Wednesday, April 09, 2008

Rujuk

Takrif : Kembali bersatu sebagai suami isteri setelah bercerai dengan talaq raj’iy.

Rukun dan Syarat Rujuk

Terdapat tiga rukun rujuk. Setiap satu rukun mempunyai syarat-syarat tertentu. Rukun-rukun itu:
1. Yang merujuk atau suami
2. Yang dirujuk atau isteri
3. Lafaz.

Syarat bagi rukun pertama:
1. Mempunyai kelayakan untuk berkahwin, iaitu mestilah seorang yang baligh, berakal, dengan kehendak sendiri, tidak murtad, tidak mabuk, iaitu mabuk yang tidak disengajakan. Jika mabuknya dengan sengaja, iaitu sengaja mengambil minuman yang memabukkan maka rujuknya sah.
2. Niat untuk kebaikan dan perdamain, bukan untuk memudaratkan isteri yang dirujuk. Ini berdasarkan firman Allah bermaksud: ”..... Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali isteri-isteri itu semasa iddah jika suami-suami bertujuan hendak berdamai...... ” Al-Baqarah : 228. dan firmanNya bermaksud: ”Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri kamu kemudian mereka hampir tempoh iddahnya, maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan baik, atau lepaskan mereka dengan baik. Dan janganlah kamu rujuk mereka untuk memberi mudarat, kerana kamu hendak melakukan kezaliman; dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri....” Al-Baqarah:231
3. Menurut pendapat setengah fuqahak wajib memberi tahu isteri jika suami rujuk. Majotiry berpendapat sunat diberitahu.
4. Wajib dilakukan di hadapan dua orang saksi yang adil berdasarkan firman Allah yng bermaksud: ”Kemudian, apabila mereka (hampir) habis tempoh iddahnya, maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan cara yang baik, atau lepaskan mereka dengan cara yang baik; dan adakanlah dua orang saksi yang adil di antara kamu; dan hendaklah kamu menyempurnakan persaksian itu kerana Allah semata-mata.... ” Al-Talaq:2. Sebahagian fuqahak berpendapat perintah dalam ayat ini menunjukkan sunat, bukan wajib.

Syarat bagi rukun kedua:
1. Isteri yang diceraikan dengan talaq raj’iy.
2. Rujuk dilakukan ketika isteri masih belum tamat idahnya
3. Isteri yang telah disetubuhi sebelum berlaku perceraian
4. Isteri yang dinikahi dengan nikah yang sah
5. Tidak disyaratkan dengan keredhaan atau persetujuan isteri.

Syarat bagi rukun ketiga:
1. Lafaz atau sighah yang benar-benar difahami sebagai rujuk. Tidak sah rujuk dengan lafaz ta’liq seperti suami berkata: ”Jika kamu masuk ke dalam rumah ini, maka aku rujuk”.
2. Menurut Mazhab Syafi’iy perbuatan seperti cium atau jimak tidak dikira sebagai rujuk. Ada Mazhab mengatakan kalau suami menyetubuhi isteri, boleh dikira sebagai rujuk.