Tuesday, July 26, 2022

HINA ISLAM

Hina Islam: Agama Bukan Bahan Jenaka, Segera Taubat – Mufti WP

Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Datuk Dr Luqman Abdullah berkata, trend menggunakan agama sebagai bahan jenaka ini sebenarnya telah menjadi kebiasaan di negara Barat melalui filem-filem, rancangan televisyen, nyanyian dan juga pentas komedi.

“Trend ini kami dapati antara kesan dan pengaruh sekularisme yang menjadikan agama bukan lagi dianggap sebagai sesuatu yang suci.”

Beliau berkata, agama juga bebas untuk dikritik dan dipersoalkan oleh sesiapa sahaja atas dasar kebebasan bersuara (freedom of speech) dan berekspresi (freedom of expression).

Perbuatan ini mengingatkan kepada firman Allah SWT berkenaan golongan yang mengejek-ejek agama dalam Surah at-Taubah ayat 65;

“Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu), tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main.” Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?”

Benar sekali apa yang dikatakan oleh Sahibus Samahah Datuk Dr Luqman Abdullah itu. Selain itu, harus diingat bahawa menghina agama bukan hanya dengan kata-kata mengejek dan mencela agama yang dilakukan oleh pihak tertentu yang kadang-kadang apabila diperhalusi latar belakang si pengejek itu didapati mereka terdiri dari golongan yang bermasalah seperti seorang lelaki yang ditahan kerana didakwa mempersenda dan menghina agama Islam serta Nabi Muhammad SAW melalui hantaran video di media sosial, baru-baru ini. Suspek berusia 35 tahun yang tidak bekerja kemudiannya ditahan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang ketika melakukan serbuan di Kampung Bagan Chekok, Pulai Chondong, Machang.

Hasil soal siasat, suspek mengaku memuat naik video yang menyebut perkataan penghinaan terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad SAW.


Ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas suspek juga didapati positif dadah jenis methaphetamine.

Memang kita berasa sedih dan marah dengan perlakuannya itu. Namun kita jangan lupa, menghina agama juga berlaku secara terang-terangan dengan perbuatan dan tindakan pihak yang waras, siuman, dilakukan dengan sengaja dan penuh bangga. Tindakan itu bukan sahaja tidak dikecam, malah dibiarkan berleluasa dan pelakunya terus disanjung, dipuji dan dipuja.

Ini hanyalah beberapa contoh menghina dan mempersendakan agama secara terang-terangan. Namun ramai dalam kalangan umat Islam diam membisu seribu bahasa.

Pertama: isu rasuah. Hadis dengan jelas menyatakan: daripada Abdullah bin Amru RA, beliau berkata: “Rasulullah SAW melaknat pemberi dan penerima rasuah!” Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi dan statusnya adalah sahih.

Hari ini, rasuah sudah membarah. Seolah-olah telah menjadi sebahagian daripada system pentadbiran negara yang diperakui sah di sisi undang-undang. Pelakunya tidak segan silu memberi dan menerima secara terang-terangan.

Kedua: akhlak khususnya sifat malu. Nabi SAW menyifatkan malu adalah sebahagian daripada iman. Baginda bersabda maksudnya: “Iman mempunyai lebih daripada 70 cabang. Yang paling afdhal ialah ucapan tiada tuhan melainkan Allah dan yang minimum ialah menyisihkan perkara yang menyakitkan dari jalan. Dan malu adalah satu cabang daripada iman.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim. Tetapi ada orang mempopularkan slogan yang jelas bercanggah dengan penegasan Rasulullah SAW, kemudian slogan itu “MALU APA….” Disambut dan diviralkan tanpa rasa bersalah

Ketiga: mengkhianati perjanjian. Semua maklum tentang kepentingan berpegang kepada janji dalam ajaran Islam. Nabi SAW menyifatkan memungkiri janji itu satu daripada sifat munafiq (hadis sahih Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Namun orang yang memungkiri perjanjian yang telah ditandatangani sendiri secara terang-terangan memungkirinya kemudian dia diangkat dan disokong oleh ramai pihak termasuk golongan agamawan dan dianggap sebagai PM Malaysia terbaik kerana pandai baca doa dan isterinya memakai tudung. Perjanjian yang dimungkirinya sehingga menyebabkan tumbangnya sebuah kerajaan yang dipilih rakyat melalui proses PRU yang sah tidak langsung dipertikaikan.

Itu hanyalah beberapa contoh yang amat ketara menunjukkan sebahagian kita tidak melihat kepada mempersendakan agama itu secara menyeluruh.

Apabila dilakukan oleh rakyat biasa yang mungkin mengalami masalah mental, ramai di kalangan kita yang bising sehingga menggelegak darah di kepala. Tetapi apabila pelanggaran terang-terangan yang dilakukan oleh pemimpin tertentu ia bukan sahaja dipandang sepi malah disokong pula sehingga sehingga diangkat sebagai wira.

Sesungguhnya tulisan ini tidak sekali-kali bermaksud membela dan mempertahankan sesiapa yang telah ditahan atas tuduhan menghina agama. Itu tanggungjawab pihak berkuasa untuk menjalankan tugasnya. Hanya sekadar untuk mengajak kita sama-sama berfikir dan sama-sama insaf bahawa agama kita sesungguhnya sedang dipermainkan bukan oleh golongan bawahan sahaja. Sebaliknya pihak yang ada kuasa yang mengabaikan perintah agama dengan sengaja itu lebih berbahaya sebenarnya.



PAS MAHU SENDIRIAN TADBIR KEDAH

Hari ini terbaca satu lopran di (https://inforakyat.net/ ) yang bertajuk: 

(Pas mahu sendirian tadbir Kedah, tak mahu parti lain – Hadi). 

“Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata, PAS berhasrat memerintah Kedah secara bersendirian selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15) tanpa perlu parti lain.

Bagaimanapun, katanya, jika PAS tidak memerintah bersendirian, seboleh-bolehnya parti lain yang “menumpang” mereka dan bukan sebaliknya.”

Kita tidak ada masalah dengan hasrat dan cita-cita yang diutarakan oleh tuan presiden itu. Lumrah parti politik begitulah. Tergetnya adalah kuasa.

Yang menimbulkan persoalan ialah apa telah berlaku pada Muafakat Nasional (MN)?

Muafakat Nasional yang dimeterai UMNO dan PAS, antara lain bersetuju membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara.

Elemen berkenaan terkandung dalam piagam yang ditandatangani pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dalam bulan September 2019. 

(https://www.bharian.com.my/, September 14, 2019)

Menurut Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, belum ada mana-mana pihak sama ada UMNO mahupun PAS yang mengisytiharkan pembubaran Muafakat Nasional (MN), atau keluar daripada muafakat itu. Beliau berkata perbincangan di peringkat tertinggi antara kedua-dua parti berkenaan status MN, juga masih belum diadakan setakat ini.

(https://www.astroawani.com/ Mac 21, 2022)

Laporan itu pada bulan Mac 2022. Adakah sekarang MN dengan rasminya telah terbubar atau dibubarkan setelah dimeterai pada bulan September 2019? Sudah terbubarkah muafakat itu? Kalau terbubar, kenapa? Adakah matlamat pembentukannya telah berjaya dicapai atau sebaliknya jalan untuk mencapainya telah menemui kebuntuan?

Namun pada masa yang sama kita lihat PAS masih bersama dengan UMNO memerintah kerajaan Persekutuan. Adakah MN dimeterai hanya bertujuan untuk menjalin kerjasama di peringkat pusat sahaja, sedang di peringkat negeri tidak? 

Namun begitu, kita lihat di Selangor lain pula ceritanya. Menurut Setiausaha Perhubungan PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir Kerjasama PAS-Umno menerusi Muafakat Nasional (MN) di Selangor hampir lengkap dan hanya menunggu isyarat daripada kepimpinan tertinggi kedua-dua parti sahaja. Ketika dihubungi Malaysiakini beliau berkata perbincangan yang dimulakan sejak awal penubuhan MN di peringkat pusat itu berjalan dengan baik.

“Jadi, semua perundingan dan berjalan dengan baik. Cuma dia jadi tersangkut bila ada perubahan di peringkat atasan.

“Tetapi untuk di Selangor ini, kita dah hampir lengkap, antara PAS dengan UMNO.

“Dan kita hanya menunggu signal (isyarat) dari pimpinan pusat parti masing-masing,” katanya kepada portal ini. 

(https://www.malaysiakini.com/ Jun 2, 2022)

Ini belum lagi sentuh tentang hubungan dan kerjasama dengan PN, apakah statusnya di peringkat pusat maupun negeri?

Hemm …Tidak mudah sebenarnya untuk memahami jalan pemikiran seorang politikus yang bertaraf ulamak. Baginya semua keputusan dan tindakannya ada dalil. Justeru, kebanyakan pengikut dan pendukungnya lebih suka untuk memilih jalan senang, ikut saja. Dia lebih tahu kerana dia lebih berilmu berbanding dengan kita.

Memang benar Islam suruh taat kepada pemimpin, dengar cakap ulamak. Namun tidak bermakna kita tidak mempunyai hak untuk bertanya. Sahabat Nabi RA, apabila melihat sesuatu tindakan Nabi SAW yang mereka rasa kurang tepat atau kurang sesuai, mereka bertanya dengan penuh adab, “adakah ini wahyu atau pendapat sendiri?” Jika Nabi SAW menjawab, “pendapat sendiri”, mereka memberi cadangan yang pada pendapat mereka lebih sesuai. Dan Nabi SAW menerima cadangan yang dikemukakan oleh sahabat RA (Rujuk peristiwa peperangan Badar al-Kubra).

Maka apabila melihat kenyataan serta keputusan yang sering berubah, yang kadang-kadang kelihatan seperti bercanggah antara satu sama lain, tidak ada salahnya untuk kita bertanya, adakah ini menepati roh politik Islam atau lebih dekat kepada politik Machiavelli? 

Allahu A'lam





Thursday, June 30, 2022

JOM ZIKIR!

Hari ini bermula hari-hari
terbaik
di dunia.
Marilah kita membanyakkan zikir sebagaimana yang disarankan oleh Nabi kita SAW.
Banyak zikir yang mudah, namun besar fadhilatnya. Contohnya:
Sa’ad bin Waqqas RA melaporkan:
Ketika kami sedang duduk bersama Nabi SAW, baginda bertanya
“Adakah dalam kalangan kalian seseorang yang tidak mampu berusaha untuk meraih 1000 hasanah (kebaikan) setiap hari?”
Maka seorang daripada kami bertanya:
“Bagaimanakah cara yang membolehkan kami meraih 1000 hasanah?”
Baginda SAW bersabda:
“Bertasbih 100 kali, maka ditulis untuknya 1000 hasanah, atau dipadamkan darinya 1000 kesalahan.”
Riwayat Muslim (Kitab al-Azkar, Imam al-Nawawi)
Hanya dengan bertasbih ( سبحان الله ) 100 kali akan memperoleh 1000 kebaikan! Bukan sekadar itu, malah dipadamkan 1000 kesalahan!
Berapakah waktu yang kita perlukan untuknya?
Hanya 2 atau 3 minit daripada 1440 minit yang Allah berikan kepada kita.
Jom…!!!
UMD
1/12/1443
1/07/2022

BILAKAH KITA AKAN BERPUASA SUNAT HARI ARAFAH?


“Berpuasa pada hari ‘Arafah menghapuskan dosa selama dua tahun, setahun yang lalu dan setahun yang akan datang…” Maksud Hadis Riwayat Muslim

Umat Islam di seluruh Malaysia dijadual menyambut Hari Raya Aidiladha tahun 2022, pada 10 Julai ini. 1 Zulhijjah 1443 jatuh pada hari Jumaat bersamaan dengan 1 Julai 2022.

Pengumuman pengisytiharan itu dibuat oleh Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja, Mohd. Aseral Jusman malam tadi.

Dalam pada itu, kita dimaklumkan ibadah wuquf di Arafah tahun ini jatuh pada Jumaat bersamaan 8 Julai 2022. Ini bermakna Hari Raya Aidiladha yang akan disambut oleh Umat Islam di Malaysia pada 10 Julai lewat sehari daripada sambutan di Arab Saudi.

Situasi seperti ini menimbulkan persoalan tentang puasa sunat Arafah; adakah perkiraannya mengikut anak bulan di sesebuah negeri atau mengikut hari wukuf di Arafah? Adakah umat Islam di Malaysia akan berpuasa sunat pada hari Jumaat bersamaan dengan berlangsungnya wuquf di Arafah atau pada hari Sabtu bersamaan dengan 9 Zulhijjah berdasarkan perkiraan rukyah dan perisytiharan yang dibuat oleh kerajaan Malaysia? 

Persoalan ini telah dibahas oleh fuqahak sejak dahulu. Ada  dua pendapat tentang masalah ini. 

Pertama: Pendapat Ibnu Rajab Al-Hanbali Rahimahullahu Taala dan sebahagian Ulama Malikiyyah Rahimahumullahu Taala. Mereka berkata, puasa sunat Hari Arafah adalah hari di mana para jemaah haji wukuf di Arafah.

Kedua: Pendapat Mazhab As-Syafie, dan juga sebahagian Ulama Malikiyyah seperti Ibnu Abd al-Barr Rahimahumullahu Taala. Mereka berkata, puasa sunat Arafah mengikut perkiraan melihat anak bulan Zulhijjah pada sesuatu negeri, iaitu tanggal 9 Zulhijjah itu sendiri kerana setiap negeri mempunyai matla’ (tampat terbit anak bulan) yang berbeza. 

(Rujuk Fathul Bari oleh Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani Rahimahullahu Taala (4/123)

Pendapat kedua merupakan pendapat yang ditarjih dalam Mazhab As-Syafi’e Rahimahullahu Taala dan terpakai di Malaysia

Pendapat ini juga diperkuatkan dengan dalil-dalil daripada al-Quran, al-Sunnah dan qias.

Dalil daripada al-Quran, firman Allah yang bermaksud: “…Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu;…” (Al-Baqarah 2:185) 

Ayat ini berkaitan dengan puasa Ramadhan di mana Allah kaitkan kefardhuan puasa dengan melihat anak bulan. Maka sesiapa yang belum menyaksikannya, belum wajib kerana harus disempurnakan bulan Syaaban dahulu. Demikianlah juga dengan bulan Zulhijjah. Ada negeri yang melihat anak bulan lebih awal daripada negeri lain. Maka tarikhnya lebih awal.

Dalil daripada al-Sunnah, sabda Nabi SAW bermaksud: “Apabila kamu melihatnya (anak bulan Ramadhan) berpuasalah. Dan apabila kamu melihatnya (anak bulan Syawwal) berbukalah!” (Muttafaq ‘alaih) 

Hadis ini sama maksud dengan ayat di atas, iaitu berkaitan dengan ibadah puasa. Maka ibadah lain boleh dikira samalah prinsipnya, iaitu melihat anak bulan.

Dalil qias ialah, waktu mula berpuasa (imsak) dan berbuka (iftar) setiap hari adalah berbeza dari satu negeri dengan negeri yang lain berdasarkan waktu terbit dan tenggelam matahari di setiap negeri. Negeri-negeri di sebelah timur waktu imsak dan iftarnya lebih awal daripada ngeri di sebelah barat. Hal ini telah ijmak dalam kalangan semua ulamak. Maka perbezaan awal bulan diqiaskan dengan perbezaan waktu imsak dan waktu iftar setiap hari yang telah disepakati.

(https://islamqa.info/ar/answers/40720)

Allahu A’lam.


UMD

30/06/2022

30/11/1443 





Saturday, June 25, 2022

KELEBIHAN 10 HARI PERTAMA ZUL HIJJAH

Terdapat nas-nas yang sahih berkaitan dengan kelebihan 10 hari pertama Zul Hijjah. Antaranya:

1. Allah bersumpah dengannya. Apabila Allah bersumpah dengan sesuatu, itu menunjukkan kelebihan dan kemuliaannya di sisi Allah. Allah berfirman: “Demi waktu fajar; Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah);” (Al-Fajr 89:1-2). Majoriti ahli tafsir berpendapat bahawa maksud  “malam yang sepuluh” dalam ayat itu ialah 10 pertama Zul Hijjah. Ibn Kathir menyebut beberapa pendapat yang berbeza. Namun beliau menyimpulkan bahawa inilah, iaitu 10 awal Zul Hijjah yang sahih.

2. Hari-hari maklumat yang disyariatkan supaya membanyakkan zikir, mengingat dan menyebut-nyabut Nama Allah. Allah SWT berfirman maksudnya: “Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada HARI-HARI YANG TERTENTU,..” (Al-Hajj 22:28) Hari-hari tertentu (Ayyam Maklumat) dalam ayat ini, menurut majoriti ulamak termasuk Ibn Umar dan Ibn Abbas adalah 10 pertama Zul Hijjah.

3. Persaksian Rasul sendiri bahawa 10 hari ini merupakan hari paling afdhal di dunia. Daripada Jabir RA, Nabi SAW bersabda maksudnya: “Hari-hari di dunia yang paling afdhal ialah 10 hari pertama Zul Hijjah…” Riwayat al-Bazzar dan Ibn Hibban. Al-Albani berkata statusnya adalah sahih.

4. Padanya terdapat Hari Arafah. Hari Arafah adalah hari haji akbar, hari maghfirah daripada dosa-dosa, hari pembebasan dari api neraka. Andainya tidak ada kelebihan lain dalam 10 hari ini selain hari Arafah, itu sudah mencukupi.

5. Padanya terdapat Hari Nahar. Hari Nahar adalah hari paling afdhal dalam satu tahun menurut sebahagian ulamak berdasarkan sepotong hadis yang bermaksud: “Hari paling agung di sisi Allah ialah hari Nahar, kemudian hari Qarr (hari tasyriq yang pertama, iaitu 11 Zul Hijjah)” Riwayat Abu Daud dan al-Nasae. Al-Albani berkata statusnya adalah sahih.

6. Berhimpun padanya pelbagai ibadah utama yang disebut sebagai Ummahat al-ibadah. Rasulullah صَلَّى الله عَلَيْهِ وَسَلَّمَ bersabda maksudnya:

“Amal soleh yang paling Allah sukai dilakukan oleh hamba-Nya ialah amal-amal soleh yang dilakukan pada hari-hari ini (10 pertama Zul-Hijjah)”, mereka bertanya: “Ya Rasulullah, adakah Allah lebih suka daripada berjihad fi sabilillah?” Baginda menjawab (maksudnya): “Ya, tidak dapat mengatasi jihad fi sabillah, kecuali seseorang yang keluar berjihad dengan jiwa dan hartanya kemudian dia tidak pulang membawa sedikitpun daripada jiwa dan hartanya itu (menemui syahid)” Sunan Ibn Majah.

APAKAH PERSEDIAAN KITA UNTUK MENYAMBUTNYA?

Kedatangan tetamu yang hebat, pastinya disambut dengan persediaan yang sepadan dengannya. 

Pertama, tanamkan azam dengan sungguh-sungguh, niat yang benar untuk memanfaatkan hari-hari terbaik ini dengan amalan-amalan yang terbaik demi meraih redha Allah SWT.

Kedua, betaubat dari segala dosa kerana orang yang bertaubat dijanjikan Allah akan memeperoleh kejayaan sebagaimana firmanNya yang bermaksud: “… dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

(An-Nuur 24:31)

Ketiga, jauhi maksiat yang lahir dan yang tersembunyi kerana maksiat adalah sebab utama yang menjauhkan seseorang hamba dari Rabbnya. 


AMALAN-AMALAN YANG DISARANKAN

Dengan rahmatNya Allah anugerahkan kita hari-hari yang Dia paling suka kita beramal untuk mendekatkan diri kepadaNya. Maka berusahalah untuk mengisi hari-hari tersebut dengan pelbagai amal sama ada yang wajib atau sunat seperti:

1. Menyempurnakan manasik haji dan umrah. Ini khusus bagi mereka yang terpilih menjadi tetamu Allah.

2. Puasa. Boleh dilakukan mulai 1 hingga 9 hari bulan. Sekiranya tidak dapat dilakukan daripada awal, usahakan supaya dapat ditunaikan pada hari ke 9, iaitu hari Arafah. Kelebihannya dinyatakan dalam hadis yang bermaksud: “Berpuasa pada hari ‘Arafah menghapuskan dosa selama dua tahun, setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. Dan berpuasa pada hari ‘Asyura’ (10 Muharram) menghapuskan dosa setahun yang lalu” Riwayat Muslim.

3. Solat. Tidak diragukan lagi kelebihan solat yang merupakan rukun Islam yang pertama selepas syahadah. Selain solat fardhu banyak solat-solat sunat yang digalakkan sama ada siang atau malam.

4. Banyakkan zikir seperti takbir, tahmid, tahlil dan sebagainya. Nabi SAW bersabda maksudnya:

“Tidak ada hari yang lebih agung di sisi Allah selain daripada 10 hari pertama bulan Zul-Hijjah, dan tidak ada amalan yang paling Dia suka dilakukan selain daripada amalan yang dilakukan pada 10 hari pertama bulan Zul-Hijjah. Maka hendaklah kamu membanyakkan TAHLIL, TAKBIR dan TAHMID pada hari-hari tersebut.” Musnad Ahmad

5. Sedekah. Sedekah adalah tanda syukur atas ni’mat yang dianugerahkan Allah kepada kita di samping mengharapkan keampunan serta dijauhkan dari api neraka. Nabi SAW bersabda maksudnya: “Sedekah tidak akan mengurangkan harta sedikitpun” Riwayat Muslim. 

6. Korban. Disunatkan pada hari ke 10, 11, 12 dan 13. 

“Amalan anak Adam yang paling Allah sukai pada Hari Nahar ialah menyembelih haiwan ternakan. Sesungguhnya haiwan-haiwan itu akan bangkit pada hari kiamat nanti bersama tanduk-tanduk, kuku-kuku dan bulu-bulunya. Sesungguhnya darahnya akan sampai kepada Allah sebelum ia menitis ke bumi. Maka laksanakanlah korban dengan sepenuh hati mu”. Riwayat Ibn Majah dan al-Tirmizi

7. Banyak lagi amalan-amalan yang baik yang boleh diusahakan seperti menuntut ilmu dan mengajarkannya, menguhubungkan silatul rahim, menyebarkan salam, menyediakan makanan kepada mereka yang memerlukan, mendamaikan dua pihak yang bermusuhan, menyantuni ahli keluarga, jiran tetangga dan lain-lain. 

8. Setiap orang ada medannya dan ada kewajipan yang khusus baginya yang mungkin tidak sama dengan orang lain. Justeru, sempena hari-hari terbaik ini berusahalah sedaya mampu untuk melaksanakan kewajipan dengan penuh amanah, ikhlas, selari dengan tuntutan syariah. Ingatlah bahawa sebaik-baik manusia ialah yang paling bermanfaat kepada orang lain. Daripada Ibn Umar RA, seorang lelaki bertemu Rasul Allah dan bertanya: “Ya Rasul Allah, siapakah manusia yang paling dikasihi Allah?” Baginda menjawab: “Manusia yang paling dikasihi Allah ialah yang paling bermanfaat kepada manusia. Dan amalan yang paling disukai Allah ialah kegembiraan yang engkau hulurkan kepada seorang muslim. Engkau ringankan bebanan kesusahannya, atau lunaskan hutangnya, atau hilangkan kelaparannya. Sesungguhnya seandainya aku berjalan bersama seorang saudara untuk memenuhi satu keperluannya lebih aku sukai daripada beriktikaf di masjid ini, iaitu masjid Madinah selama sebulan.” Riwayat al-Tabrani.


UMD

26/06/2022

26/11/1443


Sunday, June 19, 2022

AL-QURAN TIDAK MENGANGKAT PENGORBANAN AYAH?

Allah SWT berfirman maksudnya:

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).”

(Luqman 31:14) 

Ada yang bertanya kenapa dalam ayat ini Allah hanya menyebut kesukaran yang ditanggung oleh ibu tetapi tidak langsung menyentuh tentang ayah pada hal kita diwajibkan supaya berbuat baik kepada keduanya: ibu dan ayah?

Memahami al-Quran bukan hanya dengan melihat pada nas atau lafaz yang zahir sahaja. Lihat juga pada makna yang tersirat di sebaliknya.

Cuba kita bayangkan di saat ibu menanggung kesusahan ketika mengandung, melahir dan menyusukan sebagaimana yang diungkapkan dalam ayat di atas (kelemahan demi kelemahan), manakala dalam surah al-Ahqaf pula Allah menggunakan ungkapan (ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah- Al-Ahqaaf 46:15), bayangkan siapakah yang berada di sisi ibu? Siapakah yang menyantuni perasaannya, yang membantu meringankan bebannya, yang berusaha memenuhi kehendak dan keperluannya? Bukankah ayah? Malah kadang-kadang ayah sampai tidak dapat berehat kerana terpaksa membereskan semua urusan rumah yang tidak mampu dilakukan oleh ibu yang berada dalam keadaan lemah, mabuk, tak lalu makan, sakit, penat dan sebagainya.

Jadi, bila al-Quran menyebut kesusahan yang dialami oleh ibu tidak bermakna pengorbanan ayah diabaikan kerana di sebalik kesusahan yang ditanggung oleh ibu itulah terserlahnya peranan ayah yang setia di samping ibu dengan segala bantuan dan sokongan dalam serba serbi: fizikal, mental dan emosi. Maka wajarlah perintah berbuat baik adalah kepada kedua-duanya tanpa beza (Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya - Al-Ahqaaf 46:15)

Jika begitu, apakah hikmahnya Allah tidak sebut pengorbanan ayah yang turut menanggung kesusahan melayan ibu?

Allah SWT Maha Bijaksana. Setiap ayat dan setiap huruf yang diturunkan pasti ada hikmahnya. 

Lumrahnya kesusahan yang ditanggung oleh ibu bersifat tetap. Asalkan dia mengandung, melahirkan dan menyusukan, segala kesusahan dan kesulitan pasti dialaminya.

Manakala ayah pula tidak tetap kerana kadang-kadang ayah tidak ada di sisi ibu seperti Maryam yang Allah pilih untuk mendapat anak tanpa berkahwin dengan lelaki, atau ayah meninggal semasa ibu mengandung, atau wanita yang mengandung kerana diperkosa oleh lelaki yang tidak bertanggungjawab, atau berbagai-bagai situasi yang menyebabkan ayah tidak ada bersama ibu. Namun ibu tetap meneruskan misinya: (mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan - Al-Ahqaaf 46:15)

Allahu A’lam.


UMD

20/06/2022



Friday, April 29, 2022

KISAH PENYESALAN

Pada suatu malam dalam bulan Ramadan, seseorang memberitahu saya, kawan-kawannya ajak keluar makan-makan selepas pukul 10 malam. Memandangkan tempat yang dicadangkan itu agak jauh, waktupun agak lewat dan hujan turun renyai-renyai dia buat keputusan untuk tidak pergi walaupun mereka mendesak dengan sungguh-sungguh.

Keesokannya dia baru tahu rupa-rupanya bukan sekadar makan-makan biasa, sebaliknya ada acara istimewa, iaitu majlis sambutan hari jadi bossnya.

Bukan main menyesalnya dia tak pergi kerana tidak diberitahu secara tenrus terang tentang hal itu.

Cuba fikir, kita tidak pergi kerana tidak diberitahu tentang keistimewaan yang ada pada majlis itu. Lalu kitapun menyesal kerana telah terlepas satu peluang yang cukup istimewa.

Cuba bayangkan, jika kita diberitahu akan hal yang sebenar adakah kita sengaja memilih untuk tidak pergi atau kita akan berusaha mengatasi segala halangan untuk tidak terlepas dari menghadiri majlis yang istimewa itu?

Tahukah kita, berapa banyak peluang istimewa yang Allah ofer sama ada melalui surat rasmi yang dihantar kepada kita (al-Quran) atau melalui utusan rasmiNya (hadis Nabi SAW) yang tidak diragui ketulinannya, namun tawaran-tawaran istimew itu kita lepaskan begitu saja tanpa rasa menyesal?

Contohnya:

1. Muslim meriwayatkan daripada Uthman bin Affan RA. Dia berkata: saya mendengar Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Sesiapa yang solat Isya berjamaah, maka seolah-olah dia qiam separuh malam. Dan sesiapa yang solat subuh berjamaah, maka seolah-olah dia solat satu malam sepenuhnya!”

Adakah kita mampu untuk solat sepenuhnya sepanjang malam? Tentu tidak. Adakah kita berkejar untuk solat Subuh berjamaah bagi merebut fadhilat solat malam sepenuhnya? Tidak juga. 

Adakah kita menyesal dan berasa amat rugi jika tidak dapat solat Subuh berjamaah? 

Tepuk dada, tanyalah iman.

2. Nabi SAW bersabda maksudnya: “Pada setiap 1/3 terakhir malam, Allah berfirman (maksudnya): “Sesiapa yang berdoa, Aku akan qabulkan. Sesiapa yang meminta, Aku akan tunaikan. Sesiapa yang memohon ampun, Aku akan ampunkannya. Hal itu berlaku berterusan sehingga terserlah waktu fajar.” Riwayat Al-Bukhari dan Muslim

Kita tahu tawaran yang sangat hebat ini. Dan kitapun banyak perkara yang ingin dipohon, sama ada yang berkaitan dengan hajat duniawi mahupun hajat ukhrawi. Namun, adakah setiap malam kita segera berkejar untuk bangkit pada waktu itu atau kita lebih mengutamakan tilam yang empuk, selimut yang hangat, bantal yang selesa serta tidur yang lena tanpa sedikitpun rasa rugi, terkilan dan menyesal?

Banyak lagi janji-janji hebat yang tidak cukup ruang untuk dibilang. Semua itu menjadi pengukur kepada tahap iman dan keyakinan kita kepada janji Allah SWT dan hari akhirat.

Muhasabahlah…! 


Thursday, April 28, 2022

LATIHAN QIAMUL-LAIL

Sepanjang Ramadan, kebanyakan kita gigih merebut peluang menunaikan solat sunat tarawih sebagai satu ibadah yang sangat dituntut dalam bulan Ramadan.

Bagaimanakah agaknya selepas berakhirnya Ramadan?

Akan berakhirkah juga qiamul-lail?

Sebenarnya solat tarawih itu adalah latihan untuk membudayakan qiamul-lail yang merupakan ibadah yang sangat afdhal dan dipuji oleh Allah.

Allah SWT berfirman maksudnya:

"(Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? "Katakanlah lagi (kepadanya): "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.

(Az-Zumar 39:9) 

( قَانِتٌ ءانَاء ٱلَّيْلِ سَـٰجِداً وَقَائِماً ) 

قَانِتٌ  bermaksud orang yang taat kepada Allah dengan mengerjakan apa yang diperintahkanNya

ءانَاء ٱلَّيْلِ bermaksud beberapa ketika daripada waktu malam sama ada pada awalnya, pertengahannya atau pada akhirnya

سَـٰجِداً وَقَائِماً adalah merujuk kepada perbuatan solat.

Ini jelas menunjukkan kelebihan solat malam. 

Kelebihan solat malam terserlah dari beberapa aspek:

1. Lebih terlindung dari pandangan mata manusia. Dengan itu lebih terpelihara daripada penyakit ria’

2. Waktu manusia sedang tidur lena. Justeru, mereka tidak mendengar apa yang kita kerjakan. Dengan itu lebih berpeluang untuk kita memberikan sepenuh tumpuan kepada ibadah

3. Berkorban sebahagian daripada waktu tidur, sesuatu yang bukan senang untuk dilakukan. Maka diharapkan dengannya akan memperoleh ganjaran yang besar.

4. Apa yang Allah sebut dalam surah al-Muzzammil:6 “Sesungguhnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya.”

Selain menekankan kepentingan dan kelebihan qiamul-lail, ayat ini mengandungi pengajaran yang tidak kurang penting, iaitu gabungan ilmu dan amal. pada permulaan ayat Allah sebut tentang amal, iaitu taat mengerjakan perintah Allah (قانتاً ساجداً قائماً ). Pada akhir ayat Allah sebut kepentingan ilmu (Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?).  ini menunjukkan bahawa kesempurnaan seseorang insan itu hanya tercapai dengan adanya dua unsur ini, ilmu dan amal.

Seterusnya, ayat ini menekankan bahawa sesuatu amalan itu benar-benar memberi manfaat kepada orang yang beramal sekiranya dilakukan dengan konsisten dan berterusan. Perkataan qanit menunjukkan seseorang itu sentiasa tangkas, bangkit melaksanakan apa jua yang Allah perintahkan. Dan ilmu juga hanya bermanfaat jika diamalkan dengan berterusan.

Mudah-mudahan latihan tarawih sepanjang Ramadan berjaya menjadikan kita umat yang konsisten dengan qiamul-lail.


Wednesday, April 27, 2022

KEBAHAGIAAN AHLI SYURGA (SURAH YA SIN 55 – 58)

Sesungguhnya penduduk Syurga pada hari itu, berada dalam keadaan sibuk leka menikmati kesenangan;

Mereka dengan pasangan-pasangan mereka bersukaria di tempat yang teduh, sambil duduk berbaring di atas pelamin;

Mereka beroleh dalam Syurga itu pelbagai jenis buah-buahan, dan mereka beroleh apa sahaja yang mereka kehendaki;

(Mereka juga beroleh) ucapan salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihani.

(Yaa Siin 36:55-58)

Huraian 1: أَصْحَابَ ٱلْجَنَّةِ

Ashab jamak atau plural kepada sohib. 

Sohib bermakna orang yang kita pilih untuk menemani dan mendampingi kita sepanjang masa. Seolah-olahnya mereka adalah teman bagi Jannah dan Jannah adalah teman bagi mereka. Itulah gambaran orang beriman di dunia. Selalu ingat dan rindukan Jannah. Lalu mereka melakukan amalan-amalan yang memungkinkan mereka bertemu dengan Jannah.

Sohib juga bermakna pemilik. Seolah-olahnya Jannah itu milik mereka. Mereka memegang kuncinya dan memasukinya bila-bila mereka suka

Huraian 2: فِي شُغُلٍ فَاكِهُونَ

Berada dalam kenikmatan yang membuat mereka tidak sempat atau terlalu sibuk untuk mengingati sesuatu yang lain atau saudara mara dan kenalan mereka yang berada di dalam neraka

Fakihun – dalam keadaan menikmati kelazatan, kesenangan yang sepenuh-penuhnya. Kalau mereka makan, bukan kerana lapar, atau kerana mengubati sakit, hanya kerana untuk menikmati kelazatan dan keenakannya.

Huraian 3: هُمْ وَأَزْوَاجُهُمْ

Azwaj bermakna ahli kumpulan yang memiliki kriteria yang sama, iaitu amal soleh

Azwaj juga bermaksud pasangan suami dan isteri. Inilah makna yang paling kerap digunakan. Suami isteri yang beriman dan beramal soleh akan duduk bersama di dalam syurga. Jalinan yang berasaskan sakinah mawaddah dan rahmah bukan hanya sekadar di dunia. Malah berterusan hingga ke akhirat.

Huraian 4:  فِي ظِلاَلٍ

Di tempat teduh. Terlindung daripada panas atau hujan atau apa-apa yang mengancam keselamatan serta keselesaan

Atau mungkin bermaksud teduhan atau bayangan yang disediakan Allah sebagaimana yang disebut di dalam hadis " سبعة يُظلهم الله في ظله يوم لا ظل إلا ظله.. " 

Huraian 5: عَلَى ٱلأَرَآئِكِ مُتَّكِئُونَ

Ara-eki jamak arikah – katil yang mempunyai bantal tempat bersandar.

Seseorang yang tidak tidur, mereka berada dalam keadaan sama ada duduk ( قاعد ) atau berdiri (قائم  ) atau bersandar (متكئ ).

Berdiri untuk melakukan sesuatu pekerjaan. Duduk orang yang tertekan melayan fikiran atau perasaan. Bersandar sedang berihat sepenuhnya

Huraian 6: لَهُمْ فِيهَا فَاكِهَةٌ وَلَهُمْ مَّا يَدَّعُونَ

Fakihah – makan untuk kesedapan, bukan kerana lapar atau keperluan

dan mereka beroleh apa sahaja yang mereka kehendaki;  yang diminta atau tanpa meminta

Huraian 7:  سَلاَمٌ قَوْلاً مِّن رَّبٍّ رَّحِيمٍ 

Salam boleh membawa maksud 

i. Apa yang mereka ingini (dalam ayat 57) diserahkan kepada mereka dengan selamat sempurna tanpa cacat atau kurang

ii. Ucapan salam daripada Allah secara direct, tanpa perantaraan

Allah adalah Rabb, iaitu Tuan yang mencipta dan memiliki. Setiap pencipta akan kasih kepada ciptaannya. Apa lagi pencipta yang memiliki sifat Maha Pengasih

Kesimpulan:

Kesempurnaan ni’mat untuk ahli syurga:

1. Berada dalam kesibukan, bukan sibuk kerja, sibuk memikir masalah, tetapi sibuk menikmati kesenangan atau sambutan luar biasa daripada Tuhan mereka.
2. Dalam pada itu mereka tidak perlu fikir tentang orang yang disayangi kerana semuanya ada bersama (azwaj)
3. Tempat yang selesa, tidak bimbang apa-apa (fi zilal)
4. Semua keinginan dipenuhi dengan sempurna 
5. Alu-aluan salam daripada Tuhan yang Maha Penyayang

Tuesday, April 26, 2022

DOSA YANG BERGANDA

Allah SWT berfirman maksudnya:

“Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Apakah yang diturunkan oleh Tuhan kamu (kepada nabi Muhammad)?" Mereka menjawab: "Cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu kala".

(Mereka dibiarkan menuduh dengan yang demikian) supaya mereka memikul dosa-dosa mereka dengan sepenuhnya pada hari kiamat, dan juga memikul dosa orang-orang yang mereka sesatkan dengan tidak berdasarkan pengetahuan yang benar; sesungguhnya amatlah buruknya dosa-dosa yang mereka lakukan itu.”

(Al-Nahl 16:24-25) 

Ayat ke 25 mengenai ketua kaum yang memimpin atau mengajak kaumnya melakukan kejahatan. Mereka bukan sahaja memikul dosa sendiri, malah turut memikul dosa orang-orang yang mengikutinya.

Allah mengatakan “mereka memikul dosa-dosa mereka dengan sepenuhnya ( أَوْزَارَهُمْ كَامِلَةً )” menunjukkan bahawa Allah tidak akan meringankan siksaan yang dikenakan ke atas mereka walau sedikitpun. 

Kata ar-Razi, ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa di akhirat nanti akan ada siksa yang diringankan daripada orang-orang yang beriman. Jika tidak, tidak ada gunalah Allah menyebut perkataan  كَامِلَةً atau sepenuhnya di sini. Jika benar pandangan ini, maka satu berita gembira kepada orang beriman, harapan supaya siksa diringankan dengan rahmatNya.

Ayat ini juga sejajar dengan hadis yang bermaksud “sesiapa yang mengajak kepada kebaikan, dia akan mendapat pahala orang yang mengikutinya tidak kurang daripada pahala mereka sedikitpun. Dan sesiapa yang mengajak kepada kejahatan, dia akan menanggung dosa orang yang mengikutinya tidak kurang daripada dosa mereka sedikitpun” (Riwayat Muslim)

Justeru dengan kemudahan teknologi penyebaran maklumat seperti sekarang, berhati-hatilah sebelum menyebarkan sesuatu yang tidak baik supaya kita terselamat dari bebanan memikul dosa yang berganda-ganda.

Ada yang bertanya, Bagaimana Kita memahami ayat ini dgn ayat , Dan seseorang tidak menanggung dosa orang lain..?

Dalam hal ini, ar-Razi berkata: ketahuilah bahawa bukanlah maksudnya di sini sesungguhnya Allah Ta’ala akan menyampaikan azab yang patut menimpa pengikut kepada ketuanya kerana itu tidak selari dengan keadilan Allah berdasarkan firmanNya “Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya;” (An-Najm 53:39) 

Dan firmanNya “(Dalam Kitab-kitab itu ditegaskan): Bahawa sesungguhnya seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja);” (An-Najm 53:38)

Sebaliknya, maknanya ialah bahawa seorang ketua itu apabila dia mencetuskan satu sunnah yang buruk, besarlah siksaannya sehinggakan siksaan itu menjadi sama dengan setiap siksaan yang patut didapati oleh setiap orang pengikutnya. Allahu A’lam.


Monday, April 25, 2022

AL-QURAN YANG DIPINGGIRKAN

Allah SWT berfirman maksudnya:

“Dan berkatalah Rasul: "Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini MAHJURA".” (Al-Furqaan 25:30) 

Mahjura berasal daripada perkataan hijrah. Jadi mahjur bermaksud dihijrahkan, ditinggalkan, tidak dipedulikan.

Ibn Kathir berkata, ayat ini mengenai kaum musyrikin. Mereka mendengar al-Quran tetapi tidak memberikan perhatian, tidak memberikan tumpuan dengan memerhati maksudnya.

Ar-Razi berkata, ada dua pendapat tentang maksud mahjur dalam ayat ini: 

Pertama: daripada hijrah. Ertinya mereka meninggalkan seruannya, tidak beriman dengannya dan enggan mendengarnya.

Kedua: meminggirkannya dengan melemparkan pelbagai tuduhan seperti sihir, syair, dusta dan sebagainya.

Selain daripada dua pandangan di atas, beliau juga membawakan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas RA, bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya:

“Sesiapa yang belajar al-Quran dan mengajarnya, dan dia menggantung mushaf tanpa menyantuni, tanpa menghirau dan memandangnya, mushaf itu datang pada hari qiamat nanti bergantung kepada tuannya seraya berkata:

“Wahai Tuhan Rabbul Alamin, hambaMu ini menjadikan aku MAHJURA. Maka bicarakanlah dan putuskanlah hukuman (yang adil) antara aku dengannya!”

Adakah kita termasuk dalam kalangan mereka yang menjadikan al-Quran MAHJURA?

Renungkanlah…






Friday, April 22, 2022

ZIKIR POWER


Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya:

“Sesiapa yang mengucap:

لا إله إلا الله وحده لا شريك له 

له الملك، وله الحمد، وهو على كل شيء قدير

100  kali dalam sehari, baginya pahala: 

membebaskan 10 orang hamba, 

ditulis untuknya 100 kebajikan, 

dihapuskan daripadanya 100 kesalahan, 

dilindungi daripada syaitan pada hari tersebut sehingga ke petang, dan 

tidak ada seorangpun yang mendapat lebih baik daripadanya kecuali orang yang beramal lebih banyak daripadanya

(Al-Bukhari dan Muslim)

Zahir hadis ini tidak mensyaratkan berturut-turut 100 kali untuk mendapat ganjaran yang disebutkan. 

Yang penting cukup 100 kali dalam sehari, sama ada diucapkan berturut-turut dalam satu majlis, atau pada waktu yang berbeza seperti sebahagiannya pagi, sebahagiannya petang. Demikian pendapat Imam an-Nawawi. Cuma katanya, yang afdhal adalah diucap secara berturut-turut pada waktu pagi supaya mendapat perlindungan daripada syaitan sepanjang hari tersebut.


Thursday, April 21, 2022

CADANGAN AMALAN YANG MUDAH UNTUK MENGISI LAILATUL-QADAR


Lailatul-Qadar yang ditunggu-tunggu bakal menjelma. 
Pastinya kita mengharapkan agar bertemu dengannya
Apakah persediaan kita untuk mengisi kehadirannya
Agar dapat diraih kebaikan yang sebanyak-banyaknya?

Ini beberapa cadangan mudah, yang mampu dibuat oleh siapa saja, tanpa menafikan ramai yang mampu lakukan lebih banyak dan lebih baik daripada apa yang dicadangkan ini. 
Hanya sekadar cadangan supaya setiap orang tidak terlepas daripada kebaikannya.

1. Ikhlaskan niat, bulatkan tekad, panjatkan doa supaya Allah permudahkan segala-galanya 
2. Malam bermula dengan masuknya waktu maghrib, waktu berbuka. Berilah makanan untuk berbuka walaupun hanya sebiji kurma atau seteguk air kosong kepada sesiapa saja yang berpuasa.
3. Jika tak mampu untuk qiam sepanjang malam, usahakan supaya dapat tunaikan solat isya dan subuh secara berjamaah. Nabi SAW bersabda maksudnya: “Sesiapa yang solat isya berjamaah maka seolah-olah dia qiam separuh malam. Dan sesiapa yang solat subuh berjamaah, maka seolah-olah dia qiam satu malam sepenuhnya.” (Muslim) 
4. Jika tak mampu untuk khatam al-Quran, bacalah surah al-Zalzalah 2 kali, surah al-kafirun 4 kali dan surah al-Ikhlas 3. Semua itu menyamai khatam al-Quran sebanyak 3 kali.
5. Bersedekah setiap malam walaupun hanya sekadar RM1 (satu ringgit)
6. Sebarkan kebaikan walaupun hanya dengan sepatah perkataan.
7. Santuni ibu bapa yang masih hidup dengan menelefon atau menghantar pesanan ringkas walaupun hanya sekadar memberi salam. Jika mereka telah meninggal, doakan mereka agar Allah ampunkan dosa-dosa mereka serta angkat darjat mereka di sisiNya. 
8. Banyakkan istighfar, zikir dan doa untuk kebaikan dunia dan akhirat.
9. Sebarkan pesanan ini, anda akan diberikan ganjaran setiap orang yang mengamlkannya in syaa Allah.
10. Ingat! Semua amalan tersebut jika berbetulan Lailatul-Qadar, ganjarannya lebih baik daripada 1000 bulan. Jangan terlupa untuk melakukannya setiap malam pada 10 terakhir ini, moga-moga satu daripadanya adalah Lailatul-Qadar.

SELAMAT BERAMAL.

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي

"Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pemaaf, dan Engkau suka memberi maaf, maka maafkanlah aku."

Tuesday, April 05, 2022

Sunday, January 23, 2022

TRIBUTE UNTUK ANAK MUDA

(Sempena Himpunan Tangkap Azam Baki)


Anak Muda

Aku telah dengar suaramu 

Bergema menerobos awan

Mencegah kemungkaran

Menentang petualang


Anak Muda

Aku telah saksikan semangatmu

Yang kental bak gunung ganang

Melawan kebejatan

Menghalang kezaliman


Anak Muda

Aku yakin pada tenagamu

Yang gagah perkasa bak besi waja

Untuk memikul amanah

Menegak keadilan

Membela kebenaran


Anak Muda

Hari ini pasti berganti esok

Generasi kini pasti berinsut

Hari esok adalah untukmu

Generasi kini engkaulah pengganti 

Tanah ini engkaulah yang akan mewarisi 

Masa depanmu engkaulah yang mencorak dan mewarnai 


Anak Muda

Teruskanlah 

Angkat suaramu

Kentalkan semangatmu

Binalah kekuatanmu

Dengan panduan ilmu

Amalan yang jitu

Persaudaraan dan perpaduan

Tanpa mengenal darjat atau memilih bulu


ALLAH PASTI BERSAMA DENGANMU


*UMD*

24012022

21061443


Tuesday, January 18, 2022

PENUNGGANG AGAMA?

Ada pihak yang begitu mudah mengeluarkan kenyataan melabelkan pihak lain sebagai penunggang agama, meliberalkan Islam, menganut ajaran pluralisme dan sebagainya  dengan hanya menaikkan satu poster ucapan selamat hari agama sedunia. 

Adakah dengan satu poster itu, maka dia telah sah memiliki semua ciri-ciri yang disebutkan itu?

Tidak adakah secebis rasa husnu dzon terhadap sesama muslim atas dasar ukhuwah islamiah? Adakah kerana dia bukan daripada kumpulan yang sama fikrah dengan kita, maka apa saja tindakannya yang kita tidak bersetuju, maka kita mempunyai hak yang mutlak untuk melabelkannya dengan pelbagai label yang selari dengan apa yang kita fahami?

Kita harus tahu bahawa di sana terdapat dua isu yang berbeza, iaitu pluralisme dan plurality.

Isu yang disepakati ialah kita menolak pluralisme dengan makna menganggap semua agama adalah sama benar. Kita yakin dan percaya, hanya Islam agama yang benar berdasarkan bukti dan hujah yang sangat nyata secara hujah wahyu atau hujah akal.

Kedua, kita perlu mengiktiraf wujudnya isu khilaf iaitu kita perlu membezakan antara makna plurality dan pruralisme yang banyak menjadi kekeliruan oleh banyak pihak. Hal ini telahpun diberi pencerahan oleh Mufti Wilayah:

Kami sekali lagi ingin menegaskan bahawa, Islam adalah agama rahmat yang bersifat universal, penuh toleransi dan menerima hakikat wujudnya pelbagai agama (pluraliti) di muka bumi ini. Namun demikian, ia bukan bermakna Islam menyeru kepada kesamarataan agama seperti yang dipercayai dalam ajaran pluralisme agama. Justeru, kami menyokong penuh keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke 74 pada 25 – 27 Julai 2006 berkenaan gerakan pemikiran liberal yang mengandungi fahaman-fahaman menyeleweng termasuk konsep pluralisme yang disenaraikan sebagai salah satu doktrin yang sesat lagi menyesatkan. Muzakarah menyimpulkan bahawa pluralisme agama adalah satu konsep yang berpendirian bahawa setiap agama mempunyai konsep, persepsi dan respon yang tersendiri terhadap Realiti Yang Agung (ultimate reality), bererti semua agama adalah sama tarafnya merujuk kepada Realiti Yang Agung. Akhirnya, semoga Allah mengurniakan taufiq dan hidayah-Nya buat kita semua agar sentiasa berada di atas jalan-Nya yang lurus, dan menjauhkan kita daripada jalan yang menyimpang. Wallahu a’lam. (https://muftiwp.gov.my/en/artikel/tashih-al-mafahim/2999-tashih-al-mafahim-8-pluraliti-agama-bukan-pluralisme-agama)

Justeru, adakah dengan menaikkan satu poster maka sah-sahlah individu itu menganut fahaman pluralisme. Tidak adakah lagi kemungkinan beliau cuba untuk mengetengahkan konsep plurality?

Saya tidak berhasrat untuk mengulas tentang poster itu dinaikkan atau diturunkan. Tetapi ingin mengajak kita bertabayun dan bersangka baik kepada saudara seislam kita sebelum melabel dan menghukum. 

Imam al-Baihaqi meriwayatkan dengan sanadnya bahawa Jaafar bin Muhammad berkata: “Apabila sampai kepadamu tentang saudaramu sesuatu yang kamu tidak senangi, carilah untuknya satu sampai 70 keuzuran atau alasan kenapa dia berbuat demikian. Jika kamu temui keuzurannya, terimalah. Jika kamu tidak temui juga, maka katakanlah, “boleh jadi dia mempunyai keuzuran lain yang aku tidak tahu!”

Ibn ‘Asakir meriwayatkan dengan sanadnya bahawa Muhammad bin Sirin berkata: “Sekiranya sampai kepadamu sesuatu (yang kamu tidak suka) tentang saudaramu, maka carilah keuzuran untuknya. Jika kamu tidak menemuinya, maka katakanlah: “Boleh jadi dia mempunyai keuzurannya yang tersendiri!”

Demikianlah para salaf yang soleh mengajar kita adab dalam berkhilaf. Tidak semestinya pendapat atau pendirian yang tidak selari dengan pendirian kita semuanya sesat lagi menyesatkan…

Tabayun dan berlapang dada itulah yang paling selamat.


Saturday, January 15, 2022

ORANG MATI MAHU KEMBALI KE DUNIA HANYA UNTUK SEDEKAH?


Betulkah apabila seseorang meninggal dunia, dia meminta untuk kembali ke dunia walaupun seketika hanya untuk bersedekah? 

Mungkin itu yang anda pernah dengar, khususnya daripada pihak-pihak tertentu yang sedang mengumpul dana untuk sesuatu tujuan seperti membina masjid, sekolah tahfiz, rumah anak yatim dan seumpamanya.

Dalil yang dibawakan adalah firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: " Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh ". (Al-Munaafiquun 63:10)

Perhatikan apa yang mereka nyatakan: "supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh". Di samping hendak bersedekah, mereka juga hendak menjadi orang soleh, iaitu orang yang melakukan semua kebaikan yang disukai Allah, termasuklah solat, puasa, berakhlak mulia, berbakti kepada ibu bapa dan lain-lain. Bukan sedekah sahaja.

Perhatikan firman Allah SWT yang berikut:

“Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin". (As-Sajdah 32:12) 

Dalam ayat lain, Allah SWT berfirman maksudnya:

“Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah ia: "Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia) -

"Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan". Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).” (Al-Mu'minuun 23:99-100) 

Dalam ayat-ayat di atas pun tidak dinyatakan secara khusus untuk bersedekah. Tetapi mereka hendak mengerjakan amal-amal soleh yang mereka abaikan semasa hidup di dunia.

Kesimpulannya, selagi hayat dikandung badan berusahalah bersungguh-sungguh menggunakan kesempatan yang masih ada untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Jangan tunggu ajal tiba, barulah merayu mendayu supaya diberi tempoh atau dikembalikan semula ke dunia untuk beramal soleh…. Segalanya sudah terlambat.


Thursday, January 13, 2022

SEJAHAT-JAHAT MUSLIM VS SEBAIK-BAIK NON MUSLIM

Ada pihak yang berpegang dengan konsep sejahat-jahat seorang muslim yang beriman diterima taubatnya oleh Allah SWT. Manakala sebaik-baik amalan orang yang tidak beriman akan ditolak juga pada Hari Kiamat nanti.

Bukan hendak pertikaikan konsep itu. Sekadar ingin mengingatkan beberapa noktah yang kita sebagai manusia tidak tahu dengan pasti:

Pertama - muslim yang buat jahat itu, pastikah dia sempat bertaubat sebelum malaikat maut datang meragut nyawanya? Tahukah dia bilakah masa malaikat maut akan datang supaya dia dapat bertaubat? Sekiranya kejahatan itu bersabit dengan hak manusia seperti mengambil harta dengan cara yang salah, memfitnah, menjatuhkan maruah, merampas hak yang dimiliki oleh orang lain dengan cara menipu dan berpakat dengan golongan yang zalim, sempatkah meminta maaf dengan mereka yang dizalimi dan memulangkan hak-hak mereka sebelum mati? 

Kalau sempat, alhamdulillah. Kalau tak sempat, bagaimana? 

Kedua –kita tidak tahu siapakah yang akan mati sebagai muslim dan siapakah yang akan mati sebagai kafir. Hal ini difahami daripada hadis sahih Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Ibn Masud RA yang bermaksud: “Sesungguhnya seseorang hamba (manusia) itu benar-benar beramal dengan amalan ahli syurga sehingga jarak antara dia dengan syurga hanya satu hasta, namun telah tercatat dalam ilmu Allah bahawa dia ahli neraka, maka dia beramal dengan amalan ahli neraka, lalu dia masuk neraka. Sebaliknya, seseorang hamba (manusia) itu benar-benar beramal dengan amalan ahli neraka sehingga jarak antara dia dengan neraka hanya satu hasta, namun telah tercatat dalam ilmu Allah bahawa dia ahli syurga, maka dia beramal dengan amalan ahli syurga, lalu dia masuk syurga.”

Ketiga – semuanya serba mungkin. Kita sebagai manusia tidak diberi hak untuk menghukum. Orang yang jahat, mungkin dia sempat bertaubat dan Allah terima taubatnya seperti kisah lelaki yang telah membunuh 100 orang (Riwayat Muslim daripada Abu Saeid al-Khudri RA) dan mungkin dia tidak sempat bertaubat, maka Allah pasti membalasnya setimpal dengan kejahatan yang dia telah lakukan.

Orang yang belum beriman yang melakukan kebaikan, mungkin dengan sebab kebaikan yang dia lakukan itu, Allah berikannya hidayah pada akhir umurnya dan mati sebagai muslim yang beriman, lalu Allah kurniakannya ganjaran yang tidak terhitung banyaknya.

Sesungguhnya Allah Maha Adil. Allah tidak mensia-siakan amalan hambaNya sama ada baik atau jahat walaupun sebesar zarah.

Justeru, kita tidak boleh terlalu yakin dan berasa bangga dengan keislaman kita kerana mungkin dalam ilmu Allah kita akan mati sebagai kafir atau munafiq, na’uzubillahi minzalik (Semoga Allah pelihara kita daripada berlaku sedemikian).

Juga tidak boleh memandang hina dan rendah kepada mereka yang masih kafir kerana mungkin dalam ilmu Allah mereka akan mati sebagai muslim.

Sentiasa berdoa dan bersangka kepada Allah.


Allahu A’lamu bis-sowab. 



Friday, January 07, 2022

ADAKAH KITA TERMASUK DALAM KALANGAN MEREKA YANG BANYAK BERZIKIR?


Allah Ta’ala berfirman maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman, (untuk bersyukur kepada Allah) ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya; Dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang.”
(Al-Ahzaab 33:41-42) 

Ibn Kathir berkata bahawa Ibn Abbas RA mentafsirkan ayat ini dengan berkata:
“Sesungguhnya Allah Ta’ala tidak memfardhukan ke atas hambaNya satu kefardhuan kecuali Dia meletakkan satu had atau sempadan tertentu yang diketahui dan dimaklumi sempadan itu. (Contohnya puasa, Allah fardhukan selama satu bulan dalam bulan Ramadhan. Hadnya jelas satu bulan). Kemudian Allah berikan pengecualian pula kepada mereka yang ada keuzuran.
Berbeza dengan ZIKIR. Allah perintahkan hambaNya supaya berzikir. Dia tidak meletakkan had sempadan di mana hambaNya patut berhenti dan tidak diberikan pengecualian kepada sesiapapun untuk meninggalkannya. 
Semua hambaNya disuruh supaya berzikir (mengingati atau menyebut namaNya) malam dan siang, di daratan dan di lautan, masa musafir dan bermukim, kaya dan faqir, sakit dan sihat, secara rahsia dan terang-terangan, dalam semua waktu dan semua keadaan.”

Sehubungan dengan itu, Rasulullah SAW ditanya oleh seseorang:
“Ya Rasulullah, sesungguhnya Syariat Islam telah banyak yang difardhukan ke atas kami. Maka ajarkan saya satu amalan yang saya tetap sentiasa berpegang dengannya!”
Nabi SAW menjawab:
“Lidahmu sentiasa basah dengan zikrillah ta’ala!” (Ahmad, Tirmizi dan Ibn Majah)

Sunday, January 02, 2022

KISAH PENCURI BERPRINSIP


Satu kisah yang dipetik daripada buku “Bahjah an-Nufus…” 

Pada suatu malam, ketua pencuri menceroboh masuk sebuah rumah saudagar yang kaya raya. 

Dia mendapati saudagar itu berada dalam bilik tidur bersama isterinya.

Dia berkata kepada saudagar: 

“Tutuplah aurat isterimu! Kami pencuri.”

Saudagar pun menutup aurat isterinya dan berkata kepada pencuri: 

“Ambillah apa yang kamu mahu dan jangan bunuh kami!”

Pencuri menjawab:

“Kami sekali-kali tidak akan membunuh kamu. Kami datang hanya untuk mengambil keperluan makanan kami hari ini sahaja!”

“Berapakah bilangan kamu?” tanya saudagar.

“Aku dan sembilan orang kanak-kanak.” Jawab pencuri.

Lalu saudagar mengeluarkan wang berjumlah 10,000 untuk dibahagikan kepada setiap orang 1000.

Pencuri berkata:

“Kami tidak akan ambil lebih daripada keperluan kami.” 

Dia mengambil 1000 dan memulangkan 9000 kepada saudagar.

Ketika pencuri-pencuri itu berjalan melangkah keluar dari rumah saudagar, seorang daripada pencuri kanak-kanak terpandang sebuah kotak comel, namanya “Huq”. Dia sangat berkenan pada kotak itu lalu mengambil, membuka dan mencubit sedikit makanan yang ada dalam kotak itu. Dia mendapati makanan itu adalah garam.

Ketua pencuri itu berkata: “Oleh kerana engkau telah makan garam daripada rumah saudagar ini, kita tidak berhak mengambil apa-apa lagi daripadanya.”

Dia mengambil semua duit daripada sembilan orang kanak-kanak itu dan memulangkannya kepada saudagar.

Saudagar bermurah hati memberikan 400 kepada mereka. Pencuri menolak. Saudagar tawarkan 100. Pencuri tetap menolak.

Saudagar tawarkan makanan. Pencuri naik berang dan tidak mahu lagi berbincang apa-apa dengan saudagar. Dia terus keluar tanpa mengambil apa-apa daripada rumah saudagar itu kerana seorang daripada kanak-kanak yang datang bersama dengannya memakan secubit garam daripada rumah itu.

Dia berpegang kepada prinsip yang diamalkan dalam kalangan masyarakat ketika itu:

“Jika engkau makan makanan seseorang, engkau tidak berhak untuk menyakiti tuan punya makanan itu walaupun engkau seorang pencuri!”

“Jika engkau minum seteguk air daripada rumah seseorang, atau engkau memberi salam dan dia menjawab salammu, engkau tidak berhak menyakitinya dengan apa cara sekalipun walaupun engkau seorang pencuri!” 

Apakah agaknya prinsip utama yang dipegang oleh semua masyarakat kita hari ini?


Diterjemah secara bebas daripada FB Raschida Nefzi


Thursday, December 30, 2021

PENUTUP 2021

Hari terakhir tahun 2021, sama-sama kita renung sepotong hadis sahih Riwayat al-Bukhari dan lain-lain daripada Abu Hurairah RA.

Pada suatu hari, setelah selesai menunaikan solat subuh Rasulullah SAW mengadap kepada para jamaah lantas bersabda (maksudnya):

“Ketika seorang lelaki mengheret lembu miliknya, tiba-tiba dia berasa penat. Maka dia cuba untuk menunggangi lembunya itu. 

Lembunya berkata kepadanya: “Sesungguhnya kami tidak diciptakan untuk tujuan ini! Sebaliknya kami diciptakan untuk menenggala sawah!”

Para hadirin yang mendengar cerita itu rasa kagum dan berkata: “Subhanallah! Adakah lembu berkata-kata?”

Rasulullah SAW menjawab: “Sesungguhnya aku beriman dengan kisah ini. Begitu juga Abu Bakar dan Umar.” (Menurut periwayat, Abu Bakar dan Umar tidak ada dalam majlis itu)

Lalu para hadirin berkata: “Kami beriman kepada apa yang diimani oleh Rasulullah SAW!”

Pengajarannya:

1. Setiap makhluk Allah ciptakan untuk tujuan tertentu. Manusia wajib mengetahui tujuan itu dan menggunakannya selaras dengan tujuan yang Allah telah tentukan. 

2. Secara tidak langsung hadis ini mengajar kita supaya belajar dan mengkaji tentang tabiat serta potensi setiap makhluk agar dapat diketahui kegunaannya dan dibongkar rahsia-rahsia di sebalik penciptaannya untuk diambil manfaat dengan semaksimumnya.

3. Lembupun tahu tujuan ia dicipta. Alangkah malunya manusia yang berakal dan mengaku lebih cerdik daripada lembu, tetapi tidak mengetahui tujuan mereka dicipta, iaitu untuk beribadah kepada Allah SWT yang mencipta dirinya dan semua makhluk seluruhnya.

4. Nabi SAW berkata dia beriman dengan kejadian itu menunjukkan kejadian itu diwahyukan kepada baginda, bukan disaksikannya sendiri.

5. Nabi SAW mengiktiraf ketinggian iman dua sahabatnya Abu Bakar dan Umar. Keduanya pasti beriman dan percaya kepada apa jua yang disampaikan oleh Nabi SAW walaupun perkara yang disampaikan itu zahirnya pelik dan luar biasa.

Dan banyak lagi pengajaran-pengajaran yang tidak akan habis jika dikaji dan diperhalusi. Allahu A’lam.


*UMD*

31/12/2021

26/05/1443


Thursday, December 23, 2021

ALLAH MAHA PENYEMBUH

Kisah benar yang berlaku ke atas jiran keluarga terdekat saya.

Jirannya yang berpenyakit athma dijangkiti covid 19 berpunca daripada anaknya yang terkena jangkitan itu di sekolah.

Dia pergi ke hospital untuk pemeriksaan. Setelah didapati positif, dia ditahan dalam wad. Dua hari kemudian kuman kian merebak dengan pantas daripada tahap 2, 3, 4 dan 5. Keadaan sangat kritikal dan memerlukan intubasi.

Ahli keluarga pasrah dan bersedia menghadapi segala kemungkinan.

Jiran-jiran mengambil inisiatif membaca al-Quran sebanyak 30 juzuk sebagai satu ikhtiar sambil berdoa supaya Allah sembuhkannya.

Selpas 21 hari dalam keadaan koma, Allah izin dia sedar. Sedar sahaja daripada koma, dia memandang sekeliling lantas bertanya kepada doctor yang ada di sisinya, kenapa dia dibawa ke sini? Kenapa jauhkan dia dari masjid tempat orang membaca al-Quran?

Doctor terpinga-pinga mendengar soalan yang pelik itu.

Selepas itu, dia menceritakan bahawa sepanjang masa koma itu dia rasa amat tenang seperti berada dalam masjid, mendengar orang membaca al-Quran. Subhanallah.

Kini dia telah sembuh dan dapat menjalani kehidupan seperti biasa. Hanya sekali sekala bila penat, dia menggunakan alat bantuan pernafasan.


Pengajarannya:

1. Allah telah menyebut bahawa al-Quran adalah syifa’.  وَنُنَزِّلُ مِنَ ٱلْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَآءٌ وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ وَلاَ يَزِيدُ ٱلظَّالِمِينَ إَلاَّ خَسَاراً

“Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.” (Al-Israa' 17:82) 

Maka, tiada keraguan lagi bahawa Kalam Allah itu benar. Janji Allah pasti terlaksana. Apabila Dia menghendaki sesuatu, itulah yang akan berlaku.

2. Nabi SAW telah bersabda dalam sepotong hadis yang bermaksud: “Doa seorang muslim untuk saudaranya di belakangnya (tanpa pengetahuannya) adalah mustajab. Di sisinya (orang yang berdoa) ada malaikat yang ditugaskan. Setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan kebaikan, malaikat yang ditugaskan itu berkata: “Aamiin dan untukmu sama seperti itu.” Riwayat Muslim. 

Maka, terbukti dengan doa daripada jiran-jiran yang tulus ikhlas itu Allah qabulkan dan sembuhkannya, alhamdulillah.


*UMD*

24/12/2021

20/05/1443


Banjir : Antara Musibah dan Uqubah


Setiap kali berlakunya bencana alam seperti banjir dan seumpamanya, terdengarlah suara-suara yang mengaitkannya dengan kemurkaan Tuhan kerana maksiat yang berleluasa tanpa usaha mencegahnya.

Persoalannya, maksiat apakah yang benar-benar mengundang kemurkaan Allah sehingga berlakunya bencana?

Sesungguhnya maksiat berlaku setiap masa dan tempat. Dilakukan oleh semua golongan tak kira miskin atau kaya, penguasa atau rakyat jelata. Kalaulah Allah hendak menghukum berdasarkan maksiat-maksiat itu, tiada sorangpun dalam kalangan makhluk di atas muka bumi ini yang selamat. Dalam hal ini, Allah berfirman maksudnya:

“Dan kalaulah Allah mengirakan kesalahan manusia serta terus menyeksa mereka disebabkan amal-amal jahat yang mereka telah kerjakan, tentulah Dia tidak membiarkan tinggal di muka bumi sesuatu makhluk yang bergerak; akan tetapi (Dia tidak bertindak dengan serta merta, bahkan) Dia memberi tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa yang tertentu; kemudian apabila sampai tempoh mereka (maka Allah akan membalas masing-masing dengan adilnya), kerana sesungguhnya Allah sentiasa Melihat keadaan hamba-hambaNya.” (Faatir 35:45)

Benar Allah pernah menurunkan bala bencana yang dahsyat sebagai hukuman ke atas hambaNya yang sombong, zalim serta enggan mengikuti rasul-rasul yang diutusNya. 

Namun, jika kita perhatikan ayat-ayat mengenai bala bencana yang menimpa kaum yang ingkar seperti kaum Nabi Nuh, Nabi Lut, Nabi Saleh dan lain-lain semuanya dimulai dengan peringatan demi peringatan. Kaum yang diberi peringatan itu pula menyambut peringatan yang diberikan dengan ejekan dan sendaan. Sehingga apabila tiba masa yang Allah tetapkan bencana yang dijanjikan akan menimpa, Allah perintahkan Nabi serta pengikut-pengikutnya yang beriman menjauhkan diri dari tempat turunnya bencana dan mereka terselamat daripadanya. Renungkanlah ayat-ayat yang berikut:


1. Kisah umat Nabi Nuh AS

“Lalu Kami wahyukan kepadanya (Nuh): "Buatlah bahtera dengan pengawasan serta kawalan Kami, dan dengan panduan wahyu Kami (tentang cara membuatnya); kemudian apabila datang hukum Kami untuk membinasakan mereka, dan air memancut-mancut dari muka bumi (yang menandakan kedatangan taufan), maka masukkanlah ke dalam bahtera itu dua dari tiap-tiap jenis haiwan (jantan dan betina), dan bawalah ahlimu (dan pengikut-pengikutmu) kecuali orang yang telah ditetapkan hukuman azab atasnya di antara mereka (disebabkan kekufurannya); dan janganlah engkau merayu kepadaku untuk menolong kaum yang zalim itu, kerana sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan dengan taufan sehingga mati lemas. Kemudian apabila engkau dan orang-orang yang bersamamu telah berada di atas bahtera itu maka hendaklah engkau (bersyukur kepada Allah dengan) berkata: ` Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menyelamatkan kami daripada orang-orang yang zalim '.”

(Al-Mu'minuun 23:27-28) 


2. Kisah umat Nabi Lut AS

“(Nabi Lut berdoa): "Wahai Tuhanku, selamatkanlah daku dan keluarga serta pengikut-pengikutku dari apa yang dilakukan oleh golongan (yang jahat) itu."

Maka Kami selamatkan dia dan keluarganya serta pengikut-pengikutnya - semuanya

Kecuali seorang perempuan tua tertinggal dalam golongan yang kena azab itu.

Kemudian Kami hancurkan yang lain (yang menentang Nabi Lut).

Dan Kami hujani mereka dengan hujan (azab yang membinasakan); maka amatlah buruknya hujan azab yang menimpa kaum yang telah diberi amaran.

Sesungguhnya peristiwa yang demikian, mengandungi satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah); dan dalam pada itu, kebanyakan mereka tidak juga mahu beriman.”

(Asy-Syu'araa' 26:169-174) 


3. Kisah Firaun dan Nabi Musa AS

“Dan demi sesungguhnya! Kami telah wahyukan kepada Nabi Musa: "Hendaklah engkau membawa hamba-hambaKu (kaummu) keluar memgembara pada waktu malam, kemudian pukulah air laut dengan tongkatmu, untuk mengadakan jalan yang kering bagi mereka di laut itu; janganlah engkau menaruh bimbang daripada ditangkap oleh musuh, dan jangan pula engkau takut tenggelam".

Maka Firaun pun mengejar mereka bersama-sama dengan tenteranya, lalu ia dan orang-orangnya diliputi oleh air laut yang menenggelamkan mereka semuanya dengan cara yang sedahsyat-dahsyatnya.

Dan dengan itu Firaun telah menjerumuskan kaumnya ke tempat kebinasaan, dan tidaklah ia membawa mereka ke jalan yang benar.” (Taha 20:77-79)


Dan banyak lagi kisah-kisah yang diceritakan mengenai umat yang dibinasakan kerana maksiat dan penentangan terhadap rasul-rasul yang diutus kepada mereka. Semua yang berlaku itu pula dengan cara yang amat luar biasa dan tidak boleh diramal daripada awal.

Berbeza dengan musibah banjir yang berlaku sekarang. Ia berlaku pada musim tengkujuh. Cuacapun boleh diramal. Cuma berlaku lebih daripada kebiasaan kerana sebab-sebab tertentu yang boleh dikaji dan dihuraikan oleh pakar bidang, bukan kerana maksiat penduduk di situ. Ramai dalam kalangan mereka terdiri daripada orang-orang soleh. Ramai juga pelaku maksiat tegar yang tidak terkenapun tempiasnya.

Hakikatnya ujian susah dan senang adalah sunnah Allah yang sentiasa silih berganti sebagaiman firmanNya yang bermaksud:

“Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan KAMI MENGUJI KAMU DENGAN KESUSAHAN DAN KESENANGAN SEBAGAI CUBAAN; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.”

(Al-Anbiyaa' 21:35) 

Dan firmanNya lagi:

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:

(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."

Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.”

(Al-Baqarah 2:155-157) 

Sama-samalah kita bermuhasabah dan hayati peringatan daripada Allah SWT yang bermaksud:

“Dan demi sesungguhnya Kami telah utuskan Rasul-rasul kepada umat-umat yang dahulu daripadamu (lalu mereka mendustakannya), maka Kami seksakan mereka dengan kebuluran dan penyakit, supaya mereka berdoa (kepada Kami) dangan merendah diri (serta insaf dan bertaubat).

Maka alangkah eloknya kalau mereka berdoa kepada Kami dengan merendah diri (serta insaf dan bertaubat) ketika mereka ditimpa azab Kami? Tetapi yang sebenarnya hati mereka keras (tidak mahu menerima kebenaran), dan Syaitan pula memperelokkan pada (pandangan) mereka apa yang mereka telah lakukan.” (Al-An'aam 6:42-43)


*UMD*

23/12/2021

19/05/1443 


Wednesday, December 08, 2021

Bertabahlah BOOSKU

(Sempena Mahkamah Rayuan kekalkan sabitan dan hukuman dalam kesemua tujuh pertuduhan ke atas bekas PM, Datuk Seri Najib Tun Razak)

Jika engkau tidak bersalah 

Maka penjara itu jadi kaffarah

Orang yang lebih mulia daripadamu juga pernah dipenjara 

Tanpa sekelumitpun kesalahan yang pernah beliau lakukan

Dia manusia suci yang enggan patuh kepada godaan para wanita 

Yang terpesona pada kehenseman rupa parasnya

Lantas dia memilih penjara daripada terpalit dengan dosa, 

Tenggelam dalam noda 

Terperangkap dalam hasutan dunia yang sementara.

Akhirnya dia diangkat sebagai wira 

Insan termulia di sisi TuhanNya.


Sebaliknya…

Jika engkau memang sebenarnya bersalah 

Penjara itu belum tentu jadi kaffarah

Kerana setiap kesalahan ada perhitungannya di sisi Allah

Tidak akan diabaikanNya walau sezarah

Apa lagi jika ada harta rakyat dan negara yang telah engkau jarah

Semuanya akan dihitung, dihisab dan digeledah

Akhirnya tidak mustahil engkau akan dicampak bagaikan sampah

Terhumban dalam lubuk neraka yang paling bawah


Justeru…

Di kala dunia ini masih membuka ruang buatmu

Menyedut udara segar pagi dan senja

Langit masih sudi memayungimu dengan awan putih yang berarak gemalai

Matahari masih bermurah hati  membiarkan engkau menikmati sinaran cahayanya yang terkadang nyaman dan membahang

Gunakanlah kesempatan ini untuk 

Bermuhasabah 

Bertaubat 

Beristighfar 

Bermunajat memohon hidayah

Kerana Tuhan kita itu 

Maha Adil

Maha Santun

Maha Pengasih

Maha Penghitung

Dan Menepati janji

…………


09122021


Sunday, December 05, 2021

ALLAH MAHA PENGAMPUN

Seorang lelaki daripada Bani Israel bernama Kifli.
Dia terkenal sebagai seorang penjenayah yang sangat jahat.
Pada suatu malam ketika dia sedang berehat di rumahnya, terdengar pintunya diketuk.
Dia membuka pintu. Kelihatan seorang wanita berdiri dengan menundukkan kepala kerana malu. Dia datang untuk meminjam sedikit wang bagi memenuhi keperluan yang amat mendesak.
Kifli bersetuju untuk menunaikan permintaan wanita itu dengan syarat dia menyerahkan diri kepadanya terlebih dahulu.
Wanita itu tiada pilihan. Dia terpaksa bersetuju kerana itulah satu-satunya cara untuk dia memperolehi apa yang diperlukan.
Ketika Kifli mendekati wanita itu untuk melempiaskan syahwahnya, wanita itu jadi gementar ketakutan.
Kifli bertanya kenapa dia gementar begitu sekali?
Wanita itu menjawab bahawa dia tidak pernah melakukan perbuatan terkutuk itu dan dia takut akan kemurkaan Allah.
Kifli tergamam dan terpaku. Dia tidak meneruskan kehendak asalnya, memuaskan nafsu yang bergejolak. Sebaliknya dia berkata: “Siapakah yang sepatutnya takut kepada kemurkaan Allah? Aku atau engkau?”
Kemudian dia menyerahkan sejumlah wang yang diperlukan oleh wanita itu dan membiarkan dia beredar pergi.
Hatinya diamuk penyesalan di atas segala dosa-dosa yang telah dilakukannya selama ini. Sepanjang malam dia bertaubat, memohon keampunan Tuhannya dengan sungguh-sungguh. Dalam keadaan itu malaikat maut datang mencabut nyawanya.
Keesokan harinya, apabila matahari memancarkan sinarnya, jiran-jiran dan semua penduduk yang mengenalinya hairan dan terkejut melihat tulisan yang terpampang di pintu rumahnya: “Sesungguhnya Allah telah ampunkan Kifli!”
Mereka tidak percaya apa yang mereka lihat.
Mereka segera mengunjungi Nabi dan bertanya apa yang sebenarnya berlaku.
Allah mewahyukan kepada Nabi apa yang telah berlaku. Nabi menceritakan kepada mereka wahyu yang diterimanya.
Mereka terpinga-pinga, terkejut dan sukar percaya.
Itulah ketentuan Allah Yang Maha Pengampun, Maha Pengasih dan Maha Mengasihani.
Daripada kitab “Kaifa Nuhibbu Allah wa Nasytaqu IlaiHi”, Dr. Majdi al-Hilali, 2014.

ISLAM DAN OKU II


Allah Ta’ala berfirman maksudnya:

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.”

(Al-A'raaf 7:179) 

“Dan Kami perlihatkan neraka Jahannam, pada hari itu kepada orang-orang kafir, dengan pendedahan yang jelas nyata;

(Iaitu) orang-orang yang matanya telah tertutup daripada melihat tanda-tanda yang membawa kepada mengingatiKu, dan mereka pula tidak dapat mendengar sama sekali.”

(Al-Kahfi 18:100-101) 

“Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya - dengan melihat kesan-kesan yang tersebut - mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada.”

(Al-Hajj 22:46) 


Terdapat banyak ayat-ayat yang membawa maksud yang sama, iaitu Allah mengecam manusia yang tidak menggunakan anggota dan pancaindera dengan sebaik-baiknya.

Allah kurniakan pendengaran untuk mendengar ayat-ayat Allah.

Allah kurniakan penglihatan untuk melihat tanda-tanda kekuasaan Allah

Allah kurniakan akal untuk memahami syariat Allah

Allah kurniakan tangan, kaki serta seluruh anggota untuk menegakkan kebenaran dan keadilan di bumi Allah.

Namun semua itu disia-siakan. 

Mereka tidak beriman kepada Allah

Mereka menderhakai rasul-rasul yang diutusNya

Mereka menolak ajaranNya dan menentang syariatNya.

Maka merekalah yang sebenarnya cacat.

Merekalah orang-orang yang pekak, bisu, tuli dan tidak berakal.

Imam at-Tobari berkata: Dalam ayat-ayat seperti di atas, Allah hendak menyatakan bahawa kecacatan yang hakiki ialah orang yang lalai dari mengingati Allah dan tidak memanfaatkan pancainderanya untuk mengenali dan menghayati kebesaran Allah. 

Mujahid berkata: Al-Quran membezakan antara keupayaan untuk mendengar dengan keupayaan untuk memahami. Sesungguhynya cacat pada pandangan Islam ialah tidak menggunakan pencaindera dan anggota untuk sampai kepada Allah dan beriman denganNya, bukan orang yang diuji dengan kekurangan pada akal, kecacatan pada pendengaran atau penglihatan. Meskipun telinganya boleh mendengar, matanya boleh melihat, akalnya boleh berfikir, tetapi semua itu tidak membawanya kepada mengenali Allah dan beriman kepadaNya maka seolah-olah pada dirinya ada kecacatan, cacat pendengaran, penglihatan juga fikiran.

Justeru, jangan pandang hina kepada mereka yang anggota zahirnya kelihatan tidak sempurna. Sebaliknya, perhatikanlah kepada diri sendiri, adakah setiap anggota serta pancaindera yang Allah kurniakan dengan elok dan sempurna telah digunakan dan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya pada jalan yang Allah redha.


UMD, 5 Disember 2021

#ParadigmShift4OKU

#Care4OKUCaregivers




Friday, December 03, 2021

ISLAM DAN OKU


Allah Ta’ala berfirman maksudnya:

“Dia memasamkan muka dan berpaling,
Kerana dia didatangi orang buta.
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui (tujuannya, wahai Muhammad) ? Barangkali dia mahu membersihkan hatinya (dengan pelajaran agama yang didapatinya daripadamu)! -
Ataupun dia mahu mendapat peringatan, supaya peringatan itu memberi manfaat kepadanya.”
('Abasa 80:1-4) 

Menurut Ibn Kathir rahimahullah, bukan seorang dalam kalangan ahli tafsir yang menyebut bahawa Rasulullah SAW pada suatu hari sedang berbicara dengan seorang pembesar Quraisy. Baginda sangat-sangat mengharapkan pembesar itu memeluk Islam. 

Ketika baginda sedang asyik berbicara dengan pembesar itu, tiba-tiba muncul Ibn Ummi Maktum, seorang yang cacat penglihatan, yang telah terlebih dahulu memeluk Islam mengemukakan suatu persoalan dengan bersungguh-sungguh.
Nabi SAW mengharapkan agar Ibn Ummi Maktum berhenti sejenak dari bertanya supaya baginda dapat memberikan tumpuan kepada pembesar Quraisy itu dengan harapan dia akan mendapat hidayah dan memeluk Islam.

Baginda masam dan memalingkan mukanya dari Ibn Ummi Maktum dan mengadap pembesar Quraisy.
Lalu Allah turunkan ayat-ayat di atas. 
Menurut Riwayat al-Hafidz Abu Ya’la, nama pembesar itu ialah Ubai bin Khalaf. Anas RA berkata: “Selepas turunnya ayat ini, baginda SAW selalu memuliakannya (Ibn Ummi Maktum)”

Dalam ulasannya, Ibn Kathir berkata: 
Melalui ayat ini, Allah memerintahkan Rasulullah SAW supaya tidak memberikan layanan khusus kepada seseorang dalam menyampaikan peringatan. Sebaliknya, baginda hendaklah menyamakan semua golongan; orang atasan atau bawahan, cacat atau sempurna, miskin atau kaya, ketua atau rakyat jelata, tuan atau hamba, lelaki atau wanita, kanak-kanak atau dewasa. (Tafsir Ibn Kathir)

Sesuatu yang menarik jika diperhatikan, Allah SWT menegur dengan menyebut “Dia memasamkan muka dan berpaling” sedangkan yang datang itu seorang yang buta. Dia tidak nampak wajah Nabi SAW masam atau sebaliknya. Ini menunjukkan bahawa Allah hendak ajar cara kita melayan OKU itu. 
Tidak harus memasamkan muka walaupun dia tidak nampak kerana yang nilai kita adalah Allah, bukan manusia yang kita hadapi itu semata-mata. 

Inilah Islam. Dengan siapapun kita bertemu dan berinteraksi, Allah sentiasa bersama. Dia menilai dan memerhati. 

3 Disember 2021
#ParadigmShift4OKU
#Care4OKUCaregivers

Sunday, November 07, 2021

ALLAH MAHA PEMURAH

Daripada Abu Hurairah RA bahawasanya Nabi SAW telah bersabda (maksudnya): 

“Tidak ada satu haripun yang seorang hamba itu bangun waktu pagi, kecuali dua malaikat akan turun.

Satu daripada malaikat itu berkata: “Ya Allah, kurniakanlah kepada orang yang memberi infaq (mengeluarkan harta pada jalan kebaikan) ganti (kepada harta yang diinfaqnya).

Satu malaikat lagi berkata: “Ya Allah, berikanlah kepada orang menahan hartanya (enggan mengeluarkannya untuk kebaikan) kebinasaan!”

- Muttafaq ‘Alaih.

ALLAH MAHA PEMURAH. Dan Dia Suka hambaNya yang pemurah.

Dia memberikan hambaNya rezeki dan ni’mat yang tidak terhitung banyaknya. 

Dan Dia Suka hambaNya berkongsi rezeki dengan makhlukNya yang lain.

Apabila Allah Suka, seluruh makhlukNya ikut suka.

Inilah yang digambarkan dalam hadis ini. Setiap hari ada malaikat yang tugasnya khusus untuk mendoakan kebaikan, ditambah serta diberkati rezeki hamba Allah yang pemurah, yang suka mengeluarkan rezeki yang Allah limpahkan kepadanya untuk membantu makhluk-makhluk Allah yang memerlukan. 

Sebaliknya, orang yang bakhil, yang lupa bahawa harta yang ada padanya hanyalah pinjaman yang sementara, tidak akan memperoleh keberkatan pada hartanya. Dia tidak disukai Allah dan dibenci oleh malaikat. Kerana itu malaikat mendoakan agar hartanya binasa dan tidak ada keberkatan padanya.