Tuesday, February 22, 2011

Ikhwan Muslimun akan menubuhkan parti politik “Al-Hurriyyah wa al-‘Adalah”


Ahmad Sabi’ melaporkan:

Al-Fadhilah al-Ustaz Dr. Muhammad Badi’, Murshid ‘Aam bagi Jamaah Ikhwan Muslimun menegaskan bahawa Maktab Irshad (majlis pimpinan tertinggi jamaah) telah membuat ketetapan pada hari ini untuk memulakan langkah menubuhkan sebuah parti politik bagi jamaah yang diberi nama “Al-Hurriyyah wa al-‘Adalah” (kebebsana dan keadilan). Beliau akan mengumumkan nama-nama anggota pengasas dalam beberapa hari terdekat. Apabila segala proses persediaan telah disiapkan, Ikhwan akan mula mengambil langkah-langkah yang diperlukan mengikut undang-undang pertubuhan yang ada.
Di dalam satu sidang media di sini, Murshid berkata bahawa langkah ini selari dengan hala tuju dan polisi jamaah sebagaimana telah diputuskan oleh majlis syura sejak sekian lama yang antara lain mengandungi ketetapan bahawa jamaah mesti menubuhkan sebuah parti politik.
Beliau turut menekankan bahawa penubuhan parti politik ini juga selari dengan kehendak dan cita-cita rakyat Mesir yang menghendaki masa depan yang lebih cerah dan lebih baik yang akan memungkinkan Mesir tercinta kembali menempatkan dirinya sebagai pemimpin dan memainkan peranannya dengan lebih berkesan.
Seterusnya beliau menambah, ahli jawatankuasa pengasas di peringkat dalaman jamaah telahpun dibentuk. Ahli jawatankuasa ini dipertanggungjawabkan untuk menyediakan draf terakhir bagi gerak kerja parti, program-program dan segala yang diperlukan bagi penubuhan sebuah parti seperti perlembagaan, polisi dan sebagainya. Semua itu akan dimuktamadkan bersama Majlis Shura Jamaah kemudian akan diisytiharkan pada masa yang sesuai.
Beliau juga menegaskan bahawa keanggotaan parti akan dibuka kepada semua rakyat Mesir yang menerima program parti serta halatujunya.

No comments: