Tuesday, October 09, 2018

TADABBUR – KAMI MENURUNKAN BESI


“Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan dan kami telah menciptakan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal serta berbagai faedah lagi bagi manusia. (Dijadikan besi dengan keadaan yang demikian, supaya manusia menggunakan faedah-faedah itu dalam kehidupan mereka sehari-hari) dan supaya ternyata pengetahuan Allah tentang orang yang (menggunakan kekuatan handalnya itu untuk) menegak dan mempertahankan agama Allah serta menolong Rasul-rasulNya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.”

Di dalam ayat di atas, Allah Ta’ala menggunakan perkataan “anzalna ma’ahumulkitab” yang diterjemahkan “dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka (para rasul) Kitab Suci” dan “anzalnalhadid” diterjemahkan “kami telah menciptakan besi”.

Kedua-duanya “anzalna”. Yang pertama diterjemahkan “Kami menurunkan”. Yang kedua diterjemahkan “Kami menciptakan”. Begitulah yang terdapat di dalam beberapa naskhah al-Quran terjemahan ke Bahasa Melayu.

Terjemahan ke Bahasa Inggeris di bawah ini menggunakan “We sent down”
“We sent aforetime our apostles with Clear Signs and sent down with them the Book and the Balance (of Right and Wrong), that men may stand forth in justice; and We sent down Iron, in which is (material for) mighty war, as well as many benefits for mankind, that Allah may test who it is that will help, Unseen, Him and His apostles: For Allah is Full of Strength, Exalted in Might (and able to enforce His Will).”

Makna yang sebenar bagi perkataan “anzalna” adalah “kami telah menurunkan”. Contohnya surah al-Qadr. Allah berfirman: “Inna anzalnahu fi lailatilqadr”. Terjemahannya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,” (Al-Qadr 97:1)

Jadi, apabila Allah menggunakan perkataan “anzalnalhadid” memang sebenarnya bermaksud “Kami telah menurunkan besi”

Dan pernyataan ini sangat menepati kejadian besi itu sendiri seperti mana yang dinyatakan oleh ahli-ahli sains.

Menurut mereka, system solar yang kita tinggal sekarang tidak mempunyai ciri-ciri yang sesuai untuk menghasilkan besi dengan sediri. Ahli astronomi moden telah mendapati besi yang terdapat di bumi berasal dari bintang yang besar di angkasa. Besi berat dihasilkan dari nucleus sebuah bintang yang  sangat besar. Besi hanya dapat dihasilkan dalam bintang yang lagi besar dari matahari dimana suhunya mencecah beberapa ribu million degree.

Bila kuantiti besi dalam bintang tersebut mencecah hadnya, bintang tersebut tidak dapat menahan dan akan meletup yang dikenali sebagai Nova ataupun Letupan Supernove. Akibatnya, meteor yang mengandungi besi tersebut tersebar dalam galaksi sehingga ditarik oleh gravity sesebuah planet termasuklah bumi.

Ini membuktikan besi tidak dihasilkan di bumi tetapi dihasilkan oleh bintang yang sangat besar dan dihantar ke bumi seperti mana disebut oleh ayat Al-Quran di atas. (nizambadboy91.blogspot.com)


Demikianlah, betapa maha benarnya kitab suci al-Quran. Dan ia menjadi bukti diturunkan oleh Yang Maha Benar, Maha Mengetahui lagi Maha Terpuji.

Wednesday, October 03, 2018

LA IKRAHA FIDDIN


“Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

At-Tobari berkata:

Ahli tafsir berbeza pendapat tentang makna “tiada paksaan dalam agama”. Sebahagian mereka berkata ayat ini turun untuk menjawab kemusykilan kaum Ansar atau seorang lelaki dari kalangan mereka yang mempunyai beberapa orang anak yang telah mereka jadikan penganut agama yahudi atau nasrani. Apabila Allah menurunkan Islam, mereka mahu memaksa anak-anak mereka itu agar memeluk Islam. Maka Allah melarang mereka berbuat demikian. Sebaliknya mereka hendaklah membiarkan anak-anak mereka itu sendiri yang memilih untuk memeluk Islam.

