Wednesday, January 18, 2012

JAULAH 16 DIS 2011 HINGGA 12 JAN 2012


Alhamdulillah dalam meniti usia yang hampir tiba ke penguhujung, Allah masih beri kesihatan dan kekuatan untuk berjaulah sekitar England, Scotland, Ireland dan France mulai 16 Disember 2011 hingga 12 January 2012.

Bertolak dari KLIA bersama anak bungsu, Izwa jam 10.50 pagi, tiba di lapangan terbang Heathrow London jam 4.30 petang (malam) disambut oleh Ukht Suraya dan suaminya Akh Abdul Azim. Kami di bawa ke rumah Akh Azman dan Ukht Haslina dan bermalam di situ.

Keesokannya, 17 Dis 2011 menghadiri muktamar anjuran MAB bertemakan Creating Hope di Birmingham. Dewan yang begitu besar penuh dengan kehadiran muslimin muslimat pelbagai bangsa yang sedang belajar atau bermustautin di UKE. Muktamar yang berlangsung selama dua hari itu, sempat kami hadiri satu hari sahaja kerana pada keesokan hari kami akam berlepas ke France.

Ahad 18 Dis 2011 betolak ke Lyon France dari lapangan terbang Gatwick London ditamani Izwa (anak), Diana (menantu) dan Hannah (cucu, 7 bulan). Tiba di Lyon hari sudah malam kerana kapal terbang terlewat lebih kurang satu jam. Di sambut oleh tiga orang akhawat yang merupakan pelajar di bumi France ini. Dari airport kami menaiki train dan teksi ke Bandar Lyon dan bermalam di sebuah apartment.

Isnin 19 Dis jam 11.30 pagi, dengan menaiki kereta api runcit selama lebih satu jam, kemudian sambung menaiki bas sewa khas bersama para peserta, meredah jalan bergaung dan berliku, diiringi pemandangan gunung ganang yang dipakai selimut putih yang bersih menuju ke tempat program perhimpunan musim sejuk atau dalam bahasa France RENDEZ-VOUS D’HIVAR (RHD) di kawasan perkhemahan VILLAGE DE LA TOUR, LA CHAISSE DIEU yang selesa, indah dibaluti salji yang putih, nyaman dan mendamaikan . Perjalanan dengan bas mengambil masa lebih dari dua jam. Tiba waktu petang, sempat solat jamak ta’khir zohor dan asar.

9 malam adalah ceramahku yang pertama bertajuk ‘I am a muslim and I am proud of it’. Dan jam 9 malam keesokannya (20 Dis) menjadi ahli panel forum di sekitar cabaran muslim dalam masyarakat bukan Islam dan tanggungjawab pemuda terhadap agama dan masyarakat. Selesai forum, sesi khas bersama akhawat penggerak lebih kurang 25 orang, berbincang mengenai kepentingan dakwah: matlamatnya, pendekatan serta cabaran terutama setelah kembali ke tanah air.

Rabu 21 Dis, sebelum berangkat meninggalkan VILLAGE DE LA TOUR, LA CHAISSE DIEU yang indah ini, akhawat mempertemukan aku dengan seorang gadis jelita yang berminat dengan Islam. Yang mengkagumkan, gadis tersebut datang dengan memakai tudung menutup aurat, gaya seorang gadis muslimah yang ayu. Aku berkata kepadanya, hati anda sebenarnya telah menerima Islam (cuma belum mengucap). Orang yang telah lama Islampun sukar meletakkan tudung di kepala, ini anda telah memakainya. Membuktikan hati anda memang telah menerima ajaran Islam. Dan dalam hatiku benar-benar mendoakan agar Allah segera memantapkan keyakinannya dan bersyahadah sebagai muslimah.

Jam 11.30 pagi kami meninggalkan peserta seramai 200 orang terdiri daripada pelajar pelbagai peringkat (under grade dan post grade) lelaki dan perempuan, termasuk tiga orang peserta belum Islam meneruskan program mereka sehingga esok. Kami di hantar oleh Akh Abdul Hadi ke lapangan terbang Lyon untuk menyambung jaulah di UK pula insya Allah.

Dari Lyon kami terbang ke London (Gatwick). Dari Gatwick terbang lagi ke Manchester. Akh Syahril dan Sufyan menjemut kami di airport Manchester, di bawa bermalam di rumah Akh Syahril dan Ukht Dr Wan Aisyah.

Khamis 22 Dis selepas bersarapan, Ukht Dr Wan Aisyah memjemput beberapa orang akhawat jirannya untuk berkenalan, beramah mesra, bersoal jawab mengenai permasalahan agama dan isu semasa.

Selepas zohor kami di bawa ke Lokasi Perhimpunan Musim Sejuk (PMS) akhawat bertempat di Embleside Lake Distric. Kehadiran hampir-hampir mencecah 300 orang.

Dalam PMS akhawat yang berlangsung dari 22 hingga 24 Dis, aku hanya mengisi dua slot, ceramah bertajuk “Youth before us” dan menjadi ahli panel forum sekitar permaslahan remaja serta pelbagai cabaran yang sering mendatangi orang-orang muda.

24 Dis, selesai PMS di bawa ke Lancaster, bermalam di rumah Ukht Atirah dan kawan-kawan.

Ahad 25 Dis bermula dari pagi hingga menjelang maghrib, pengisian untuk ikhwah dan akhawat Lancaster di rumah Akh Azman Ali Presiden IKRAM UKE. Turut hadir juga ikhwah dan akhawat dari Leeds dan Manchester. Tajuk yang disampaikan ialah tafsir surah al-Mulk dari awal hingga akhir. Di sebelah malam, mereka menganjurkan ceramah umum di surau University Lancaster. Alhamdullah kehadiran dan sambutan memberangsangkan. Ikhwah dan akhawat sediakan jamuan nasi minyak. Aku menyampaikan isi kandungan buku kecil yang pernah diterbitkan dua tahun lalu, “Rahsia ungkapan Kalimah Syahadah”.

Isnin 26 Dis, bersambung lagi program bersama ikhwah dan akhawat di rumah Akh Azman. Hari ini aku sampaikan tajuk “Peranan wanita dalam masyarakat”. Ikhwah juga kena faham isu akhawat. Semua pengisian selama dua hari di sini dipancarkan secara langsung melalui Ustream Live TV, supaya dapat diikuti oleh ikhwah dan akhawat kawasan lain.

Petang bertolak ke Glasgow di bawa oleh Akh Abdul Azim dan Ukht Suraya. di Glasgow tiada salji seperti lazimnya. Menumpang di Travelodge.

27 Dis Ukht Arinah membawa kami sekeluarga jalan-jalan ke Edinburgh, makan di restoran kitchen mosque, sedap Alhamdulillah. kemudian jalan sampai ke Istana Edinburgh. Dalam perjalanan terpandang satu pemandangan yang menarik, seorang lelaki berusia 50an berdiri di tepi kaki lima, memegang pembesar suara memberikan ‘ceramah agama’. Tidak jauh darinya berdiri seorang lelaki lain, agak lebih muda daripadanya, memegang risalah dan membahagi-bahagikannya kepada orang yang lalu lalang.

Balik dari Edinburgh, singgah di rumah Ukht Arinah dan kawan-kawan. Hari sudahpun malam. Selepas diner, diminta memberi pengisian di situ, kebetulan ramai akhawat dari pelbagai tempat yang dalam perjalanan pulang ke tempat masing-masing dari PMS. Aku sampaikan tajuk ‘I am a muslim and I am proud of it’ yang telah di sampaikan di France, selit juga dengan “Rahsia ungkapan Kalimah Syahadah”. Program ini juga walaupun secara informal tanpa perancangan awal, tetap di dipancarkan secara online supaya dapat diikuti di tempat-tempat lain.

Rabu 28 Dis, Glasgow di landa angin kencang. Rancangan awal untuk rehlah di pulau terpaksa dibatalkan. Kami melawat pusat sains Glasgow (Glasgow Science Centre). Alhamdulillah sangat menarik dan bermanfaat.

Khamis 29 Dis menjadi ahli panel forum di PMS ikhwah yang dihadiri oleh kurang lebih 180 orang, diadakan di Youth Hostel Loch Lomond Glasgow. Pernah ke sini pada PMS Akhawat, Disember 2009 bersama Ustazah Sharifah Hamadiah, Ustaz Zawawi (Dr) dan Dr T. Bezanya pada 2009 tempat ini diselimuti salji yang putih bersih. Tahun 2011 tiada segarispun salji yang turun. Forum bertajuk “In[sight] Out”. Ahli panel lain terdiri dari Prof Madya Dr Zin Kandar dan Ustaz Abdul Aziz, University of Wales, Lampeter.

Jumaat 30 Dis Akh Abdul Azim dan Ukht Suraya membawa kami ke Leeds pula. Singgah sebentar di rumah Ukht Noor Zaiton. Kemudian makan malam di rumah Ustaz Daud Norakid. Seterusnya bermalam di rumah Ukht Iman yang tinggal bersama Ukht Munirah, Ukht Kauthar dan seorang lagi lupa nama kerana tak jumpa tuannya.

Sabtu 31 Dis masyarakat Malaysia di Leeds menganjurkan program yang dinamakan PEARL (Path to Enhance ad-Deen @ Leeds). Ia merupakan program yang julung-julung kali diadakan dengan kerjasama empat pertubuhan: IKRAM, MSCL, LUMSOC dan Kelab UMNO, terbuka kepada semua peringkat, lelaki dan wanita. Peserta bukan saja dari Leeds, malah turut dihadiri peserta dari tempat lain seperti Manchester, Lancaster, Sheffield dan lain-lain. Terdapat tiga sesi utama di mana aku terlibat pada ketiga-tiganya.
Sesi pertama: Forum bertajuk Fiqh of Love, menjadi ahli panel bersama dengan Ustaz Amar Siddique Mohd Amin, Atase Pendidikan EM, UK & EIRE, didatangkan dari London.
Sesi kedua: Forum bertajuk Fiqh of Umrah (sempena pelancaran pakej Umrah musim bunga dan musim panas anjuran IKRAM UKE), menjadi ahli panel bersama Ustaz Daud Norakid, warga Malaysia yang bermustautin di Leeds.
Sesi ketiga sebelah malam khusus untuk peserta wanita sahaja: Fiqh for ladies.

Ahad 1 January 2012, sebelum masuk waktu Subuh Ukht Noor Zaiton dan suami menghantar kami ke lapangan terbang Manchester untuk berlepas ke Belfast Northern Ireland jam 9.15 pagi. Akhawat (Iman dan kawan-kawan) membekalkan kami kuey teow goreng. Dalam perjalanan kami singgah di sebuah service station yang masih berkunci. Terpaksa solat Subuh di dalam kereta di tempat parking kerana hujan dan cuaca sangat sejuk.

Lapangan terbang agak lengang, cuti tahun baru. Begitu juga penumpang kapal terbang boleh dikira dengan jari.

Tiba di Belfast lebih kurang jam 10 pagi disambut oleh anakanda, Dr Muhammad Ateeq dan dibawa ke rumah Akh Idris dan Ukht Firadausi yang baru melahirkan Umar Ayyash (belum sampai sebulan). Sarapan nasi lemak lauk sotong. Seterusnya ke rumah Ukht Dr Zureen dan Akh Rafidz. Mereka mengumpulkan beberapa orang ikhwah dan akhawat Belfast dan meminta aku bagi sedikit pengisian serta perkongsian pengalaman di jalan dakwah. Selepas itu barulah kami bergerak ke Nenagh, tempat Ateeq bertugas. Dalam perjalanan, singgah di rumah Akh Dr Syafiq dan Ukht Dr Seha di Drogheda. Dijamu mee sop yang sungguh sedap, Alhamdulillah.

2 dan 3 Jan tidak ke mana-mana. Peluang update blog dan tulis artikel untuk malaysiaharmoni.com.

4 Jan menemani Diana ke Dublin mencari rumah sewa. Dia akan mula bertugas di Dublin pada 9 January 2012. Namun tak jumpa rumah sewa yang bersesuaian.

Jumaat 6 Jan Ateeq pindah ke Ennis. Dia akan bertugas di situ mulai 9 January 2012 juga.

Sabtu 7 Jan sekali lagi datang ke Belfast. Singgah makan tengahari di Limerick. Di Belfast, bermalam di rumah Akh Rafidz dan Ukht Dr Zureen.

Ahad 8 Jan 2011 jam 11.30 pagi, program setengah hari bersama warga Malaysia yang tinggal di Belfast sama ada bekerja atau belajar. Aku diminta memberikan ceramah sekitar tanggungjawab ibu bapa dalam mendidik anak.

Selesai program kami bertolak ke Dublin. Diana akan kerja esok (9 Jan). Rumah sewa belum dapat. Menumpang sementara di rumah akhawat, rumah Farah Adibah yang kebetulan tinggal sendirian. Kawan-kawannya berjaulah ke Jordan.

Jam 9 malam 9 Jan, usrah online bersama beberapa orang akhawat ‘senior’ sekitar UK dan Ireland.

Rabu 11 Jan, program bersama akhawat dari University of Beijing, China seramai 11 orang yang sedang berjaulah mencari ilmu di bumi Eropah. Aku menyampaikan tafsir ayat 30 hingga 32 daripada surah Fussilat mengenai kepentingan dan kelebihan istiqamah.

Khamis 12 Jan tibalah hari untuk berangkat pulang. Flight dari Dublin ke Heathrow jam 16.30, manakala flight dari Heathrow ke KLIA jam 22.00.

Ukht Haslina datang menemaniku di Heathrow, membawa makanan dan cenderamata pemberian akhawat IKRAM UKE, sebuah beg yang sungguh cantik sesuai untuk dibawa berjaulah insya Allah. Jazakumullah khayral-jaza’.

Jam 17.25 13 January 2012, MAS 001 selamat mendarat di KLIA. Anakanda ‘Izzul ‘Aziz dan zauj menyambut kepulanganku dengan gembira. Kami singgah di rumah anak sulung kami, Abdullah di Bangi. Beliau dan zaujahnya Nurul Iman menjamu kami makan malam di sebuah restoran china muslim tidak jauh dari rumahnya.

Selepas menjamu selera, Zauj kembali ke Ibu Pejabat IKRAM, ada mesyuarat. ‘Izzul ‘Aziz membawaku pulang ke rumah di mana anakanda Abd al-Rahman sekeluarga sudah sedia menunggu.

Lewat malam zauj pulang dari mesyuarat. Beliau terus menghulurkan hadiah sempena ulangtahun perkahwinan kami ke 30 pada 20 Disember 2011 lepas, Alhamdulillah. Mungkin inilah antara factor kekuatanku di jalan dakwah ini. Anak-anak yang membantu. Suami yang kuat mendokong. Sebulan ditinggalkan bukan saja tidak merungut, malah disambut pula dengan hadiah yang sangat berharga, tak ternilai… syukran jazila, syukur kepadaMu ya Ilahi ya Rabbi…

Itulah serba sedikit coretan buat kenang-kenangan diriku…
Mohon maaf sekiranya mengganggu masa anda membacanya yang mungkin tidak bermanfaat apa-apa buat anda.



Monday, January 02, 2012

Harapan di tahun baru


Alhamdulillah masih panjang lagi usia kita hingga mencecah tahun 2012. Tahun baru selalunya disambut dengan penuh harapan, penuh semangat, penuh azam, penuh angan-angan yang indah dan membahagiakan.

Yang miskin berharap akan jadi kaya. Yang sakit berharap akan sembuh. Yang bujang berharap akan bertemu jodoh. Yang gagal berharap akan Berjaya. Yang keciwa berharap akan bahagia. Dan seterusnya…

Islam adalah agama yang mengajar umatnya agar jangan putus harap. Malah, berharap adalah satu ibadah. Dengan berharaplah manusia akan meneruskan usaha dan perjuangan dalam hidup ini.

Tanpa adanya harapan, yang sakit tidak akan berubat, yang jahil tidak akan belajar, yang miskin tidak berusaha mencari harta, yang gagal tidak akan berusaha memburu kejayaan.

Seorang yang arif berkata: “Kalaulah tidak ada harapan, akan terhentilah pengabdian hati dan seluruh anggota badan. Insan tidak akan terdorong untuk taat. Kalaulah tidak kerana hembusan angin pengharapan perahu amalan tidak akan belayar di lautan kemahuan.”

Di dalam surah Ghafir, Allah s.w.t. mengisahkan seorang hambanya yang soleh, lelaki mu’min dari keluarga Firaun yang terpaksa menyembunyikan imannya berani manasihati kaumnya yang kafir kerana berharap kepada perlindungan Allah.

“Dan (pada saat itu) berkatalah pula seorang lelaki yang beriman dari orang-orang Firaun yang menyembunyikan imannya: “Patutkah kamu membunuh seorang lelaki kerana ia menegaskan: `Tuhanku ialah Allah? ‘ – sedang ia telah datang kepada kamu membawa keterangan-keterangan dari Tuhan kamu? Kalau ia seorang yang berdusta maka dia lah yang akan menanggung dosa dustanya itu, dan kalau ia seorang yang benar nescaya kamu akan ditimpa oleh sebahagian dari (azab) yang dijanjikannya kepada kamu. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang yang melampaui batas, lagi pendusta.” (Ghafir:28)

Di akhir ucapannya, setelah nasihatnya tidak diendahkan, dia berkata sebagaimana yang diceritakan Allah di dalam kitab sucinya bermaksud:
“(Kiranya kamu tetap berdegil sekarang) maka kamu sudah tentu akan mengetahui kebenaran apa yang aku katakan kepada kamu; dan aku sentiasa menyerahkan urusanku bulat-bulat kepada Allah (untuk memeliharaku); sesungguhnya Allah Maha Melihat akan keadaan hamba-hambaNya”. (Ghafir:44)

Maka dengan menyerahkan urusannya kepada Allah, apa yang dia dapat?
“(Dengan keikhlasannya dan penyerahan dirinya kepada Allah) maka ia diselamatkan oleh Allah dari angkara tipu daya mereka; dan Firaun bersama-sama kaumnya ditimpa azab seksa yang seburuk-buruknya,” (Ghafir:45)

Daripada Jabir bin Abadullah r.a., dia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda tiga hari sebelum kewafatannya (maksudnya): “Jangan seseorang kamu mati kecuali dalam keadaan dia bersangka baik kepada Allah ‘Azza wa Jalla.” Riwayat Muslim. Ertinya apabila dia telah berbuat kebaikan, maka hendaklah dia bersangka baik dengan meletakkan harapan bahawa Allah akan menerimanya.

Daripada Anas r.a., dia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Allah Taala telah berfirman (maksudnya): “Hai anak Adam! Sesungguhnya selagi mana engkau menyeru NamaKu dan berharap kepadaKu, Aku akan ampunimu, apapun keadaanmu dan Aku tidak peduli. Hai anak Adam! Seandainya dosamu mencecah langit, kmeudian engkau memohon ampun, akan Aku ampunkan dan Aku tidak peduli. Hai anak Anak! sekiranya engkau datang kepadaKu dengan dosa sebesar bumi, kemudian engkau menemuiKu dalam keadaan engkau tidak mensyirikkan Aku dengan sesuatu, Aku akan mendatangimu dengan kempunan sebesar bumi juga!” Riwayat at-Tirmizi

Manakah harapan yang lebih besar daripada harapan seorang hamba yang berdosa selain daripada mengharap keampunan Tuhannya? Dan kalau harapan sebesar itupun Allah tunaikan, apalagi harapan yang lebih enteng daripada itu?

Bagaimanapun tidak semua harapan itu dituntut dan dipuji, ada harapan yang tercela dan dilarang.

Harapan yang dipuji ialah: Harapan seseorang hamba yang melakukan amal soleh. Dia berharap agar amalannya diterima dan diberi pahala. Dan harapan seseorang hamba yang berdosa, kemudian dia insaf dan bertaubat. Dia berharap agar Allah menerima taubatnya dan mengampuni dosa-dosanya.

Manakala yang dicela ialah harapan seseorang yang bergelumang dengan dosa dan maksiat, kemudian dia berharap Allah akan merahmatinya tanpa taubat, tanpa amal. Itu merupakan harapan paling palsu dan dusta semata-mata.
Harapan yang hakiki ialah engkau berenang meredah badai menuju ketepian pantai. Manakala harapan yang palsu ialah engkau terapung di tengah lautan yang bergelora sambil berharap pantai akan bergerak mendekatimu.