Monday, July 27, 2009

Persiapan Menanti Ramadhan

Kedatangan sesuatu yang agung dan dinanti-nantikan memang selayaknya disambut besar-besaran dengan persediaan yang hebat dan gilang gemilang.

Apakah persediaan yang sewajarnya untuk kita sambut Ramadhan yang mulia?

1. Banyakkan berdoa agar diberi peluang menjalani ibadah di bulan Ramadhan sama ada yang wajib atau yang sunat dan meraih sebanyak-banyaknya keberkatan, rahmah serta keampunanNya.
2. Bersihkan hati, berlapang dada, maafkan segala kesalahan insan lain terhadap diri kita. Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. besabda maksudnya: “Allah s.w.t. menjenguk sekelian makhlukNya pada malam pertengahan Sya’ban, lalu Dia mengampunkan seluruh makhlukNya kecuali musyrik (orang yang menyengutukanNya) dan musyahin (orang yang bercakaran dan bergaduh)”. Riwayat al-Albani dari Mu’az bin Jabal.
3. Jadikan Sya’ban bulan persediaan dengan membanyakkan puasa sunat. Diriwayatkan bahawa Usamah bin Zaid telah bertanya Rasulullah s.a.w.: “Ya Rasulullah! Saya tidak pernah melihat anda berpuasa penuh satu bulan seperti yang anda lakukan pada bulan Sya’ban?”
Baginda menjawab (maksudnya): “Bulan ini sering dilupakan oleh kebanyakan manusia, iaitu bulan yang terletak antara Rajab dan Ramadhan. Ini adalah bulan yang diangkat padanya amalan kepada Allah Rabbul-‘Alamin, dan aku suka amalanku diangkat sedang aku berpuasa”. Riwayat al-Munziri
4. Membiasakan diri dengan qiamullail atau bangun malam untuk solat tahajjud, baca al-Quran, beristighfar dan berzikir. Orang yang telah biasa bangun waktu malam untuk melakukan ibadah-ibadah tersebut, akan mudahlah baginya menghayati malam-malam bulan Ramadhan yang penuh keberkatan nanti.
5. Siapkan diri dengan ilmu serta hukum-hakam yang berkaitan dengan ibadah yang dituntut sepanjang Ramadhan sama ada yang wajib atau sunat.
6. Bersedia untuk mengaktifkan dakwah di bulan Ramadhan dengan menggunakan berbagai-bagai wasilah dan pendekatan. Ramadhan adalah bulan orang berlumba-lumba merebut kebaikan. Jangan lepaskan peluang mendapat ganjaran menyebarkan Islam.
7. Tanamkan azam untuk menjadikan penghayatan Ramadhan tahun ini (jika usia dipanjangkan hingga ke saat itu) lebih baik daripada tahun-tahun yang lalu.

اللهم بارك لنا فى شعبان ... اللهم بارك لنا فى شعبان ... اللهم بارك لنا فى شعبان

اللهم بلغنا رمضان .... اللهم بلغنا رمضان .... اللهم بلغنا رمضان

اللهم تقبل منا إنك أنت السميع العليم وتب علينا إنك أنت التواب الرحيم

اللهم أغفر لنا ذنوبنا وإسرافنا فى أمرنا وثبت أقدامنا وانصرنا على القوم الكافرين

اللهم لاتدع لنا فى هذا اليوم ذنبا إلا غفرته

اللهم اغفر لنا وارحمنا وعافنا واعف عنا ... اللهم آتنا سؤلنا

اللهم آتنا من لدنك رحمة وهىء لنا من أمرنا رشدا

ربنا آتنا فى الدنيا حسنة وفى الآخرة حسنة وقنا عذاب النار

سبحانك اللهم وبحمدك ،
أشهد أن لا إله إلا أنت ،
استغفرك وأتوب إليـك

وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

Sunday, July 26, 2009

Raja dan Tiga Orang Menterinya

Pada suatu hari seorang raja memanggil tiga orang menterinya datang mengadap. Setelah ketiga-tiganya datang mengadap baginda perintahkan supaya diberi kepada setiap orang menterinya satu karung kosong dan perintahkan mereka agar mengisi karung tersebut dengan buah-buahan yang ada di taman istana sampai penuh. Esok mereka mesti pulangkan kepada baginda karung yang telah diisi seperti yang diperintahkan.

Salah seorang daripada menteri itu memilih dengan cermat dan berhati-hati buah-buahan yang elok-elok dan diisi ke dalam karungnya untuk dipersembahkan kepada raja.

Manakala menteri yang seorang lagi berfikir raja sebenarnya bukan hendakkan buah-buahan itu untuk dirinya. Maka dia mengutip dan mengisi buah-buahaan sehingga penuh karungnya dalam keadaan malas tanpa mengira buah yang elok atau sebaliknya.

Menteri yang ketiga pula berfikir raja bukan hendakkan buah-buahan itu dan baginda tidak akan tengok pun apa yang ada di dalam karung. Lalu dia mengutip dan memasukkan apa saja yang tercapai oleh tangannya; rumput rampai, daun-daun kering dan sebagainya sehingga penuh karung.

Keesokan harinya ketiga-tiga menteri itu datang mengadap dengan membawa karung masing-masing yang telah penuh berisi.

Dengan tidak semena-mena raja memerintahkan ketiga-tiganya dipenjarakan bersama karung masing-masing di dalam bilik kurungan yang berasingan di luar kota tanpa dibekalkan sebarang makanan dan minuman selama tiga bulan. Tidak ada siapapun yang dibenarkan datang melawat dan mengirim makanan atau minuman.

Bayangkan nasib mereka di dalam penjara masing-masing!!!

Menteri pertama tidak mengahadapi sebarang masalah. Dia dapat menikmati semua buah-buahan yang elok yang telah dipilihnya dengan penuh hati-hati.

Yang kedua agak perit kerana karungnya bercampur aduk antara buah yang elok dengan yang busuk. Dengan susah payah dia terpaksa memilih mana yang elok saja untuk mengisi perutnya.

Manakala yang ketiga, alangkah malang nasibnya. Karungnya hanya berisi daun-daun kering dan rumput rampai yang tidak boleh dimakan. Tidak sampai tiga bulan dia sudah mati kelaparan.

Demikian bandingan hidup kita. Dunia ini laksana sebuah taman yang penuh dengan pelbagai peluang untuk mengutip amal soleh untuk dibawa bekal ke akhirat nanti, untuk dibawa bekal ketika kita dipenjara di dalam kubur nanti. Amalan yang soleh itulah bekalan, teman, makanan dan cahaya yang menerangi kegelapan di sana nanti.

Maka adakah kita telah mengutip bekalan secukupnya untuk hari yang bakal tiba pada bila-bila masa sahaja?

Sunday, July 19, 2009

Hidup Biar Berjasa

HIDUP BIAR BERJAYA kerana MAUT DATANG TAK KIRA MASA, TANPA DIDUGA

Gaza – Sabtu 18 July 2009, Muhammad Sa’eed ‘Iwadh Allah yang dikenali dengan panggilan Abu al-‘Abd, salah seorang pengasas Jamaah Ikhwan al-Muslimin di Jalur Gaza dan Palestin, telah kembali ke Rahmatullah.

Beliau meninggal dengan cara mengejut. Pada waktu zohor, ketika sedang membaca al-Quran di dalam masjid, tiba-tiba beliau terjatuh dari kursi yang didudukinya, lantas ruhnya yang suci diangkat ke pangkuan Pencipta dan Pemiliknya.

Beliau merupakan generasi pertama yang mengasas Jamaah Ikhwan al-Muslimin di Palestin, seorang hafiz al-Quran, imam di masjid Bilal bin Rabah yang diasaskannya pada tahun 1960an yang terletak di daerah Tel al-Sultan, di barat bandar Rafah dan bahagian selatan Jalur Gaza. Di masjid inilah juga khatibnya, Khalil al-Lauqah menemui syahid pada hari pertama pencerobohan Zionis akhir tahun lepas.

Allah Yarham Abu al-‘Abd adalah seorang pendakwah yang gigih, tidak gentar memperkatakan kebenaran, benteng yang teguh kepada gerakan Islam dalam mendepani kaum kuffar dan munafiqin.

Semoga ruhnya di tempatkan di sisi Allah dalam barisan syuhada’ dan solihin. Amin.

GIVE THANKS TO ALLAH

Give thanks to Allah,
for the moon and the stars
prays in all day full,
what is and what was
take hold of your iman
don’t give in to shaitan
oh you who believe please give thanks to Allah.
Allahu Ghefor Allahu Rahim Allahu yuhibo el Mohsinin,
hua Khalikhone hua Razikhone whahoa ala kolli sheiin khadir

Allah is Ghefor Allah is Rahim Allah is the one who loves the Mohsinin,
he is a creator, he is a sustainer and he is the one who has power over all.

Give thanks to Allah,
for the moon and the stars
prays in all day full,
what is and what was
take hold of your iman
don’t give in to shaitan
oh you who believe please give thanks to Allah.
Allahu Ghefor Allahu Rahim Allahu yuhibo el Mohsinin,
hua Khalikhone hua Razikhone whahoa ala kolli sheiin khadir


Allah is Ghefor Allah is Rahim Allah is the one who loves the Mohsinin,
he is a creater, he is a sistainer and he is the one who has power over all.

Tuesday, July 14, 2009

Tinggal Satu Hari Saja Lagi!!!

Seandainya anda diberitahu bahawa peluang untuk anda hidup di dunia ini hanya tinggal satu hari saja lagi. Selepas itu nyawa anda akan dicabut oleh malaikat maut dan anda akan dibawa mengadap Allah Yang Esa!

Apakah yang akan anda lakukan untuk mengisi waktu hari terakhir hidup anda di dunai ini?

Dua pilihan untuk anda!

Anda akan menikmati segala keseronokan dunia sepuas-puasnya? Anda akan kejar impian yang belum tercapai? Menjejaki gadis jelita yang anda cintai, puaskan nafsu berasmara dana dengannya sepanjang hari? Tempah pesawat paling laju keliling dunia, jelajahi tempat-tempat peranginan menarik yang belum sempat anda lawati? Kumpul sebanyak-banyaknya perhiasan yang cantik, barang-barang antik, perabut-perabut mewah, penuhi setiap sudut dan ruang di dalam rumah? Jemput kawan-kawan datang ke rumah berpesta dan menjamu selera dengan segala jenis makanan dan minuman sama ada keras atau ringan?

Atau…

Anda akan segera ke masjid, menunaikan solat sebanyak yang boleh, beristighfar, berzikir, baca al-Quran sampai khatam? Periksa buku catatan, untuk membereskan segala hutang piutang. Hubungi kawan, jiran dan saudara mara, memohon kemaafan di atas segala kesalahan, lebih-lebih lagi dari mereka yang pernah anda zalimi, yang pernah anda umpati dan anda sakiti. Menulis surat wasiat untuk mensedekahkan semua harta yang ada di dalam simpanan. Rumah, kereta dan segala harta tiada suatu pun yang anda sayang. Hati anda menjadi begitu pemurah, jiwa anda sangat pemaaf. Serta merta anda bertukar menjadi insan yang sangat penyabar, lemah lembut dan bertimbang rasa. Anda sangat berharap kalaulah ada pesawat paling laju yang boleh menerbangkan anda ke tanah suci untuk bertawaf sebanyak mungkin dan bersolat di masjidil-haram untuk meraih ganjaran 100,000 kali ganda?

Yang manakah pilihan anda? Yang pertama atau kedua?

Sekiranya anda berkata bahawa anda memilih yang pertama, maka sesungguhnya anda telah berbohong kepada diri sendiri kerana Allah s.w.t. Yang Mencipta diri anda Maha mengetahui tentang makhluk ciptaanNya. Dia telah menceritakan di dalam al-Quran bahawa setiap insan yang kufur dan berdosa kepadaNya apabila menghampiri mati akan beriman dan menyesali segala dosanya-dosanya.
Tahukah anda apa yang terjadi kepada Firaun ketika dia hampir lemas? Firman Allah bermaksud:
“Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah dia (pada saat yang genting itu): Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah)”. (Yunus:90)

Di dalam ayat lain, Allah s.w.t. menceritakan betapa manusia yang tidak suka berbuat kebaikan itu, apabila tiba saat kematian merayu-rayu agar dia diberi tangguh sekejap lagi supaya dia dapat mengerjakan amal yang soleh.
“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh”. (Al-Munafiqun:10)

Dan setelah tiba ke negeri akhirat, pembalasan yang selama ini mereka ingkari tidak dapat dielakkan lagi. Saat itu mereka bercita-cita untuk kembali ke dunia. Bukan untuk melepaskan rindu kepada isteri atau suami, bukan untuk menyiapkan pembinaan istana yang terbengkalai, bukan untuk menyambung percintaan yang terburai. Tetapi hanya untuk satu tujuan sahaja, iaitu untuk melakukan amal yang soleh!

“Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah dia: Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia). Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan….” (Al-Mu’minun: 99 – 100)

“Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin”. (As-Sajadah:12)

Sekiranya anda berkata bahawa anda memilih yang kedua, maka mengapa anda menunggu saat itu baru terkejar-kejar? Bukankah kematian itu suatu kemestian yang tidak siapa yang tahu bila tibanya? Kenapa masih berlengah dan bertangguh?

Sesungguhnya setiap kali menjelangnya hari yang baru, dia akan berkata kepada manusia: “Wahai sekelian manusia! Sesungguhnya aku ini hari baru dan aku menjadi saksi ke atas amalan kamu. Dan pabila tenggelamnya matahari berakhirlah riwayatku dan aku tidak akan kembali lagi kepadamu sehingga hari qiamat!”

Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda maksudnya: “Tidak ada seorangpun yang mati kecuali dia akan menyesal. Sekiranya dia telah melakukan kebaikan, dia menyesal tidak menambah kebaikannya. Dan sekiranya dia telah melakukan kejahatan, dia menyesal kerana tidak berhenti dari kejahatannya”.

Sayyidina Ali bin Abi Talib berkata: “Sesungguhnya dunia telah beransur pergi meninggalkan kita dan akhirat mengensot datang mendapatkan kita. Kedua-duanya mempunyai anak masing-masing. Maka jadilah kamu anak-anak akhirat. Jangan jadi anak-anak dunia. Sesungguhnya hari ini masa beramal, tiada hisab. Esok masa hisab, tiada amal”.

Mengapa kita buat-buat buta tentang kesudahan diri kita
Kita buat-buat lupa kepada Yang tak pernah lupakan kita
Wahai orang yang berkelana di medan nafsu bersuka ria
Lepas bebas di pentas kesesatan tiada sempadan
Masa berlalu usia bertimbun dalam bermain
Cukuplah sudah, sungguh telah rugi hari lalu yang tiada berganti

Friday, July 10, 2009

DOSA APAKAH DIA DIBUNUH?




Sekali lagi dunia digegarkan oleh peristiwa yang tidak berperi kemanusiaan. Peristiwa berdarah yang berlaku di zaman yang kononnya bertamadun, di sebuah negara yang dikatakan mengamalkan prinsip demokrasi dan menjamin hak kebebasan manusia. Seorang muslimah dibunuh dengan kejam di dalam sebuah mahkamah di hadapan hakim yang sepatutnya menjunjung keadilan dan membela kebenaran.

Kisah bermula pada tahun lepas (2008), seorang muslimah warganegara Mesir, Dr Marwah al-Syarbini (32 tahun) membawa anak lelakinya Mustafa (3 tahun) ke sebuah taman permainan kanak-kanak di bandar Dresden. Di situ terdapat seorang lelaki warganegara German berbangsa Rusia dikenali sebagai Alex (28 tahun). Marwah meminta lelaki itu agar meninggalkan buai untuk memberi peluang kepada anaknya bermain. Lelaki tersebut bukan sahaja tidak mengendahkan permintaan Marwah, sebaliknya telah memaki hamun dan menuduhnya pengganas kerana memakai pakaian menutup aurat.

Demi mempertahankan maruah dan tuntutan agamanya, Maruah membuat pengaduan di Mahkamah. Mahkamah memerintahkan lelaki tersebut membayar denda kepada Marwah sebanyak 750 Euro. Lelaki itu tidak berpuas hati dengan keputusan hakim dan meminta diulang bicara.
Pada hari yang ditetapkan, hari Rabu lepas (1 July) Marwah datang ke mahkamah untuk perpicaraan. Namun lelaki itu telah menunggunya dengan sebilau pisau, lantas menikamnya bertubi-tubi. Suaminya yang menyaksikan serangan itu cuba menghalang. Tetapi dia sendiri turut terkena tikaman. Beberapa minit kemudian anggota polis tiba dan segera melepaskan tembakan. Malang sekali lagi, yang tertembak adalah suami Marwah, Dr Muhammad ‘Ukaz. Dengan 18 tikaman, Marwah yang sedang hamil 3 bulan menghembus nafas terakhir di tempat kejadian. Manakala suaminya dikejarkan ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Kepada ukhti kita, Dr Marwah, kita persembahkan sekalung tahniah di atas pemergiannya ke alam baqa’ dengan membawa gelaran SYAHIDAH HIJAB.

Wednesday, July 01, 2009

Setianya Cinta

(Kisah benar, pengalaman seorang doktor)

Pagi itu, lebih kurang jam 8.30 pagi, seperti biasa saya sibuk melayan pesakit yang datang ke klinik saya dengan berbagai-bagai masalah. Seorang lelaki tua, saya kira umurnya telah menjangkau 80 tahun datang untuk membuka balutan pada ibu jarinya. Dia memberitahu saya bahawa dia hendak cepat kerana ada temu janji pada pukul 9.00.

Saya menghulurkan kerusi untuknya. Sambil memulakan kerja membuka balutan dan memeriksa kesan luka di jarinya saya bertanya adakah dia mempunyai temu janji dengan doktor pakar untuk membuat pemeriksaan kesihatan?

Dia menjawab, tidak. Tapi dia hendak pergi ke rumah penjagaan orang tua untuk bersarapan bersama isterinya.

Saya bertanya kenapa isterinya tinggal di rumah penjagaan orang tua?
Dia menyatakan bahawa isterinya mengidap penyakit Alzheimer.
Saya bertanya lagi, adakah isterinya akan risau dan susah hati kalau dia terlewat sampai?

Dia menjawab dengan tenang: Dia tidak kenal saya lagi. Ya! Dia sudah tidak kenal siapa saya sejak lima tahun yang lalu.

Saya tergamam.

Saya bertanya dengan penuh kehairanan: “Dia tidak kenal pakcik, tapi pakcik tetap pergi bersarapan dengannya setiap pagi?”

Sambil tersenyum dan menekan tapak tangan saya dengan jarinya, dia berkata: “Dia memang tak kenal saya. Tapi saya kenal dia!”.
Saya menahan air mata yang mahu menitis. Dia bangkit meninggalkan saya yang termangu sendirian.

Maha suci Allah! Betapa agung cintanya. Isterinya sudah tidak mengenalinya, namun dia tetap setia mencintainya dan tidak putus-putus mengunjunginya untuk sarapan bersama.

Asal Usul Syi’ah

Kebanyakan ahli sejarah berbeza pendapat tentang permulaan Syi’ah yang sebenarnya. Yang diketahui umum, Syi’ah adalah puak yang mendokong Sayyidina Ali bin Abi Talib r.a. dalam pertelingkahannya dengan Mu’awiah bin Abi Sufyan r.a.

Namun tidak bermakna pengikut Ali itu syi’ah dan pengikut Mu’awiah itu Sunnah. Tiada seorangpun yang bersetuju dengan kenyataan ini. Malah, semua ahli sunnah yakin bahawa dalam perselisihan yang berlaku antara dua sahabat besar itu, kebenaran berada di pihak Ali. Dan Mu’awiah, beliau telah berijtihad. Namun ijtihadnya tidak menepati kebenaran. Jelas bahawa fikrah ahli sunnah adalah memihak kepada Ali. Begitu juga prinsip-prinsip akidah dan fikrah yang dipegang oleh syi’ah bukan daripada fikrah dan prinsip akidah Ali bin Talib sama sekali. Justeru kita tidak boleh berkata bahawa syi’ah bermula pada zaman ini.

Terdapat ahli sejarah yang berkata bahawa permulaan syi’ah adalah selepas syahidnya Husain bin Ali r.a.
Pendapat ini memang berasas. Husain telah keluar dari pemerintahan (tidak mengiktiraf kekhalifahan) Yazid bin Mu’awiah. Beliau berangkat menuju ke Iraq apabila beliau dipanggil oleh sebahagian penduduknya dan berjanji akan membantunya. Namun di saat-saat akhir, mereka telah memungkiri janji. Itulah yang menjadi punca syahidnya Husain.

Setelah Husain syahid, sebahagian mereka yang mengajaknya keluar telah menyesal. Mereka bertekad untuk menghapus dosa-dosa mereka dengan mengisytiharkan diri keluar dari pemerintahan Bani Umayyah. Pertempuran pun berlaku, sebahagian mereka terbunuh. Mereka inilah dikenali sebagai syi’ah. Lantaran itulah kita lihat hubungan mereka dengan Husain lebih rapat berbanding hubungan mereka dengan Ali sendiri. Pada hari ini, kita semua lihat mereka mengadakan upacara memperingati kesyahidan Husain, tetapi tidak ada sebarang upacara memperingati kesyahidan Ali.

Sungguhpun begitu, kelahiran golongan ini tidak lain hanyalah suatu gerakan politik menentang pemerintahan Bani Umayyah. Mereka tidak mempunyai prinsip-prinsip akidah atau mazhab fiqhiyyah yang berlawanan dengan ahli sunnah. Bahkan kita dapati para pemimpin angkatan pertama yang didakwa oleh orang-orang syi’ah sebagai imam-imam mereka adalah pendokong-pendokong sunnah. Semua tutur kata mereka adalah berlandaskan akidah sunnah dan prinsip-prinsipnya.
Keadaan pemberontakan boleh dikatakan reda seketika selepas beberapa bulan syahidnya Husain. Tidak lama kemudian muncul Ali Zainal Abidin bin Husain bin Ali r.a. Beliau merupakan antara manusia terpilih, ulamak yang zuhud. Tidak terdapat langsung kesan-kesan atau tanda-tanda perbezaan akidah dan fikrah yang dibawanya dengan apa yang dipegang oleh para sahabat dan tabi’in.
Terdapat di kalangan anak-anak Zainal Abidin dua tokoh yang sangat hebat dan sangat tinggi darjah kewarakan dan ketaqwaan mereka. Mereka adalah Muhammad al-Baqir dan Zaid. Fikrah mereka berdua juga sama sepenuhnya dengan ulamak sunnah dari kalangan sahabat dan tabi’in. kalau pun ada perbezaan hanyalah pendapat Zaid yang melihat Ali bin Talib lebih utama menjadi khalifah daripada Abu Bakar as-Siddiq. Pendapat ini, meskiupun bercanggah dengan ijmak dan bercanggah dengan hadis-hadis yang tidak terhitung banyaknya mengenai kelebihan Abu Bakar, Umar dan Uthman, namun ia bukanlah perselisihan dari segi akidah. Zaid mengiktiraf kelebihan tiga khalifah terdahulu, tetapi dia berpendapat Ali lebih afdhal. Dia juga berpendapat harus melantik khalifah di kalangan mereka yang kurang afdhal. Dengan itu beliau tidak menafikan kepimpinan (imamah/kekhalifahan) Abu Bakar, Umar dan Uthman. Dalam nuktah yang lain daripada ini, beliau selari dengan ahli sunnah; akidah, fekah dan prinsip-prinsipnya.

Zaid meneruskan tradisi datuknya dalam menentang khilafah bani Umayyah. Penentangan beliau telah berlaku di zaman pemerintahan Hisyam bin Abdul Malik dan telah berakhir dengan beliau mati terbunuh pada tahun 122 H.

Selepas kematiannya pengikut-pengikutnya mengasaskan mazhab yang terbina di atas fikrahnya dikenali sebagai Zaidiyyah, iaitu nisbah kepada namanya Zaid bin Ali. Mazhab ini, sekalipun tersenarai di dalam mazhab syi’ah tetapi ia selari dengan ahli sunnah dalam semua aspek kecuali dalam bab mengatakan Ali lebih utama daripada tiga khalifah ar-rasyidin sebelumnya. Pengikut mazhab ini bertaburan di Yaman. Mereka adalah puak syi’ah yang paling dekat dengan sunnah. Boleh dikatakan hampir tiada perbezaan dalam kebanyakan perkara.
Perlu disebutkan bahawa di sana terdapat satu golongan dari pengikut Zaid bin Ali yang bertanya pendapatnya mengenai Abu Bakar dan Umar. Maka dia mendoakan agar Allah mencucuri rahmat ke atas mereka berdua. Para pengikutnya yang bertanya tadi tidak dapat menerima pendiriannya. Mereka enggan memohon rahmat ke atas Abu Bakar dan Umar. Lalu mereka memisahkan diri dari menjadi pengikut Zaid. Golongan ini dikenali sebagai ar-rafidhah (orang yang menolak) kerana mereka menolak kepimpinan Abu Bakar dan Umar dan menolak pendapat Zaid tentang kepimpinan kedua-dua tokoh besar itu. Dan dari golongan inilah yang menjadi pengasas Mazhab al-Ithna ‘Asyariyyah, iaitu Mazhab Syi’ah yang terbesar.
Muhammad al-Baqir, saudara kepada Zaid bin Ali yang meninggal dunia sebelum Zaid selama lapan tahun, iaitu pada tahun 114H telah meninggalkan sseorang anak yang alim dan hebat, iaitu Jaafar as-Sadiq. Dia merupakan salah seorang ulamak yang berpengaruh, seorang faqih yang sangat pintar. Semua pandangannya adalah selari dengan akidah sahabat, tabi’in dan seluruh ulamak muslimin.

Di akhir pemerintahan Bani Umayyah, gerakan ‘Abbasiyyah bangkit dengan cergas. Gerakan ini berusaha mengumpul manusia untuk melakukan rampasan kuasa dari khalifah Bani Umayyah. Gerakan ini menjalinkan kerjasama dengan golongan yang berpecah dari Zaid bin Ali. Akhirnya khalifah Bani Umayyah digulingkan pada tahun 132H dan terbangunlah khilafah al-‘Abbasiyyah dengan dipimpin oleh Abi al-‘Abbas as-Saffah, kemudian Abi Jaafar al-Mansur. Golongan yang berpecah dari Zaid yang telah bekerjasama menjatuhkan khilafah Umayyah berasa keciwa kerana mereka mahukan kepimpinan dipegang oleh salah seorang dari kalangan cucu cicit Ali bin Abi Talib. Maka mereka bangkit semula untuk menggulingkan khilafah ‘Abbasiyyah dengan membentuk satu jamaah yang dikenali sebagai Talibiyyin (nisbah kepada Ali bin Abi Talib) sebagai saingan kepada puak yang dinisbahkan kepada al-‘Abbas bin Abdul Muttalib.

Sampai ke saat ini tidak terdapat sebarang perbezaan dari segi akidah dan fiqah kecuali dalam isu Abu Bakar dan Umar. Golongan ini, iaitu yang terpisah dari Zaid bin Ali menolak mereka berdua (Abu Bakar dan Umar), malah secara terang-terangan melaknat mereka berdua.
Tahun 148H Jaafar as-Sadiq meninggal dunia. Beliau meninggalkan seorang putera bernama Musa al-Kazim. Musa al-Kazim juga seorang yang alim, tetapi tidak sampai ke taraf ayahnya. Beliau meninggal dunia pada tahun 183H dengan meninggalkan beberapa orang anak. Antara mereka adalah Ali bin Musa ar-Ridha.

Khalifah al-‘Abbasiyyah yang terkenal, iaitu al-Ma’mun mahu mententeramkan fitnah at-Talibiyyin yang menuntut jawatan ketua untuk cucu cicit Ali bin Abi Talib. Beliau melantik Ali bin Musa ar-Ridha sebagai putera mahkota. Perlantikan ini telah mengundang bantahan yang meluas di kalangan ‘Abbasiyyin. Tetapi Ali ar-Ridha tiba-tiba mati secara mengejut. At-Talibiyyun menuduh al-Ma’mun telah membunuhnya. Maka sekali lagi timbul pemberontakan demi pemberontakan ke atas al-‘Abbasiyyin sebagaimana mereka telah lakukan ke atas Umawiyyin.

Tahun demi tahun berlalu. Akar umbi pemberontakan secara relatifnya kelihatan tenang. Dan sehingga waktu ini belum kelihatan suatu aliran keagamaan yang berlainan yang dinamakan mazhab syi’ah. Yang ada hanyalah gerakan politik yang bertujuan untuk mendapatkan kuasa pemerintahan dan menentang pemerintah sedia ada kerana beberapa sebab. Namun tidak ada satupun di antara sebab-sebab yang banyak itu sebab berkaitan dengan akidah yang menjadi pegangan mazhab syi’ah sekarang.

Apa yang menarik perhatian, suara-suara mengajak keluar dari pemerintahan ‘Abbasiyyin telah tersebar begitu meluas di wilayah Parsi (Iran sekarang). Kebanyakan penduduk di daerah ini telah sekian tahun mengalami kekeciwaan kerana kejatuhan kerajaan dan raja negara Parsi yang agung. Ia telah jatuh ke tangan umat Islam dan telah menjadi sebahagian daripada empayarnya. Mereka beranggapan bahawa bangsa mereka lebih tinggi keturunannya, lebih mulia darah dagingnya, lebih mendalam tunjang sejarahnya daripada kaum muslimin. Kerana itu, muncul pula sebuah gerakan yang dinamakan asy-Syu’ubiyyah, iaitu dinisbahkan kepada suatu bangsa tertentu, bukan kepada Islam. Sebahagian mereka menzahirkan kecintaan yang berakar umbi kepada Parsi dengan segala elemen yang ada padanya termasuk api yang menjadi sembahan mereka.

Mereka sedar bahawa secara bersendirian mereka tidak akan mampu menjatuhkan kerajaan Islam, dan mereka sendiri telah menjadi muslim sejak bebarapa dekad yang lalu. Maka mereka melihat pemberontakan yang dilakukan oleh Talibiyyin sebagai satu peluang bagi memenuhi hasrat mereka. Mereka akan bergabung dengan Talibiyyin untuk menggulingkan khilafah islamiyyah yang telah menjatuhkan negara mereka sebelum ini. Pada masa yang sama mereka tidak akan meninggalkan agama Islam yang mereka telah anuti bertahun-tahun lamanya, tetapi mereka akan menyelewengkannya dengan mencampur adukkan saki baki tradisi negara Parsi yang lalu. Mereka akan menyuntik ke dalamnya apa-apa yang boleh menjamin berterusannya suasana tidak stabil di kalangan umat Islam. Mereka tidak akan memainkan peranan sebagai pucuk pimpinan, sebaliknya mereka akan berselindung di sebalik Talibiyyin yang bernasabkan Ali bin Abi Talib yang merupakan sebahagian dari Ahli Bait Rasulullah s.a.w. Ahli Bait memang mendapat tempat di hati orang ramai. Dengan cara itu dakwah mereka akan berterusan.

Demikianlah bersatunya gerakan Syu’ubiyyin Parsi dengan puak Talibiyyin dari kalangan Ahli Bait. Kesatuan ini membentuk suatu susuk yang baru yang berkembang menjadi sebuah organisasi yang berdiri sendiri, bukan sahaja bercorak politik semata-mata, malah bercorak keagamaan juga.

Kembali kepada silsilah keturunan Talibiyyin, kita dapati setelah kewafatan Ali ar-Ridha yang dipilih oleh al-Ma’mun sebagai putera mahkota, muncul anaknya Muhammad al-Jawad. Kemudian Muhammad al-Jawad meninggal dunia pada tahun 220H. Muncul pula selepasnya anaknya yang bernama Ali bin Muhammad al-Hadi. Ali meninggal pada tahun 254H. muncul anaknya al-Hasan bin Ali yang mendapat gelaran al-‘Askariy. Beliau mati secara mengejut pada tahun 260H. Baliau tidak mempunyai anak kecuali seorang yang masih kecil berusia lima tahun, bernama Muhammad.

Dalam tempoh beberapa tahun berlalu, gerakan pemisah yang merupakan gabungan sekumpulan ahli bait dan sekumpulan syu’ubiyyin Parsi, mereka menyerahkan pucuk pimpinan kepada anak sulung kepada pemimpin Talibiyyin, bermula dari Ali ar-Ridha dan berakhir kepada al-Hasan al-‘Askariy. Adapun pemimpin sebelum Ali ar-Ridha seperti ayahnya Musa al-Kazim atau datuknya Jaafar as-Sadiq atau moyangnya Muhammad al-Baqir, tidak pernah memimpin mana-mana gerakan pemberontakan, sama ada ke atas pemerintahan Umawiy atau ‘Abbasiy.
Semasa kematian al-Hasan al-‘Askariy pada tahun 260H, puak pemberontak berada dalam kebingungan; siapakah yang akan dilantik sebagai pemimpin mereka? Al-Hasan al-‘Askariy hanya meninggalkan seorang anak yang masih kecil. Keadaan bertambah kusut apabila anak yang kecil ini ikut meninggal dunia secara tiba-tiba. Keadaan ini menjadikan puak pemberontak berpecah kepada beberapa kelompok yang sangat banyak. Setiap kelompok berbeza antara satu sama lain dari semua sudut: fikrah, syari’ah dan akidah.

Kumpulan yang paling masyhur dari kalangan kelompok ini adalah al-Ithna ‘Asyariyyah. Inilah kelompok yang wujud sekarang di Iran, Iraq dan Lubnan. Dan inilah kelompok syi’ah yang paling besar pada masa kini.

Para pemimpin golongan ini mula menempelkan kepada Islam perkara-perkara yang bersesuaian dengan situasi yang mereka hadapi waktu itu dan perkara-perkara yang menjamin kelangsungan gerakan mereka, khususnya di kala ketiadaan pemimpin bagi kumpulan mereka
Sesungguhnya mereka telah menokok tambah ke dalam agama Islam perkara-perkara bid’ah yang sangat berbahaya. Mereka mendakwa apa yang ditokok tambah itu merupakan bahagian yang tidak terpisah dari Islam. Dan bid’ah-bid’ah itu akhirnya menjadi akidah yang membentuk susuk tubuh mereka. Antara bid’ah itu ada yang secara khusus berkaitan dengan imamah (kepimpinan dalam agama). Mereka mahu menyelesaikan masalah ketiadaan pemimpin pada masa itu, maka mereka berkata pemimpin hanyalah 12 orang sahaja. Pemimpin-pemimpin itu secara tertibnya adalah terdiri dari:
1. Ali bin Abi Talib
2. Al-Hasan bin Ali
3. Al-Husain bin Ali
4. Ali Zainal Abidin bin al-Husain
5. Muhammad al-Baqir bin Zainal Abidin
6. Jaafar as-Sadiq bin Muhammad al-Baqir
7. Musa al-Kazim
8. Ali ar-Ridha
9. Muhammad al-Jawad
10. Ali al-Mahdi
11. Muhammad al-Mahdi
12. Al-Hasan al-‘Askariy

Dari sini kumpulan ini dikenali sebagai al-Ithna ‘Asyariyyah. Dan untuk memberikan pentafsiran terhadap berakhirnya imam-imam, mereka mendakwa bahawa anak kecil Muhammad bin al-Hasan al-‘Askariy sebenarnya tidak mati. Bahkan dia berada di tempat persembunyian di atas bukit. Dan dia masih hidup sampai sekarang (kini sudah lebih 1000 tahun). Dan suatu hari nanti dia akan kembali memerintah dunia. Pada pegangan mereka, dia itulah al-Mahdi al-Muntazar. Mereka mendakwa juga bahawa Rasulullah s.a.w. telah berwasiat dengan menyebut nama-nama imam yang 12 itu, tetapi para sahabat menyembunyikannya. Kerana itulah mereka mengkafirkan para sahabat keseluruhannya atau memfasiqkan sebahagian daripada mereka. Alasannya ialah para sahabat telah menyembunyikan wasiat mengenai nama-nama imam mereka. Kemudian mereka memasukkan ke dalam Islam konsep perwarisan dalam sistem pemerintahan. Menurut mereka, imam mestilah dilantik dari kalangan anak lelaki yang sulung bermula daripada Ali bin Abi Talib diikuti dengan imam-imam selepasnya. Fahaman seperti ini, seperti sedia maklum, tidak ada dalam ajaran Islam. Sehingga negara-negara Islam yang diperintah oleh ahli sunnah yang mengamalkan sistem perwarisan seperti dinasti umayyah, ‘abbasiyyah, saljuqiyyah, ayubiyyah dan uthmaniyyah, mereka tidak pernah mendakwa bahawa perwarisan ini adalah ajaran agama. Mereka tidak pernah berkata bahawa khalifah mesti dilantik dari kalangan ahli keluarga tertentu sahaja.

Syi’ah juga telah memasukkan fahaman yang berasal dari ajaran Parsi mengenai masalah mentaqdis (memuja) ahli keluarga pemerintah. Mereka mendakwa imam-imam adalah maksum dan semua imam-imam yang telah disenaraikan nama-nama mereka itu terpelihara dari kesalahan dan dosa. Natijahnya mereka mengambil kata-kata imam itu seperti al-Quran dan Hadis Nabi s.a.w. Bahkan kebanyakan kaedah-kaedah fiqh dan asas-asas perundangan mereka sekarang adalah berlandaskan kata-kata imam-imam mereka, sama ada kata-kata itu benar-benar pernah dilafazkan oleh imam-imam itu atau dinisbahkan kepada mereka secara palsu. Dan lebih daripada itu, al-Khomaini, pemimpin revolusi Iran telah menulis di dalam kitabnya ‘Al-Hukumah al-Islamiyyah” (kerajaan Islam): “…. Sesungguhnya antara asas penting dalam mazhab kita ialah: bagi imam-imam kita maqam (kedudukan) yang tidak dicapai oleh malaikat muqarrabin dan tidak dicapai oleh nabi yang mursal (yang diutus)!! Mereka sangat memusuhi semua sahabat (kecuali segelintir yang bilangannya tidak lebih dari 13 orang). Permusuhan ini termasuklah terhadap sebahagian daripada ahli bait seperti al-‘Abbas bapa saudara Rasulullah s.a.w. dan puteranya Abdullah bin al-‘Abbas r.a. Dan sebab mereka memusuhi dan mengkafirkan dua beranak ini adalah perselisihan antara kumpulan Ithna ‘Asyariyyah dengan khilafah al-‘Abbasiyyah.

Antara bid’ah mereka juga, mereka menghukum kebanyakan negeri-negeri Islam sebagai negeri kafir. Mereka mengkafirkan penduduk Mekah dan Madinah, Syam dan Mesir. Mereka mengeluarkan kata-kata yang dinisbahkan kepada Rasulullah s.a.w. dan menganggapnya sebagai sebahagian daripada agama. Kata-kata ini terdapat di dalam sumber rujukan mereka yang asli seperti al-Kafi, Bahr al-Anwar, Tafsir al-Qummiy, Tafsir al-‘Ayyasyi, al-Burhan dan lain-lain.

Ekoran dari itu mereka menolak semua ulamak sunnah. Mereka menolak kitab-kitab hadis dan sunnah yang sahih. Bagi mereka, tiada Bukhari, Muslim, at-Tirmizi, dan an-Nasaei. Tiada Abu Hanifah, Malik, asy-Syafiei atau Ahmad bin Hanbal. Demikian juga, tidak ada pada mereka Khalid bin al-Walid, Sa’ad bin Abi Waqqas, Umar bin Abdul Aziz, Musa bin Nusair, Nurud-Din Mahmud, Salahud-Din, Qataz, Muhammad al-Fatih dan sebagainya.

Oleh kerana mereka telah menolak sahabat r.a., at-Tabi’in, kitab-kitab hadis dan tafsir, maka mereka berpegang dengan kata-kata yang nisbahkan kepada imam-imam mereka. Kata-kata itu dari segi periwayatannya amat-amat lemah. Lantaran itu juga lahir di kalangan mereka bid’ah–bid’ah yang munkar dengan begitu banyak sekali sama ada dalam bab akidah, ibadah, muamalah dan lain-lain. Bukan tujuan kita di sini untuk menghitung bid’ah mereka kerana itu memerlukan penulisan yang berjilid-jilid. Tujuan kita hanya sekadar untuk menunjukkan punca masalah sahaja agar senang bagi kita memahami natijah daripadanya. Sesungguhnya bid’ah yang dicetuskan oleh mereka tidak terhitung banyaknya. Antaranya taqiyyah, raj’ah, tuduhan yang mengatakan al-Quran diselewengkan, upacara memperingati hari syahidnya al-Husain bin Ali dan banyak lagi.

Apa yang diperkatakan di atas adalah sebahagian daripada fikrah firqah Ithna ‘Asyariyyah. Di sana terdapat banyak lagi firqah yang muncul pada masa itu, khususnya masa yang dikenali sebagai ‘hirah asy-syi’ah’ (kebingungan syi’ah) yang bermula pada pertengahan kurun ke tiga hijriyyah, selepas kewafatan al-Hasan al-‘Askariy (Imam mereka yang ke 12)

Bermula dari zaman itu lahirlah kitab-kitab dan karangan-karangan yang ditulis untuk memperteguhkan fikrah dan akidah mereka. Fahaman mereka tersebar dengan meluasnya di negeri Parsi khasnya dan di negeri-negeri Islam lain amnya. Namun tidak ada negara yang didirikan pada masa itu menjadikan fikrah ini sebagai asas kerajaannya secara rasmi. Tetapi pada akhir kurun ke 13 hijriyyah dan permulaan kurun ke 14, dengan beberapa kejadian dan perkembangan yang berlaku mereka dapat telah sampai ke tampok pemerintahan di sesetengah negara umat Islam.

Dipetik dari tulisan Dr. Ragheb ElSergany
Pengendali laman web: www.islamstory.com