Saturday, January 15, 2022

ORANG MATI MAHU KEMBALI KE DUNIA HANYA UNTUK SEDEKAH?


Betulkah apabila seseorang meninggal dunia, dia meminta untuk kembali ke dunia walaupun seketika hanya untuk bersedekah? 

Mungkin itu yang anda pernah dengar, khususnya daripada pihak-pihak tertentu yang sedang mengumpul dana untuk sesuatu tujuan seperti membina masjid, sekolah tahfiz, rumah anak yatim dan seumpamanya.

Dalil yang dibawakan adalah firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: " Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh ". (Al-Munaafiquun 63:10)

Perhatikan apa yang mereka nyatakan: "supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh". Di samping hendak bersedekah, mereka juga hendak menjadi orang soleh, iaitu orang yang melakukan semua kebaikan yang disukai Allah, termasuklah solat, puasa, berakhlak mulia, berbakti kepada ibu bapa dan lain-lain. Bukan sedekah sahaja.

Perhatikan firman Allah SWT yang berikut:

“Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin". (As-Sajdah 32:12) 

Dalam ayat lain, Allah SWT berfirman maksudnya:

“Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: "Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia) -

"Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan". Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).” (Al-Mu'minuun 23:99-100) 

Dalam ayat-ayat di atas pun tidak dinyatakan secara khusus untuk bersedekah. Tetapi mereka hendak mengerjakan amal-amal soleh yang mereka abaikan semasa hidup di dunia.

Kesimpulannya, selagi hayat dikandung badan berusahalah bersungguh-sungguh menggunakan kesempatan yang masih ada untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Jangan tunggu ajal tiba, barulah merayu mendayu supaya diberi tempoh atau dikembalikan semula ke dunia untuk beramal soleh…. Segalanya sudah terlambat.


No comments: