Wednesday, October 18, 2017

Tanggungjawab Pemimpin

Perkongsian hari ini berkenaan dengan tanggungjawab seorang pemimpin

عن الحسن البصري أن عائذ بن عمرو رضي الله عنه -وكان من أصحاب رسول الله صلى الله عليه وسلم- دخل على عبيد الله بن زياد فقال: "أي بُنَيَّ! إني سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول: (إِنَّ شَرَّ الرِّعَاءِ الحُطَمَةُ), فإياك أن تكون منهم، فقال له: اجلس فإنما أنت من نُخَالة أصحاب محمد صلى الله عليه وسلم، فقال: وهل كانت لهم نُخَالة؟ إنما كانت النخالة بعدهم وفي غيرهم" رواه مسلم.

Daripada Hasan al-Basriy, bahawasanya ‘Aaedz bin ‘Amru r.a masuk bertemu dengan Ubaidillah bin Ziyad dan berkata: “Wahai anakku, sesungguhnya aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya sejahat-jahat pemimpin ialah al-hutomah.” Maka berwaspadalah engkau agar tidak termasuk dalam golongan itu!”
Ubaidillah berkata kepada ‘Aaedz: “Duduklah engkau! Sesungguhnya engkau hanyalah daripada hampas sahabat-sahabat Muhammad s.a.w.!”
‘Aaedz menjawab: “Adakah terdapat di kalangan mereka itu hampas? Sesungguhnya hampas hanya ada pada generasi selepas mereka dan orang lain daripada mereka.” Riwayat Muslim

Ubaidillah bin Ziyad adalah seorang gabenor pada ketika itu. Dia banyak melakukan kezaliman dan menumpahkan darah tanpa belas kasihan. ‘Aaedz datang untuk menasihatinya dengan menyampaikan apa yang pernah didengarnya sendiri daripada mulut Nabi s.a.w. tentang sifat pemimpin yang jahat yang disebut sebagai hutomah. Ia bermaksud pemimpin yang bersikap kasar dan zalim terhadap rakyatnya dan tidak ada perasaan kasihan belas terhadap mereka. Satu daripada sifat neraka adalah hutomah kerana ia melanyak dan menghancurkan penghuninya tanpa belas.

Dan kerasnya hati Ibn Ziyad tergambar pada jawapannya sehingga menyifatkan sahabat Nabi s.a.w. yang cuba menasihatinya sebagai hampas. Ulamak sepakat bahawa para sahabat semua merupakan insan terbaik yang telah dipilih oleh Allah untuk mendampingi Rasulullah s.a.w. dan berjuang bersamanya dalam menyebar dan menegakkan agama suci ini. Mereka adalah insan terpilih, bukan hampas.

Hadis ini memberikan panduan yang sangat berguna tentang kewajipan pemimpin terhadap orang yang dipimpinnya, tidak kira sama ada pemimpin di peringkat negara, daerah, organisasi, jabatan, perkumpulan sehingga kepada institusi yang paling kecil dan paling asas, pemimpin dalam sebuah rumahtannga.
Betapa kasih dan cintanya seorang pemimpin terhadap orang yang dipimpinnya digambarkan pada peribadi Rasulullah s.a.w. di dalam ayat yang bermaksud: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat inginkan kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.” (At-Taubah 9:128)

Hadis ini juga menunjukkan akhlak serta sikap sahabat r.a. Mereka tidak berdiam diri melihat kezaliman pihak berkuasa. Mereka tidak teragak-agak untuk menegur tanpa memikirkan implikasinya.

Pengajaran penting:
1. Sebagai pemimpin hendaklah bertanggungjawab dan sentiasa memikirkan kebajikan orang yang dipimpin dengan penuh rasa kasih dan sayang terhadap mereka.
2. Sebagai rakyat hendaklah memainkan peranan menasihati dan melarang pemimpin dari melakukan penyelewengan dan kezliman terhadap rakyatnya.

Sunday, October 08, 2017

RENUNGAN



Allah Ta’ala berfirman maksudnya:

“Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji TuhanNya; dan beriman kepadaNya; serta mereka memohon ampun bagi orang-orang yang beriman (dengan berdoa merayu): "Wahai Tuhan kami! RahmatMu dan IlmuMu meliputi segala-galanya; maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta menurut jalanMu, dan peliharalah mereka dari azab neraka.
(Ghaafir 40:7)
"Wahai Tuhan kami! Dan masukkanlah mereka ke dalam Syurga "Adn" yang Engkau telah janjikan kepada mereka; dan (masukkanlah bersama-sama mereka): orang-orang yang layak di antara ibu bapa mereka, dan pasangan hidup mereka, serta keturunan mereka. Sesungguhnya Engkaulah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
(Ghaafir 40:8)
"Dan peliharalah mereka dari (balasan) kejahatan-kejahatan (yang dilakukannya); dan (sebenarnya) sesiapa yang Engkau pelihara pada hari itu dari terkena (balasan) kejahatan-kejahatan (yang dilakukannya) maka sesungguhnya Engkau telah mengurniakan rahmat kepadanya; dan yang demikian itulah kemenangan yang besar (nilainya)".
(Ghaafir 40:9)

Itulah di antara ayat-ayat yang paling mendamaikan hati yang walang.

Ayat yang menggambarkan keindahan dan keluasan Islam.

Hidup ini tidak terbatas di dalam ruang lingkup dunia yang sempit.

Iman kepada yang ghaib membuka ruang kehidupan yang amat luas, maha luas. Tak terjangkau oleh pancaindera mahupun minda.

Makhluk-makhluk Allah di luar sana tidak terhitung banyaknya.

Walaupun mereka tidak dilihat berada di sekeliling kita, bersama dengan kita, namun mereka sentiasa menyaksi dan mengambil peduli. Mereka sayang kepada kita. Mereka berdoa untuk kebaikan kita.

Mereka tahu betapa peritnya azab neraka, lalu mereka memohon agar kita dijauhkan darinya.

Mereka tahu indahnya syurga, lalu mereka berdoa agar kita dimasukkan ke dalamnya.

Mereka tahu betapa eratnya hubungan serta kasih sayang kita terhadap ibu bapa, pasangan dan zuriat keturunan kita, lalu mereka berdoa agar kita dihimpunkan bersama-sama di dalam syurga sebagaimana kita telah dihimpunkan di dunia sementara.

Jazakumullahu khaira wahai para malaikat yang suci.



Ya Allah, jadikanlah kami di antara mereka yang termasuk di dalam senarai orang yang didoakan oleh makhlukMu yang suci itu.

Sunday, September 24, 2017

JENAZAH YANG SANGAT BERBAHAYA


# نقلا عن الاستاذ : فيصل السسد محمد / المحامى

Dinukil dari Ustâdz Faishol As-Sayyid Muhammad, Penguam

Untuk rakaman sejarah yang benar dan pasti, inilah yang sebenarnya terjadi pada saat meninggalnya Fadhîlah Ust.'Âkif, mantan Mursyid 'âm Jamâ'ah Ikhwânul Muslimîn
*Ruh suci beliau meninggalkan jasadnya selepas waktu Zohor hari Jum'at, 2 Muharram 1439 H bersamaan dengan 22 September 2017 M (di dalam penjara rejim as-Sisi).

Para Mursyid sebelumnya Muhammad Hâmid Abû An-Nashr, Ustâdz Mushtafa Masyhur, Ustadz Al-Hudhaibi, juga meninggal pada hari Jum'at.

*Perpindahan Jasad suci beliau ke asrama militer, atau ke hospital Al-Qoshr Al-'Aynî Al-Faransâwî  tidak boleh dilakukan kecuali dengan perintah tentara keamanan, sehinggakan teman kami, peguam Muhammad Sâlim tidak dibenarkan bergerak kecuali dengan kebenaran mereka (tentara keamanan). Dia yang membuat kata putus  bilakah jenazah akan dikebumikan.

*saya kemudian pergi untuk memesan kuburan di pemakaman, berkoordinasi dengan puteri Ustaz 'Âkif (beliau berwasiat agar dikuburkan disamping Al-Ustâdz Al-Mursyid At-Tilmisânî dan Mushtafa Masyhûr).  Alhamdulillah wasiat beliau dapat dilaksanakan. Saya terkejut dengan pemandangan di sekitar perkuburan yang dikepung oleh tentara hingga suasananya mirip asrama tentara.
Sehinggakan pimpinan tentara keamanan yang berada di situ menemani saya hingga masuk ke dalam kubur sambil  memberi amaran supaya tidak mengambil gambar. Bahkan ketika saya diberikan telefon bimbit  untuk menyalakan lampu, dan ketika itu saya hanya bersendirian, tidak ada apapun untuk dirakamkan, tentara keamanan itu mahu juga memastikan saya tidak mengambil apa-apa gambar. Saya berkata kepada mereka : 'ambillah telefon ini,  dan periksalah!'.

Yang menarik perhatian saya pada hari itu, 2 Muharram, cuaca mendung, namun saya bersaksi dengan Nama Allah bahawa saya melihat pemakamannya itu bersinar, seakan-akan cahaya memancar dari langit, dan saya berasa seperti ada 'perayaan di langit'. (ini yg saya rasa dan saya saksikan). Saya katakan hal ini kepada tentara keamanan, mereka terdiam dan terkedu.

*Yg memandikan jasad suci beliau adalah : suami kepada puteri saudara perempuan Ustaz Mahdi 'Âkif. Tentara keamanan tidak memperkenankan siapapun untuk ikut memandikan jenazah kecuali dia.

*jenazah beliau disolati di hospital oleh 5 orang lelaki : suami kepada puteri saudara perempuan beliau, 1 peguam, 3 orang daripada Kementerian dalam negeri), dan 4 orang wanita (isterinya, puterinya, dan 2 perempuan lain)
*Isteri Syahîd Ustaz Muhammad 'Âkif, Ustazah Wafâ' 'Izzat (saudara kandung Dr.Mahmud 'Izzat) menyampaikan kalimat berbicara kepada suaminya setelah solat jenazah : "Mangkatlah wahai kekasihku sebagaimana mangkatnya gurumu, Al-Bannâ. Dan jasadmu dihantarkan (diperlakukan) untuk dikebumikan sebagaimana dihantarkan jasad gurumu,  Al-Banna. Semoga rahmat Allah tercurah atasmu."

*Pasukan tentara keamanan menguasai, menghalang-halangi jasad suci beliau, dan tidak memperkenankan seorangpun menghampiri untuk membawanya serta menemaninya hingga ke pemakaman. Tentaralah yg melakukan itu semua, dan mereka tidak membenarkan seorangpun menemaninya dari hospital, termasuk isterinya juga puterinya.

*ketika kami sedang menunggu sampainya jenazah ke pemakaman, kawasan itu berubah menjadi kawasan yang dikepung oleh tentara keamanan pusat beserta kenderaan bersenjatakan perisai, ditambah pula dengan pasukan khusus, satuan intelijen nasional, dan lain-lain seluruhnya divisi bahagian Cairo Timur. Ketika jasad sucinya sudah hampir ke pemakaman, tentara keamanan mengeluarkan saya dari pemakaman dan tidak membenarkan saya untuk mendekatinya. Pintu masuk ke pemakaman ditutup oleh mereka. Kereta  jenazah yang membawa jasad beliau dibawa masuk pemakaman melalui tempat lain supaya kita tidak dapat melihat dan menghadiri proses pemakaman. Kami sadar akan hal ini, maka kami bercakap dengan pimpinan tentara keamanan yang ada di situ. Dia  tetap tidak membenarkan kami hadir di pemakaman kecuali isterinya, puteri, dan Ustaz'Abdul Mun'im 'Abdul Maqshûd, peguam Syaikh 'Âkif.

*kami berada di situ seramai lebih kurang 20 orang lelaki dan lebih kurang 20 orang perempuan.
*di antara yang hadir adalah Ustaz Khôlid Badawî (peguam), Ustaz 'Abdul Mun'im 'Abdul Maqshûd, Menteri Khôlid Al-Azharî, anak-anak serta isteri Presiden Muhammad Mursi. Tidak ada orang awam seorangpun yang hadir di upacara pengkebumian itu.
*proses pengkebumian selesai jam 12 malam hari Jum'at. Ketika kami meninggalkan pemakaman, tentara keamanan masih dalam keadaan mengepung lokasi tersebut.

*di tengah-tengah proses pemakaman jasad sucinya, Ustaz Khôlid Badawi melantunkan do'a, kami mengaminkan di belakangnya. Tiba-tiba saya dikejutkan dengan seorang tentara keamanan militer yang jatuh pingsan. Kemudian salah seorang wanita memberikan saya sebotol air untuk menyedarkannya dari pingsan. Kalau bukan wanita itu yang menolong, pimpinan tentara keamanan membiarkan saja tentara yang pingsan itu sehinggalah datang teman-temannya dan mengangkatnya.

*Kami pulang meninggalkan 'pengantin' yang sedang terbang ke langit, setelah sebelumnya orang-orang  zalim dari kalangan penduduk bumi  mempersempitkan ruang geraknya. Dia meninggalkan kita, meninggalkan kesan di hati kita.. seakan-akan dia berkata “Saya tinggalkan kalian, kalimat atau perlakuan zalim yang saya dapat akan tertimbun oleh sejarah. Saya tinggalkan kalian dalam keadaan saya tidak merubah fikrah dan prinsip saya, serta tidak berganjak dari jalan dakwah.
(Kita mempunyai pilihan sama ada):
Kehidupan yang menyenangkan teman, atau
Kematian yang membuatkan musuh marah mencengkam!”

Semoga Allah merahmati Ustâdz kita, almarhum
#'Âkif Syahîd
Dipetik daripada FB

فتحي محمد قرعاوي

Saturday, September 16, 2017

BERHATI-HATI DENGAN FITNAH!!!


Menggunakan media sosial untuk menabur fitnah, tuduhan palsu, menggelar dengan gelaran yang buruk lagi menyakitkan sudah menjadi perkara lumrah. Ia berlaku saban hari dan waktu. Malah ada yang menjadikan perkara itu sebagai satu pekerjaan untuk mengaut upah yang lumayan. Upah yang menjadi sumber kehidupan, makan minum diri dan keluarga! Wal’iazu bilLah.

Sesungguhnya sifat suka mencela, mengutuk dan memfitnah lahir daripada hati yang tidak takut kepada Allah Yang Maha Mengetahui dan Maha Memerhati segala yang ghaib dan yang tersembunyi.

Hati yang dilimpahi dengan cahaya iman pastinya tidak akan tergamak untuk menabur fitnah, mencari-cari kelemahan dan kesalahan pihak lain, khususnya mereka yang tidak sehaluan dengan kita, kemudian menyebarkannya seantero dunia.

Seorang ulamak salaf diriwayatkan pernah berkata: “Sering kali aku dihalang dari melakukan maksiat secara tersembunyi seperti menyimpan niat jahat di dalam hati dengan mengingati firman Allah yang bermaksud: “Dan orang yang takut akan keadaan dirinya di mahkamah Tuhannya (untuk dihitung amalnya), disediakan baginya dua Syurga,” (Ar-Rahmaan 55:46)

Dan firman Allah yang bermaksud: “Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, Maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya.” (An-Naazi'aat 79:40-41)

“Sesungguhnya kerugian yang teramat rugi, bencana yang sebenar-benarnya bencana kalau kita rasa senang dan selesa ketika kita melakukan perkara yang dilarang oleh Allah SWT!!!”

Dan antara perkara yang dilarang keras oleh Allah adalah bersangka buruk kepada saudara sendiri (semua manusia adalah bersaudara), mengumpat, memfitnah, mengejek, mempersenda dan seumpamanya.


Ibn Rajab memberikan peringatan dengan berkata: “Sesungguhnya su’ul-khatimah (kesudahan yang buruk) boleh jadi dengan sebab bisikan-bisikan jahat yang merayap di dalam hati kita yang tidak pernah diketahui oleh manusia!!!” 

Thursday, September 07, 2017

TIDAK MUNGKIN AKU MENGHITUNG NI’MATMU YA ALLAH!!!



Engkau ciptakan aku daripada tidak ada kepada ada
menjadi insan yang sempurna
akal yang sejahtera tidak gila
mata yang boleh melihat dan membezakan warna-warna
telinga yang boleh mendengar dan mengecam suara-suara
jantung yang berdenyut tiap ketika
paru-paru yang menyedut udara
dua biji buah pinggang yang membersihkan darah dari racun yang berbahaya
tangan yang boleh menghulur dan menggenggam apa saja
kaki yang boleh berjalan dan melangkah ke mana jua
mulut, gigi, lidah untukku mengunyah dan berbicara
semua pancaindera termasuk menghidu dan merasa
organ-organ memproses makanan, menghadam, menyerap dan membuang
sel-sel, kelenjar-kelenjar, hormon-hormon yang berfingsi tanpa aku sedari
urat-urat saraf yang besar, kecil dan halus menjalar ke seluruh anggota tubuh
dan... dan... dan...
Dan di luar pula:
matahari yang memancarkan cahaya
bulan bintang yang menyinari malam gelita
bumi yang terhampar luas saujana
langit biru yang luas entah di mana penghujungnya
udara yang segar, cuaca yang nyaman, angin yang menyejukkan
air yang mengalir membawa kehidupan
pokok-pokok yang menghijau
tumbuh-tumbuhan yang beraneka, menegak dan menjalar
haiwan-haiwan jinak dan liar
galian dan logam di daratan dan di lautan
dan... dan... dan...

Ya Allah...
Engkau jua yang memilih siapa ayah dan ibuku
Bukan Firaun, Namrud, Abu Jahal, atau Abu Lahab
Engkau yang mentakdirkan zaman kelahiranku
Bukan menjadi umat Nabi Lut, Nabi Nuh, atau Nabi Hud
Yang Engkau musnahkan kerana keingkaran

Lantaran itu,
Meski sebanyak manapun aku bersyukur
Tidak mungkin dapat mengimbangi segala ni’matMu
Malah syukur itu sendiri adalah ni’mat yang perlu disyukuri.

Aku laksana seorang miskin yang tidak punya upaya
Diberi hutang oleh si kaya setiap hari RM1,000,000
Dan aku hanya mampu membayar RM1 setiap hari
Maka sepanjang hayatku tidak mungkin aku dapat melunaskannya

Justeru, ampunilah aku, rahmatilah aku

Oh Tuhanku Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani

Antara soleh dengan musleh

Sesungguhnya manusia suka kepada orang yang soleh (baik) tetapi memusuhi musleh (yang membaikkan / mengajak kepada pembaikan).
Kaum quraisy mengasihi Muhammad s.a.w. sebelum beliau diutus menjadi rasul kerana beliau seorang yang soleh, tetapi apabila beliau diutus menjadi rasul dan bertindak sebagai musleh, mereka memusuhinya dan menuduhnya pendusta, tukang sihir dan gila.
Sebabnya, musleh bertembung dengan hawa nafsu mereka serta kepentingan peribadi mereka.
Justeru, para ilmuan berkata: seorang musleh lebih disukai Allah daripada 1000 orang soleh kerana dengan musleh Allah pelihara umat dari kebinasaan sedangkan soleh hanya memelihara dirinya sendiri sahaja. Allah berfirman maksudnya: "Dan Tuhanmu tidak sekali-kali hendak membinasakan mana-mana negeri dengan sebab kezaliman penduduknya, selagi mereka sentiasa memperbaiki keadaan sesama sendiri (muslihun)."
(Hud 11:117) ".
Lihat! Allah tidak berkata "solihun", tetapi "muslihun"

Wednesday, August 30, 2017

TAKBIR MURSAL DAN MUQAYYAD

TAKBIR MUQAYYAD

Takbir muqayyad bermaksud takbir yang dilakukan selepas solat, sama ada solat fardhu atau sunat, tunai atau qada’ termasuk solat jenazah.
Takbir muqayyad disunatkan pada hari raya haji sahaja bermula daripada subuh hari Arafah bagi mereka yang tidak menunaikan haji dan berakhir pada asar hari tasyriq, iaitu hari ke 13 Zul Hijjah.

TAKBIR MURSAL ATAU MUTLAQ

Takbir mursal atau mutlaq ialah takbir yang disunatkan di semua tempat: di dalam masjid, di rumah-rumah, di jalan-jalan, di pekan-pekan, ketika berjalan kaki atau berkenderaan, sambil duduk, berdiri atau berbaring.
Ia disunatkan bermula daripada tenggelam matahari pada malam raya dan berakhir apabila imam telah mengangkat takbiratul-ihram solat sunat hari raya.
Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bertakbir pada hari raya fitrah ketika baginda keluar dari rumah sehingga baginda sampai di tempat solat sunat hari raya.

(Dipetik daripada kitab Bughyah al-Tullab, Syeikh Daud al-Fatoni, 232/1)

Monday, August 28, 2017

KESUSAHAN ITU UJIAN, SABAR DAN DOA ITU IBADAH



Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Seseorang hamba akan berterusan dalam kebaikan selagi dia tidak meminta dipercepatkan”. Baginda ditanya: “Apakah maksud minta dipercepatkan?”
Baginda s.a.w. menjawab: “Maksudnya (dia mahu doanya segera diqabulkan. Jika lambat), dia berkata: “Aku telah berdoa, namun doaku tidak diperkenankan!”

“Maka ingatlah!
Jangan sekali-kali kamu menghitung panjangnya masa ujian.
Jangan sekali-kali kamu merungut banyaknya doa dipanjatkan.
Sesungguhnya kamu diuji dengan kesulitan.
Kamu beribadah dengan doa dan kesabaran.
Jangan sekali-kali berputus asa dari rahmat Allah meskipun berapa lama ujian mendatang.”


Ibn al-Jauzi, Soidul-Khatir, ms 283

Thursday, August 03, 2017

REALITY YANG TIDAK BISA DISANGKAL


Nukilan : Maznah binti Daud

“Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami); dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu. Dan (ingatlah satu bukti lagi); Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai.”

“Dia lah yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari (setitis) air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging; kemudian Ia mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian kamu (dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; kemudian kamu (dipanjangkan umur) hingga sampai menjadi tua. Dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan sebelum itu. (Allah melakukan kejadian yang demikian) supaya kamu sampai ke masa yang ditentukan (untuk menerima balasan); dan supaya kamu memahami (hikmat-hikmat kejadian itu dan kekuasaan Tuhan).”

“Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Ia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Ia menciptakan apa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.”

ADAKAH TUA ITU ALASAN?

Pada usia berapakah akhawat rasa sudah tua?

Rasulullah s.a.w. memulakan dakwah ketika berusa 40 tahun.
Berjalan kaki ke Taif sejauh 60 batu ketika berusia 50 tahun
Berhijrah ke Madinah ketika berusia 53 tahun
Peperangan terakhir pada tahun ke 9 hijrah, ketika berusia 62 tahun.

HIKMATUS-SYUYUKH

Hikmah selalu dikaitkan dengan usia, tetapi tidak semestinya. Ia anugerah Allah kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Semua nabi dan rasul diberi hikmah. Firman Allah Ta’ala bermaksud: “Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.”

Sebahagian ulamak berpendapat, hikmah terdiri dari tiga unsur: kecerdikan, pengetahuan yang luas, keinganan yang kuat.
Contoh-contoh hikmah tokoh terdahulu:

i.                     Pada suatu hari, Umar bin Abdul Aziz dikunjungi puteranya seraya berkata: duhai ayahku, kenapa ayah mengambil ringan tentang sesetengah perkara? Demi Allah sekiranya saya berada di tempat ayah, saya tidak takut kepada sesiapapun dalam menegakkan kebenaran!
Umar menjawab: jangan tergesa-gesa wahai anakku. Sesungguhnya Allah mencela arak sebanyak dua kali dan Dia mengharamkannya pada kali ke tiga. Aku bimbang sekiranya aku memaksakan manusia mematuhi kebenaran kesemuanya sekali gus mereka akan menolak kesemuanya sekali gus!
ii.                    Imam Syafi’ei diminta supaya menunjukkan satu dalil yang membuktikan kewujudan Allah s.w.t. Beliau berfikir sejenak, kemudian berkata: “Daun mulberry. Rasanya satu saja. Tetapi bila dimakan ulat sutera ia mengeluarkan sutera, dimakan lebah ia mengeluarkan madu yang manis, dimakan rusa ia mengeluarkan kasturi yang harum baunya. Maka siapakah yang menjadikan asalnya sama, namun hasilnya berbeza? Sesungguhnya Dia-lah Allah Pencipta Yang Maha Agung.
iii.                  Muhammad al-Ghazali pernah ditanya tentang hukum orang yang tidak solat. Beliau menjawab, hukumnya kamu pimpin tangannya ke masjid dan ajar dia solat.
iv.                  Asma’ binti Abi Bakar r.a.

ADAKAH SESUATU YANG LAYAK DIJADIKAN ALASAN?

i.                    MENGIMPIKAN HUSNUL-KHATIMAH
حسن الخاتمة هو : أن يُوفق العبد قبل موته للابتعاد عما يغضب الرب سبحانه ، والتوبة من الذنوب والمعاصي ، والإقبال على الطاعات وأعمال الخير ، ثم يكون موته بعد ذلك على هذه الحال الحسنة ، ومما يدل على هذا المعنى ما صح عن أنس بن مالك رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ( إذا أراد الله بعبده خيراً استعمله ) قالوا : كيف يستعمله ؟ قال : ( يوفقه لعمل صالح قبل موته ) رواه الإمام أحمد (11625) والترمذي (2142) وصححه الألباني في السلسلة الصحيحة 1334.
وقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا أَرَادَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ بِعَبْدٍ خَيْرًا عَسَلَهُ قِيلَ وَمَا عَسَلُهُ قَالَ يَفْتَحُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ لَهُ عَمَلًا صَالِحًا قَبْلَ مَوْتِهِ ثُمَّ يَقْبِضُهُ عَلَيْهِ " رواه أحمد 17330 وصححه الألباني في السلسلة الصحيحة 1114
Husnul-khatimah ialah Allah memberi taufiq kepada seseorang hamba sebelum dia mati agar menjauhi perkara yang dimurkaiNya, bertaubat dari segala dosa dan maksiat, cergas melakukan ketaatan dan amal-amal kebaikan, kemudian dia mati dalam keadaan demikian. Buktinya adalah sabda Nabi s.a.w. “Apabila Allah menghendaki kebaikan kepada hambaNya Dia mempergunakannya.” Mereka bertanya, “Bagaimanakah cara Dia mempergunakannya?” Baginda menjawab, “Dia mentaufiqkannya untuk beramal soleh sebelum kematiannya.” Riwayat Ahmad dan Tirmizi
Pada riwayat lain Baginda bersabda, “Apabila Allah menghendaki kebaikan untuk hambaNya ‘asalahu.” Baginda ditanya, “Apa maksud ‘asalahu?” Jawab Baginda, “Allah membuka untuknya amalan soleh sebelum kematiannya kemudian dicabut nyawanya dalam keadaan itu.”

ii.                  KEUZURAN TIDAK DITERIMA.
فقد أخرج البخاري في صحيحه حديث أبي هريرة رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: أعذر الله إلى امرئ أخر أجله حتى بلَّغه ستين سنة.
قال المناوي في فيض القدير في شرح ذلك الحديث: أعذر الله إلى امرئ أي سلب عذر ذلك الإنسان فلم يبق له عذر يعتذر به كأن يقول: لو مد لي في الأجل لفعلت ما أمرت به، فالهمزة للسلب. أو بالغ في العذر إليه عن تعذيبه حيث أخر أجله يعني أطاله حتى بلغ ستين سنة لأنها قريبة من المعترك وهو سن الإنابة والرجوع وترقب المنية ومظنة انقضاء الأجل، فلا ينبغي له حينئذ إلا الاستغفار ولزوم الطاعات والإقبال على الآخرة بكليته، ثم هذا مجاز من القول فإن العذر لا يتوجه على الله وإنما يتوجه له على العبد، وحقيقة المعنى فيه أن الله لم يترك له شيئا في الاعتذار يتمسك به، وهذا أصل الإعذار من الحاكم إلى المحكوم عليه. وقيل لحكيم: أي شيء أشد؟ قال: دنو أجل وسوء عمل.
Maksud hadis, menurut al-Munawi, Allah merampas keuzuran daripada seseorang yang dilanjutkan usianya sehingga 60 tahun. Tiada lagi alasan yang boleh diberikan seperti berkata, ya Allah sekiranya Engkau lanjutkan usiaku nescaya aku akan melakukan itu dan ini.
60 tahun adalah masa untuk bertaubat, kembali kepada Allah, menunggu ajal datang dalam keadaan beramal soleh.

iii.                SALAF SOLEH MENGHADAPI KEMATIAN:

a.       Suatu hari ‘Amru bin al-‘Aas r.a. melintasi kawasan perkuburan. Beliau berhenti dan solat dua rakaat. Beliau ditanya, kenapa beliau lakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini? Beliau menjawab bahawa dia teringat kepada ahli kubur dan apa yang menghalang mereka daripada melakukan apa yang mereka ingin lakukan. Maka aku ingin bertaqarrub kepada Allah dengan dua rakaat itu.
b.      Al-Mu’afi bin Zakaria meriwayatkan daripada beberapa orang yang tsiqah bahawa mereka berada di sisi Abu Jaafar at-Tobari ketika beliau sedang nazak. Ada seseorang menyampaikan bahawa Jaafar bin Muhammad berkata, “Apabila engkau sampai ke Baitil-Haram, letaklah tanganmu di dinding rumah itu (Kaabah) kemudian hendaklah engkau berkata: “Wahai Tuhan yang memulangkan apa yang hilang, yang mendengar segala suara, yang membalut tulang dengan daging selepas ia mati. Selepas itu engkau berdoalah apa saja yang engkau hajatkan.” Lalu Abu Jaafar meminta kertas dan pena lantas menulisnya. Mereka yang berada di sisinya bertanya, “Adakah dalam keadaan ini?” Beliau menjawab: “Tidak patut bagi seseorang insan membiarkan peluang mengutip ilmu sampai ke mati!” Selepas satu jam atau kurang, Abu Jaafar menghembuskan nafasnya yang terakhir.
c.       Daripada Farqad seorang Imam di masjid Basrah. Beliau menceritakan bahawa beliau beberapa orang teman menziarahi Sufyan ats-Tsauri yang sedang sakit tenat. Salah seorang daripada mereka membacakan sepotong hadis. Sufyan tertarik dengan hadis tersebut. Beliau meraba-raba di bawah tilam, lantas mengeluarkan papan tulis dan menulisnya. Mereka bertanya, “Dalam keadaan engkau seperti ini?” Dia menjawab, “Hadis itu elok. Kalau aku masih hidup, aku pernah mendengar sesuatu yang elok. Kalau aku mati, aku telah menulis sesuatu yang elok.”
d.      Qadhi Ibrahim bin al-Jarrah menceritakan tentang gurunya Imam Abu Yusuf al-Qadhi. Belaiu berkata, aku menziarahi ketika beliau sakit tenat. Ketika aku tiba dia tidak sedarkan diri. Beberapa ketika kemudian dia sedar. Apabila dia terpandang aku berada di sisinya dia berkata kepadaku, “Wahai Ibrahim, apa pendapatmu tentang satu masalah?” Aku bertanya, “Dalam keadaan seperti ini?” Dia menjawab, “Tidak mengapa. Kita mengkajinya mudah-mudahan dapat menyelamatkan seseorang.” Kemudian dia bertanya, “Wahai Ibrahim, yang mana lebih afdhal, melontar (dalam ibadah haji)dalam keadaan berjalan kaki atau menunggang kenderaan?” Aku menjawab, “Berkenderaan”. Dia berkata, “Salah”. “Berjalan kaki”. “Salah”. “Apa pendapat tuan guru? Katakanlah. Semoga Allah meredhaimu!” Dia berkata, “Sekiranya seseorang itu mahu berhenti untuk berdoa di sisi jamrah, afdhal baginya berjalan kaki. Jika tidak, afdhal baginya berkenderaan.” Kemudian aku bangun untuk pulang. Apabila aku ingin melangkah keluar dari pintu rumahnya aku mendengar suara tangisan. Dia telah pergi...
e.       Seorang faqih Abu Hasan Ali bin Isa menceritakan bahawa dia menziarahi Abu Raihan al-Biruni ketika dia sedang tenat. Nafasnya tercungap-cungap hampir keluar dari badannya. Dalam keadaan itu dia berkata kepadaku: “Apakah yang kamu katakan kepadaku pada hari itu tentang hak pusaka nenek sebelah ibu?” Abu Hasan berkata kerana kasihan melihat keadaannya: “Adakah pada keadaan seperti ini?” Abu Raihan menjawab: “Wahai kawan, aku meninggalkan dunia ini dalam keadaan aku mengetahui tentang masalah ini, bukankah lebih baik bagiku daripada aku meninggalkannya dalam keadaan aku jahil tentangnya?” Dia ingin belajar tentang sesuatu perkara sebelum dia mati, semata-mata kerana ilmu kerana dia mengetahui kelebihan dan keistimewaan orang yang berilmu. Kemudian aku beredar dari sisinya. Dalam perjalanan aku mendengar tangisan. Dia telah pergi selepas beberapa detik mempelajari satu ilmu.

PENUTUP

Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. Dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar.
Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu; dan dengarlah (akan pengajaran-pengajaranNya) serta taatlah (akan perintah-perintahNya); dan belanjakanlah harta kamu (serta buatlah) kebajikan untuk diri kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.
Dan kalau kamu memberi pinjaman kepada Allah, sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), nescaya Allah akan melipat gandakan balasanNya kepada kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu; dan Allah amat memberi penghargaan dan balasan kepada golongan yang berbuat baik, lagi Maha Penyabar (untuk memberi peluang kepada golongan yang bersalah supaya bertaubat).
Dia lah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, (dan Dia lah jua) yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.


Monday, July 31, 2017

Nasab Anak Zina

Bolehkah anak zina dinasabkan kepada bapa biologinya?
Khilaf di kalangan ulamak.
Majoriti kata tak boleh.
Sebahagian kata boleh.
Masing-masing ada alasan. Ada hujjah. Ada buruk dan baiknya.
Masalah khilaf memang sukar untuk capai kata sepakat. Namapun khilaf.

Namun ada satu yang tidak ada khilafnya, iaitu zina itu haram. Dan penularan jenayah zina dalam masyarakat sudah sampai ke tahap yang amat-amat mencemaskan.
Inilah yang perlu diberi perhatian. Bagaimana membendung jenayah ini. Ingatlah bahawa zina adalah satu jenayah terhadap kemanusiaan yang paling kejam dan paling bahaya. Di dalam al-Quran, zina sering dikaitkan atau diletak seiring dengan jenayah membunuh. Sebagai contoh, lihat surah al-Israa’:31,32,33 dan al-Furqan:68. Ia benar-benar membunuh dan mengancam perkembangan zuriat manusia secara sihat dan selamat.

Ibn Majah meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. pernah memberi amaran betapa bahayanya zina apabila ia berlaku secara meluas. Baginda bersabda maksudnya: “Apabila timbul zina di kalangan sesuatu kaum sehingga mereka lakukannya secara terang-terangan, akan menularlah taun dan penyakit-penyakit yang tidak pernah menimpa orang-orang sebelum mereka yang telah pergi terlebih dahulu.” Hadis dikategorikan hasan oleh al-Albani.

Tidak syak lagi sekarang “mereka lakukannya secara terang-terangan” sehingga boleh ditonton di mana saja oleh sesiapa saja sehingga kanak-kanak yang tidak mengerti apa-apa. Lantas tersebarlah berita yang menyedihkan dan memilukan, anak-anak perempuan kita diperkosa di mana-mana oleh siapa saja dari yang bertaraf datuk sehingga ke taraf tadika.


Jadi, sekadar berbahas tentang nasab anak-anak yang tidak berdosa itu tentunya tidak akan dapat menyelesaikan punca permasalahan yang sebenar. Idea dan usaha yang sungguh-sungguh terutama oleh pihak berwajib mesti dicurahkan ke arah membendung gejala zina itu sendiri sehingga ke akar umbinya.

Saturday, June 10, 2017

Badar al-Kubra dan Wanita


Ghazwah Badar al-Kubra adalah satu daripada peristiwa paling penting dalam sejarah Islam. Tentera Islam yang berjumlah 313 orang dianugerahi kemenangan besar, mengalahkan pihak lawan yang berjumlah lebih daripada1000 orang.
Pertempuran hebat ini berlaku pada hari Jumaat 17 Ramadhan tahun ke 2 hijrah berbetulan Ramadhan pertama disyariatkan puasa.

Kitab-kitab sejarah tidak mencatatkan keterlibatan wanita secara langsung di dalam peperangan ini. Ahli pasukan yang berangkat bersama Rasulullah s.a.w. dari Madinah pada 8 atau 12 Ramadhan tahun ke 2 hijrah semuanya lelaki. Mereka tidak membawa kelengkapan yang secukupkan untuk perang. Yang ada bersama mereka hanyalah dua ekor kuda kepunyaan Zubayr bin al-‘Awwam dan Miqdad bin al-Aswad, 70 ekor unta yang setiap satunya dikongsi tunggang oleh dua atau tiga orang secara bergilir. Rasulullah s.a.w. berkongsi menaiki seekor unta secara bergilir dengan Ali bin Abi Talib dan Mirthad bin Abi Mirthad.

Meskipun tidak ada wanita yang terlibat secara langsung di dalam pertempuran yang bersejarah ini, namun terdapat beberapa nama wanita yang terkait dengan peristiwa besar ini yang dapat diambil pengajaran mengenai kedudukan wanita di dalam ajaran Islam. Antara nama-nama yang tercatat mempunyai kaitan dengan  Ghazwah Badar al-Kubra ialah:


i.                    Atikah binti Abdul Muttalib

Tiga hari sebelum kedatangan Dhamdham bin ‘Amru al-Ghifari yang diutus oleh Abu Sufyan untuk memberi amaran kepada puak Quraisy tentang keberangkatan Muhammad s.a.w. untuk menyekat kafilahnya dan mendapatkan bantuan, Atikah binti Abdul Muttalib telah mengalami satu mimpi yang amat mengerikan; seorang penunggang unta memasuki Mekah sambil melaungkan suara meminta supaya mereka bersiap sedia menghadapi peperangan yang akan berlaku dalam masa tiga hari lagi. Penunggang unta itu memasuki Masjid al-Haram, memanjat Kaabah dan kemudian naik ke atas puncak bukit Abi Qubays. Kemudian di puncak bukit Abi Qubays itu dia mengambil seketul batu lalu dicampakkan ke bawah. Apabila mencecah kaki bukit, batu itu berkecai. Serpihan batu itu memasuki setiap rumah dan kediaman di dalam kota Mekah. Tidak ada sebuah rumahpun yang terkecuali.
Atikah menceritakan mimpi ngerinya itu kepada saudaranya al-‘Abbas bin Abdul Muttalib. Al-‘Abbas yakin bahawa ia merupakan satu mimpi yang benar. Dia meminta supaya Atikah merahsiakan mimpi itu dan jangan menceritakannya kepada sesiapapun.
Di luar, al-‘Abbas bertemu dengan sahabat karibnya al-Walid bin ’Utbah. Dia menceritakan mimpi Atikah kepada al-Walid dan meminta supaya al-Walid merahsiakannya. Al-Walid pula menceritakannya kepada ayahnya, ’Utbah. Maka tersebarlah berita itu ke seluruh pelusuk bumi Mekah. Apabila berita itu sampai ke pengetahuan Abu Jahal, dengan sombongnya dia menolak mimpi itu sambil berkata kepada al-’Abbas: ”Wahai Bani Abdul Muttalib! Adakah tidak cukup lagi lelaki kamu mendakwa menjadi nabi sehingga wanita pula yang mendakwa menjadi nabi? Kita akan lihat selepas tiga hari. Sekiranya benar apa yang kamu dakwa maka ia akan berlaku. Sekiranya tidak, kami akan rekodkan suatu catatan bahawa keluarga kamu adalah keluarga yang paling pendusta!”
Pengajarannya: wanita sering dituduh sebagai golongan yang tidak pandai menyimpan rahsia. Namun tidak semua rahsia dibocorkan oleh wanita. Dan bukan lelaki sahaja yang berhak mendapat maklumat awal mengenai sesuatu perkara yang berkaitan dengan kepentingan umat dan negara.


ii.                  Zainab binti Muhammad s.a.w.

Antara tawanan perang Badar yang dibawa pulang ke Madinah ialah Abu al-’As bin al-Rabi’ menantu Rasulullah s.a.w., iaitu suami kepada puteri baginda Zainab binti Muhammad s.a.w. dan anak saudara kepada Khadijah binti Khuwailid r.a.
Abu al-’As yang ditawan oleh Kharrasy bin Al-Simah adalah seorang yang terbilang dari segi kedudukan, harta, perniagaan serta terkenal sebagai seorang yang amanah. Dia telah berkahwin dengan Zainab sebelum Nabi diangkat menjadi Rasul atas cadangan Khadijah r.a. dan dipersetujui oleh baginda s.a.w.
Setelah baginda diangkat menjadi Rasul, Khadijah dan semua puteri-puterinya termasuk Zainab telah beriman kepada apa yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. daripada Tuhannya. Namun Abu al-’As kekal di dalam agama asalnya.
Abu al-’As mendapat tekanan daripada kaum Quraisy yang memusuhi Rasulullah s.a.w. kerana dakwahnya. Mereka mendesak Abu al-’As supaya menceraikan Zainab dan menawarkan mana-mana perempuan Quraisy sebagai ganti. Namun Abu al-’As enggan berbuat demikian. Baginya tiada siapa yang boleh menggantikan tempat Zainab di hatinya.
Apabila Rasulullah s.a.w. berhijrah ke Madinah, Zainab tinggal di Mekah bersama Abu al-’As. Mereka tidak dipisahkan meskipun berlainan agama. Hukum Islam belum diturunkan sepenuhnya ketika itu.
Rasulullah s.a.w. membebaskan tawanan-tawanan Badar dengan mengambil tebusan. Zainab mengirimkan kalung yang dihadiahkan bondanya Khadijah r.a. pada hari perkahwinannya untuk menebus suaminya Abu al-’As. Melihat kalung tersebut, hati baginda s.a.w. sangat tersentuh. Rasulullah s.a.w. meminta izin daripada para sahabat r.a. untuk membebaskan Abu al-’As dan memulangkan kembali kalung itu kepada Zainab. Mereka semua bersetuju. Maka Rasulullah s.a.w. membebaskan Abu al-’As dengan syarat dia mengizinkan Zainab berijrah ke Madinah di sisi ayahandanya.

Abu al-’As bersetuju dengan syarat Rasulullah s.a.w. Baliau berangkat pulang ke Mekah. Setelah tiba, dia menyuruh Zainab yang ketika itu sedang hamil bersiap sedia untuk berhijrah. Rasulullah s.a.w. mengutus Zaid bin Harithah dan seorang lelaki daripada kalangan al-Ansar supaya menunggu Zainab di Batn Ya’jaj kemudian mengiringinya hingga ke Madinah.
Ketika sedang membuat persiapan untuk berhijrah, Zainab dikunjungi oleh Hindun binti ’Utbah. Dia bertanya sama ada benar atau tidak Zainab hendak berhijrah. Zainab menafikannya. Namun Hindun tidak percaya, sebaliknya menawarkan pertulungan kepada Zainab sama ada wang atau barang-barang keperluan. Pertulungan yang ditawarkan memang diperlukan oleh Zainab, namun dia menolaknya kerana tidak yakin akan keikhlasan wanita itu.
Setelah selesai bersiap, iparnya Kinanah bin al-Rabi’ datang membawa seekor unta untuk dinaiki oleh Zainab. Dengan bersenjatakan panah, Kinanah mengheret unta yang ditunggangi Zainab membawanya keluar dari Mekah di waktu siang.
Apabila pihak Quraisy mengetahui keberangkatan Zainab dan iparnya, mereka rasa tercabar dan mengejar untuk menghalangnya. Orang yang pertama bertemu dengan Zainab ialah Hubar bin al-Aswad di Dzi Tuwa kemudian diikuti yang lain. Sedar akan dirinya dikejar musuh, Zainab yang berada di dalam sekedup di atas belakang unta terperanjat dan ketakutan sehingga gugur kandungannya. Kinanah melutut di hadapan unta dan menaburkan anak panahnya seraya berkata: ”Demi Allah! Siapa saja di antara kalian yang rapat, aku hadiahkannya sebatang panah ini!”.
Semua mereka tidak berani berbuat apa-apa sehingga datang Abu Sufyan bersama beberapa orang pembesar Quraisy. Abu Sufyan berkata: ”Wahai jejaka, simpan dulu panahmu! Mari kita berbincang!”
Kinanah meletakkan panahnya. Abu Sufyan menapak dan berhenti di hadapannya lantas berkata: ”Sesungguhnya tindakan kamu ini tidak tepat. Kamu membawa keluar seorang wanita secara terang-terang disaksikan oleh semua orang. Kamu tahu kekalahan dan kecelakaan yang menimpa kami serta apa yang dilakukan oleh Muhammad ke atas kami. Sekiranya kamu bertindak membawa anak perempuannya keluar secara terang-terangan sebegini, ditontoni semua manusia pasti mereka akan menyangka bahawa perkara ini disebabkan ketewasan yang menimpa kami dan ketidak upayaan kami menghalang kamu. Demi umurku, sesungguhnya kami tidak berhajat untuk menghalang wanita ini mendapatkan ayahnya. Bukan untuk itu kami berjuang. Tetapi aku meminta kamu bawalah wanita ini pulang. Apabila suara-suara telah reda, dan orang ramai tahu bahawa kami telah berjaya membawanya pulang, bawalah dia pergi menemui ayahnya secara bersembunyi”.
Kinanah menerima cadangan Abu Sufyan. Beberapa hari kemudian, apabila keadaan telah reda dia membawa Zainab keluar di waktu malam dan menyerahkannya kepada Zaid yang sedang menunggu di Batn Ya’jaj untuk dihantar ke rumah ayahandanya, Rasulullah s.a.w.
Tinggallah Zainab bersama ayahandanya di Madinah, manakala suaminya Abu al-’As menetap di Mekah.
Saat hampir tiba Fathu Makkah, Abu al-’As keluar berniaga di Syam dengan membawa modal dab barang-barangnya sendiri dan modal serta barang yang diamanahkan kepadanya oleh kaum Quraisy. Dalam perjalanan pulang, dia bertembung dengan pasukan tentera Islam. Semua harta dan barang-barang dagangannya tertawan tetapi dia sendiri terlepas. Abu al-’As menyusup masuk ke Madinah waktu tengah malam untuk mendapatkan kembali hartanya. Dia meminta Zainab melindunginya dan Zainab membenarkan dia bermalam di rumahnya.
Menjelang waktu Subuh, Rasulullah s.a.w. keluar untuk bersolat di masjid bersama kaum muslimin. Ketika Rasulullah s.a.w. sedang solat bersama para jamaah, mungkin atas rasa bersalah melindungi seorang musyrik atau tidak mahu Rasulullah s.a.w. dituduh bersubahat, Zainab melaungkan suara dari  saf wanita: ”Wahai sekelian manusia, sesungguhnya aku memberi perlindungan kepada Abu al-’As!”
Selesai solat, Rasulullah s.a.w. bertanya para jamaah, adakah mereka mendengar apa yang didengarnya? Mereka juga mendengar apa yang baginda dengar. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: ”Demi Tuhan yang jiwaku di TanganNya, sesungguhnya aku tidak mengetahui apa-apa sehinggalah aku mendengar suara yang kamu dengar sebentar tadi...” Kemudian baginda bergegas menemui Zainab. Baginda berkata kepadanya: ”Wahai puteriku, muliakanlah tempat tinggalnya tapi jangan biarkan dia mendekatimu. Sesungguhnya dia sekarang tidak halal bagimu”.
Rasulullah s.a.w. memanggil pasukan tentera yang menawan harta Abu al-’As. Baginda berkata kepada mereka maksudnya: ”Sesungguhnya lelaki ini adalah keluarga kami seperti yang kamu tahu. Kamu telah menawan hartanya. Sekiranya kamu bermurah hati memulangkan hartanya, itulah yang kami sukai. Sekiranya kamu enggan, maka itu adalah pemberian Allah kepada kamu dan kamu lebih berhak ke atasnya”.
Semua mereka bersetuju memulangkan semua harta dan barang-barang Abu al-’As. Abu al-’As membawa pulang ke Mekah semua harta itu dan memulangkan kepada mereka yang telah mengamanahkannya. Dia bertanya kepada kaum Quraisy adakah masih ada lagi harta mereka yang belum dipulangkan? Mereka menjawab, tidak ada sambil mengucapkan terima kasih di atas kejujuran dan kesetiaannya. Lalu beliau mengisytiharkan: Sesungguhnya aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah hambaNya dan RasulNya. Demi Allah tiada yang menghalang aku untuk memeluk Islam ketika berada di sisinya di Madinah melainkan aku takut kamu menuduh aku hendak makan harta kamu. Apabila Allah telah mengembalikannya kepada kamu  dan aku telah menyelesaikan tanggungjawabku, aku memilih memeluk Islam.
Abu al-’As terus berangkat meninggalkan Mekah menuju ke Madinah. Maka Rasulullah s.a.w. menyatukannya semula dengan isteri kesayangannya, Zainab binti Rasulullah s.a.w.

Pengajaran: Sehebat manapun cinta antara manusia, cinta Allah dan Rasul itulah yang lebih utama.

iii.                Ruqayyah binti Muhammad s.a.w.

Ruqayyah adalah puteri kedua selepas Zainab. Ummu Kultsum pula lahir selepas Ruqayyah. Ketika Ruqayyah dan Ummu Kultsum mendekati usia perkawinan, Abu Talib meminang mereka berdua untuk kedua putra Abu Lahab. Ruqayyah berkahwin dengan 'Utbah, dan Ummu Kultsum berkahwin dengan 'Utaibah.
Tidak lama setelah perkahwinan itu, Rasulullah s.a.w. diangkat menjadi Rasul. Abu Lahab yang sangat memusuhi Islam memerintahkan keuda-dua anak lelakinya agar menceraikan isteri-isteri mereka. Maka atas perintah bapa, ’Utbah dan ’Utaibah menceraikan isteri mereka, Ruqayyah dan Ummu Kultsum tanpa alasan. Setelah diceraikan oleh ’Utbah, Rasulullah s.a.w. mengahwinkan Ruqayyah dengan Utsman bin Affan ra.
Ruqayyah mengikuti rombong yang berhijrah ke Habasyah (Ethiopia) yang dipimpin oleh suaminya, Utsman bin Affan membawa 11 orang lelaki dan empat orang wanita.
Kemudian dia berhijrah ke Madinah selepas Rasulullah s.a.w. berhijrah.
Ketika Rasulullah s.a.w. bersiap-siap untuk berangkat menyekat kafilah Abu Sufyan, Ruqayyah jatuh sakit. Rasulullah s.a.w. menyuruh suaminya, Utsman bin Affan dan Usamah bin Zaid agar tetap tinggal di Madinah untuk merawatnya. Namun maut telah menjemput Ruqayyah ketika Rasulullah s.a.w. masih berada di medan Badar.
Usamah bin Zaid melaporkan: Kami menerima berita kemenangan Rasulullah s.a.w. dan kaum muslimin di dalam peperangan Badar ketika sedang mengebumikan Ruqayyah r.a. Rasulullah s.a.w. mewakilkan aku menjaga Ruqayyah bersama dengan Utsman bin Affan r.a.
Ketika membahagikan hasil rampasan perang Badar (ghanimah), Rasulullah s.a.w. telah memperuntukkan satu bahagian untuk Utsman. Semasa diberikan bahagiannya itu, Utsman r.a. bertanya: ”Bagaimana dengan pahala saya ya Rasulullah?” Baginda menjawab maksudnya: ”Dan engkau juga mendapat pahala yang sama dengan orang yang pergi berperang”.

Pengajaran: Atas alasan apa sekalipun, suami tidak harus mengabaikan kebajikan isteri.

iv.                Ummu al-Fadhl

Abu Rafi’, maula Rasulullah s.a.w. menceritakan: Saya adalah seorang hamba kepada al-’Abbas r.a. Cahaya Islam telah menerangi rumahnya ketika mana al-’Abbas memeluk Islam, diikuti Ummu al-Fadhl dan saya. Walau bagaimanapun, al-’Abbas r.a. menyembunyikan keislamannya.
Abu Lahab telah tidak ikut serta dalam peperangan Badar. Apabila mendengar kekalahan kaum musyrikin, kami rasa diri kami mendapat kekuatan dan kemuliaan. Saya seorang lelaki yang lemah. Pekerjaan saya membuat gayung di dalam bilik telaga Zamzam.
Ketika saya sedang duduk mengukir gayung, Ummu al-Fadhl duduk bersebelahan dengan saya. Hati kami melonjak gembira menerima berita kemenangan Rasulullah s.a.w. Tiba-tiba muncul Abu Lahab mengeret kakinya dan bertenggek dibirai bilik telaga Zamzam. Sedang kami duduk, terdengar riuh rendah suara menyebut nama Abu Sufyan bin al-Harith yang baru tiba dari medan perang. Abu Lahab memanggil Abu Sufyan agar menghampirinya seraya berkata: ”Mari ke mari! Demi umurku, pastinya kamu membawa berita yang menggembirakan!”
Abu Sufyan duduk di hadapan Abu Lahab dikerumuni orang ramai yang ingin mendengar perkhabaran yang dibawanya. Dengan termengah-mengah dia menceritakan: ”Sesungguhnya pertempuran itu benar-benar seperti kita menyerahkan bahu-bahu kita kepada mereka. Mereka membunuh kita sesuka hati mereka dan menawan kita semahu-mahunya. Tetapi demi Allah aku tidak menyalahkan puak kita. Sesungguhnya kita bertembung dengan para pahlawan yang berpakaian serba putih menunggang kuda yang berbelang bertebaran antara langit dengan bumi...”
Mendengar apa yang diceritakan oleh Abu Sufyan, saya tidak dapat mengawal diri  lalu bingkas bangun mengangkat tali bilik telaga Zamzam dan menjerit: ”Demi Allah, itu adalah malaikat!”
Maka dengan spontan Abu Lahab menumbuk mukaku sekuat tenaganya. Aku cuba melawan, namun dia lebih pantas menolakku hingga tersungkur ke bumi dan terus memukulku bertalu-talu.
Ummu al-Fadhl mencapai sebatang tiang lantas memukul Abu Lahab menyebabkan kepalanya luka parah. Dia berkata kepada Abu Lahab: ”Kamu berani menyerang lelaki yang lemah ketika tuannya tiada bersama!”
Abu Lahab mengundur pergi. Tujuh hari selepas itu lukanya semakin bernanah dan membusuk sehingga tiada siapa sanggup menghampirinya sampai dia mati.

Pengajaran: Wanita yang selalu dikatakan lemah, tidak bermakna iman dan semangatnya juga lemah.

v.                  Ar-Rabi’ binti An-Nadhar r.a.

Beliau merupakan ibu saudara kepada Anas r.a. Puteranya, Harithah bin Suraqah adalah orang yang pertama syahid dari kalangan tentera muslimin di dalam peperangan Badar al-Kubra. Ar-Rabi’ datang menemui Rasulullah s.a.w. dan bertanya: ”Ya Rasulullah, anda tentu mengetahui bagaimana kedudukan Harithah di dalam diri saya. Sekiranya tempatnya di syurga, maka saya akan bersabar dan memohon ganjaran pahala daripada Allah. Sekiranya tempatnya lain daripada syurga, maka anda akan saksikan apa tindakan saya!”. Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: ”Adakah syurga itu hanya satu sahaja? Sesungguhnya syurga itu bukan satu, dan sesungguhnya anakmu berada di dalam Syurga Firdaus!”

Pengajaran:  Ibu sentiasa inginkan kebaikan untuk anaknya. Dan tidak ada pemberian yang lebih berharga daripada syurga, iaitu dengan sentiasa memberi dorongan kepada anak-anak supaya pergi berjihad fi sabilillah.