Saturday, September 25, 2010

AKHLAK MULIA MENAWAN JIWA

Ibrahim an-Nakha’ei (666-715 M) seorang ulamak fiqh dari generasi tabi’ein.
Beliau hanya dapat melihat dengan sebelah mata. Sebelahnya mata lagi buta.
Seorang muridnya bernama Sulaiman bin Mahran adalah seorang yang rabun.
Ibn al-Jauzi menceritakan kisah kedua orang guru dengan muridnya itu.
Pada suatu hari kedua-duanya berjalan beriringan di sebatang jalan di Bandar Kufah menuju ke Masjid Jame’. Tiba-tiba Ibrahim berkata:

- Wahai Sulaiman! Bolehkah kamu mengambil jalan lain daripada jalan yang aku lalui? Aku bimbang sekiranya orang-orang yang bodoh melihat kita berjalan beriringan, mereka akan mengumpat kita dengan berkata “a’war (orang yang buta sebelah mata) memimpin a’masy (orang yang rabun). Dengan itu mereka berdosa.

Sulaiman menjawab:

- Wahai Abu ‘Imran! Apa masalahnya? Kalau mereka mengumpat, kita dapat pahala dan mereka yang berdosa?

Ibrahim membalas:

- Subhanallah! Bukankah lebih baik kita selamat dan mereka pun selamat daripada kita dapat pahala dan mereka berdosa?

Ya! Subhanallah! Betapa suci hati seorang ulamak dan betapa tinggi ketaqwaannya.

Thursday, September 23, 2010

Terpeliharakah taqwa kita?

Alhamdulillah, syukur kepada Allah di atas segala ni’mat-Nya yang tidak terkira, lebih-lebih lagi ni’mat selamat mengharungi dan menghayati Ramadhan yang baru berlalu.
Kita semua maklum bahawa Ramadhan adalah sebuah madrasah yang didirikan untuk menjana sifat taqwa di dalam diri hamba-hamba yang beriman sebagaimana ditegaskan di dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (Al-Baqarah:183)
Orang yang bertaqwa atau muttaqin adalah segolongan hamba yang paling istimewa dan paling mulia di sisi Allah ‘Azza wa Jalla. Hal ini ditegaskan di dalam firman-Nya yang bermaksud:
“….Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu,….” (Al-Hujurat:13)
Orang yang bertaqwa juga merupakan golongan yang diperakui berada di atas jalan yang benar dan termasuk dalam golongan mereka yang mendapat kemenangan. Di permulaan surah al-Baqarah, setelah menyebut beberapa ciri yang ada pada mereka yang bertaqwa, Allah Ta’ala mengakhiri dengan firman-Nya yang bermaksud:
“Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang berjaya.” (Al-Baqarah:5)
Kejayaan dan keberuntungan yang diperolehi oleh mereka yang bertaqwa bukan sahaja berupa kejayaan di akhirat. Sebaliknya Allah Ta’ala telah menjamin berbagai-bagai ni’mat, ‘inayah dan ma’unah semasa hidup di dunia lagi.

Sila ikuti lanjutannya di: http://www.malaysiaharmoni.com/

14 Syawal 1431

Telah dua minggu Syawal berlalu. Anda tentunya telah selamat menyambut Hari Raya Puasa, dan tentunya sudah ramai yang selesai menjalani ibadah Puasa Sunat Syawal sebanyak 6 hari. Didoakan semua ibadah yang ditunaikan diqabulkan Allah sepenuhnya.

Mereka yang terpilih menjadi tetamu Allah pula, kini sedang bersiap sedia menanti tibanya hari yang penuh bermakna sambil mempersiapkan diri dengan bermacam-macam persiapan yang diperlukan. Didoakan moga perjalanan anda dimudahkan, ibadah diterima, dosa diampuni dan ganjaran syurga diperolehi sebagaimana janji-Nya bahawa haji yang mabrur itu tiada lain ganjarannya kecuali syurga.

Terlalu banyak peristiwa suka dan duka menerjah dalam kehidupan untuk menguji siapa di antara kita yang paling baik amalnya. Orang yang benar-benar beriman akan berjaya menghadapi apa saja bentuk ujian yang mendatang. Namun sebahagian manusia akan tewas bila diuji dengan kesusahan, dan tak kurang pula yang tewas bila diuji dengan kesenangan.

Maka jalan yang selamat adalah saling ingat mengingati dan nasihat menasihati dengan kebenaran serta kesabaran.

Friday, September 03, 2010

BAJU RAYA

Tinggal beberapa hari saja umat Islam yang berpuasa akan menyambut Hari Raya ‘Idul-Fitri.
Pastinya masing-masing sibuk membuat persiapan; tempah baju, tempah (masak?) kuih, hias rumah dan sebagainya.
Dan sudah menjadi satu trend sekarang satu keluarga pakai satu warna, ikut tema.
Tiba-tiba saya dihadapkan dengan soalan tentang warna yang boleh dan tidak boleh dipakai khususnya kaum lelaki.

Nak tahu jawapannya? Silalah jenguk blog:
http://penyuluh.blogspot.com/

SELAMAT HARI RAYA

Wednesday, September 01, 2010

SYAHIDNYA SEORANG MUJAHID



29 Ogos 2010 genaplah 44 tahun Allah Yarham Sayyid Qutub syahid di tali gantung. Beliau dibunuh pada pagi hari isnin 29 Ogos 1966.
Seorang daripada dua anggota tentera yang ditugaskan menjaga al-marhum menceritakan pengalamannya bersama beliau ketika dalam penjara dan pada saat-saat beliau dibunuh.
“Di sana terdapat beberapa perkara yang tidak dapat kami gambarkan telah menyebabkan berlakunya perubahan secara menyeluruh dalam hidup kami. Di dalam penjara al-Harbi, setiap malam kami menerima beberapa orang individu atau sekumpulan orang dewasa, anak-anak muda dan wanita-wanita. Kami diberitahu bahawa mereka ini adalah para pengkhianat yang berkerjasama dengan Yahudi! Kita mesti membongkar rahsia mereka. Dan untuk tujuan itu tiada jalan lain kecuali dengan mengenakan siksaan yang paling maksimum. Pukul mereka dengan menggunakan pelbagai jenis tali dan tongkat yang boleh mencarik robekkan daging-daging mereka!
Kami laksanakan arahan itu dengan keyakinan bahawa kami sedang menjalankan tugas kami yang mulia. Namun tidak berapa lama kami rasa diri kami sedang berhadapan dengan sesuatu yang tidak dapat kami tafsirkan. Kami melihat para ‘pengkhianat’ ini begitu bersungguh-sungguh menjaga solat di waktu malam. Lidah mereka hampir tidak putus menyebut Nama Allah sehinggakan pada waktu mereka didera. Bahkan terdapat di kalangan mereka yang mati dibelasah dengan tongkat atau diterkam anjing yang ganas, namun begitu mereka tetap kelihatan tenang, bibir mereka mengukir senyuman sambil menyebut-menyebut Nama Allah.
Dari situ, perasaan ragu mula menyelinap ke dalam hati kami. Tidak masuk akal orang-orang yang beriman seperti ini, yang sentiasa berzikir menjadi pengkhianat dan bersekongkol dengan musuh Allah. Saya bersepakat dengan rakan setugas saya secara senyap-senyap untuk mengelak daripada menyiksa mereka ini sadaya mampu kami dan memberikan apa saja pertulungan yang terdaya oleh kami.
Dan dengan rahmat Allah serta kurnia-Nya tempoh kami ditugaskan dipenjara itu tidak lama. Tugas kami yang terakhir ialah mengawal sel seorang tahanan yang diasingkan dari yang lain. Mereka memberitahu kami bahawa tahanan yang seorang ini adalah yang paling berbahaya, atau dia adalah ketua mereka! Dialah yang merancang dan mengaturnya. Dia disiksa dengan teruk sehingga tidak mampu untuk bangun. Mereka terpaksa mengangkat dan memapahnya ke Mahkamah Tentera yang memutuskan hukuman mati ke atasnya.
Malam terakhir sebelum dilaksanakan hukuman mati ke atasnya, mereka membawa masuk ke selnya seorang syeikh supaya memberi nasihat dan peringatan kepadanya. Keesokan harinya, pagi-pagi lagi saya dan rakan setugas saya memegang tangan dan memimpinnya menaiki sebuah kereta. Di dalamnya terdapat beberapa orang yang dikenakan hukuman yang sama dengannya. Di belakang kereta yang kami naiki terdapat beberapa buah trak tentera lengkap bersenjata konon untuk mengawal mereka.
Di pelantar tempat pelaksanaan hukuman gantung tersedia tali-tali sebanyak individu yang dikenakan hukuman. Di sisi setiap tali berdiri seorang tentera menggalas senjata masing-masing dan seorang petugas yang siap sedia menunggu arahan melaksanakan perintah menjerut leher mangsa.
Apa yang mengkagumkan saya ialah kalimah-kalimah yang dihamburkan oleh oleh mereka yang berhadapan dengan kematian kepada kawan-kawan yang senasib dengan mereka. Mereka saling mengucap tahniah, memberi khabar gembira akan bertemu di syurga yang abadi di samping Muhammad serta sahabat-sahabatnya. Dan mereka akhiri percakapan dengan kalimah mereka yang terakhir: الله أكبر ولله الحمد
Pada saat yang penuh debaran ini, tiba-tiba terdengar deru kereta menghampiri kemudian berhenti. Sebentar kemudian keluarlah dari kereta itu seorang yang berpangkat besar lalu menghampiri tahanan yang saya jaga. Dia memerintahkan supaya penutup mata tahana itu dibuka dan tali yang mengikat lehernya ditanggalkan. Kemudian dia berkata dengan nada songbong:
Wahai saudaraku, wahai Sayyid! Aku datang kepadamu membawa hadiah kehidupan daripada Tuan Presiden yang sangat pengasih dan penyayang. Dia hanya meminta kamu tandatangani satu perkataan sahaja. Lepas itu kamu boleh minta apa saja yang kamu mahu untuk dirimu dan saudara-saudaramu itu!
Tanpa menunggu jawapan daripada Sayyid, pegawai berpangkat tinggi itu membuka buku catatan yang ada di tangannya seraya berkata: Ya akhi, kamu tulis di sini ayat ‘sesungguhnya aku mengaku salah dan aku memohon maaf’.
Sayyid mengangkat kedua-dua matanya yang jernih. Di wajahnya terpancar senyuman manis yang tidak mampu kami sifatkan. Dengan tenang yang menakjubkan dia berkata kepada pegawai berpangkat tinggi itu:
“Selama-lamanya tidak mungkin! Aku tidak akan membeli kehidupan yang sementara ini dengan dusta yang tidak akan terpadam selama-lamanya!”
Pegawai itu menjawab dengan nada sebak yang dibuat-buat: “Tapi kamu akan mati Sayyid…”
Sayyid menjawab: “Marhaban (selamat datang) kepada mati di jalan Allah…!”
Dan tiada lagi ruang bicara. Pegawai mengarahkan agar hukuman segera dilaksanakan.
Maka terkulailah jasad Sayyid serta saudara-saudaranya di tali gantung. Di bibir mereka terpantul kalimah yang tidak mampu kami lupakan selama-lamanya:
لا إله إلا الله محمد رسول الله