Thursday, August 03, 2017

REALITY YANG TIDAK BISA DISANGKAL


Nukilan : Maznah binti Daud

“Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami); dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu. Dan (ingatlah satu bukti lagi); Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai.”

“Dia lah yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari (setitis) air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging; kemudian Ia mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian kamu (dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; kemudian kamu (dipanjangkan umur) hingga sampai menjadi tua. Dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan sebelum itu. (Allah melakukan kejadian yang demikian) supaya kamu sampai ke masa yang ditentukan (untuk menerima balasan); dan supaya kamu memahami (hikmat-hikmat kejadian itu dan kekuasaan Tuhan).”

“Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Ia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Ia menciptakan apa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.”

ADAKAH TUA ITU ALASAN?

Pada usia berapakah akhawat rasa sudah tua?

Rasulullah s.a.w. memulakan dakwah ketika berusa 40 tahun.
Berjalan kaki ke Taif sejauh 60 batu ketika berusia 50 tahun
Berhijrah ke Madinah ketika berusia 53 tahun
Peperangan terakhir pada tahun ke 9 hijrah, ketika berusia 62 tahun.

HIKMATUS-SYUYUKH

Hikmah selalu dikaitkan dengan usia, tetapi tidak semestinya. Ia anugerah Allah kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Semua nabi dan rasul diberi hikmah. Firman Allah Ta’ala bermaksud: “Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.”

Sebahagian ulamak berpendapat, hikmah terdiri dari tiga unsur: kecerdikan, pengetahuan yang luas, keinganan yang kuat.
Contoh-contoh hikmah tokoh terdahulu:

i.                     Pada suatu hari, Umar bin Abdul Aziz dikunjungi puteranya seraya berkata: duhai ayahku, kenapa ayah mengambil ringan tentang sesetengah perkara? Demi Allah sekiranya saya berada di tempat ayah, saya tidak takut kepada sesiapapun dalam menegakkan kebenaran!
Umar menjawab: jangan tergesa-gesa wahai anakku. Sesungguhnya Allah mencela arak sebanyak dua kali dan Dia mengharamkannya pada kali ke tiga. Aku bimbang sekiranya aku memaksakan manusia mematuhi kebenaran kesemuanya sekali gus mereka akan menolak kesemuanya sekali gus!
ii.                    Imam Syafi’ei diminta supaya menunjukkan satu dalil yang membuktikan kewujudan Allah s.w.t. Beliau berfikir sejenak, kemudian berkata: “Daun mulberry. Rasanya satu saja. Tetapi bila dimakan ulat sutera ia mengeluarkan sutera, dimakan lebah ia mengeluarkan madu yang manis, dimakan rusa ia mengeluarkan kasturi yang harum baunya. Maka siapakah yang menjadikan asalnya sama, namun hasilnya berbeza? Sesungguhnya Dia-lah Allah Pencipta Yang Maha Agung.
iii.                  Muhammad al-Ghazali pernah ditanya tentang hukum orang yang tidak solat. Beliau menjawab, hukumnya kamu pimpin tangannya ke masjid dan ajar dia solat.
iv.                  Asma’ binti Abi Bakar r.a.

ADAKAH SESUATU YANG LAYAK DIJADIKAN ALASAN?

i.                    MENGIMPIKAN HUSNUL-KHATIMAH
حسن الخاتمة هو : أن يُوفق العبد قبل موته للابتعاد عما يغضب الرب سبحانه ، والتوبة من الذنوب والمعاصي ، والإقبال على الطاعات وأعمال الخير ، ثم يكون موته بعد ذلك على هذه الحال الحسنة ، ومما يدل على هذا المعنى ما صح عن أنس بن مالك رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ( إذا أراد الله بعبده خيراً استعمله ) قالوا : كيف يستعمله ؟ قال : ( يوفقه لعمل صالح قبل موته ) رواه الإمام أحمد (11625) والترمذي (2142) وصححه الألباني في السلسلة الصحيحة 1334.
وقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَرَادَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ بِعَبْدٍ خَيْرًا عَسَلَهُ قِيلَ وَمَا عَسَلُهُ قَالَ يَفْتَحُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ لَهُ عَمَلًا صَالِحًا قَبْلَ مَوْتِهِ ثُمَّ يَقْبِضُهُ عَلَيْهِ " رواه أحمد 17330 وصححه الألباني في السلسلة الصحيحة 1114
Husnul-khatimah ialah Allah memberi taufiq kepada seseorang hamba sebelum dia mati agar menjauhi perkara yang dimurkaiNya, bertaubat dari segala dosa dan maksiat, cergas melakukan ketaatan dan amal-amal kebaikan, kemudian dia mati dalam keadaan demikian. Buktinya adalah sabda Nabi s.a.w. “Apabila Allah menghendaki kebaikan kepada hambaNya Dia mempergunakannya.” Mereka bertanya, “Bagaimanakah cara Dia mempergunakannya?” Baginda menjawab, “Dia mentaufiqkannya untuk beramal soleh sebelum kematiannya.” Riwayat Ahmad dan Tirmizi
Pada riwayat lain Baginda bersabda, “Apabila Allah menghendaki kebaikan untuk hambaNya ‘asalahu.” Baginda ditanya, “Apa maksud ‘asalahu?” Jawab Baginda, “Allah membuka untuknya amalan soleh sebelum kematiannya kemudian dicabut nyawanya dalam keadaan itu.”

ii.                  KEUZURAN TIDAK DITERIMA.
فقد أخرج البخاري في صحيحه حديث أبي هريرة رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: أعذر الله إلى امرئ أخر أجله حتى بلَّغه ستين سنة.
قال المناوي في فيض القدير في شرح ذلك الحديث: أعذر الله إلى امرئ أي سلب عذر ذلك الإنسان فلم يبق له عذر يعتذر به كأن يقول: لو مد لي في الأجل لفعلت ما أمرت به، فالهمزة للسلب. أو بالغ في العذر إليه عن تعذيبه حيث أخر أجله يعني أطاله حتى بلغ ستين سنة لأنها قريبة من المعترك وهو سن الإنابة والرجوع وترقب المنية ومظنة انقضاء الأجل، فلا ينبغي له حينئذ إلا الاستغفار ولزوم الطاعات والإقبال على الآخرة بكليته، ثم هذا مجاز من القول فإن العذر لا يتوجه على الله وإنما يتوجه له على العبد، وحقيقة المعنى فيه أن الله لم يترك له شيئا في الاعتذار يتمسك به، وهذا أصل الإعذار من الحاكم إلى المحكوم عليه. وقيل لحكيم: أي شيء أشد؟ قال: دنو أجل وسوء عمل.
Maksud hadis, menurut al-Munawi, Allah merampas keuzuran daripada seseorang yang dilanjutkan usianya sehingga 60 tahun. Tiada lagi alasan yang boleh diberikan seperti berkata, ya Allah sekiranya Engkau lanjutkan usiaku nescaya aku akan melakukan itu dan ini.
60 tahun adalah masa untuk bertaubat, kembali kepada Allah, menunggu ajal datang dalam keadaan beramal soleh.

iii.                SALAF SOLEH MENGHADAPI KEMATIAN:

a.       Suatu hari ‘Amru bin al-‘Aas r.a. melintasi kawasan perkuburan. Beliau berhenti dan solat dua rakaat. Beliau ditanya, kenapa beliau lakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini? Beliau menjawab bahawa dia teringat kepada ahli kubur dan apa yang menghalang mereka daripada melakukan apa yang mereka ingin lakukan. Maka aku ingin bertaqarrub kepada Allah dengan dua rakaat itu.
b.      Al-Mu’afi bin Zakaria meriwayatkan daripada beberapa orang yang tsiqah bahawa mereka berada di sisi Abu Jaafar at-Tobari ketika beliau sedang nazak. Ada seseorang menyampaikan bahawa Jaafar bin Muhammad berkata, “Apabila engkau sampai ke Baitil-Haram, letaklah tanganmu di dinding rumah itu (Kaabah) kemudian hendaklah engkau berkata: “Wahai Tuhan yang memulangkan apa yang hilang, yang mendengar segala suara, yang membalut tulang dengan daging selepas ia mati. Selepas itu engkau berdoalah apa saja yang engkau hajatkan.” Lalu Abu Jaafar meminta kertas dan pena lantas menulisnya. Mereka yang berada di sisinya bertanya, “Adakah dalam keadaan ini?” Beliau menjawab: “Tidak patut bagi seseorang insan membiarkan peluang mengutip ilmu sampai ke mati!” Selepas satu jam atau kurang, Abu Jaafar menghembuskan nafasnya yang terakhir.
c.       Daripada Farqad seorang Imam di masjid Basrah. Beliau menceritakan bahawa beliau beberapa orang teman menziarahi Sufyan ats-Tsauri yang sedang sakit tenat. Salah seorang daripada mereka membacakan sepotong hadis. Sufyan tertarik dengan hadis tersebut. Beliau meraba-raba di bawah tilam, lantas mengeluarkan papan tulis dan menulisnya. Mereka bertanya, “Dalam keadaan engkau seperti ini?” Dia menjawab, “Hadis itu elok. Kalau aku masih hidup, aku pernah mendengar sesuatu yang elok. Kalau aku mati, aku telah menulis sesuatu yang elok.”
d.      Qadhi Ibrahim bin al-Jarrah menceritakan tentang gurunya Imam Abu Yusuf al-Qadhi. Belaiu berkata, aku menziarahi ketika beliau sakit tenat. Ketika aku tiba dia tidak sedarkan diri. Beberapa ketika kemudian dia sedar. Apabila dia terpandang aku berada di sisinya dia berkata kepadaku, “Wahai Ibrahim, apa pendapatmu tentang satu masalah?” Aku bertanya, “Dalam keadaan seperti ini?” Dia menjawab, “Tidak mengapa. Kita mengkajinya mudah-mudahan dapat menyelamatkan seseorang.” Kemudian dia bertanya, “Wahai Ibrahim, yang mana lebih afdhal, melontar (dalam ibadah haji)dalam keadaan berjalan kaki atau menunggang kenderaan?” Aku menjawab, “Berkenderaan”. Dia berkata, “Salah”. “Berjalan kaki”. “Salah”. “Apa pendapat tuan guru? Katakanlah. Semoga Allah meredhaimu!” Dia berkata, “Sekiranya seseorang itu mahu berhenti untuk berdoa di sisi jamrah, afdhal baginya berjalan kaki. Jika tidak, afdhal baginya berkenderaan.” Kemudian aku bangun untuk pulang. Apabila aku ingin melangkah keluar dari pintu rumahnya aku mendengar suara tangisan. Dia telah pergi...
e.       Seorang faqih Abu Hasan Ali bin Isa menceritakan bahawa dia menziarahi Abu Raihan al-Biruni ketika dia sedang tenat. Nafasnya tercungap-cungap hampir keluar dari badannya. Dalam keadaan itu dia berkata kepadaku: “Apakah yang kamu katakan kepadaku pada hari itu tentang hak pusaka nenek sebelah ibu?” Abu Hasan berkata kerana kasihan melihat keadaannya: “Adakah pada keadaan seperti ini?” Abu Raihan menjawab: “Wahai kawan, aku meninggalkan dunia ini dalam keadaan aku mengetahui tentang masalah ini, bukankah lebih baik bagiku daripada aku meninggalkannya dalam keadaan aku jahil tentangnya?” Dia ingin belajar tentang sesuatu perkara sebelum dia mati, semata-mata kerana ilmu kerana dia mengetahui kelebihan dan keistimewaan orang yang berilmu. Kemudian aku beredar dari sisinya. Dalam perjalanan aku mendengar tangisan. Dia telah pergi selepas beberapa detik mempelajari satu ilmu.

PENUTUP

Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. Dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar.
Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu; dan dengarlah (akan pengajaran-pengajaranNya) serta taatlah (akan perintah-perintahNya); dan belanjakanlah harta kamu (serta buatlah) kebajikan untuk diri kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.
Dan kalau kamu memberi pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), nescaya Allah akan melipat gandakan balasanNya kepada kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu; dan Allah amat memberi penghargaan dan balasan kepada golongan yang berbuat baik, lagi Maha Penyabar (untuk memberi peluang kepada golongan yang bersalah supaya bertaubat).
Dia lah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, (dan Dia lah jua) yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.