Tuesday, June 24, 2025

Jangan pakaikan seseorang dengan jubah yang dia sendiri tidak mahu memakainya!

Nasihat kepada sesetengah yang terlalu beremosi:

Jangan pakaikan seseorang dengan jubah yang dia sendiri tidak mahu memakainya!

Negara mempunyai kepentingan, ia tidak ada akidah!

  1. Apabila bintang Erdogan bersinar, kamu gambarkan dia seolah-olah seorang khalifah. Mana-mana kritikan terhadapnya dianggap seperti menghina Saidina Umar al-Khattab!
    Padahal lelaki itu tidak pernah pun mengangkat dirinya sebagai khalifah!
    Dia sejak dahulu hingga kini membuat pakatan dan permusuhan berdasarkan kepentingan negaranya, bukan berdasarkan ucapan — kerana kata-kata itu percuma!
    Apabila kepentingan negaranya memerlukan campur tangan tentera di Libya, dia melakukannya melalui laut!
    Apabila kepentingan negaranya memerlukan campur tangan di Syria, dia mengubah keseimbangan kuasa di sana!
    Apabila kepentingan negaranya hanya menonton Gaza disembelih, dia duduk menonton seperti orang lain, walaupun Palestin lebih dekat dengan Turki berbanding Libya!
    Palestin ialah isu agama dan akidah, manakala Libya isu ekonomi dan kepentingan — sesimpel itu. Politik beragama pada kepentingan!

  2. Hal yang sama juga berlaku terhadap Iran!
    Iran tidak pernah berkata bahawa ia menyerang Tel Aviv demi Gaza — kamulah yang berkata begitu! Dan siapa yang tidak setuju, kamu tuduh mereka sebagai pengkhianat!
    Gaza disembelih selama 650 hari, Iran hanya menyerang dua kali, itu pun apabila mereka sendiri diserang!
    Iran ialah sebuah kuasa serantau, yang menggerakkan orang lain, bukan digerakkan oleh sesiapa!
    Apabila kepentingan dan pengaruhnya tergugat, ia membakar Syria, tanpa kira apa atau siapa!
    Apabila ada kepentingan untuk menyokong, ia menyokong.
    Iran akan menyokong Sunni jika ada manfaat, dan akan meninggalkan Syiah jika tiada manfaat!
    Politik tidak mengenal mazhab, dan agama hanyalah bidak catur yang digerakkan untuk mengawal manusia!
    Semua negara di dunia begini — bahkan Israel juga tidak beragama, dan sanggup mengorbankan orang Yahudi demi terus wujud!

Iran berperang kurang dari dua minggu demi kepentingan dan kelangsungannya, dan berhenti juga demi itu!
Iran tidak pernah meletakkan satu pun syarat yang menyentuh Gaza — jadi kenapa kamu tetap mahu mengatakan ia berperang demi Gaza?

Pakatan politik boleh difahami — jin boleh bersekutu dengan manusia, yang baik dengan yang jahat!
Kadang-kadang kepentingan menyatukan pihak-pihak yang kita sangka tidak akan pernah bersatu!
Yang bodoh sahaja menganggap pakatan politik sebagai perkara akidah dan agama, yang memaksa diri mereka dan orang lain untuk patuh kepadanya, dan menghukum sesiapa yang menolaknya sebagai cacat dalam akidah dan wala’!
Sampai Palestin dijadikan tuhan yang disembah selain Allah! “Tolong aku dan selepas itu kamu boleh buat apa saja pada umat Islam yang lain!”
Seolah-olah Palestin itu seperti sabun dan air panas — tak kira sejauh mana kamu kotor di luar, datang saja ke Palestin, kamu boleh basuh tangan kamu di situ!
Pura-pura tidak nampak kadang-kadang boleh difahami — semoga Allah membantu yang lemah dalam permainan orang kuat — tapi membela kezaliman secara terbuka tidak boleh diterima!

Siapa yang berurusan dengan kamu atas dasar kepentingan, balaslah dengan kepentingan.
Siapa yang berpakat dengan kamu dalam politik, berpakatlah dalam politik.
Tetapi kepentingan dan politik tidak akan pernah menjadi agama!

Dr. Adham Sharkawi



No comments: