Monday, December 28, 2015

CIRI-CIRI PEMIMPIN MENURUT AL-QURAN

Ramai yang berpendapat bahaw pemimpin yang ada sekarang kurang prihatin terhadap permasalahan yang dihadapi oleh rakyat. Lantaran itu mereka perlu diganti.
Soalnya apakah ciri-ciri yang perlu ada pada seorang pemimpin yang benar-benar boleh diharapkan dapat membela nasib rakyat semua peringkat?

Untuk menjawabnya, mari kita perhatikan ciri-ciri pemimpin yang dinyatakan di dalam al-Quran:
Firman Allah bermaksud: "Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya dan dia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan? Nabi mereka berkata: Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya." (Al-Baqarah:247)

Di dalam ayat ini, Bani Israel menolak perlantikan Talut sebagai raja mereka kerana dia bukan dari keturunan raja dan bukan dari kalangan orang yang berharta. Namun Allah menyebut dua ciri utama yang ada pada Talut yang melayakkan dia dipilih menjadi raja, iaitu keluasan ilmu dan kekuatan tubuh badan. Keturunan dan harta bukanlah perkara yang utama untuk melayakkan seseorang itu menjadi pemimpin yang baik dan berwibawa.

Ciri seterusnya, firman Allah bermaksud: "Yusuf berkata: "Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya". (Yusuf:55)

Apabila Nabi Yusuf alaihissalam ditawarkan jawatan dalam kerajaan Mesir, beliau menawarkan diri untuk mengurus perbendaharaan hasil bumi Mesir dengan alasan beliau mempunyai kepakaran dalam bidang itu, iaitu hafeedz dan 'aleem. Hafeedz bermakna sangat menjaga dan 'aleem bermakna sangat mengetahui. Jadi orang yang hendak dipilih menjadi ketua yang diamanahkan mentadbir negara dan menjaga kepentingan rakyat jelata mesti memiliki dua ciri ini; yang sangat mengetahui cara mentadbir (berilmu la maksudnya) dan sangat menjaga, atau dengan kata lain: amanah, tidak khianat, tidak mengaut khazanah negara atau yang didermakan dari luar negara untuk kegunaan atau kepentingan peribadi semata-mata.
Ada ilmu tanpa amanah, harta disalah guna
Ada amanah tanpa ilmu, harta diguna dengan cara yang salah.

Berikutnya pula kita perhatikan firman Allah Ta'ala yang bermaksud: "Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (menggembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah." (Al-Qasas:26)

Ayat di atas merupakan petikan daripada kisah Nabi Musa alaihis-salam yang bertemu dengan dua orang gadis yang terpaksa menjalankan kerja mengembala kambing disebabkan ayah mereka yang tua. Lalu seorang daripada gadis itu mencadangkan supaya Musa diambil bekerja dengan mereka. Perhatikan kebijaksanaan gadis itu menilai ciri yang mesti ada pada calon yang hendak diambil bekerja sebagai pengembala kambing! Dia mestilah seorang yang kuat lagi amanah.

Untuk menjaga kambing di sebuah ladang milik satu keluarga sahaja mesti kuat lagi amanah, maka apa lagi kalau yang hendak dijaga itu sebuah negara yang di dalamnya manusia, kambing dan segala khazanah yang melata di atas bumi dan yang terpendam di dalamnya? Tidakkah lebih-lebih lagi memerlukan kekuatan yang amat kental, bukan sahaja kekuatan jasmani, malah kekuatan dalam semua aspek di samping sifat amanah yang tidak bolah diketepikan sama sekali.
Kuat tanpa amanah, senanglah nak kaup semua benda!
Amanah tapi tak kuat, bagaimana nak pertahankan harta yang dijaga?

Di dalam ayat berikut, Allah berfirman maksudnya: "Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum agama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.” (As-Sajdah:24)
Dua ciri yang ditonjolkan di dalam ayat di atas: sabar dan yakin kepada ayat-ayat Allah.
Menurut ahli tafsir, maksud sabar bukan sekadar sabar dalam menghadapi kesukaran memimpin, sebaliknya yang lebih penting adalah sabar ketika berhadapan dengan godaan dunia seperti senangnya mengaut harta melalui projek-projek pembangunan, sogokan-sogokan dan lain-lain.
Manakala yakin kepada ayat-ayat Allah dapat mengawal diri daripada sebarang bentuk kekeliruan atau tergelincir dari jalan yang lurus.
Ibn Taimiah mengungkapkan dengan bahasanya yang ringkas, tepat dan padat: "Dengan sabar pemimpin dapat mengawal diri dari syahwat (keinginan kepada dunia),
dengan yakin pemimpin dapat mengawal diri dari syubuhat".

