Saturday, July 10, 2021

DARI JENDELA USRAH

(Perbincangan ini berkisar pada kisah Gabenor Yang Menguli Roti Untuk Hidangan Keluarga)

“Jazakillah Nini atas tazkirah yang sungguh mengesankan.” Ujar Kak Long sebagai naqibah setelah Nini menamatkan penyampaian tazkirahnya. Semua ahli amat terkesan dengan tazkirah yang Nini sampaikan, iaitu kisah seorang gabenor yang menguli tepung membuat roti untuk makanan ahli keluarganya.**
“Jazakillah Nini.” Sahut ahli-ahli usrah dengan serentak.
“Baiklah akhawat, kita telah mendengar perkongsian yang sungguh menarik daripada Nini. Sekarang Kak Long jemput akhawat untuk berkongsi ibrah daripada kisah yang Nini sampaikan.”
Tidak ada yang menyahut.
“Silakan. Siapa nak mula?” Kak Long mengulangi jemputannya.
Kelihatan terpapar di skrin lap ton Kak Long ikon tangan diangkat.
“Ya, Atirah mengangkat tangan. Silakan. Jangan lupa untuk unmute terlebih dahulu.”
“Assalamu’alaikum semua. Terima kasih Kak Long kerana memberi peluang. Terima kasih Nini kerana berkongsi cerita yang padat dengan pengajaran. Antara pengajaran yang Tira dapat ialah sifat bertanggungjawab Sayyidina Umar dalam melantik pegawai. Jelas menunjukkan beliau begitu bimbang kalau-kalau orang yang dilantiknya tidak melaksanakan amanah dengan sebaik-baiknya. Apabila beliau mendengar aduan rakyat tentang Sa’eid, dia begitu resah dan berdoa: “Ya Allah, sesungguhnya aku kenal dia adalah antara hambaMu yang
terbaik
. Ya Allah, janganlah Engkau keciwakan aku kerana tersalah firasatku menyerahkan amanah ini kepadanya!”
“Kak Long, Ifa setuju apa yang dikatakan Tira tu. Berbeza sangat dengan pemimpin sekarang. Pakai lantik saja tanpa mengambil kira kebolehan seseorang. Yang penting sokong dia. Kemudian lepas begitu saja tanpa pemantauan seperti yang dibuat oleh Sayyidina Umar. Musafir jauh-jauh dari Madinah ke Hums semata-mata untuk meninjau keadaan rakyat dan melihat sendiri prestasi gabenornya.” Celah Nazifah penuh semangat.
“Kak Long, boleh Ina sambung?” Marina pula menyampuk.
“Boleh, boleh. Silakan, Ina.” Suara Kak Long kedengaran begitu ceria melihat mutarabbiahnya berebut-rebut memberi pandangan.
“Sa’eid tidak menggunakan kedudukan untuk meraih kesenangan dan kemewahan diri dan keluarga. Tengoklah, bajupun tak tambah. Cukup dengan sehelai saja…”
“Ya. Bajupun tak tambah, apa lagi isteri!” celah Nini dengan nada yang sinis disambut dengan ketawa semua ahli.
“Kak Long, sebagai gabenor, tak boleh kah dia mengambil pembantu? Adakah terdapat larangan untuk mengambil pembantu?”
“Bukan tak boleh, Mai. Rasulullah SAW sendiri ada pembantu-pembantunya. Namun mungkin bagi Sa’eid dia rasa itu tidak perlu dan menganggapnya sebagai satu kemewahan. Lagipun bila kita perhatikan aduan yang dikemukakan oleh penduduk Hums tentang dirinya, tidak ada pun yang menyentuh tentang kecuaiannya dalam menjalankan tugas. Mereka tak komplen bahawa dia zalim, dia cuai, dia tak hiraukan masalah rakyat dan sebagainya. Mereka Cuma mengadu tentang jadual kerja sahaja, bukan kerja tak selesai.” Syarah Kak Long dengan Panjang lebar.
“Terima kasih Kak Long atas penjelasan.” Balas Maisarah.
“Mai nak bagi satu pandangan, Kak Long.”
“Silakan, Mai.”
“Mai kagum bab dia buat roti sendiri, daripada mengadun, menguli dan membakarnya. Sedangkan apa yang kita saksikan kebanyakan suami, apa lagi yang ada kedudukan hanya datang duduk depan meja makan mengadap saja hidangan yang telah tersedia…”
“Usahkan nak adun roti, bancuh kopi pun suruh isteri…” sampuk Ina sambal tertawa.
“Suami-suami orang lain kot? Bukan suami-suami kita dalam group ni, kan?” Kak Long cuba menduga.
Semua diam tidak menjawab. Masing-masing membuat muka dengan gaya tersendiri.
“Semua tak jawab ye? Ok. Balik ceritakan kisah Sa’eid ni kepada suami masing-masing.” Saranan Kak Long disambut dengan ketawa.
“Bukan mudah untuk menukar paradigma yang telah terpahat sekian lama dalam kepala masyarakat kita bahawa kewajipan isteri berkhidmat kepada suami, menyiapkan makan minum, pakaian dan keperluannya, Kak Long.” Luah Marina.
“Betul…” beberapa orang daripada mereka menyahut dengan serentak. Kak Long tersenyum tanpa sebarang komen.
“Siapa lagi nak bagi pandangan?”
Nazifah mengangkat tangan.
“Ifa, silakan.”
“Pentingnya isteri solehah yang memahami, setia dan berdiri teguh di sisi suami. Isteri Sa’eid tidak bersungut langsung dengan kehidupan serba kekurangan yang dipilih oleh suaminya. Berbanding cara hidup isteri para pemimpin zaman sekarang, Allahu Akbar jauhnya perbezaan, kan?”
“Betul tu. Sangat setuju.” Sampuk Marina, “itu yang buat Ina risau sangat.” Tambahnya.
“Apa yang Ina risau?” tanya Nini.
“Risau bagaimana nak tarbiah diri kita jadi macam isteri Sa’eid, dan bagaimana nak tarbiah anak-anak kita jadi macam Umar dan Sa’eid…”
“Ya. Itulah yang kita harus cuba akhawat. Kita saling bantu membantu, saling ingat mengingatkan. Sebab itulah penting untuk kita mempelajari sirah Nabi SAW serta sahabat baginda yang banyak memberikan inspirasi buat kita contohi.”
Setelah tidak ada lagi yang mengangkat tangan untuk memberikan pandangan, maka pertemuan usrah di alam cyber itu ditangguhkan….

No comments: