بسم الله الرحمن الرحيم
Alhamdulillah Ramadhan yang kita tangisi pemergiannya hampir setahun yang lalu kini bertandang lagi. Mereka yang beriman dan yakin pada janji-janji Allah menanti kehadiran bulan yang penuh barakah ini dengan pelbagai perasaan yang bercampur baur. Di samping rasa syukur yang tidak terhingga kerana masih diberi kesempatan untuk menyambut bulan yang mulia, mukmin juga dihambati perasaan sedih dan sayu kerana ketibaan bulan yang dinanti ini menandakan peningkatan usia dan bertambah dekatnya hujung kehidupan di alam fana ini. Apakah pertambahan usia seiring dengan peningkatan pahala atau sebaliknya? Apakah di penghujung usia yang teramat singkat ini amalan dan kebaktian kita semakin berganda atau semakin sirna?
Sesungguhnya kelebihan dan keistimewaan Ramadhan bukan lagi satu rahsia. Allah s.w.t. telah memilih daripada bulan ini satu detik paling bersejarah dalam kehidupan umat sejagat, iaitu detik turunnya Kitab Suci yang paling agung. Kitab yang diturunkan khusus untuk memimpin tangan manusia ke jalan yang benar, mengeluarkan mereka dari kegelapan kepada cahaya yang terang benderang. Bayangkan sekiranya Kitab ini tidak diturunkan! Pastinya kita tidak akan mengenal erti kehidupan, dari mana kita datang, ke mana kita akan pergi dan untuk apa kita hidup di dunia yang sementara ini? Lantaran itu mereka yang tidak mengambil manfaat dari Kitab yang mulia ini adalah golongan yang paling malang dan paling rugi.
Bulan Ramadhan juga mencatat sejarah gemilang; kemenangan golongan yang membawa panji kebenaran ke atas golongan mustakbirin yang mempunyai kekuatan meterial tiga kali ganda di dalam Ghazwah Badar al-Kubra.
Maka ketibaan bulan mulia yang penuh sejarah ini sewajarnya disambut dan diraikan dengan acara yang gilang gemilang. Dan tidak ada acara yang lebih bermakna dilakukan oleh seorang insan selain mengikhlaskan pengabdian kepada Pencipta Yang Maha Esa.
Sesungguhnya Allah s.a.w. telah mensyari’atkan beberapa perkara wajib dan sunat pada bulan Ramadhan. Itulah yang mesti dipatuhi dan dilaksanakan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh.
Ibadah paling penting yang disyari’atkan pada bulan Ramadhan ialah puasa.
Puasa ditakrifkan sebagai: Menahan diri dari makan dan minum atau apa-apa jua yang boleh membatalkan puasa, sepanjang hari mulai dari terbit fajar hingga terbenam matahari.
Tujuan utama puasa ialah mendidik manusia agar menjadi hamba yang bertaqwa. Taqwa bermaksud memelihara diri dari azab Allah dengan mentaati segala suruhan dan menjauhi segala laranganNya. Mungkin timbul persoalan, apakah dengan meninggalkan makan, minum dan syahwat pada siang hari dapat melahirkan insan yang bertaqwa? Sekadar meninggalkan makan dan minum memang tiada apa-apa kesan kecuali lapar dan dahaga. Namun apa yang dimaksudkan meninggalkan makan dan minum ketika berpuasa ialah menahan dan menguasi diri agar tidak melakukan sesuatu yang Allah larang. Kita tidak makan bukan kerena tidak ada makanan untuk dimakan, bukan kerana tidak ada duit untuk membeli makanan, bukan kerana tidak ada selera untuk makan, bukan kerana ditahan dan disekat dari mengambil makanan. Kita tidak makan adalah semata-mata kerana mematuhi perintah Allah ‘Azza wa Jalla. Allah telah berfirman di dalam kitab suciNya bermaksudnya: “...... dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib);…..” Al-Baqarah : 187
Sebagai hamba, kita mesti menyedari bahawa segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini milik Allah s.w.t. yang mutlak. Tidak ada sesiapapun yang berkongsi denganNya dalam pemilikan itu dan tidak ada sesiapapun yang boleh menggugat kekuasaanNya. Puasa mengajar kita agar menginsafi hal ini. Tidak ada sesuatupun yang mampu kita sentuh tanpa izinNya, hatta makanan yang kita beli dengan duit sendiri atau yang kita masak di dapor sendiri. Semuanya adalah milikNya. Dia sahaja yang berhak menentukan bilakah masa kita boleh menikmatinya dan bilakah masanya kita tidak boleh. Inilah pengajaran yang hendak diterapkan dalam hati setiap mukmin ketika dia meninggalkan makan dan minumnya di waktu berpuasa.
Hari ini kita dapati ramai muslim berpuasa menahan diri dari lapar dan dahaga. Namun pada masa yang sama mereka tidak segan silu melakukan perbuatan yang Allah larang. Mulut dikawal tidak mengunyah makanan lazat yang terhidang di depan mata, tapi pada masa yang sama mulut itu disumbat pula dengan daging-daging busuk dan berulat.
Gejala tidak mengawal diri dari melakukan perbuatan yang ditegah oleh Allah semakin ketara ketika menyambut ketibaan Hari Raya. Pelbagai acara diatur dan direka dengan kreatif dan inovatif. Semuanya untuk keseronokan dan memenuhi tuntutan nafsu yang tidak mengenal sempadan halal dan haram. Hari Raya adalah hari perisytiharan kemenangan melawan nafsu, bukan memperaja dan memenangkan nafsu.
Untuk menjadikan ibadah puasa lebih bermakna seharusnya kita berusaha memahami hikmahnya dan berusaha menghayatinya sedaya mampu. Matlamat puasa ialah menjadi insan yang bertaqwa. Sahabat Nabi s.a.w. pernah membuat analogi keadaan orang yang bertaqwa itu seperti seseorang yang sedang berjalan di sebatang jalan yang penuh onak dan duri. Dia melangkah dengan waspada dan sentiasa berhati-hati agar kakinya tidak terpijak duri. Demikianlah orang yang bertaqwa. Setiap pekerjaan atau perketaan yang dilakukan diteliti terlebih dahulu agar tidak terlanggar dan terbabas ke sempadan yang dilarang.