Ciri yang berikut ini adalah berdasarkan ayat-ayat yang memuji sikap serta keperibadian Nabi Muhammad s.a.w. sebagai seorang pemimpin yang paling unggul, yang wajib dicontohi oleh semua pemimpin.
Firman Allah Ta'ala bermaksud:
"Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu) dan pohonkanlah ampun bagi mereka dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.” (Aali ’Imran:159)
"Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w) yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu dan dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.” (At-Taubah:128)

Perhatikan sifat-sifat terpuji yang menghiasi peribadi baginda s.a.w: pengasih, sangat mengambil berat, berlemah lembut dan pemaaf. Baginda sentiasa memberi perhatian terhadap kesusahan yang dialami oleh masyarakat dan sentiasa berusaha untuk mengatasi masalah ummah dengan cara yang paling bijaksana.

Mungkin ada yang bertanya, adakah pemimpin yang memiliki semua ciri-ciri yang disebutkan itu?

Sesungguhnya ia tidak lahir dalam sehari semalam. Tidak terjadi secara tiba-tiba. Tidak muncul dengan tongkat mukjizat Nabi Musa. Ia mesti diusahakan. Mesti dibentuk dengan proses tarbiah yang mantap dan berkesan. Sesungguhnya kenyataan hari ini adalah jelmaan mimpi semalam. Ayuh kita sama-sama mengorak langkah menyediakan generasi yang bakal memimpin umat ini pada hari esok mengikut model kepimpinan nubuwwah berteraskan konsep khilafah.



Thursday, December 17, 2015

PESANAN KEPADA PENGANTIN

Pesanan seorang ibu kepada puterinya yang akan memasuki gerbang perkahwinan

Diriwayatkan bahawa Amru bin Hajar meminang Ummu Iyas binti Auf. Pada malam perkahwinan, ibu kepada Ummu Iyas, Bintu al-Haris berpesan kepada puteri kesayangannya:

Wahai puteriku, sekiranya tidak memberi nasihat itu suatu adab yang mulia nescaya aku tidak akan menitipkan pesanan ini kepadamu. Tetapi, ketahuilah bahawa nasihat itu merupakan peringatan kepada orang yang lalai, penolong kepada orang yang bijak pandai. Dan seandainya seorang perempuan itu tidak perlu berkahwin kerana kedua orang tuanya telah kaya dan kedua orang tuanya sangat berhajat kepadanya nescaya engkaulah perempuan yang paling tidak berhajat kepada perkahwinan. Tetapi hakikatnya, wanita diciptakan untuk lelaki dan lelaki diciptakan untuk wanita.
Wahai puteriku, sesungguhnya engkau akan berpisah dari persekitaran tempat engkau dilahirkan, engkau akan tinggalkan rumah tempat engkau membesar, engkau akan memasuki rumah yang engkau tidak ketahui keadaannya, engkau akan mendampingi orang yang tidak pernah engkau kenali sebelumnya. Dan dia akan menjadi raja dan berkuasa ke atasmu. Maka jadikanlah dirimu sebagai hamba kepadanya, nescaya dia juga akan menjadikan dirinya sebagai hamba kepadamu.
Wahai puteriku, peliharalah untuknya sepuluh perkara nescaya dia akan menjadi bekalan berharga buatmu:
Pertama dan Kedua: merendah diri kepadanya dan berpada dengan apa yang ada, dengar dan taat apa titah perintahnya.
Ketiga dan Keempat: ambil berat apa yang dilihat oleh matanya dan apa yang dihidu oleh hidungnya. Jangan biarkan matanya terpandang sesuatu yang tidak elok pada dirimu dan jangan biarkan dia menghidu pada tubuhmu kecuali dalam keadaan yang paling harum dan wangi.   
Kelima dan Keenam: jagalah waktu tidur dan waktu makannya. Sesungguhnya kelaparan menyemarakkan api kemarahan dan kekurangan tidur mencetuskan baran
Ketujuh dan Kelapan: jagalah hartanya dengan amanah, peliharalah dan didiklah anak-anaknya. Anak kunci pengurusan harta ialah berjimat cermat dan anak kunci penjagaan anak-anak ialah pengurusan yang bijak.
Kesembilan dan Kesepuluh: jangan derhaka kepadanya dan jangan dedahkan rahsianya. Sesungguhnya jika engkau derhaka, engkau tanam kebencian di dalam hatinya. Dan jika engkau dedah rahsianya, engkau tidak akan selamat daripada tipudayanya.

Kemudian, tambahan kepada itu semua: awas, jangan engkau bergembira di hadapannya ketika dia berduka dan jangan berduka di hadapannya ketika dia gembira. Bergembira di kala dia berduka merupakan kecuaian. Berduka  di kala dia gembira, mengeruhkan keadaan.

Sunday, December 06, 2015

Duhai Waktu....

Duhai waktu
Betapa pantasnya engkau berlalu
Tak terdaya aku memburumu
Engkau bawa pergi keremajaanku
Kulit wajahku yang putih gebu
Kini aku hanya termangu
Menatap wajahku yang berkedut seribu

Duhai waktu
Bagaikan semalam aku menganyam impian
Dunia aman tanpa peperangan
Penguasa yang zalim rebah tersembam
Para diktator jatuh tersungkur
Orang yang bongkak tak bisa lagi mendongak
Namun impian itu masih di awangan
Engkau pergi tanpa meninggalkan perubahan

Duhai waktu
Bagaikan semalam aku tertawa riang
Melihat anak-anakku berlari kegirangan
Bergurau senda bergelak ketawa
Dan singgah di atas riba
Lantas aku mendakap erat
Hangat hingga ke dalam tulang
Aku mencium penuh lahap
Menyuntik kasih ke seluruh urat
Aku membelai manja
Melimpahkan cinta ke tiap rongga
Kini tiada lagi
Engkau mengheret mereka ke alam dewasa
Engkau membawa mereka pergi ke marata dunia
Meneruskan misi kekhalifahan
Amanah Maha Pencipta
Dan aku terpaksa akur
Mereka bukan milikku
Sekadar pinjaman sementara
Penghias kehidupan seketika cuma
Ujian keimanan yang penuh cabaran
Diharap menjadi pewaris perjuangan
Serta bekalan yang tak kunjung padam

Tuesday, December 01, 2015

MANDI WILADAH


Ramai yang masih keliru dan menyebarkan kekeliruan tentang mandi wiladah. Mereka menyangka mandi wiladah adalah WAJIB ke atas semua wanita yang melahirkan anak, selain daripada mandi NIFAS. Sehingga ada yang mengatakan sesiapa yang tidak mandi wiladah tidak diterima ibadahnya.

Di dalam kitab Fiqh Islami waAdillatuhu, karangan Prof. Dr. Wahbah az-Zuhali, juzuk 1, halaman 446 – 447, menyebut bahawa perkara yang mewajibkan mandi adalah HAID dan NIFAS. Dalil wajib mandi kerana haid ialah firman Allah yang bermaksud: "Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.” (Al-Baqarah:222)
Juga sabda Nabi s.a.w. kepada Fatimah binti Abi Hubaisy bermaksud: “Apabila datang haid, tinggalkanlah solat. Apabila ia berhenti, mandi dan solatlah.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Adapun dalil wajib mandi kerana nifas, ia merupakan persepakatan ulamak tanpa khilaf antara mereka. Mereka memberi alasan bahawa darah nifas merupakan darah haid yang terkumpul.

Apakah perbezaan antara nifas dengan wiladah?

Nifas dari segi bahasa bermakna bersalin atau melahirkan anak. Dari segi syarak, nifas bermaksud darah yang keluar selepas keluarnya nafs, iaitu jiwa atau anak. Dan wanita tersebut iaitu yang melahirkan dipanggil nufasaa'.

Wiladah dari segi bahasa juga bermakna melahirkan anak. Maka nifas dan wiladah dari segi bahasa bermakna bersalin atau melahirkan anak.

Dari sudut istilah, nifas bermaksud darah yang keluar selepas keluarnya anak. Wiladah adalah melahirkan anak tanpa diikuti keluarnya darah selepas itu. Hal sebegini sangat jarang berlaku.

Adakah melahirkan anak tanpa darah nifas mewajibkan mandi?

Fuqahak berbeza pendapat mengenainya. Pendapat yang muktamad di kalangan fuqahak malikiyyah (mazhab maliki), pendapat yang menjadi pilihan di kalangan fuqahak hanafiyyah (mazhab hanafi) dan yang paling sahih di kalangan fuqahak syafi'eiyyah (mazhab syafi'ei) WAJIB MANDI.

Manakala pendapat yang rajih di kalangan fuqahak hanabilah (mazhab hanbali) TIDAK WAJIB MANDI jika bersalin tanpa darah kerana tidak terdapat nas mengenainya. Maka ia tidak membatalkan puasa dan tidak haram bersetubuh sebelum mandi, (sedangkan haid dan nifas haram bersetubuh sebelum mandi).

Maka kesimpulannya, wanita yang ada nifas selepas bersalin TIDAK WAJIB MANDI melainkan selepas darah nifasnya kering. Manakala wanita yang bersalin tanpa nifas, khilaf di kalangan fuqahak sama ada wajib mandi atau tidak. Termasuk di kalangan fuqahak mazhab syafi'ei sendiripun khilaf.

Allahu A'lam.

Tuesday, November 24, 2015

MOTIVASI IBN AL-JAUZI


Ulamak terdahulu cita-cita (himmah) mereka sangat tinggi. Kitab-kitab yang mereka karang menjadi bukti. Sesungguhnya kitab-kitab yang mereka tinggalkan adalah intipati daripada usia mereka. Namun, sayang sekali. Kebanyakan karangan mereka telah berkecai kerana himmah para pelajar kini telah lemah. Mereka hanya mempelajari ringkasan-ringkasan. Mereka tidak bersungguh-sungguh membaca kitab yang panjang-panjang. Kemudian, lebih malang lagi mereka berpada dengan mempelajari sebahagian sahaja. Maka manuskrip kitab-kitab itupun berterabur tanpa disusun dan dibukukan.

Maka jalan orang yang mencari kesempurnaan dalam menuntut ilmu ialah meniliti kitab-kitab yang ditinggalkan oleh ulamak terdahulu yang berjilid-jilid. Hendaklah membanyakkan pembacaan. Sesungguhnya dengan membaca dan mengkaji kitab-kitab itu kita dapat melihat betapa tingginya himmah mereka dan betapa mendalamnya ilmu mereka. Ia mampu menjana semangat dan melonjakkan azam untuk bersungguh-sungguh dalam mencari ilmu. Tiada kitab yang tidak ada faedah. Aku berlindung dengan Allah daripada mengikuti gaya hidup mereka yang sezaman dengan aku, yang aku tidak nampak mereka mempunyai himmah yang tinggi yang boleh dicontohi, dan tidak memiliki kewarakan yang boleh diteladani dari segi kezuhudannya. Ingatlah Allah. Ingatlah Allah. Hendaklah kamu perhatikan sirah salafus-soleh, kajilah karangan-karangan mereka, kisah-kisah mereka kerana dengan membaca dan mengkaji karangan-karangan mereka, kita seolah-olah melihat mereka.

Aku ingin menceritakan tengtang keadaan diriku. Aku tidak pernah kenyang daripada membaca kitab-kitab. Apabila aku melihat sebuah kitab yang aku tidak pernah melihat sebelumnya, seolah-olah aku terjumpa sebuah perbendaharaan harta yang amat berharga. Aku melihat susunan buku-buku yang diwaqafkan di Madrasah an-Nizhomiyyah, aku dapati ia mengandungi hampir 6000 jilid. Kemudian susunan kitab Abu Hanifah, kitab al-Humaidi, kitab syaikh kami Abdul Wahhab bin Nasir, kitab Abi Muhammad bin Muhammad al-Khasysyab, semuanya dianggarkan muat dibawa oleh beberapa ekur unta, serta lain-lain kitab yang sama jumlahnya. Kalau aku menganggarkan bahawa aku membaca 20000 jilid, itu boleh dikatakan sangat banyak. Namun aku masih belum habis mencari lagi. Maka aku gunakan kesempatan dengan melihat kitab-kitab mereka, aku dapat memperhatikan sirah mereka serta ketinggian himmah mereka, hafazan mereka, ibadah mereka, keunikan ilmu mereka yang tidak akan diketahui oleh mereka yang tidak pernah membaca dan mengkajinya. Justeru, aku merasakan betapa ruginya manusia, dan betapa lemahnya himmah pencari ilmu di zaman ini. Walillahil-hamd. (Soidul-Khotir, m.s. 291-292)

Saturday, November 21, 2015

JOM TADABBUR 16


"Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menurut hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi serta segala yang ada padanya. (Bukan sahaja Kami memberikan agama yang tetap benar) bahkan Kami memberi kepada mereka Al-Quran yang menjadi sebutan baik dan mendatangkan kemuliaan kepada mereka; maka Al-Quran yang demikian keadaannya, mereka tidak juga mahu menerimanya.” (Al-Mu’minun:71)

Agak lama tidak sempat, tidak ada idea untuk duduk menukilkan apa yang berligar di ruang minda apabila mentadabbur ayat-ayat Al-Quran, kalam Allah yang maha besar, jelas dan penuh hikmah.

Semalam saya dianugerahi ni’mat mentadabbur ayat 71 surah ke 23 yang maksudnya tertera di atas. Kebetulan terbaca satu laporan di laman maya themalaysianinsider.com yang memetik kata-kata Obama bahawa “Negara perlu hormati hak LGBT, perkahwinan sejenis” dengan hujjah-hujjahnya.

Tidak dinafikan, semua kita ada perasaan, ada kecenderungan, ada fikiran, ada pertimbangan. Namun apakah neraca, apakah jenis kayu ukur yang kita pegang untuk menilai yang mana betul atau salah, yang mana baik atau buruk, yang mana menguntungkan atau merugikan?

Kalau anda membina sebuah rumah yang sempurna, lengkap dengan perabot yang mewah, cantik dan menyenangkan sesiapa saja yang memandangnya. Seorang tetamu datang lalu dia membuang air besar di atas sofa di ruang tamu yang indah. Dan tetamu yang lain pula membuang air besar di atas dapur tempat anda memasak. Manakala yang lain membuang air besar di atas tilam di dalam bilik tidur anda. Adakah anda akan merelakan mereka dengan alasan itu adalah hak asasi mereka dan anda tidak boleh menyekat kebebasan mereka? Malah anda mesti menghormati jitarasa mereka membuang air besar di atas sofa di raung tamu, di atas dapur dan di atas tilam di dalam bilik tidur, padahal anda telah menyediakan tandas yang bersih dan selesa? Tidak ada manusia berakal yang menjawab “Ya”, kita mesti membiarkan tetamu itu berbuat demikian. Kita mesti menghormati jitarasanya.

Demikianlah perbandingannya hidup kita di dunia ini. Kalau kita percaya ada Tuhan yang menciptakan dunia dan segala isinya termasuk diri kita, maka kita wajib percaya Dialah yang berhak menentukan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh sebagaimana tuan rumah berhak menentukan peraturan di dalam rumahnya. Kalau dibiarkan setiap orang memilih ikut hawa nafsu mereka, bukan saja diri mereka yang rosak binasa, malah langit, bumi dan segala isinya akan musnah.

Fikirkan kenapa Allah ciptakan manusia ada lelaki dan ada perempuan? Supaya mereka berkahwin dan melahirkan zuriat yang bersih suci sebagai pengganti untuk mempastikan wujudnya kesinambungan manusia dari satu generasi ke generasi seterusnya. Hal ini tidak mungkin terjadi kalau manusia berkahwin sesama jantina. Maka apa akan berlaku kepada generasi akan datang kalau semua manusia diberi kebebasan untuk memilih apa yang diingini oleh hawa nafsu mereka? Mereka hanya sekadar mahu mengikuti apa yang dapat memuaskan nafsu semata-mata yang bersifat sementara. Mereka tidak memikirkan baik buruk, untung rugi pada masa akan datang sama ada untuk diri mereka sendiri, apa lagi untuk umat dan alam sejagat.

Yakinlah bahawa Allah Yang Bijaksana tidak menjadikan sesuatu itu sia-sia. Semuanya mempunyai tujuan dan hikmahnya walaupun kadang-kadang kita tidak memahaminya. Sesungguhnya jalan terbaik adalah taat dan patuh kepada semua titah perintahNya sebagaimana ungkapan Nabi s.a.w. apabila baginda menyeru manusia kepada Islam, baginda berkata: “Aslim, taslam” yang bermaksud: “Masuklah Islam, serah diri kepada Allah nescaya engkau selamat!”