Antara riwayat yang menyebut demikian ialah apa yang diambil daripada Sa’eid bin Jubair r.a. daripada Ibn Abbas r.a., “Seorang wanita dikatakan miqlat, iaitu selalu kematian anak. Lalu dia bernazar sekiranya ada anaknya yang hidup dia akan menjadikan anak itu yahudi. Ketika Bani Nadhir diusir dari Madinah, terdapat bersama dengan mereka anak-anak orang Ansar (termasuk anak wanita itu). Mereka bertekad tidak akan membiarkan anak-anak mereka bersama yahudi. Lalu Allah turunkan ayat ini.”

Riwayat yang lain, daripada maula Zaid bin Thabit daripada Ikrimah atau Sa’eid bin Jubair daripada Ibn Abbas r.a., ayat ini turun mengenai seorang lelaki Ansar daripada Bani Salim bin Auf bernama Husoin. Dia mempunyai dua orang anak yang menganut Nasrani sedangkan dia seorang muslim. Dia berkata kepada Nabi s.a.w. “Tidakkah aku harus memaksa kedua-duanya? Sesungguhnya kedua-duanya tidak mahu terima kecuali Nasrani!” Maka Allah menurunkan ayat ini bagi menjawab persoalan itu.

ULASAN

Ayat di atas serta sebab nuzulnya sebagaimana yang dinaqalkan oleh mufassir at-Tobari, pada pendapat saya sangat penting untuk direnungi.

Dalam masyarakat majmuk yang terdiri dari pelbagai bangsa dan agama, seringkali berlaku seseorang memeluk Islam tanpa diikuti pasangannya. Lantas selepas memeluk Islam dia segera menukarkan agama anaknya yang belum baligh kepada Islam tanpa mendapat persetujuan pasangannya yang belum Islam.

Maka berlakulah perebutan. Kes dibawa ke mahkamah pelbagai peringkat. Ditakdirkan pihak yang belum Islam menang. Maka agama anak ditukar kembali kepada agama asal ibu / bapa yang menang.

Lalu umat Islampun rasa sensitive dan tercabar. Islam telah dihina, ditindas dan diperkotak-katikkan di negara yang agama rasminya adalah Islam.

Kalau kita renungi ayat di atas serta sebab turunnya, Allah memberikan kebebasan kepada hambaNya untuk memilih agama mereka. Justeru, tanggungjawab kita sebagai muslim adalah memberi penerangan dengan jelas dan berhikmah supaya nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Apabila telah nyata, maka terserah kepada mereka membuat pilihan sama ada menerima atau masih belum mahu menerima.


Jika mereka masih belum menerima, teruskan usaha dakwah. Tidak perlu rasa bersalah jika mereka terus enggan kerana hidayah adalah milik Allah.

Tuesday, October 02, 2018

MUSIBAH MENINGGIKAN DARJAT


Diriwayatkan bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi Musa ‘alaihissalam:
“Wahai Musa, tolonglah tuan mohon kepada Allah untuk saya, agar Dia menunaikan hajat saya yang mana Dia yang maha mengetahui tentang hajat saya itu!”

Maka Nabi Musapun berdoa kepada Allah agar menunaikan hajat lelaki itu.

Apabila Nabi Musa turun dari tempat ibadahnya, dia mendapati lelaki itu mati dibunuh oleh bintang buas. Badannya luka parah disiat-siat.

Nabi Musa bertanya penuh keheranan: “Wahai Tuhanku, kenapa dengan lelaki ini?”

Allah Ta’ala menjawab: “Wahai Musa, sesungguhnya dia meminta kepadaKu darjat (kedudukan di syurga) yang Aku ketahui bahawa amalannya tidak akan menyampaikannya ke darjat itu. Lalu Aku timpakannya musibah seperti yang engkau saksikan supaya musibah itu menjadi wasilah untuknya sampai ke darjat yang dia minta itu!”

Apabila disebutkan kisah ini, Abu Sulaiman ad-Darani berkata: “Maha Suci Allah. Sesungguhnya Dia berkuasa jika Dia mahu lelaki itu mencapai darjat yang dia minta tanpa bencana yang menimpanya itu. Namun, demikianlah Dia berbuat apa yang Dia kehendaki!”


Al-Jami’ liAhkam alQuran, AQurtubi (wafat 671H).