Sunday, July 04, 2021

GABENOR YANG MENGULI TEPUNG UNTUK HIDANGAN KELUARGA

Umar bin al-Khattab radhiallahu’anhu melawat Hums, satu daripada wilayah yang berada di bawah naungan khilafah Islam ketika itu.

Beliau bertemu dengan penduduk dan mendengar aduan-aduan mereka terutama mengenai Gabenor yang beliau amanahkan mentadbir wilayah itu, Sa’eid bin ‘Aamir radhiallahu’anhu.

Penduduk mengadu kepada Umar tentang Sa’eid:

“Dia tidak mempunyai masalah dengan kami kecuali empat perkara:

Pertama – dia tidak akan keluar melayani kami kecuali setelah meninggi hari

Kedua – dia tidak langsung menjawab panggilan kami pada waktu malam

Ketiga – dalam sebulan terdapat dua hari dia tidak keluar menemui kami dan kami tidak dapat bertemu dengannya

Keempat – ini bukan salah dia kerana dia tidak dapat mengelaknya, tetapi hal itu membuatkan kami tidak selesa, iaitu dia sering kali jatuh pengsan!”

Mendengar aduan itu, Umar berbisik kepada dirinya:

“Ya Allah, sesungguhnya aku kenal dia adalah antara hambaMu yang terbaik. Ya Allah, janganlah Engkau keciwakan aku kerana tersalah firasatku menyerahkan amanah ini kepadanya!”

Umar memanggil Sa’eid untuk memberi penjelasan tentang aduan itu. 

Sa’eid berkata:

“Mereka berkata bahawa aku tidak keluar menemui mereka kecuali setelah meninggi hari, demi Allah, aku tidak suka untuk menyatakan sebabnya. Tetapi terpaksa aku jelaskan. Sesungguhnya tidak ada pembantu untuk menolong isteriku. Maka aku menguli tepung untuk membuat roti. Setelah diuli, aku biarkan sampai kembang kemudian aku bakar. Setelah itu, aku berwudhuk dan solat dhuha. Kemudian barulah aku keluar bertemu dengan mereka.”

Mendengar penjelasan itu, wajah Umar berseri-seri dan berbisik “Alhamdulillah.” Kemudian dia berkata kepada Sa’eid:

“Yang seterusnya, apakah penjelasanmu?”

Sa’eid menjawab:

“Aku tidak menjawab panggilan mereka pada waktu malam, demi Allah aku tidak suka menyebut sebabnya, tetapi aku terpaksa menjelaskan bahawa aku telah memperuntukkan waktu untuk mereka pada siang hari. Maka waktu malam aku peruntukkan untuk Tuhanku.

Masalah aku tidak keluar bertemu mereka dua hari dalam sebulan, kerana aku tidak mempunyai pembantu untuk membasuh bajuku dan aku tidak mempunyai baju yang lain. Aku membasuh bajuku sendiri dan menunggu beberapa Ketika sehingga baju itu kering. Dan pada waktu lewat petang, barulah aku keluar menemui mereka.

Tentang aku sering jatuh pengsan, sebenarnya aku telah melihat dengan mata kepalaku saat kematian Khubaib di Mekah. Orang-orang Quraisy telah mengelar-mengelar tubuhnya, kemudian mereka seretnya ke tiang salib. Mereka bertanya Khubaib, adakah dia suka kalau Muahammad berada di tempatnya dan dia selamat sejahtera di samping keluarga? Khubaib menjawab bahawa dia tidak suka sama sekali dia berada dalam keadaan sihat, riang gembira bersama isteri dan anak-anak, sedangkan Rasulullah ditimpa musibah hanya tercucuk sebatang duri di badannya! Maka setiap kali peristiwa yang aku saksikan ketika aku masih seorang musyrik itu menerjah di hadapan mataku, dan aku teringat aku membiarkannya dan tidak berbuat apa-apa untuk menyelamatkannya, aku jadi gementar kerana terlalu takut akan azab Allah di akhirat kelak sehingga aku jatuh pengsan!”

Sa’eid menghabiskan penjelasannya dengan lilihan air mata membasahi wajahnya yang suci. Umar tidak mampu mengawal dirinya lantas bersuara dengan lantang: “Alhamdulillah… Allah tidak mengeciwakan firasatku (memilih dia menjawat jawatan ini)” dan terus memeluk Sa’eid dengan erat. 


- Ibn al-Athir, Usudul Ghabah.


No comments: