Sunday, August 30, 2020

SYARAT AHLI PAN NAK MASUK PAS II

 

“Kenapa nampak moyok adik Kak Long ni? Tak ada duit nak beli top up ye?” Tegur Kak Long dengan nada bergurau setelah adiknya masuk, duduk dan menghabiskan segelas jus limau yang dihidangkannya.

“Ala Kak Long ni, mentang-mentang la orang pernah minta duit dengan dia untuk beli top up, itu la yang dia ingat. Tapi, kalau nak bagi apa salahnya. Kecil tapak tangan, Stadium Bukit Jalil Am tadahkan” sahut Amru membalas gurauan Kak Long disambut dengan ketawa mesra kedua-duanya.

“Sebenarnya Am ada masalah besar ni, Kak Long.”

“Masalah besar? Apa dia? Am putus cinta ye?” Kak Long membuat telahan dengan nada seperti terkejut.

“Merepek lah Kak Long ni. Mana pulak putus cinta? Bercinta pun tidak. Kak Long juga yang pesan, jangan bercinta sebelum kawin, bukan?”

Kak Long tergelak kecil.

“Am risaukan tentang Kak Long...”

“Hah? Kenapa? Kak Long ok je ni?” Soal Kak Long. Kali ini dia benar-benar terkejut dan hairan mendengarnya. 

“Am takut ...” kata-katanya tersekat di situ.

“Takut apa?” Kak Long mencelah. Darjah kehairanannya meningkat.

“Takut... Kak Long murtad!”

“Astaghfirullahal-’Adziiim...apa yang Am merepek ni? Kak Long buat apa sampai Am takut Kak Long murtad?” 

“Kak Long ahli pan, kan?”

“Bukan pan. Parti Amanah Negara @ AMANAH!”

“Betul lah, singkatannya pan. Macam Parti Islam SeMalaysia, singkatannya pas, eh? Kenapa pas? Sepatutnya pis la?” Amru tiba-tiba terperasan bahawa singkatan parti Islam semalaysia sepatutnya pis, “ah! Biarlah apa-apa pun. Bukan itu yang hendak dipersoalkan” sambungnya lagi.

 

“Am tahu tak, nama adalah hak peribadi seseorang atau sesebuah pertubuhan? Ia adalah identiti kita!” Kak Long berhenti seketika kemudian menyambung,

“Am suka tak kalau orang panggil ambif?”

“Eh, apa pula ambif? Itu bukan nama Am!” sahut Amru dengan pantas.

“Itu singkatan nama Am. Amru bin Faisol!”

“Pelik je...” Amru mencemikkan mukanya.

“Am tak suka, bukan? Sebab Am tidak pernah menjadikannya sebagai nama pengenalan diri Am. Berbeza dengan Kak Long. Walaupun nama Kak Long Amalina, tapi Kak Long sudah jadi identiti diri yang orang kenal dengannya. Sebab itu Kak Long tak marah dan tak kecil hati walaupun orang yang berpangkat nenek sekalipun yang panggil dengan panggilan Kak Long.”

Kak Long berhenti seketika. Amru tidak membalas. Dia menanti sahaja apa yang akan disyarahkan oleh Kak Long seterusnya.

“Macam pas. Tadi Am kata, sepatutnya singkatan dia pis. Tapi mereka tak guna nama itu. Jadi semua orang sebut pas. Kami Parti Amanah Negara tidak pernah menggunakan singkatan pan. Sebaliknya kami menggunakan nama Amanah. Pan bukan nama kami!” tegas Kak Long mengakhiri syarahannya berkaitan dengan nama.

 

“Habis tu kenapa geng-geng Abah, ustaz-ustaz mereka panggil pan?” Soal Amru seperti belum berpuas hati dengan penerangan Kak Long yang panjang lebar tadi.

“Am, biasanya orang tak mahu sebut nama seseorang kalau dia marah atau tak suka kepada orang itu. Nabi s.a.w. pernah memberitahu Aisyah r.a. bahawa beliau tahu bila Aisyah suka dan bila Aisyah marah. Aisyah tanya, macam mana baginda tahu? Baginda menjawab, ketika suka Aisyah bersumpah “demi Tuhan Muhammad”, ketika marah Aisyah bersumpah “demi Tuhan Ibrahim”. Tengok Aisyah tak sanggup nak sebut nama insan yang paling dia sayang ketika dia dikuasai emosi marah kepada suami kecintaannya itu.”

“Maknanya orang pas yang sebut pan dan tak mahu sebut amanah tu kerana mereka benci dan marah pada amanah?” Amru seperti membuat kesimpulan sendiri.

“Itu mereka perlu jawab!” tegas Kak Long.

“Hemm pelik la perangai orang tua-tua ni!” Rungut Amru.

“Am pun dah masuk kategori orang tua tau? 18 tahun. Tak lama lagi dah boleh mengundi. Jadi kena ambil tahu juga hal-hal parti ni.” 

 

“Tadi yang Am nak tanya sebenarnya apa? Apa kaitan Kak Long jadi ahli amanah dengan ketakutan Am Kak Long akan murtad?”

“Am terbaca status seorang ustaz di FB. Jap Am buka dan tunjuk pada Kak Long status tu...” Amru menyentuh skrin telefon bimbitnya dan menggerakkan jarinya ke atas dan ke bawah.

“Ala... mereka dah padam la pulak status tu Kak Long...” keluh Amru dengan nada keciwa.

“Tapi Am ingat apa yang tertulis...”

“Apa?”

“Dia kata kalau ahli pan nak masuk pas, kena minta maaf dengan ahli pas dan TGHH, istighfar 3x dan mengucap 2 kalimah syahadah!”

“Tak ada pun dia kata murtad? Apa yang Am risau sangat?”

“Bila kata kena mengucap, itu yang Am faham macam orang nak masuk Islam. Jadi Am risau lah, Kak Long kesayangan Am ni dah murtad ke?”

Kata-kata itu disambut oleh Kak Long dengan ketawa kecil. Dia memandang jam yang terpapar di skrin telefon bimbitnya.

“Am, Kak Long kena pergi ambil Iqbal dan Isyraq di taska sekarang. Lepas ni kita sambung ye!” Kak Long bangkit dan keluar dengan tergesa-gesa meninggalkan Amru termangu-mangu...

“Ala... tengah hot bincang, kena cut pulak!” keluh Amru. 

 

Bersambung, in syaa Allah. Sabar tau!

No comments: