And whatever good you do, (be sure) Allâh knows it. And take a provision (with you) for the journey, but the best provision is At-Taqwa (piety, righteousness). So fear Me, O men of understanding! (Al-Baqarah 2:197)
Wednesday, September 15, 2021
Tuesday, September 07, 2021
SEBUAH CORETAN UNTUK 6 WIRA
Semua filem fiksyen yang mereka telah terbitkan, kita telah jadikannya sebagai satu reality
Mereka berenam. Yang ketujuh adalah iman mereka
Sudu yang mereka gunakan untuk memberi minuman kepada banduan mereka telah memberikan mereka rasa pahit yang tak tertanggung
Sesungguhnya cahaya itu sentiasa berada di hujung terowong. Tetapi hanya bagi mereka yang punya keazaman untuk membuat keputusan dan punya keazaman untuk menggalinya.
Mereka dihukum penjara seumur hidup. Sedang mereka menghukum musuh mereka dengan kelemahan, ketewasan dan kekalahan sepanjang hayat
Terowong yang mula digali di Gaza, telah sampai hujungnya ke dalam garisan hijau. Idea-idea yang menerpa memang banyak, tetapi ia memerlukan jiwa-jiwa yang besar dan kental
Ketika mana bangsa yang hina makan dengan menggunakan pisau dan sudu, Allah zahirkan untuk kita wira-wira yang menggunakan keduanya pada tempat-tempat yang lebih memerlukan keduanya; tikam dengan pisau, gali dengan sudu. Sesungguhnya setiap bangsa yang memahami dan menghayati isu yang dihadapi, akan menggunakan semua peralatan yang ada untuk itu.
Setengah orang mempunyai cita-cita tinggi sehingga mampu menggali jalan di bawah tanah untuk mencapai cita-citanya. Sedangkan setengah yang lain yang mendakwa mempunyai cita-cita, tetapi sangat liat untuk berjalan di atas laluan yang telah tersedia di atas permukaan bumi demi untuk menolong agamanya. Dua situasi yang berbeza: keazaman yang kental dan kekelahan yang total.
Sesiapa yang menggali laluan bersama saudaranya, dia akan keluar daripadanya bersama-sama. Berjamaah itu kejayaan. Berpecah itu kebinasaan, kesempitan dan siksaan.
Mungkin jalannya panjang. Tetapi tidak mengapa walaupun panjang asalkan pengakhirannya bayu kemenangan dan mentari kebebasan
Orang-orang beriman di seluruh pelusuk alam bergembira menerima perkhabaran saudara mereka berenam. Sesungguhnya perasaan cinta sesama muslim tidak mampu dihalang oleh sebarang rantai dan sempadan.
Kekeciwaan musuh apabila terbongkarnya terowong menjadi pendorong kepada para pejuang dan memberikan mereka tenaga untuk menggali sepanjang hayat. Dan dengannya Allah berikan kesembuhan kepada hati dan jiwa para mukminin yang terluka.
Terowong bukan sahaja membawa mereka keluar dari penjara, tetapi membawa mereka menusuk ke dalam hati seluruh umat Islam di serata pelusuk dunia. Sesungguhnya terowong-terowong di Palestin membahagiakan hati-hati sebelum ia membuka jalan kemenangan.
Daripada kita asyik mengutuk dan melaknat kegelapan, ayuh segera dapatkan cahaya walaupun hanya dengan sebatang sudu!!
#خالد_حمدي
Monday, September 06, 2021
Saturday, August 14, 2021
DOA NABI MUSA ALAIHIS-SALAM
وَقَالَ مُوسَىٰ إِنِّي عُذْتُ بِرَبِّي وَرَبِّكُـمْ مِّن كُلِّ مُتَكَبِّرٍ لاَّ يُؤْمِنُ بِيَوْمِ ٱلْحِسَابِ
“Dan (setelah mendengar ancaman itu) Nabi Musa berkata: "Sesungguhnya aku berlindung kepada Allah Tuhanku dan Tuhan kamu - dari (angkara) tiap-tiap orang yang sombong takbur, yang tidak beriman kepada hari hitungan amal!" (Ghaafir 40:27)
Dalam ayat di atas Allah menerangkan doa Nabi Musa AS.
Semua maklum, siapakah yang dimaksudkan dalam doa tersebut. Siapakah orang yang baginda sebut sebagai “orang yang sombong takbur, yang tidak beriman kepada hari hitungan amal!".
Kenapakah Nabi Musa tidak menyebut nama orang tesebut?
Kerana yang sebenarnya membahayakan bukan orang tertentu atau pemilik nama tertentu.
Yang membahayakan dan yang wajib dijauhi adalah keburukan yang ada pada seseorang itu, tidak kira apakah nama atau gelaran yang dibawanya.
Keburukan yang mesti dijauh ialah sifat sombong (mutakabbir), iaitu orang yang rasa dirinya hebat, pandai dan bijak. Orang yang memiliki sifat ini memandang orang lain lebih rendah daripada dirinya. Lantaran itu, sangat sukar untuknya menerima pandangan, cadangan, saranan daripada orang lain. Dia sentiasa beranggapan hanya pendapat dia sahaja yang betul. Dia sahaja yang alim dan bijak.
Lihatlah apa yang Firaun kata tentang dirinya yang menunjukkan kesombongannya:
“Aku tidak mengesyorkan kepada kamu melainkan dengan apa yang aku pandang (elok dijalankan), dan aku tidak menunjukkan kepada kamu melainkan jalan yang benar". (Ghaafir 40:29)
Sifat kedua ialah “tidak beriman kepada hari hitngan amal”.
Apabila seseorang tidak beriman atau beriman tetapi lupa kepada hari hitungan amal di akhirat kelak, dia tidak akan teragak-agak melakukan apa saja yang dikehendaki oleh hawa nafsunya. Dia tidak takut kepada dosa dan tidak mengharapkan pahala. Yang diharapkannya tidak lebih daripada keuntungan, kemegahan, kejayaan di dunia semata-mata menurut perhitungan nafsu dan kaca matanya yang sempit dan terbatas.
Dia tidak teragak-agak untuk merasuah, mungkir janji, menipu, berbohong, berpura-pura baik dan sebagainya. Yang penting hajatnya tercapai, keinganan nafsunya terlaksana.
Sama-sama kita amalkan do aini, semoga Allah pelihara kita daripada dihinggapi sifat-sifat tersebut dan jauhkan kita dari diperintah oleh mereka yang memiliki sifat tersebut.
Aamiiin
Tuesday, August 10, 2021
Monday, August 09, 2021
IBRAH DARIPADA HIJRAH
Sesungguhnya peristiwa hijrah telah meninggalkan kesan yang sangat besar dalam sejarah umat Islam khususnya dan sejarah manusia umumnya.
Kalau hendak diambil pengajaran daripada peristiwa bersejarah itu, pastilah tidak terhitung banyaknya. Kita petik sebahagian kecil daripadanya:
1. PENGORBANAN
Betapa besar pengorbanan Nabi SAW serta para sahabat radhiallahu’anhum yang terpaksa meninggalkan kampung halaman, tanah tumpah darah, tempat membesar, bermain, berkeluarga yang tentunya telah mengukir pelbagai kenangan indah, suka dan duka. Rasulullah SAW sendiri mengungkapkan kata-kata yang menggambarkan betapa pilu dan sayu hatinya meninggalkan tanah air tercinta, “Demi Allah, sesungguhnya engkau adalah sebaik-baik bumi Allah, dan engkau adalah bumi Allah yang paling aku cintai. Kalaulah tidak kerana kaumku menghalauku, aku tidak akan keluar darimu.” HR al-Tirmizi.
2. KECEKALAN
Nabi SAW telah berdakwah di Mekah beberapa tahun lamanya. Yang menyahut dakwahnya hanya sedikit sahaja. Mereka yang beriman ditindas dan disiksa dengan berbagai-bagai cara. Semua itu tidak pernah mematahkan semangat baginda.
Baginda cuba mencari ruang dan peluang untuk mengembangkan dakwahnya. Baginda pernah ke Taif dengan berjalan kaki untuk menyampaikan seruan Allah. Namun, mereka bukan sahaja menolak dakwah baginda, sebaliknya mereka melayan baginda dengan seburuk-buruk layanan. Dihalau dan dipaling dengan batu sehingga menyebabkan kaki baginda yang mulia berdarah.
Baginda bertemu dengan ketua-ketua qabilah di musim haji dan berkata kepada mereka: “Siapakah di antara kalian yang boleh membawa aku bertemu dengan kaumnya (untuk menyampaikan dakwah)? Sesungguhnya Quraisy telah menghalang aku dari menyampaikan kalam Tuhanku.” HR Ibn Majah
Tawaran baginda ditolak oleh 15 qabilah sehingga akhirnya Allah membuka hati kaum ansar. Maka, hijrah baginda ke Madinah bukan kerana keciwa dan putus asa, sebaliknya tidak ada tujuan lain kecuali untuk meneruskan dakwah dengan lebih rancak dalam suasana yang lebih selamat, bebas dan terbuka.
3. PERSAHABATAN YANG BAIK
Kesetiaan yang ditunjukkan oleh Abu Bakar RA sekeluarga amat terserlah dalam peristiwa hijrah yang penuh sejarah. Manakala Nabi SAW memberitahunya: “Aku diperlihatkan negeri hijrahku tempat yang banyak kurma yang dikelilingi dua bukit yang besar,” Abu Bakar terus membuat persiapan untuk berhijrah. Nabi SAW berkata kepadanya,
“Tunggu dulu. Aku berharap akan diberi izin kepadaku untuk berangkat.”
Maka Abu Bakar RA menanti dengan harapan akan menemani Rasulullah SAW.
Beliau menunggu selama empat bulan mempersiapkan dua kenderaan yang dimilikinya.
Apabila Rasulullah SAW memberitahu bahawa baginda telah mendapat keizinan untuk berhijrah, Abu Bakar RA seperti tidak percaya bahawa beliau mendapat penghormatan menemani baginda sehingga beliau menangis kerana terlalu gembira. Aisyah RA berkata, “Demi Allah, aku tidak pernah tahu sebelum ini ada orang menangis kerana gembira sehinggalah aku melihat ayahku, Abu Bakar menangis pada hari itu.” HR Bukhari.
Ketika dalam perjalanan, Abu Bakar RA akan berjalan di hadapan untuk mempastikan tidak ada sesuatu yang membahayakan baginda SAW. Apabila sampai di pintu gua, beliau berkata kepada Nabi SAW, “Tunggu sebentar wahai Rasulullah. Biarkan aku membersihkannya untukmu!” HR Hakim.
4. PERANCANGAN YANG RAPI
Hijrah mengajar kita bagaimana membuat perancangan yang rapi dan tersusun serta pembahagian tugas dengan teliti.
Pertama: memilih kawan yang tepat sebelum memulakan perjalanan
Kedua: menyediakan keperluan-keperluan seperti kenderaan yang bersesuaian dan sebagainya.
Ketiga: Aisyah dan Asmaa’ RA memainkan peranan menyediakan bekalan makanan. Ini menunjukkan wanita juga tidak diabaikan dalam pembahagian tugasan yang bersesuaian dengan kepakaran mereka.
Keempat: Abdullah bin Abu Bakar RA yang masih muda remaja juga tidak ketinggalan. Beliau menemani Rasulullah SAW dan Abu Bakar RA di gua waktu malam dan pulang ke Makah sebelum subuh selama tiga malam. Beliau mendapatkan maklumat dengan terperinci apa yang dirancang dan diperkatakan oleh kaum Quraisy dan menyampaikan segala yang didengarnya kepada Rasulullah SAW.
Kelima: ‘Aamir bin Fuhairah, seorang pengembala datang membawa kambing-kambing ke gua untuk memadamkan tapak kaki manusia sambil memberi susu kepada Nabi SAW dan Abu Bakar RA.
Keenam: mengupah penunjuk jalan yang pakar dan boleh dipercayai, Abdullah bin Uraiqit seorang musyrik. Ini memberi isyarat yang jelas bahawa Nabi SAW sangat mementingkan ilmu dan kepakaran dalam sesuatu tugas yang diamanahkan. Tidak semestinya mukmin boleh memikul semua tugasan dan tidak semua orang bukan Islam tidak boleh dipercayai.
5. MAKNA HIJRAH YANG MENYELURUH
Hijrah bukan sekadar berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain. Hijrah merangkumi perpindahan dari satu keadaan kepada keadaan yang lain seperti mengubah sikap, meninggalkan akhlak yang buruk dan sebagainya. Allah Ta’ala berfirman maksudnya:
“Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau hijrah (tinggalkan).” (Al-Muddaththir 74:5)
Dalam sepotong hadis, Nabi SAW bersabda maksudnya: “Muslim itu ialah orang yang menjaga lidahnya dan tangannya daripada menyakiti muslim lain. Dan orang yang berhijrah itu ialah orang yang meninggalkan apa yang Allah larang.” HR Bukhari dan Muslim.
Termasuk juga hijrah meniggalkan golongan yang derhaka dan tegar dalam kemaksiatan. Allah berfirman maksudnya: “Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu), dan jauhkanlah dirimu (hijrah) dari mereka dengan cara yang baik.” (Al-Muzzammil 73:10)
Dan yang paling penting adalah membawa hati berpindah kepada Allah dengan mengikhlaskan niat dalam semua amalan, pakataan, perbuatan dan perlakuan hanya semata-mata kerana Allah sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang berhijarah kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Sesiapa yang berhijrah kerana dunia yang akan diraihnya atau kerana wanita yang ingin dikahwininya, maka hijrahnya kepada apa yang dia hijrah kerananya.” HR Bukhari dan Muslim.
SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU HIJRAH
1 MUHARRAM 1443 / 10 OGOS 2021
Thursday, August 05, 2021
SEMBANG CIK KIAH
“Leha, ada berita sensasi lah!” Ujar Kiah dengan gaya orang nak membawang
“Berita apa pulak, Kiah?” Sahut Leha acuh tak acuh seolah-olah boleh membaca apa yang hendak diberitakan oleh jirannya itu.
“Ada perlantikan baru, penasihat khas PM bertaraf Menteri!” Kiah menjawab. Dia mencemikkan bibir menggambarkan perasaan tidak puas hati dengan perlantikan itu.
“Hemm… itulah kreativiti dan inovasi PM yang disayangi dan disanjungi ramai ni…” sahut Leha dengan nada mengeluh.
“Apa kau cakap? Inovasi?” tingkah Kiah. Bola matanya bulat menikam wajah Leha.
“Ye lah, buat perkara yang orang lain tak buat sebelumnya. Ada Menteri kanan, duta khas bertaraf Menteri, satu kementerian dipecah kepada dua atau tiga, setiap kementerian ada satu Menteri dengan satu atau dua timbalan. Dan terkini penasihat khas bertaraf menteri pula” bebel Leha
“Bukankah itu membazirkan duit rakyat namanya? Berapa banyak duit rakyat digunakan untuk bayar gaji dan elaun semua tu?” soal Kiah seperti tidak bersetuju dengan kata-kata Leha.
“Dia buat semua tu untuk memartabatkan Melayu, kan? Dia nak bagi peluang kepada seramai mungkin orang Melayu mendapat jawatanlah. Jawatan-jawatan itu bukankah diberikan kepada orang Melayu? Tak apalah!” sambung Leha dengan nada sinis.
“Adakah cara itu selari dengan ajaran Islam?” soal Kiah lagi
“Kau ni macam tak tahu pulak! Dalam kabinet dia kan ramai ulamak dan ustaz ustazah. Tentu mereka dah beri pandangan dan dalil-dalilnya. Kau jangan nak persoalkan pulak. Nanti kau dilabel anti Melayu dan musuh Islam!” kata-kata Leha membuatkan mulut Kiah terlopng.
“Kes covid semakin mencanak ni, bukankah keutamaannya menambah alat-alat kelengkapan di hospital serta petugas-petugas bagi menangani pesakit yang semakin bertambah?” Kiah masih belum boleh menerima kewajaran menambah bilangan Menteri dalam situasi yang amat genting seperti sekarang.
“Kau pun tahu kan? Covid ni bukan melanda negara kita saja, Kiah. Seluruh dunia terkena. Tak boleh salahkan kerajaan kalau ia semakin merebak. Malah kalau makin ramai mati pun tak ada masalah, Menteri kata tanah kubur masih banyak dan mencukupi untuk menampung kematian yang ramai” ujar Leha
“Kau ni betul ke sokong semua yang kerajaan tebuk atap buat, Leha?” Kiah mula berasa cuak dengan jawapan-jawapan Leha kali ini
“Bila pula aku kata sokong?” soal Leha balik.
“Cara kau jawab tu macam mempertahankan mereka?”
“Aku nak bagi tau kau, itulah hujah dan alasan mereka. Demi kepentingan Melayu, buatlah apapun, tak mengapa asalkan jangan terlepas kepada kafir harbi!”
“Ya, aku pun teringat kata-kata seorang pemimpin tu: sejahat-jahat orang Islam, bila taubat masuk syurga juga. Tapi sebaik-baik orang kafir, akan kekal dalam neraka! Jadi, macam-macam mana pun kita mesti sokong orang Islam!” Kiah kembali bersemangat mengemukakan pandangan setelah mengetahui sebenarnya Leha tidak menukar pendiriannya. Kemudian dia menyambung,
“Apa komen kau tentang kenyataan seperti itu, Leha?”
“Memang betul jika mati dalam dalam kekafiran akan kekal dalam neraka. Tetapi kita tahu ke siapa yang akan mati dalam kekafiran? Nabi SAW pernah bersabda maksudnya: “Seseorang itu beramal dengan amalan ahli syurga sehingga jarak antara dia dengan syurga satu hasta saja. Namun dengan takdir Allah dia menukar arah, dia beramal dengan amalan ahli neraka lalu dia masuk neraka, na’uzubillah”
“Na’uzubillah” sahut Kiah dan menyambung, “dan seseorang itu pula beramal dengan amalan ahli neraka sehingga jarak antara dia dengan neraka hanya satu hasta. Dengan takdir Allah, di akhir usianya dia beramal dengan amalan ahli syurga lalu dia masuk syurga, in syaa Allah.”
“Sebab itu bila kita tengok orang tu kafir kita tidak boleh kata dia pasti masuk neraka. Mana kita tahu, berkat doa dan usaha kita menyampaikan Islam dengan cara yang baik dia menerima Islam dan menjadi muslim yang lebih baik daripada kita?”
“Jadi, apa yang kita boleh buat sekarang, Leha?” suara Kiah mengendur
“Entah lah, Leha. Aku pun tak tahu. Yang penting kita jangan putus asa, teruskan usaha dan berdoa…. In syaa Allah kebenaran pasti terselah akhirnya…”
“Cantik …” sahut Kiah bersemangat seraya mengisyaratkan tanda bagus dengan kedua belah jari tangannya. Pada riak wajahnya tergambar sejuta harapan terlaksananya kemenangan yang dijanjikan…
Tuesday, August 03, 2021
ALLAH SEBAIK-BAIK PENOLONG
Terjumpa sepotong hadis yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah akan menolong agama ini dengan lelaki yang fajir!” Muttafaq alaih.
Fajir bermaksud jahat. Ia merangkumi orang kafir dan fasiq.
Sesungguhnya agama ini milik Allah.
Allah yang berkuasa menentukan kemenangan dan kejayaan agamaNya.
Sebagai hamba, kita hanya berusaha untuk menegakkan agama dan mendaulatkannya. Mungkin usaha kita menjadi sebab kemenangan dengan izinNya.
Atau mungkin usaha orang lain. Dan orang lain itu mungkin terdiri daripada golongan yang kita anggap jahat, fasiq, munafiq, kafir dan sebagainya.
Namun siapa tahu, merekalah yang menjadi sebab agama ini menang dengan kehendak Allah dan izinNya?
Justeru, jangan sekali-kali kita mendabik dada bahawa kitalah orang yang terbaik, yang layak mengangkat agama ini ke persada kemenangan yang diimpikan.
Ikhlaskan niat dan berusahalah sehabis daya.
Serahkan natijahnya kepada Allah semata-mata.
Jangan perkecilkan pihak lain. Jangan perkecilkan usaha yang dilakukan oleh orang lain meskipun pada mata kita orang itu jahat, kafir atau fasiq.
4OGOS2021
Thursday, July 29, 2021
PM OH PM
Impianmu nak jadi PM
Allah dah tunaikan
Walaupun dengan cara khianat dan ingkari perjanjian
Engkau dikata “bodoh”, kau kata “tak mengapa asal aku tetap PM”
Dikata gagal, kau kata “biarkan kerana aku kekal PM”
Kini dikata derhaka, masihkah kau tegar bertahan?
Renungkanlah dalam dirimu walau sejenak
Apakah tujuan, apakah hasrat
Nak senangkan rakyat, ramai rakyat dah meluat
Nak daulatkan raja, raja dah kata kau tak taat
Nak bahagiakan keluarga, apakah mereka sedang rasa tenang dan selamat?
Sedangkan kedudukanmu goyah teramat sangat
Sekutumu tak mahu lagi bersepakat
Untuk buktikan sokongan majoriti, kau terkulat-kulat
Ingatlah hari esok yang pasti tiba
Kau akan dibawa mengadap yang Esa
Ketika itu engkau akan ditanya
Ribuan rakyat yang kehilangan nyawa
Walaupun kau tidak membunuh mereka dengan senjata
Apakah kau yakin kau bukan sebahagian daripada puncanya?
Ribuan wanita menjadi balu dan janda dalam sekelip mata
Ribuan anak-anak menajdi yatim, malah ada yang tinggal sebatang kara
Ribuan rakyat hilang kerja hidup sengsara
Di dunia ini kau boleh pejamkan mata, buat muka selamba
Di hadapan Allah, bersediakah engkau untuk menjawab semuanya?
Justeru, apa lagi yang kau tunggu
Bumi ini bukan warisan nenek moyangmu
Bumi ini amanah Allah untuk sekelian makhluknya
Untuk ditadbir berlandaskan keadilan, kejujuran dan kelayakan
Jika kau mengaku “bodoh”, ertinya kau hilang kelayakan
Raja dah kata kau tak taat, ertinya kau tiada kejujuran
Maka lepaskanlah jawatan yang sangat engkau sayang
Kerana dirimu lebih penting
Jawatan tidak akan bersamamu masuk ke dalam kubur
Dirimu sendirilah yang akan terkontang-kanting sendirian.
Tuesday, July 27, 2021
Thursday, July 22, 2021
Hajar mengajar aku…
Hajar mengajar aku…
Bahawa sesungguhnya aku mampu tidur di atas padang pasir yang sunyi sepi, jauh daripada ahli keluarga dan orang-orang yang disayangi selagi aku yakin dengan sepenuh hati “Allah sekali-kali tidak akan mengabaikanku”
Hajar mengajar aku…
Bahawa sesungguhnya jalan menuju Allah kadang-kadang berlawanan dengan nafsu.
Dia bukanlah seorang isteri yang tidak memerlukan suami dan rumah tempat berlindung. Ibrahim bukanlah seorang manusia yang tidak punya sifat kebapaan, atau tidak punya kasih cinta terhadap isteri.
Tetapi mereka semua mengetahui dengan yakin bahawa syurga itu dilingkungi dengan perkara yang sukar dan tidak menyenangkan hawa nafsu.
Hajar mengajar aku…
Bahawa sesungguhnya kata-kata yang paling indah, paling afdhal untuk diungkapkan bila ditanya, kenapa kamu lakukan ini? Jawapanku yang paling indah dan paling afdhal adalah: “kerana Allah perintahkan aku berbuat begini!”
Hajar mengajar aku…
Bahawa sesunggunya Allah mahu kamu berusaha!
Allah hendak melihat hatimu!
Maka apakah yang Hajar lakukan supaya Allah membuka jalan keluar untuknya?
Apakah yang dilakukan oleh Nabi Ayyub AS untuk mendapatkan penawar sakitnya?
Allah perintahkan kepadanya: "Hentakkanlah (bumi) dengan kakimu "
Allah yang telah membuka jalan keluar kepada orang lain, Dialah yang akan membuka jalan keluar untukmu.
Hajar mengajar aku…
Bahawa sesungguhnya kadang-kadang engkau berusaha di suatu tempat, tetapi penyelesaian berlaku di tempat lain.
Hajar berlari-lari di antara Safa dan Marwah, tetapi air terpancur keluar di bawah tapak kaki Ismail.
Justeru, berusahalah dengan kudrat yang kamu miliki, Allah akan berikan kepadamu apa yang kamu tidak miliki.
Hajar mengajar aku…
Bahawa sesungguhnya jalan keluar tidak semestinya terbentang ketika kamu sedang bermandi peluh berlari-lari.
Bilakah jalan keluar terbentang untuk Hajar?
Selepas beliau berhenti berlari di antara Safa dan Marwah!
Hajar mengajar aku…
Ulang dan ulang
Sesungguhnya berlari di antara Safa dan Marwah mengajar kita pentingnya ulangan
Maka aku terus mengetuk pintuMu, berulang dan berulang
Hajar mengajar aku…
Berlari-lari anak…
Aku akan terus berlari meninggalkan hasutan nafsu sedaya upayaku
Aku akan terus berlari mengejar amalan-amalan yang diperintahkan sedaya mampuku
Hajar mengajar aku…
Bahawa sesungguhnya aku tidak mungkin memandang remeh kepada Hajar hanya kerana dia seorang perempuan
Hajar adalah orang pertama yang sa’ei.
Maka setiap orang yang melakukan sa’ei di antara Safa dan Marwah adalah mengikut jejak Hajar.
Sesungguhnya Hajar benar-benar mengajarku bahawa sesiapa yang jujur dan berlaku benar dengan Allah, Allah akan abadikan namanya dalam ingatan dan sebutan sepanjang zaman.
Diterjemah daripada teks asal dalam Bahasa Arab.
Penulis tidak diketahui
Hari Tasyriq yang ke 2 1442H
Saturday, July 10, 2021
DARI JENDELA USRAH
Sunday, July 04, 2021
GABENOR YANG MENGULI TEPUNG UNTUK HIDANGAN KELUARGA
Umar bin al-Khattab radhiallahu’anhu melawat Hums, satu daripada wilayah yang berada di bawah naungan khilafah Islam ketika itu.
Beliau bertemu dengan penduduk dan mendengar aduan-aduan mereka terutama mengenai Gabenor yang beliau amanahkan mentadbir wilayah itu, Sa’eid bin ‘Aamir radhiallahu’anhu.
Penduduk mengadu kepada Umar tentang Sa’eid:
“Dia tidak mempunyai masalah dengan kami kecuali empat perkara:
Pertama – dia tidak akan keluar melayani kami kecuali setelah meninggi hari
Kedua – dia tidak langsung menjawab panggilan kami pada waktu malam
Ketiga – dalam sebulan terdapat dua hari dia tidak keluar menemui kami dan kami tidak dapat bertemu dengannya
Keempat – ini bukan salah dia kerana dia tidak dapat mengelaknya, tetapi hal itu membuatkan kami tidak selesa, iaitu dia sering kali jatuh pengsan!”
Mendengar aduan itu, Umar berbisik kepada dirinya:
“Ya Allah, sesungguhnya aku kenal dia adalah antara hambaMu yang terbaik. Ya Allah, janganlah Engkau keciwakan aku kerana tersalah firasatku menyerahkan amanah ini kepadanya!”
Umar memanggil Sa’eid untuk memberi penjelasan tentang aduan itu.
Sa’eid berkata:
“Mereka berkata bahawa aku tidak keluar menemui mereka kecuali setelah meninggi hari, demi Allah, aku tidak suka untuk menyatakan sebabnya. Tetapi terpaksa aku jelaskan. Sesungguhnya tidak ada pembantu untuk menolong isteriku. Maka aku menguli tepung untuk membuat roti. Setelah diuli, aku biarkan sampai kembang kemudian aku bakar. Setelah itu, aku berwudhuk dan solat dhuha. Kemudian barulah aku keluar bertemu dengan mereka.”
Mendengar penjelasan itu, wajah Umar berseri-seri dan berbisik “Alhamdulillah.” Kemudian dia berkata kepada Sa’eid:
“Yang seterusnya, apakah penjelasanmu?”
Sa’eid menjawab:
“Aku tidak menjawab panggilan mereka pada waktu malam, demi Allah aku tidak suka menyebut sebabnya, tetapi aku terpaksa menjelaskan bahawa aku telah memperuntukkan waktu untuk mereka pada siang hari. Maka waktu malam aku peruntukkan untuk Tuhanku.
Masalah aku tidak keluar bertemu mereka dua hari dalam sebulan, kerana aku tidak mempunyai pembantu untuk membasuh bajuku dan aku tidak mempunyai baju yang lain. Aku membasuh bajuku sendiri dan menunggu beberapa Ketika sehingga baju itu kering. Dan pada waktu lewat petang, barulah aku keluar menemui mereka.
Tentang aku sering jatuh pengsan, sebenarnya aku telah melihat dengan mata kepalaku saat kematian Khubaib di Mekah. Orang-orang Quraisy telah mengelar-mengelar tubuhnya, kemudian mereka seretnya ke tiang salib. Mereka bertanya Khubaib, adakah dia suka kalau Muahammad berada di tempatnya dan dia selamat sejahtera di samping keluarga? Khubaib menjawab bahawa dia tidak suka sama sekali dia berada dalam keadaan sihat, riang gembira bersama isteri dan anak-anak, sedangkan Rasulullah ditimpa musibah hanya tercucuk sebatang duri di badannya! Maka setiap kali peristiwa yang aku saksikan ketika aku masih seorang musyrik itu menerjah di hadapan mataku, dan aku teringat aku membiarkannya dan tidak berbuat apa-apa untuk menyelamatkannya, aku jadi gementar kerana terlalu takut akan azab Allah di akhirat kelak sehingga aku jatuh pengsan!”
Sa’eid menghabiskan penjelasannya dengan lilihan air mata membasahi wajahnya yang suci. Umar tidak mampu mengawal dirinya lantas bersuara dengan lantang: “Alhamdulillah… Allah tidak mengeciwakan firasatku (memilih dia menjawat jawatan ini)” dan terus memeluk Sa’eid dengan erat.
- Ibn al-Athir, Usudul Ghabah.
Saturday, July 03, 2021
PM CIRIT BIRIT
“Leha, hari ni aku nak share satu hadis.”
“Bagus tu. Hadis apa yang kau nak share, Kiah?” sahut Leha dengan wajah yang ceria menanti perkongsian hadis daripada jirannya.
“Setiap muslim yang ditimpa musibah, walaupun tercucuk sebatang duri, Allah hapuskan dosa daripadanya.” Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Aisyah radhiallahu’anha.”
Leha mendengar dengan tekun maksud hadis yang disampaikan oleh Kiah.
“Best kan hadis ni?” soal Kiah apabila melihat Leha tidak memberikan apa-apa komen terhadap hadis yang dia sampaikan.
“Sabda Nabi, mestilah best. Tapi, kenapa tiba-tiba kau teringat nak baca hadis tu depan aku? Bukankah kita sama-sama belajar dalam usrah beberapa minggu yang lepas?” soal Leha pula.
“Sebab aku teringat PM cirit birit.” Jelas Kiah. Leha melopongkan mulutnya mendengar jawapan yang tidak diduga.
“Berdasarkan hadis ni, dengan musibah cirit birit tu, Allah akan hapuskan dosanya lah. Betul tak?”
Leha tidak segera menjawab. Dia memandang Kiah dengan senyuman penuh makna.
“Harap-harapnya begitulah. Tapi kita kena tahu, yang Allah hapuskan adalah dosa kita terhadap Dia. Dosa terhadap manusia tidak terhapus begitu saja. Perlu minta maaf, minta halal dengan orang yang kita sakiti atau zalimi.” Syarah Leha Panjang lebar.
“Betul juga cakap kau, Leha…” Kiah seperti baru terperasan poin yang disebut oleh Leha.
Kedua mereka diam seketika…
“Kita ni bukan nak menghukum. Tapi prinsip Islam tu jelas. khianat dan mungkir janji itu dilarang. Allah tidak suka kepada mereka yang khianat.”
“Ya, Leha. Aku terbayang para pengundi yang telah memenangkannya dalam PRU14 dahulu. Dia bertanding atas tiket PH dengan janji untuk membuat perubahan, menukar kerajaan kleptokrat kepada kerajaan yang lebih beramanah, telus, bersih daripada rasuah dan salah guna kuasa. Kemudian tak sampai dua tahun, dia tinggalkan PH dan bentuk kerajaan bersama gerombolan yang tewas dalam PRU. Dia tak terfikir ke betapa keciwanya para pengundi yang telah memberikan sepenuh kepercayaan kepadanya? Dan sekarang ni pula ramai rakyat yang terkesan akibat ketidak cekapannya mengurus pendamik…” Kiah meluahkan isi hatinya.
Leha setia menadah telinga.
“Rakyat bukan sahaja hilang harta, hilang kerja. Tapi hilang nyawa, hilang keluarga tempat bergantung… Allahu Akbar. Dia tak rasa apa-apa ke?” ngomel Kiah.
Leha kelu dan terkedu. Apa yang Kiah luahkan, itulah juga yang terbuku dalam hatinya. Tidak mungkin seorang manusia yang berfikiran waras tidak tahu hukum mengkhianati persepakatan dan memungkiri perjanjian. Bagaimana mungkin seorang yang mengaku beriman kepada hari kebangkitan sanggup membohongi ribuan manusia yang telah memberikan sepenuh kepecayaan kepadanya untuk melakukan perubahan dan pembaikan?
“Apa patut kita buat supaya dia sedar?”
Leha menarik nafas panjang.
“Kita ni siapa, Kiah? Siapalah yang akan dengar suara kita yang sekadar membebel di tepi pagar rumah saja?”
“Habis tu? Tak kan kita tak boleh buat apa-apa?” sahut Kiah dengan nada keciwa.
“Kau tahu tak, di bawah dia ada satu kementerian yang dinamakan kementerian agama? Ada Menteri dan Timbalan Menteri. Ada institusi-institusi agama lagi. Bagi aku, merekalah yang mesti memainkan peranan membetulkan kesilapan PM…”
“Tapi orang-orang tu PM yang lantik. Tak kan mereka akan menegur PM pula? Apalah kau ni, Leha?” Kiah membantah pandangan Leha.
Leha tertawa kecil, disambut oleh Kiah pula.
Persidangan di tepi pagar berakhir tanpa menemui jalan keluar.
Akhbar-akhbar melaporkan mangsa covid masih meningkat. Angka kematian tidak menyusut. Bertambah ramai kanak-kanak menjadi yatim dan wanita-wanita menjadi balu…