yang tidak berkesudahan. Rayuan meminta simpati itu ditamatkan dengan satu ayat yang padat, tegas dan keras:
“Dan doa permohonan orang-orang yang kafir pada saat ini hanya menyebabkan mereka berada dalam keadaan dukacita dan kecewa sahaja".

Inspirasi daripada Surah Ghaafir 40:47-50

UMD
15 Ramadan 1442

No comments: