Thursday, August 06, 2015

JOM TADABBUR 6

Daripada Husain bin Ali r.a. Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: "Sesiapa yang berurusan dengan manusia, maka dia tidak menzalimi mereka, bercakap dengan mereka, maka dia tidak berdusta kepada mereka, berjanji dengan mereka, maka dia tidak memungkiri janji dengan mereka, maka sempurnalah maruahnya, terserlahlah keadilannya, wajiblah berukhuwah dengannya dan haramlah mengumpatnya." (Al-Khatib al-Baghdadi, Hadis Hasan)

Hadis ini menerangkan tiga ciri insan yang bermaruah dan diperakui sebagai orang yang adil:
1.     Tidak melakukan kezaliman terhadap insan lain
2.     Tidak berdusta ketika berbicara
3.     Tidak mungkir apabila berjanji
Maka, kewajipan kita terhadap insan yang memiliki ciri-ciri tersebut:
1.     Menjadikannya saudara
2.     Tidak mengumpat dan memburuk-buruknya.

Kandungan hadis ini sangat bertepatan dengan fitrah kita. Tidak ada di kalangan kita yang suka kepada orang yang zalim, pendusta dan mungkir janji.

Lantaran itu, andai terdapat pada kita (wal'iyadzubillah) ciri-ciri yang berlawanan dengan apa yang dinyatakan di dalam hadis di atas, lantas orang meninggalkan kita dan memburuk-burukkan kita, jangan salahkan mereka...!!

Wednesday, August 05, 2015

JOM TADABBUR 4

 Takutlah kepada dosa walaupun kecil!!!

Abdullah bin Mas'ud r.a. meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: "Mukmin melihat kepada dosa-dosanya seolah-olah dia berada di kaki bukit dengan perasaan takut bukit itu akan menghempapnya. Dan sesungguhnya fajir (orang jahat/zalim) pula melihat dosa-dosanya seperti seekor lalat yang hinggap di hidungnya." (At-Tirmizi dan lain-lain)

HADIS ini menjelaskan perbezaan antara orang yang benar-benar beriman dengan yang sebaliknya. Orang yang beriman ialah yang yakin dan percaya dengan sepenuh hati kepada Allah dan hari akhirat. Dia yakin bahawa setiap perkataan, amalan, perlakuan, hatta niat yang terpendam di dalam hatinya diketahui dan dihisab oleh Allah, kemudian diberikan pembalasan yang setimpal pada hari qimat nanti. Oleh itu, mukmin akan sentiasa berhati-hati dalam setiap tutur kata, perbuatan serta niatnya.
Manakala orang yang tidak beriman dengan sebenar-benar iman, sering terlupa akan pengawasan Allah dan pembalasanNya di akhirat kelak. Justeru, dia kurang mempertimbangkan tentang dosa atau pahala. Di matanya tidak lain hanyalah kepentingan dunia semata-mata. Dosa pada pandangannya tidak lebih daripada seekor lalat yang hinggap di atas hidungnya, dapat ditempis dengan mudah sahaja. Wal'iyadzu bilLahi mindzalik.



JOM TADABBUR 5

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelaskan dana RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun Datuk Seri Najib Razak adalah sumbangan penderma.
Ia, kata suruhanjaya itu lagi, bukan berpunca daripada dana syarikat pelaburan negara 1MDB.
“Laporan hasil siasatan berkaitan dana RM2.6 bilion telah dirujuk dan dimaklumkan kepada peguam negara,” kata SPRM.
“Hasil siasatan mendapati dana sebanyak RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun milik YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah sumbangan penderma, dan bukannya dari dana 1MDB,” kata SPRM. (dipetik daripada laporan malaysiakini.com)
Kalau betul RM2.6 bilion itu sumbangan penderma, adakah ia halal bagi PM menerimanya?
Sama-sama kita tadabbur hadis berikut:
Daripada Abi Humaid as-Sa’ediy r.a. katanya: Rasulullah s.a.w. telah melantik seorang lelaki daripada qabilah al-Asad dikenali sebagai Ibn al-Luthabiyyah sebagai amil sedekah (zakat). Setelah lelaki itu menjalankan tugasnya, dia kembali menemui Rasulullah s.a.w. dan berkata, “Ini untuk kalian (Baitulmal) dan ini hadiah untukku.” Lantas Rasulullah s.a.w. pun bangkit menaiki mimbar, baginda memuji Allah dan mengagungkanNya dan bersabda (maksudnya): “Apakah gerangannya seorang amil yang aku utus untuk menjalankan satu tugas, lalu (setelah kembali) dia berkata: “Ini untuk kalian dan ini hadiah untukku”? Cuba dia duduk di rumah ayahnya atau di rumah ibunya, dan lihat adakah dia diberi hadiah atau tidak? Demi Tuhan Yang nyawa Muhammad di TanganNya, tiada seorangpun dari kalangan kamu yang mengambil sesuatu kecuali dia akan bangkit pada hari qiamat nanti memikul di atas tengkuknya (apa yang dia ambil) sama ada unta atau lembu atau kambing!” Abu Humaid berkata: Kemudian baginda s.a.w. mengangkat kedua tangannya seraya berkata: “Ya Allah, adakah aku telah sampaikan?” sebanyak dua kali. Riwayat al-Bukhari (6578) dan Muslim(1832)
Imam an-Nawawi berkata: Hadis ini menjelaskan bahawa hadiah kepada pekerja adalah haram. Ini kerana di dalam hadis ini disebut balasannya, iaitu apa yang dihadiahkan itu akan ditanggungnya pada hari qiamat. Dan Nabi s.a.w. menerangkan di dalam hadis yang sama bahawa sebab haram adalah lantikan atau tugasan yang diamanahkan. Berlainan dengan hadiah kepada bukan petugas. Ia adalah digalakkan. Dan hukum petugas yang telah mengambil atas nama hadiah hendaklah dipulangkan kepada pemberi. Jika tidak dapat, maka serahkan kepada baitulmal.” (Syarah Muslim.)
Hadis lain, daripada Abdullah bin Buraidah daripada ayahnya daripada Nabi s.a.w. Baginda bersabda (maksudnya): “Sesiapa yang kami lantik untuk sesuatu pekerjaan, kami berikannya rezeki (gaji atau upah), maka apa yang diambil selepas atau selain daripada itu, adalah ghulul.” Riwayat Abu Daud (2943) dan diperakui sahih oleh al-Albani.
Ghulul bermaksud khianat. Jadi menurut hadis ini, apa yang perlu PM lakukan ialah kembalikan 2.6 bilion itu kepada insan yang bermurah hari menderma kepadanya, atau masukkanlah ke dalam khazanah negara. Terlalu ramai rakyat yang memerlukannya.

Wednesday, July 29, 2015

JOM TADABBUR 3


“Katakanlah: Dialah yang berkuasa menghantar kepada kamu azab seksa (bala bencana), dari sebelah atas kamu atau dari bawah kaki kamu atau Dia menjadikan kamu bertentangan dan berpecah-belah (berpuak-puak) dan Dia merasakan sebahagian daripada kamu akan perbuatan ganas dan kejam sebahagian yang lain. Perhatikanlah bagaimana Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan (yang menunjukkan kebesaran Kami) dengan berbagai cara, supaya mereka memahaminya.” (Al-An’am:65) 

Allah perintahkan RasulNya s.a.w. supaya mengingatkan mereka yang mengingkariNya atau tidak menghargai ni’mat pemberianNya, bahawa Dia berkuasa untuk menimpakan bencana ke atas mereka dalam pelbagai cara:
-       dari sebelah atas
-       dari sebelah bawah
-       dari dalam diri mereka sendiri, iaitu dengan berlakunya perselisihan dan perbalahan sesama sendiri sehingga membawa kepada peperangan dan pembunuhan.

Apakah maksud bencana dari sebelah atas dan bencana dari sebelah bawah? Ibn Jarir mengemukakan dua tafsiran ulamak mengenainya:
Pertama pendapat Ibn Mas’ud, Mujahid dan lain-lain, azab dari sebelah atas adalah dari langit seperti taufan dan rejaman dan azab dari sebelah bawah ialah dari bumi seperti yang berlaku pada Qarun.
Kedua pendapat Ibn ‘Abbas dan lain-lain, maksud azab dari sebelah atas ialah pemimpin atau penguasa yang jahat, manakala azab dari sebelah bawah ialah kakitangan kerajaan atau pegawai-pegawai yang jahat dan berakhlak buruk.

Adakah suasana dalam Negara pada masa ini merupakan gambaran ayat ini? Pemimpin yang rasuah dan salah guna kuasa, orang-orang di sekelilingnya tidak berani bersuara kerana takut dipecat dan hilang kedudukan, umat Islam pula berpecah dan berbalah, menuduh dan memfitnah saudara yang tidak sehaluan tanpa bukti?

Marilah sama-sama kita menghisab diri dan memohon ampun kepada Ilahi. Tidak ada siapa di antara kita yang maksum. Kalau kita rasa kita berada di pihak yang benar, tidak bermakna pihak lain salah. Bukankah Islam membenarkan ijtihad dan menghormati kebebasan berfikir? Hadis sahih riwayat al-Bukhari Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Apabila seorang hakim menghukum, lalu dia berijtihad; maka jika dia betul baginya dua pahala, jika salah baginya satu pahala.”
Subhanallah! Pengiktirafan kepada ijtihad sampai ke tahap jika salah sekalipun tetap mendapat pahala!

Kalau Allah beri pahala kepada ijtihad yang salah, maka apa hak kita untuk mengutuk pihak lain yang ijtihadnya tidak sama dengan kita, walhal kita sendiri tidak tahu siapa yang betul ijtihadnya?

Wasiat Berguna Untuk Semua


Manakala Umar bin Abdul Aziz dilantik menjadi khalifah, beliau terus menghantar surat kepada Hasan Basri, seorang ulamak yang terkenal dengan taqwa dan warak meminta nasihat bagaimana menjadi seorang pemerintah yang adil. Maka Hasan menjawab surat tersebut, surat yang mengandungi nasihat berguna bukan saja kepada khalifah Umar, malah kepada seluruh umat sehingga akhir zaman. Antara lain, beliau menulis:
·      Ketahuilah wahai Amirul-Mukminin, sesungguhnya Allah menjadikan imam yang adil itu penegak kepada setiap yang menyeleweng, tempat bergantung orang yang tergelincir, kekuatan bagi yang lemah, pembela bagi yang dizalimi, penyelamat bagi yang kebulur.
·      Imam yang adil wahai Amirul-Mukminin, seperti pengembala yang sangat sayangkan untanya, yang berlemah lembut dengannya, yang sentiasa membawanya ke padang rumput yang paling subur, yang mempertahankannya dari sebarang ancaman yang membinasakannya, yang mengawalnya dari binatang buas, yang melindunginya dari gigitan panas dan sejuk.
·      Imam yang adil wahai Amirul-Mukminin, seperti ayah yang sangat cintakan anaknya, dia berkerja keras untuk mereka sewaktu mereka kecil, mengajar mereka ketika mereka besar, mencari harta untuk mereka semasa hayatnya, menyimpan atau menabung untuk mereka selepas dia meniggal dunia.
·      Imam yang adil wahai Amirul-Mukminin, seperti ibu yang sangat menyayangi anaknya, berbakti dan menatangnya dengan sepenuh hati. Dia mengandungnya dengan kepayahan, melahirkannya dengan kepayahan, membelainya semenjak bayi, berjaga malam ketika anaknya tidak tidur dan hanya berehat ketika anaknya terlena, menyusukannya ketika dia memerlukan dan menceraikan susunya ketika anaknya tidak lagi memerlukan. Dia gembira apabila anaknya sihat, dan berduka ketika anaknya mengaduh sakit.
·      Imam yang adil wahai Amirul-Mukminin, penerima wasiat untuk memelihara anak-anak yatim, penyimpan khazanah orang-orang miskin, dia mendidik mereka yang masih kecil, menyara mereka yang sudah besar. Dia laksana hati bagi seluruh anggota. Anggota akan baik sekiranya hati itu baik. Dan akan rosak sekiranya hati rosak. Dia pemegang tanggungjawab antara Allah dengan hamba-hambaNya. Dia mendengar Kalam Allah dan memperdengarkannya kepada mereka. Dia memandang (mengenali) Allah dan memperkenalkan Allah kepada mereka. Dia dipimpin kepada Allah dan dia memimpin mereka kepadaNya. Maka janganlah engkau wahai Amirul-Mukminin, dengan kuasa yang Allah beri kepadamu itu, jadi seperti seorang hamba yang tuannya amanahkan kepadanya harta dan keluarganya, lalu dia menghabiskan harta tuannya, mengusir keluarganya sehingga keluarga tuannya jadi papa dan dia menghambur-hamburkan harta tuannya.
·      Ketahuilah wahai Amirul-Mukminin, sesungguhnya Allah turunkan hukum hudud untuk menggentarkan manusia dari kelakuan buruk dan jahat. Maka apa akan terjadi sekiranya orang yang diamanahkan melaksanakan hudud melakukan kejahatan? Sesungguhnya Allah menurunkan hukum qisas untuk memelihara kehidupan hambaNya. Maka apa akan terjadi sekiranya orang yang dipertanggungjawabkan melaksanakan qisas itu sendiri yang membunuh rakyatnya? Ingatlah wahai Amirul-Mukminin akan kematian dan apa yang berlaku selepasnya, sedikitnya orang yang akan bersamamu ketika itu dan tiada yang dapat menolongmu di waktu itu. Maka sediakanlah bekalan untuk menghadapi saat itu dan dugaan yang maha besar selepas itu.


Friday, July 24, 2015

Jom tadabbur 2


Kali ini, saya ingin mengajak sahabat-sahabat merenungi sepotong hadis yang bermaksud:
Jika kamu telah bersumpah dengan sesuatu perkara, kemudian kamu dapati ada perkara yang lebih baik daripadanya, maka lakukanlah apa yang lebih baik itu dan batalkanlah sumpah kamu dengan membayar kaffarahnya. Riwayat al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud

Jika kamu telah bersumpah. Bersumpah maksudnya dengan menyebut nama Allah Yang Maha Besar seperti  ( ) dan seumpamanya. Ia bukan sekadar ucapan seperti aku bersumpah, sumpah aku tak buat lagi yang sering diucapkan dalam percakapan seharian.

Hadis ini mengajar kita semua bahawa muslim mesti sentiasa berfikir dan berusaha mencari dan melakukan yang terbaik di dalam hidupnya. Muslim tidak boleh beku dan jumud pada satu tahap tertentu. Apa yang kita fikir baik semalam tidak semestinya baik pada hari ini. Jika ternyata ada yang lebih baik daripada apa yang telah diputuskan, maka jangan teragak-agak untuk melakukan perkara yang lebih baik itu. Jangan jadikan alasan telah bersumpah, maka ia tidak boleh diubah lagi. Batalkan sumpah dan bayar kaffarah. Hidup ini hanya seketika. Buatlah yang paling baik sebagai bekalan menuju ke alam baqa.


Begitulah dinamiknya ajaran Islam. Justeru umat Islam mesti tangkas mencari jalan dan peluang yang terbaik selagi tidak melanggar prinsip dan nas yang soreh dan qatei.

Jom tadabbur!


“Dan masuklah bersama-samanya ke dalam penjara dua orang khadam raja. Salah seorang di antaranya (bertanya kepada Yusuf dengan) berkata: "Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku memerah anggur". Dan berkata pula yang seorang lagi: "Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku menjunjung roti atas kepalaku, yang sebahagiannya dimakan oleh burung." (kemudian keduanya berkata): "Terangkanlah kepada kami akan takbirnya. Sesungguhnya kami memandangmu: dari orang-orang yang berbuat kebaikan". (Yusuf:36)

Perhatikan kata-kata dua orang khadam raja yang berada di dalam penjara bersama Nabi Yusuf alaihis-salam: “Sesungguhnya kami memandangmu: dari orang-orang yang berbuat kebaikan".
“Kami memandangmu, bukan kami mendengar kamu berkata “saya ni baik.”
Menurut ahli tafsir, mereka berkata demikian kerana Yusuf sentiasa melakukan perkara yang baik semasa bergaul dengan mereka di dalam penjara. Dia menziarahi banduan yang sakit, menemani yang bersedih, memenuhi keperluan yang berhajat di samping gigih beribadah kepada Tuhannya. At-Tobari menyebut bahawa Qatadah berkata: “Manakala Yusuf terhumban ke dalam penjara, dia mendapati segolongan manusia yang telah putus harapan, yang sangat teruk menerima ujian sehingga menanggung kesedihan yang berpanjangan. Maka dia memujuk mereka dengan berkata: “Bergembiralah dan bersabarlah. Kamu akan mendapat ganjaran. Sesungguhnya semua dugaan ini ada ganjarannya.” Mereka sangat terkesan dengan semangat yang diberikan. Mereka berkata: “Wahai orang muda, semoga Allah berkati kamu, alangkah eloknya wajahmu, alangkah bagusnya akhlakmu. Sesungguhnya kami mendapat keberkatan dengan berada di sampingmu. Kami tidak lebih suka berada di tempat lain daripada penjara ini kerana kamu menyatakan kami mendapat pahala, kaffarah dan penyucian daripada dosa!”

Apa yang kita dapat pelajari, kebaikan dan kemuliaan akhlak terserlah pada perbuatan dan cara kita bergaul.
Kita tidak perlu canang dengan mengatakan aku orang baik.
Kita tidak perlu mendedahkan keburukan orang lain untuk menampakkan kita baik.
Hayati akhlak yang baik, nescaya Allah dan Rasul menjadi saksi dan dunia akan memperakui.