Wednesday, August 26, 2020

MEMPERINGATI HARI ASYURAA

 

Terdapat beberapa hadis yang sahih berkaitan dengan hari Asyuraa, iaitu hari ke 10 bulan Muharram. 

 

Antaranya:

1. Daripada 'Aisyah r.a., beliau berkata: "Adalah Rasulullah s.a.w. berpuasa pada hari Asyuraa. Apabila  Ramadhan telah difardhukan, jadilah Asyuraa suatu pilihan; siapa mahu puasa dia berpuasa dan siapa mahu berbuka dia berbuka (tidak puasa)" Di dalam riwayat lain, “Orang Quraisy mengamalkan puasa pada hari Asyuraa pada zaman jahiliah. Rasulullah s.a.w. juga berpuasa pada hari tersebut pada zaman jahiliah. Manakala baginda berhijrah ke Madinah, baginda s.a.w. memerintahkan supaya berpuasa pada hari itu. Manakala difardhukan Ramadhan, baginda abaikan (perintah berpuasa hari Asyuraa). Sesiapa yang mahu berpuasa, dia puasa, sesiapa yang tidak mahu, dia tidak berpuasa.” Dikeluarkan oleh AlBukhari, Muslim, Abu Daud dan lain-lain.

 

2. Daripada Abdullah bin Abbas r.a. dia berkata: "Rasulullah s.a.w. telah berhijrah ke Madinah. Baginda mendapati orang-orang Yahudi berpuasa pada hari Asyuraa (hari ke 10 bulan Muharram). 

Baginda bertanya: "Hari apakah kamu berpuasa ini?" 

Mereka menjawab: "Ini merupakan hari yang sangat agung. Pada hari ini Allah selamatkan Musa dan kaumnya, dan Allah tenggelamkan Firaun serta kaumnya. Maka Musa telah berpuasa sebagai tanda syukur. Lalu kamipun ikut berpuasa." 

Rasulullah s.a.w. bersabda: "Kalau begitu, kami lebih berhak dan lebih utama mengikuti Musa daripada kamu.

"Maka Rasulullah s.a.w. berpuasa dan menyuruh umatnya agar berpuasa." Riwayat al-Bukhari dan Muslim

 

3. Daripada Ibn Abbas r.a. dia berkata:

"Ketika Rasulullah s.a.w. berpuasa pada hari Asyuraa dan baginda menyuruh umatnya berpuasa, baginda diberitahu, "Ya Rasulullah, hari ini merupakan hari kebesaran Yahudi dan Nasrani!" 

Maka baginda bersabda: "Pada tahun akan datang in syaa Allah kita berpuasa hari ke 9 (di samping hari ke 10). Dan sebelum tiba hari Asyuraa tahun berikutnya, baginda telah dijemput kembali ke pangkuan Tuhannya." Riwayat Muslim, Abu Daud, Ahmad dan lain.

 

4. Daripada Ibn Abbas r.a. juga, Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Hendaklah kalian berpuasa pada hari Asyuraa dan hendaklah kalian berbeza dengan Yahudi. Berpuasalah juga sehari sebelumnya atau sehari selepasnya.” Dikeluarkan oleh Ahmad, Ibn Khuzaimah dan AlBaihaqi.

 

5. Tentang kelebihan berpuasa pada hari Asyuraa, telah disebut di dalam sebahagian daripada Hadis yang panjang di dalam kitab Sahih Muslim, daripada Abi Qatadah r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: "Dan puasa hari Asyuraa, aku mengharapkan daripada Allah agar Dia menghapuskan dosa setahun sebelumnya." Dan di dalam kitab Sahih al-Bukhari daripada Ibn Abbas r.a., dia berkata: "Aku tidak pernah melihat Nabi s.a.w. bersungguh-sungguh dalam mengerjakan puasa lebih daripada yang lain, melainkan hari Asyuraa dan bulan ini, iaitu Ramadhan."

 

Berdasarkan riwayat-riwayat di atas, Ibn al-Qayyim menyimpulkan, tiga cara puasa Asyura:

 

1. Puasa tiga hari: 9, 10, 11. Cara ini paling sempurna

2. Puasa dua hari: 9 dan 10 sebagaimana terdapat di dalam kebanyakan riwayat. Cara ini juga baik

3. Puasa satu hari saja, hari ke 10

 

Justeru, harus berpuasa hari ke 10 sahaja dan dengan rahmatNya akan memperolehi ganjaran pahala yang dinyatakan di dalam hadis di atas.

 

Daripada riwayat-riwayat yang dinyatakan di atas juga terdapat beberapa pengajaran yang boleh diambil:

 

1. Rasulullah s.a.w. tidak menolak terus kebaikan yang diamalkan oleh penganut agama samawi sebelumnya. Sebaliknya baginda bertanya tentang sebab serta alasan kenapa mereka mengamalkannya. Dan setelah diberitahu sebabnya, dan baginda tidak mendapati sesuatu yang bercanggah dengan Syariatnya, bagindapun turut mengamalkannya.

2. Ia menggambarkan sikap keterbukaan Nabi s.a.w. Sikap keterbukaan seperti itu pastinya bertitik tolak dari ajaran Islam yang diwahyukan kepada baginda.

3. Sungguhpun begitu, baginda tidak menceduk apa yang dilakukan oleh orang lain 100%. Bina identity kita yang tersendiri supaya kita tidak di”label” sebagai umat yang hanya tahu meniru. Walaupun kebaikan itu boleh diceduk dari sumber lain, ia seharusnya dicorakkan dengan warna yang selari dengan pilihan kita sendiri.

4. Menunjukkan kesatuan agama samawi (agama yang bersumberkan wahyu). Yahudi, Nasrani (Kristian) dan Islam semuanya berasal dari sumber yang satu: Allah SWT Penguasa sekelian alam. Justeru, kenapa kita harus berpecah dan bertelagah?

No comments: