Tuesday, February 19, 2019

MASYARAKAT RAHMAH YANG KITA IMPIKAN


Allah Ta’ala berfirman maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka…..” (At-Tahrim 66:6)

Ayat ini ditujukan kepada semua orang yang beriman, khususnya ketua keluarga. Arahannya jelas, iaitu pelihara diri dan keluarga dari neraka.

Bagaimana? Pastinya dengan menjauhi perkara-perkara yang boleh menjerumuskan seseorang ke dalam neraka.

Dan perkara-perkara itu dijelaskan dengan terperinci di dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Di dalam ayat di bawah dinyatakan beberapa perkara yang menyebabkan seseorang terhumban ke dalam neraka. Mari kita renungi:

“Tiap-tiap diri terikat, tidak terlepas daripada (balasan buruk bagi amal jahat) yang dikerjakannya,
Kecuali puak Kanan,
(Mereka ditempatkan) di dalam Syurga (yang penuh nikmat), mereka bertanya-tanya,
Tentang (tempat tinggal) orang-orang yang bersalah,
(Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): "Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?"
Orang-orang yang bersalah itu menjawab: "Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan solat;
"Dan kami tidak pernah memberi makan orang-orang miskin;
"Dan kami dahulu selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara yang salah, bersama-sama orang-orang yang memperkatakannya;
"Dan kami sentiasa mendustakan hari pembalasan,
"Sehinggalah kami didatangi oleh perkara yang tetap diyakini (mati)".

Ringkasnya, sebab mereka masuk neraka ialah:
1.     Tidak solat
2.     Tidak menolong orang susah
3.     Melibatkan diri di dalam aktiviti yang salah dan tidak berfaedah
4.     Tidak yakin kepada hari pembalasan di mana semua amalan yang dilakukan di dunia ini dicatat, dihitung dan dibalas dengan pembalasan yang adil dan setimpal.

Inilah di antara perkara yang setiap orang beriman wajib jauhi dan mempastikan ahli keluarganya menjauhkan diri.

Apakah kesannya jika semua orang beriman serta ahli keluarganya menjauhkan diri dari empat perkara di atas?

Kesan kepada individu, selamat dari api neraka dengan izinNya.
Kesan kepada masyarakat, masyarakat akan sejahtera dari ancaman jenayah serta gejala social yang merimaskan dan merisaukan semua pihak.

Orang miskin terbela. Mereka tidak terdesak untuk meminta-minta, mencuri, meragut atau sebagainya hanya semata-mata untuk memenuhi keperluan hidup.
Tiada fenomena lepak, membuang masa dengan membawang atau aktiviti-aktiviti yang tidak menguntungkan sama ada di dunia atau di akhirat.
Berkurangnya kezaliman, penipuan, penindasan, salah guna kuasa dan sebagainya sebab setiap orang yang beriman akan berfikir serta ingat balasan yang akan diterimanya di akhirat kelak.


Maka bertambah suburlah perasaan kasih sayang, kemesraan, saling membantu dan berkerjasama sesama anggota masyarakat di semua peringkat.

Saturday, February 16, 2019

TADABBUR : SUNNAH DI DALAM BERDAKWAH


“Dan berkatalah pula orang-orang yang kafir itu kepada Rasul-rasul mereka: "Demi sesungguhnya, kami akan mengeluarkan kamu dari negeri kami atau kamu menjadi seagama dengan kami". Lalu Tuhan wahyukan, kepada Rasul-rasulNya: "Demi sesungguhnya! Kami akan membinasakan orang-orang yang zalim.
"Dan demi sesungguhnya! kami akan tempatkan kamu di negeri itu sesudah binasanya kaum yang zalim itu; balasan baik yang demikian, adalah bagi orang-orang yang takut akan sikap keadilanKu (menghitung amalnya), dan takut akan janji-janji azabKu".

Satu daripada sekian banyak episode perjuangan rasul-rasul Allah di dalam usaha menyampaikan risalah dakwah kepada kaum mereka. Kehadiran mereka tidak disambut dengan hamparan permaidani merah. Sebaliknya mereka dicemuh, dicaci dan dimusuhi. Apabila mereka gagal menghentikan rasul dari dakwahnya, mereka akan menggunakan cara mengancam dan mengugut seperti yang digambarkan di dalam ayat di atas.

Mereka menolak bukan kerana mereka yakin bahawa mereka berada di pihak yang benar. Bukan kerana mereka mempunyai alasan yang kukuh untuk mematahkan hujjah yang dibawa oleh rasul-rasul mereka. Tetapi mereka menentang kerana kesombongan, tidak mahu menjadi pengikut, tidak bersedia untuk berubah kepada yang lebih baik. Justeru kita lihat, mereka memberi hanya dua pilihan kepada rasul: ikut kami atau berambus dari sini!!!

Namun, apapun rintangan dan halangan, apapun ugutan dan ancaman, ia hanya bersifat sementara. Sementara untuk Allah melihat dan menilai keimanan, kesungguhan dan keikhlasan rasul atau pendakwah, di samping memberi ruang dan masa yang mencukupi untuk mereka yang menentang dan menolak berfikir dengan waras dan matang agar dengan itu mereka akan menukar pendirian. Justeru, pendakwah tidak perlu gusar. Teruskanlah tugas menyampaikan risalah. Mereka yang keras menentang, mereka yang tidak mahu menerima, kesudahan mereka ditentukan oleh Allah (Demi sesungguhnya! Kami akan membinasakan orang-orang yang zalim!)

Dan untuk mereka yang ikhlas dalam berdakwah, yang takut kepada Allah semata-mata, yang berusaha menjauhi apa yang dimurkaiNya mereka pasti akan meraih kejayaan dan keuntungan yang hakiki sama ada di dunia atau di akhirat. Janji yang pasti.

Bekalan buat pendakwah:
1.     Yakin kepada janji Allah
2.     Ikhlas dalam menjalankan tugas
3.     Tsabat dan istiqamah
4.     Fahami Sunnah dalam perjuangan menegakkan kebenaran

5.     Sentiasa mengingati Allah dan mentadabbur KalamNya.

Saturday, February 09, 2019

MALU APA BOSSKU?!


Malu adalah satu daripada sifat terpuji atau sifat mahmudah yang dituntut oleh Islam. Ini kerana tanpa ada rasa malu manusia akan melakukan apa saja yang dia mahu.

Lantaran itulah malu dikira sebagai satu cabang daripada cabang-cabang iman. Di dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari, Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Iman mempunyai lebih daripada 70 cabang. Yang paling afdhal adalah ucapan la ilaha illa Allah. Dan yang paling rendah adalah menyingkirkan sesuatu yang menyakitkan dari jalan. Dan malu adalah satu cabang daripada iman.”

Di dalam hadis yang lain, Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Malu dan iman adalah pendamping satu sama lain. Apabila diangkat satu daripadanya, terangkatlah yang satu lagi.” (Sahih al-Jami’)

Wahab bin Munabbih berkata: Iman itu bogel. Pakaiannya adalah taqwa. Dan perhiasannya adalah malu.
Dikatakan juga: Sesiapa yang pakaiannya adalah malu, maka manusia tidak akan dapat melihat keaibannya.

Malu juga merupakan satu daripada sifat Allah sebagaimana dinyatakan di dalam sepotong hadis yang bermaksud: “Sesungguhnya Tuhan kamu itu Pemalu dan Pemurah. Dia malu kepada hambaNya apabila hambaNya menadah kedua tangan kepadaNya, Dia memulangkan tangan itu dalam keadaan kosong dan hampa.” Riwayat At-Tirmizi, Abu Daud, Ahmad dan al-Hakim.

Nabi Muhammad s.a.w. adalah seorang yang sangat pemalu. Abu Sa’eid al-Khudri r.a. berkata: “Adalah Rasulullah s.a.w. lebih pemalu daripada seorang dara yang berselindung di balik tabir. Apabila baginda melihat sesuatu yang tidak disukainya, kami dapat mengetahui perasaannya itu pada wajahnya.” Riwayat Ahmad.

Kini tular satu slogan yang diungkapkan oleh DS Najib sambil menunggung motosikal Yamaha Y150 dengan nombor pendaftaran '8O55KU'(BOSSKU): Malu Apa Bossku”!

Ungkapan itu mengingatkan kita kepada sepotong hadis yang dimuatkan oleh Imam an-Nawawi di dalam senarai Hadis 40nya (Hadis ke 20). Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesungguhnya sebahagian daripada ajaran yang masih dikenal umat manusia dari perkataan para Nabi terdahulu adalah: “Apabila kamu tidak malu, buatlah apa yang kamu mahu!.” Riwayat al-Bukhari

Menurut Imam an-Nawawi, hadis ini boleh ditafsirkan dengan dua tafsiran.
Pertama ia membawa maksud: jika kamu hendak melakukan sesuatu perbuatan yang tidak menimbulkan rasa malu kepada Allah dan tidak malu kepada manusia (kerana ia bukan perbuatan yang haram atau mungkar), maka lakukanlah. Tetapi jika perbuatan itu mendatangkan malu kepada Allah dan manusia, iaitu perbuatan yang ditegah dan dilarang, maka elakkanlah.
Jadi, berdasarkan tafsiran ini perintah “buatlah apa yang kamu mahu” di dalam hadis itu membawa maksud harus kerana perbuatan yang tidak dilarang oleh syara’ maka ia adalah harus.

Tafsiran kedua bermaksud: jika kamu tidak malu kepada Allah dan tidak merasai pemerhatianNya terhadapmu, maka berilah kepada dirimu semua keinginannya dan buatlah apa saja yang dia mahu!
Jadi, menurut tafsiran kedua ini perintah “buatlah apa yang kamu mahu” di dalam hadis itu membawa maksud ugutan dan ancaman. Ertinya: jika kamu tidak punya rasa malu, maka buatlah apa saja yang kamu suka tanpa mengira sama ada baik atau buruk, halal atau haram, menguntungkan atau merugikan, dipuji atau dikeji, membawa ke syurga atau ke neraka.

Demikianlah pentingnya sifat malu dalam neraca ajaran Islam. Ia bertindak sebagai pengawal yang menghalang mukmin dari melakukan sesuatu yang dilarang.

Sebagai satu iktibar, diceritakan bahawa seorang lelaki sedang berdua-duan dengan seorang wanita di waktu malam yang sepi. Lelaki itu cuba memujuk temannya untuk melakukan zina. Dia berkata: “Tidak ada sesiapa yang menyaksikan kita kecuali bintang-bintang di langit sana!”
Lantas wanita itu meningkah: “Habis tu, di manakah Pencipta bintang-bintang itu?”

Lantaran itu, timbul persoalan apakah ungkapan “malu apa bossku” yang dipopularkan DS Najib itu bermaksud mengajak kepada meninggalkan sifat malu yang dituntut oleh Islam? Allahu A’lam.


Sebagai peringatan untuk kita, berhati-hatilah selalu. Jangan mudah terpedaya dan terikut-ikut dengan apa yang terpampang di depan mata sama ada perkataan, perbuatan atau pemikiran. Fikir dahulu betul atau salah, baik atau buruk sebelum menelan dan menularnya.