Monday, August 09, 2021

IBRAH DARIPADA HIJRAH

Sesungguhnya peristiwa hijrah telah meninggalkan kesan yang sangat besar dalam sejarah umat Islam khususnya dan sejarah manusia umumnya.

Kalau hendak diambil pengajaran daripada peristiwa bersejarah itu, pastilah tidak terhitung banyaknya. Kita petik sebahagian kecil daripadanya:

1. PENGORBANAN

Betapa besar pengorbanan Nabi SAW serta para sahabat radhiallahu’anhum yang terpaksa meninggalkan kampung halaman, tanah tumpah darah, tempat membesar, bermain, berkeluarga yang tentunya telah mengukir pelbagai kenangan indah, suka dan duka. Rasulullah SAW sendiri mengungkapkan kata-kata yang menggambarkan betapa pilu dan sayu hatinya meninggalkan tanah air tercinta, “Demi Allah, sesungguhnya engkau adalah sebaik-baik bumi Allah, dan engkau adalah bumi Allah yang paling aku cintai. Kalaulah tidak kerana kaumku menghalauku, aku tidak akan keluar darimu.” HR al-Tirmizi.

2. KECEKALAN

Nabi SAW telah berdakwah di Mekah beberapa tahun lamanya. Yang menyahut dakwahnya hanya sedikit sahaja. Mereka yang beriman ditindas dan disiksa dengan berbagai-bagai cara. Semua itu tidak pernah mematahkan semangat baginda. 

Baginda cuba mencari ruang dan peluang untuk mengembangkan dakwahnya. Baginda pernah ke Taif dengan berjalan kaki untuk menyampaikan seruan Allah. Namun, mereka bukan sahaja menolak dakwah baginda, sebaliknya mereka melayan baginda dengan seburuk-buruk layanan. Dihalau dan dipaling dengan batu sehingga menyebabkan kaki baginda yang mulia berdarah. 

Baginda bertemu dengan ketua-ketua qabilah di musim haji dan berkata kepada mereka: “Siapakah di antara kalian yang boleh membawa aku bertemu dengan kaumnya (untuk menyampaikan dakwah)? Sesungguhnya Quraisy telah menghalang aku dari menyampaikan kalam Tuhanku.” HR Ibn Majah

Tawaran baginda ditolak oleh 15 qabilah sehingga akhirnya Allah membuka hati kaum ansar. Maka, hijrah baginda ke Madinah bukan kerana keciwa dan putus asa, sebaliknya tidak ada tujuan lain kecuali untuk meneruskan dakwah dengan lebih rancak dalam suasana yang lebih selamat, bebas dan terbuka.

3. PERSAHABATAN YANG BAIK

Kesetiaan yang ditunjukkan oleh Abu Bakar RA sekeluarga amat terserlah dalam peristiwa hijrah yang penuh sejarah. Manakala Nabi SAW memberitahunya: “Aku diperlihatkan negeri hijrahku tempat yang banyak kurma yang dikelilingi dua bukit yang besar,” Abu Bakar terus membuat persiapan untuk berhijrah. Nabi SAW berkata kepadanya, 

“Tunggu dulu. Aku berharap akan diberi izin kepadaku untuk berangkat.”

Maka Abu Bakar RA menanti dengan harapan akan menemani Rasulullah SAW. 

Beliau menunggu selama empat bulan mempersiapkan dua kenderaan yang dimilikinya.

Apabila Rasulullah SAW memberitahu bahawa baginda telah mendapat keizinan untuk berhijrah, Abu Bakar RA seperti tidak percaya bahawa beliau mendapat penghormatan menemani baginda sehingga beliau menangis kerana terlalu gembira. Aisyah RA berkata, “Demi Allah, aku tidak pernah tahu sebelum ini ada orang menangis kerana gembira sehinggalah aku melihat ayahku, Abu Bakar menangis pada hari itu.” HR Bukhari.


Ketika dalam perjalanan, Abu Bakar RA akan berjalan di hadapan untuk mempastikan tidak ada sesuatu yang membahayakan baginda SAW. Apabila sampai di pintu gua, beliau berkata kepada Nabi SAW, “Tunggu sebentar wahai Rasulullah. Biarkan aku membersihkannya untukmu!” HR Hakim.


4. PERANCANGAN YANG RAPI

Hijrah mengajar kita bagaimana membuat perancangan yang rapi dan tersusun serta pembahagian tugas dengan teliti.

Pertama: memilih kawan yang tepat sebelum memulakan perjalanan

Kedua: menyediakan keperluan-keperluan seperti kenderaan yang bersesuaian dan sebagainya.

Ketiga: Aisyah dan Asmaa’ RA memainkan peranan menyediakan bekalan makanan. Ini menunjukkan wanita juga tidak diabaikan dalam pembahagian tugasan yang bersesuaian dengan kepakaran mereka.

Keempat: Abdullah bin Abu Bakar RA yang masih muda remaja juga tidak ketinggalan. Beliau menemani Rasulullah SAW dan Abu Bakar RA di gua waktu malam dan pulang ke Makah sebelum subuh selama tiga malam. Beliau mendapatkan maklumat dengan terperinci apa yang dirancang dan diperkatakan oleh kaum Quraisy dan menyampaikan segala yang didengarnya kepada Rasulullah SAW.

Kelima: ‘Aamir bin Fuhairah, seorang pengembala datang membawa kambing-kambing ke gua untuk memadamkan tapak kaki manusia sambil memberi susu kepada Nabi SAW dan Abu Bakar RA.

Keenam: mengupah penunjuk jalan yang pakar dan boleh dipercayai, Abdullah bin Uraiqit seorang musyrik. Ini memberi isyarat yang jelas bahawa Nabi SAW sangat mementingkan  ilmu dan kepakaran dalam sesuatu tugas yang diamanahkan. Tidak semestinya mukmin boleh memikul semua tugasan dan tidak semua orang bukan Islam tidak boleh dipercayai.


5. MAKNA HIJRAH YANG MENYELURUH

Hijrah bukan sekadar berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain. Hijrah merangkumi perpindahan dari satu keadaan kepada keadaan yang lain seperti mengubah sikap, meninggalkan akhlak yang buruk dan sebagainya. Allah Ta’ala berfirman maksudnya: 

“Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau hijrah (tinggalkan).” (Al-Muddaththir 74:5) 

Dalam sepotong hadis, Nabi SAW bersabda maksudnya: “Muslim itu ialah orang yang menjaga lidahnya dan tangannya daripada menyakiti muslim lain. Dan orang yang berhijrah itu ialah orang yang meninggalkan apa yang Allah larang.” HR Bukhari dan Muslim.

Termasuk juga hijrah meniggalkan golongan yang derhaka dan tegar dalam kemaksiatan. Allah berfirman maksudnya: “Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu (hijrah) dari mereka dengan cara yang baik.” (Al-Muzzammil 73:10)

Dan yang paling penting adalah membawa hati berpindah kepada Allah dengan mengikhlaskan niat dalam semua amalan, pakataan, perbuatan dan perlakuan hanya semata-mata kerana Allah sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang berhijarah kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang akan diraihnya atau kerana wanita yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya kepada apa yang dia hijrah kerananya.” HR Bukhari dan Muslim.


SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU HIJRAH

1 MUHARRAM 1443 / 10 OGOS 2021


No comments: