Sunday, September 13, 2026

ULAMAK DAN UMARAK II

Setelah Umar bin Abdul Aziz wafat, urusan pemerintahan beralih kepada Yazid bin Abdul Malik. Dan Yazid ini seorang yang zalim.

Kemudian Yazid melantik Umar bin Hubairah sebagai gabenor Iraq. Yazid pula akan mengirim surat demi surat kepada Ibn Hubairah dan menyuruhnya melaksanakan apa yang ada di dalamnya, walaupun isinya mengandungi kezaliman dan penyimpangan! Lalu Umar bin Hubairah memanggil Imam Hasan al-Basri dan Imam Asy-Sya’bi.

Dia berkata kepada mereka berdua:

"Sesungguhnya Amirul Mukminin Yazid bin Abdul Malik telah melantikku untuk menguruskan Iraq. Dan dia kadang-kadang menghantar surat kepadaku yang menyuruhku melaksanakan perkara yang aku tidak yakin dengan keadilannya. Adakah kamu berdua dapati jalan keluar untukku dari segi agama jika aku mentaatinya dan melaksanakan perintahnya?"Maka Asy-Sya’bi menjawab dengan kata-kata yang memujuk khalifah dan mengambil hati gabenor. Manakala Hasan diam sahaja.  Lalu Ibn Hubairah berpaling kepada Hasan dan berkata: "Bagaimana pula pendapatmu wahai Abu Sa’id?"  Maka Hasan berkata:

"Wahai Ibn Hubairah, takutlah kepada Allah dalam urusan Yazid, dan jangan takut kepada Yazid dalam urusan Allah. Dan ketahuilah bahawa Allah Azza wa Jalla boleh melindungimu daripada Yazid, tetapi Yazid tidak boleh melindungimu daripada Allah.

Wahai Ibn Hubairah, tidak lama lagi akan turun kepadamu malaikat yang keras dan tegas yang tidak derhaka kepada Allah pada apa yang diperintahkan kepadanya. Dia akan menurunkanmu daripada kerusi ini dan memindahkanmu daripada luasnya istanamu kepada sempitnya kuburmu. Di sana kamu tidak akan mendapati Yazid, yang kamu akan dapati hanyalah amalanmu yang kamu telah menderhaka kepada Tuhan Yazid dengan melakukannya.

Wahai Ibn Hubairah, jika engkau bersama Allah Taala dan dalam ketaatan kepada-Nya, nescaya Allah akan mencukupkanmu daripada kejahatan Yazid bin Abdul Malik di dunia dan akhirat. Dan jika engkau bersama Yazid dalam menderhaka kepada Allah, maka Allah akan menyerahkanmu kepada Yazid.

Dan ketahuilah wahai Ibn Hubairah, bahawa tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat kepada Pencipta."Maka menangislah Umar bin Hubairah sehingga janggutnya basah. Dia memilih pendapat Hasan al-Basri dan meninggalkan pendapat Asy-Sya’bi. Dia juga memuliakan dan membesarkan Hasan.  Apabila kedua-duanya keluar dari rumahnya dan menuju ke masjid, orang ramai berkumpul mengelilingi mereka dan mula bertanya tentang urusan mereka dengan gabenor Iraq.  Lalu Asy-Sya’bi berpaling kepada mereka dan berkata: "Wahai manusia, barangsiapa yang mampu mendahulukan Allah Azza wa Jalla berbanding makhluk-Nya dalam setiap keadaan, maka lakukanlah. Demi Zat yang jiwaku di tangan-Nya, tidaklah Hasan berkata kepada Ibn Hubairah sesuatu yang aku tidak tahu. Akan tetapi aku mahukan keredhaan Ibn Hubairah, sedangkan Hasan mahukan keredhaan Allah. Maka Allah menjauhkan aku daripada Ibn Hubairah, dan mendekatkan Hasan kepadanya serta menjadikan Hasan disayanginya."

No comments: