Friday, May 08, 2015

KEMULIAAN IBU

“(Ingatlah) ketika isteri Imran berkata: Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu anak yang ada dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas (dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepadaMu semata-mata), maka terimalah nazarku; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Maka apabila dia melahirkannya, berkatalah dia: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan - dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan -  dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam dan aku perlindungkan dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan).” (Aali ‘Imran:35-36)

Ayat-ayat di atas merakamkan detik-detik paling indah perasaan seorang ibu ketika dia mengandung dan melahirkan cahaya matanya. Ketika mana seorang wanita menyedari kewujudan bayi di dalam kandungannya, yang bakal lahir membawa cahaya kebahagiaan di dalam hidupnya, tiada harapan lain yang terlintas di ruang fikirannya kecuali mahukan anak yang soleh. Anak yang soleh adalah penawar hati dan penyejuk mata di dunia serta pembawa harapan kebahagiaan di syurga.

Isteri Imran adalah teladan seorang ibu yang paling unggul. Beliau bukan saja menginginkan anak soleh dalam acuan biasa, berakhlak mulia, berbakti kepada kedua ibu bapa. Sebaliknya beliau inginkan lebih daripada itu. Beliau mahu anaknya seorang yang benar-benar hebat, seorang muharrar iaitu yang bebas dari segala urusan dunia untuk berkhidmat kepada Allah semata-mata.

Daripada cetusan hati dan kemahuan yang tulus ikhlas seorang ibu, lahirlah seorang anak soleh yang diangkat dan diiktiraf sebagai penghulu wanita di dunia dan di syurga!

“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika malaikat berkata: Wahai Maryam! Sesungguhnya Allah telah memilihmu dan mensucikanmu dan telah memilihmu (beroleh kemuliaan) melebihi perempuan-perempuan seluruh alam (yang sezaman denganmu). Wahai Maryam! Taatlah kepada Tuhanmu dan sujudlah serta rukuklah bersama-sama orang-orang yang rukuk.” (Aali ‘Imran: 42-43)

Maryam dipilih dan diiktiraf sebagai wanita beriman, wanita solehah yang menjadi teladan sepanjang zaman.
“Dan juga (satu misal perbandingan lagi, iaitu): Maryam binti Imran  yang telah memelihara kehormatan dan kesuciannya (dari disentuh oleh lelaki; tetapi oleh sebab Kami telah takdirkan dia mendapat anak) maka Kami perintahkan Jibril meniup masuk ke dalam kandungan tubuhnya dari roh (ciptaan) Kami dan (sekalipun Maryam itu hidup di antara kaum kafir) dia mengakui kebenaran Kalimah-kalimah Tuhannya serta Kitab-kitabNya dan dia menjadi dari orang-orang yang tetap taat.” (At-Tahrim:12)

“Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab Al-Quran ini perihal Maryam, ketika dia memencilkan diri dari keluarganya di sebuah tempat sebelah timur. Kemudian Maryam membuat dinding untuk melindungi dirinya dari mereka maka Kami hantarkan kepadanya: Roh dari kami lalu dia menyamar diri kepadanya sebagai seorang lelaki yang sempurna bentuk kejadiannya. Maryam berkata: Sesungguhnya aku berlindung kepada Ar-Rahman daripada (gangguan) mu kalaulah engkau seorang yang bertakwa. Dia berkata: Sesungguhnya aku pesuruh Tuhanmu, untuk menyebabkanmu dikurniakan seorang anak yang suci. Maryam bertanya (dengan cemas): Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak lelaki, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun dan aku pula bukan perempuan jahat? Dia menjawab: Demikianlah keadaannya tak usahlah dihairankan; Tuhanmu berfirman: Hal itu mudah bagiKu dan Kami hendak menjadikan pemberian anak itu sebagai satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami) untuk umat manusia dan sebagai satu rahmat dari Kami dan hal itu adalah satu perkara yang telah ditetapkan berlakunya. Maka Maryam hamillah mengandungnya, lalu dia memencilkan diri dengan kandungannya itu ke sebuah tempat yang jauh. (Ketika dia hendak bersalin) maka sakit beranak itu memaksanya (pergi bersandar) ke pangkal sebatang pohon tamar (kurma); dia berkata alangkah baiknya kalau aku mati sebelum ini dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan orang dan tidak dikenang-kenang! Lalu dia diseru dari sebelah bawahnya: Janganlah engkau berdukacita (wahai Maryam), sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai. Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak. Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan. Kemudian kalau engkau melihat seseorang manusia, maka katakanlah: Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana Ar-Rahman; maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada hari ini. Kemudian baliklah dia kepada kaumnya dengan mendukung anaknya mereka pun menempelaknya dengan berkata: Wahai Maryam! Sesungguhnya engkau telah melakukan suatu perkara yang besar salahnya! Wahai saudara perempuan Harun, bapamu bukanlah seorang yang buruk akhlaknya, dan ibumu pula bukanlah seorang perempuan jahat! Maka Maryam segera menunjuk kepada anaknya. Mereka berkata (dengan hairannya): Bagaimana kami boleh berkata-kata dengan seorang yang masih bayi di dalam buaian? Dia menjawab: Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Dia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil) dan Dia telah menjadikan daku seorang Nabi. Dan Dia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup. Serta (diperintahkan daku) taat dan berbuat baik kepada ibuku dan Dia tidak menjadikan daku seorang yang sombong takbur atau derhaka. Dan segala keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku diperanakkan dan pada hari aku mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari kiamat).” (Maryam:16-33)

Maryam dinobatkan sebagai wanita teladan kerana sangat memelihara kehormatan dan kesucian diri dari disentuh lelaki dengan cara yang tidak halal di samping keteguhan iman dan kepatuahan kepada titah perintah Allah (At-Tahrim:12). Bukti kesungguhan Maryam dalam menjaga kesucian diri digambarkan di dalam surah Maryam ayat 17 hingga 20 ketika Allah menghantar malaikat yang datang kepadanya dalam rupa seorang lelaki kacak sewaktu Maryam bersendirian di tempat yang sunyi. Dengan penuh hikmah dan berterus terang Maryam yang tidak mengenali siapa yang datang itu mengingatkannya agar bertaqwa kepada Allah.


Di dalam ayat-ayat berikutnya Allah Ta’ala menggambarkan detik-detik cemas yang mendebarkan dilalui gadis suci yang dipilih untuk menjadi bukti kekuasaan Maha Agung itu. Bagaimana tabah dan beraninya Maryam mendukung anak yang diselimuti dengan pelbagai tuduhan dan keraguan tentang kesucian dan kejujurannya. Namun Allah tidak membiarkan gadis suci itu bersendirian menghadapi segala tohmahan liar. Allah Yang Maha Kuasa menciptakan putera Maryam dengan cara luar biasa daripada penciptaan manusia lain, sekali lagi mendedahkan Maha KuasaNya menjadikan putera Maryam yang masih dalam bedungan itu berbicara dengan fasihnya, luar biasa daripada manusia lain. Menariknya, dalam bicara sulung seorang bayi di dalam bedung itu, dia menyatakan bahawa dia diperintahkan taat dan berbuat baik kepada ibunya. Perintah itu tidak syak lagi menunjukkan betapa mulianya ibu pada pandangan Islam. Putera Maryam yang suatu hari nanti akan membesar dibela oleh seorang ibu tanpa ayah di sisi, dalam keadaan ibu ditohmah dan diragui, mungkin akan terdetik juga tandatanya di hati tentang status ibunya yang sebenar. Justeru, demi mengelak apa saja prangsangka disebabkan tohmahan liar kaumnya terhadap ibunya maka sedari awal Allah tanamkan kefahaman tentang kewajipan berbakti kepada ibu walau apapun keadaannya. Walau ibu dituduh, dikutuk dan diragui kesuciannya, dia tetap ibu dan kamu wajib berbakti kepadanya

Thursday, April 23, 2015

RINDU PALESTIN

Palestin
Sudikah engkau mendengar bisikan rinduku kepadamu
Kerana aku tidak pernah menulis surat cinta kepadamu
Kerana aku tidak pernah menghantar bungkusan hadiah buatmu
Kerana aku tidak pernah menghulur tanganku untuk membalut lukamu
Untuk mengusap kepalamu dan mengelap air matamu
Kerana aku tidak pernah menziarahimu tika engkau ditimpa musibah
Tika anak-anakmu dibunuh dan diburu

Palestin
Hakmu untuk tidak percaya kepadaku
Hakmu untuk tidak menghiraukan luahan rinduku
Lantaran telah sekian lama engkau menderita
Telah sekian lama engkau diinjak
Diperkosa dan dianiaya
Pedihnya hatimu
Peritnya jiwamu
Sempitnya langkah
Sakitnya sanubarimu
Tiada aku peduli
Tiada aku bertanya khabarmu
Tiada aku hirau rintih tangismu
Justeru, cukupkah sekadar aku memohon maaf darimu?

Palestin
Kini aku tetap ingin berkata,
Aku rindu kepadamu
Aku ingin berjanji akan menolongmu
Aku berazam akan tetap bersamamu
Betapa tidak?
Engkau adalah sekeping bumi yang diberkati
Engkau telah menanggung masjid suci generasi demi generasi
Engkau pernah disinggahi Rasul al-Amin
Engkau destinasi isra'nya dan permulaan mi'rajnya
Di dalam perutmu anbiaa' bersemadi
Ribuan syuhada' sedang merehatkan diri
Ulama' dan solihin menanti janji ditepati
Syurga Firdaus yang tak mungkin dimungkiri


Belchamps, Essex
31 Mac 2015


Monday, April 20, 2015

Kelebihan Bulan Rajab

Kelebihan bulan Rajab dipetik daripada buku: Tabyin al-'Ajab bima Warada fi Fadhli Rajab karangan Ibn Hajar al-'Asqalani dari kalangan Mazhab Syafi'ei (wafat 852)

Tidak ada tentang kelebihan bulan Rajab, tentang  puasa padanya, tentang puasa sebahagian daripadanya, juga tentang qiam satu malam tertentu padanya, hadis sahih yang boleh dibuat hujjah.
Telah masyhur di kalangan ahli ilmu yang bersikap toleransi dalam mendatangkan hadis-hadis berkaitan fadhilat-fadhilat sekalipun terdapat kelemahan dari segi periwayatannya selagi ia tidak maudhu' (palsu/rekaan).  Namun perlu diingat, sekiranya dia hendak mengamalkannya mestilah dengan syarat orang yang beramal itu beri'tiqad  (berpegang dengan yakin) bahawa hadis itu adalah dhaif dan janganlah dia memasyhurkannya agar dia tidak mendorong orang lain beramal dengan hadis dhaif. Jika mereka (orang ramai) beramal dengan sebab dia menyebarkan hadis dhaif itu, maka bererti dia mensyari'atkan apa yang tidak disyari'atkan. Atau setengah-setengah golongan manusia yang jahil melihat dia beramal, maka mereka sangka itu adalah sunnah yang sahih.
Sesungguhnya perkara ini telah dinyatakan dengan terang oleh Ustaz Abu Muhammad bin Abd as-Salam dan lain-lain. Hendaklah setiap orang berwaspada supaya dia tidak termasuk dalam golongan yang disebut oleh Nabi s.a.w. "Sesiapa yang menyatakan satu hadis daripadaku, pada hal dia tahu bahawa hadis itu dusta (tidak sahih), maka dia merupakan salah seorang daripada para pendusta." Itu sekiranya menyebar hadis yang tidak benar. Maka bagaimana pula jika beramal dengannya?

Beliau menyebut antara hadis tidak sahih yang disebarkan ialah:
Daripada Anas, bahawa Nabi s.a.w. apabila masuk bulan Rajab, baginda berkata: "Ya Tuhanku, berkatilah untuk kami pada Rajab dan Sya'ban. Dan sampaikanlah kami kepada Ramadhan." Di dalam sanad hadis ini terdapat perawi bernama Zaidah bin Abi ar-Raqqad. Al-Bukhari menyifatkan Zaidah sebagai munkarul-hadis. Kata Ibn Hibban, orang yang tidak boleh dipegang perkhabarannya.  Kata Ibn Hajar, aku dapati sanad hadis ini zahirnya kelihatan sahih. Maka seolah-olahnya boleh dikatakan maudhu' (rekaan, bukan sekadar dhaif). Maka aku hendak mengingatkannya supaya tidak ada yang tertipu dengannya.

Allahu A'lam.

Tips memanfaatkan waktu ketika bersama kawan-kawan

Tips memanfaatkan waktu ketika bersama kawan-kawan oleh Ibn Al-Jauzy (514 – 597 hijriah) di dalam kitabnya "Soidul-Khotir" halaman 160

Aku berlindung dengan Allah daripada bersahabat dengan orang-orang yang batil. Aku melihat ramai manusia menarik aku ke arah aktiviti yang selalu dilakukan oleh kebanyakan orang, iaitu banyak berziarah atau bertandang. Mereka duduk dan berbual-bual tentang perkara yang tidak berfaedah. Dan kadang-kadang terselit dengan umpatan.

Ini merupakan perkara yang banyak dilakukan oleh manusia pada zaman kita sekarang. Kadang-kadang ziarah itu atas undangan tuan rumah yang minta diziarahi kerana kesunyian tinggal sendirian, terutama pada hari-hari perayaan dan keraian. Kamu dapat melihat mereka berjalan bersama-sama saling kunjung mengunjung. Mereka tidak hanya datang untuk mengucapkan tahniah semata-mata. Bahkan mereka bergurau senda dan mensia-siakan banyak masa.

Oleh kerana aku melihat bahawa masa adalah sesuatu yang paling mulia dan paling berharga, dan kita wajib menghabiskannya dengan amal kebaikan, aku tidak suka aktiviti sebegitu. Maka di hadapanku hanya ada dua pilihan:
Jika aku ingkari mereka aku akan sendirian kerana kehilangan sesuatu yang menjadi kebiasaan.
Jika aku terima saja keadaan itu, masa akan kerugian.
Maka aku cuba mengelak sedaya upayaku. Jika aku tidak berjaya mengelak, aku kurangkan percakapan supaya aku cepat-cepat dapat bersurai.
Kemudian aku sediakan pekerjaan-pekerjaan yang menghalang aku daripada bercakap pada waktu pertemuan supaya masaku tidak berlalu sia-sia.
Aku sediakan beberapa keping kertas, penajam pensel dan pengikat nota. Semua ini mesti ada dan kita tidak perlu berfikir dan memberi tumpuan. Aku gunakan di selang-selang waktu ziarah itu agar masaku tidak sia-sia walau sedikitpun.

Kami bermohon kepada Allah agar memberikan kita pengetahuan tentang berharganya waktu-waktu umur kita dan memberikan kita taufiq untuk memanfaatkannya.

Sesungguhnya aku telah menyaksikan ramai manusia yang tidak mengetahui makna kehidupan. Setengah mereka telah dianugerahi kekayaan dan mereka tidak perlu lagi bekerja. Lalu mereka duduk sepanjang hari di pasar memerhatikan manusia. Berapa banyak dia mengaut kemungkaran dan kerugian sepanjang hari itu?
Setengah mereka pula memberi tumpuan pada permainan catur. Setengah yang lain pula menghabiskan masa berbicara tentang kuasa, harta, perkara remeh temeh dan lain-lain.

Maka tahulah aku bahawa sesungguhnya Allah Ta'ala tidak menunjukkan nilai umur dan kemuliaannya, tidak memberi ilmu tentang nilai waktu-waktu sihat kecuali kepada orang yang diberikannya taufiq untuk memahami dan mengilhamkannya untuk merebut peluang dengan sebaik-baiknya. FirmanNya bermaksud: "Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat.” (Fussilat:35).



Monday, February 16, 2015

Mengingati syahidnya al-Banna

Hasan al-Banaa, nama penuh beliau ialah Hasan Ahmad Abdul Rahman Muhammad al-Banna as-Sa'ati
(14/10/1906 – 12/2/1949)

Beliau telah mengasaskan gerakan Ikhwan Muslimin dan merupakan mursyidnya yang pertama. Ditembak semasa keluar dari bangunan Jam'iyyah Syubban Muslimin di jalan Ramsis, Kahirah dan meninggal pada 12/2/1949

Ayah baliau Ustaz Ahmad as-Sa'ati menceritakan:

Aku mendapat khabar kewafatannya pada jam satu pagi dan diberitahu bahawa mereka tidak akan menyerahkan jenazahnya kepadaku kecuali selepas aku berjanji untuk menguburkannya pada jam 9 pagi tanpa sebarang upacara. Jika aku tidak sanggup berbuat demikian, mereka terpaksa membawa jenazahnya dari hospital Qasru Aini terus ke kubur.

Berdepan dengan keadaan demikian aku terpaksa berjanji untuk melaksanakan apa yang diperintahkan oleh kerajaan kerana aku mahu jenazah anakku dibawa ke rumahnya supaya aku dapat menatap wajahnya buat kali terakhir. Seketika sebelum fajar, mereka membawa jenazah ke rumah dalam keadaan bersembunyi. Tidak ada seorang jiranpun yang menyaksikannya dan tidak ada seorangpun yang mengetahui ketibaannya kecuali aku.

Kepungan di sekeliling rumah

Polis terus membuat kepungan, bukan saja di sekeliling rumah malah di sekeliling jenazah itu sendiri. Mereka tidak membenarkan seorangpun mendekatinya walaupun dari kalangan ahli keluarganya yang terdekat. Aku lakukan sendirian urusan memandi dan mengkafankan jenazah anakku. Tidak ada seoangpun insan yang bertugas secara khusus dalam urusan ini dibenarkan masuk. Kemudian jenazah diangkat dan diletakkan kembali di atas keranda yang mereka bawa tadi.

Kemudian timbul persoalan, siapakah yang akan mengusung jenazah ini ke tempat persemadiannya? Aku meminta kepada pihak polis agar membenarkan beberapa orang lelaki datang untuk mengungung keranda, namun mereka menolak permintaanku. Aku berkata kepada mereka bahawa di rumah ini tiada seorang lelakipun. Mereka menjawab, biarkan ia dibawa oleh wanita. Maka jenazah dibawa ke kubur dengan diletakkan di atas bahu kaum wanita.

Puluhan mata mengiringi jenazah

Jenazah diusung tanpa pengiring ke tanah perkuburan. Sepanjang jalan di kanan kiri polis berkawal dengan kawalan yang sangat ketat. Puluhan mata mengiringi jenazah dari celah-celah tingkap rumah-rumah yang berderet di sepanjang jalan. Mereka memandang dengan perasaan kasihan dan kemarahan yang membuak-buak kepada kezaliman yang dilakukan.

Masjid yang kosong

Ketika kami sampai di masjid Qaisun untuk solat jenazah, tidak ada seorangpun yang berada di dalam masjid, sehingga petugas-petugas masjid telah diarahkan keluar daripadanya sebelum kami sampai supaya mereka tidak ikut solat ke atas jenazah anakku.

Solat dan airmata

Aku berdiri di hadapan jenazah untuk solat. Maka air mata mengalir deras dari mataku. Sebenarnya ia bukan air mata, tapi rintihanku ke langit agar menurunkan rahmatNya kepada manusia. Kemudian jenazah dibawa ke tanah perkuburan, lalu kami tanam jasad yang padanya terletak harapan yang amat tinggi. Dan kami pulang ke rumah yang sedang menangis kesedihan.

Siang berlalu, malampun tiba. Tiada seorangpun datang mengucap takziah kerana bala tentera bak singa menghalang mereka datang. Kalau ada yang berjaya menyusup masuk, mereka tidak akan sampai ke rumah mereka kembali kerana ditangkap dan disumbat ke dalam penjara."

Itulah dunia

Dalam masa 12 jam as-Syahid Hasan al-Banna dibunuh, dibedah, dimandi, dikafan dan ditanam. Dengan cara itu berakhir sebuah kehidupan. Tiga orang wanita yang mengusung jenazah di bahu mereka pulang ke rumah, serta seorang ayah yang meratap kesedihan.

Selepas disemadikan di tanah perkuburan imam asy-Syafi'i, sekupumpulan tentera berkawal di sepanjang jalan menuju ke kubur dan sekumpulan lain berkawal di sepanjang jalan menuju ke rumah asy-Syahid. Tiada seorangpun dibenarkan masuk walaupun untuk berzikir dan baca al-Quran. Kalau ada yang masuk, mereka akan dtangkap dan dipenjarakan walaupun mereka hanyalah seorang jiran (bukan anggota Ikhwan).