Thursday, May 25, 2017

Marhaban ya Ramadan


Seluruh alam buana sedang ternanti-nanti ketibaan bulan mulia, bulan yang diberkati, bulan yang dilimpahi rahmah dan maghfirah, bulan di mana para mukminin dan mukminaat berlumba-lumba mengejar pahala, menggandakan amal ibadat dan menjauhi maksiat.

Marhaban ya Ramadan

Sesungguhnya Ramadan adalah lambang cinta ar-Rahman kepada makhlukNya, khususnya makhluk yang bernama manusia. Lantaran cintaNya kepada makhlukNya, maka Dia menyeru agar mereka menghiaskan diri dengan ciri-ciri yang disukai dan digemariNya. Bukankah bila kita sukakan seseorang, kita selalu ingin melihat dia berada dalam keadaan yang menyenangkan hati kita? 

Bukankah bila kita sukakan seseorang, kita selalu akan melakukan apa yang dia suka?
Allah sering menyebut di dalam Kitab SuciNya bahawa Dia cintakan orang yang bertaqwa (muttaqin), Dia cintakan orang yang sabar (sobirin), Dia cintakan orang yang berbuat kebaikan (muhsinin), Dia cintakan orang yang banyak bertaubat (tawwabin).

Kerana Allah cintakan kita, maka Allah mahu kita memiliki ciri-ciri hamba yang Dia cintai. Maka didatangkan kepada kita Ramadan, bulan yang dikhususkan untuk kita meraih ciri-ciri tersebut.
Dia mensyariatkan puasa untuk mentarbiah kita agar jadi orang yang bertaqwa, iaitu orang sentiasa takut kepada azab Allah dengan mematuhi segala suruhan dan menjauhi segala laranganNya.
Puasa tidak akan dapat disempurnakan tanpa kesabaran; sabar menahan lapar dan dahaga, sabar menahan nafsu yang menggoda, sabar menahan perasaan marah yang bergelora. Tanpa menahan diri daripada semua itu, maka puasa tidak mencapai tujuannya.

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - قَالَ  

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Puasa itu perisai. Maka apabila seseorang kamu berpuasa, janganlah dia mencarut dan berkelakuan bodoh. Sekiranya seseorang memeranginya atau mencelanya, maka hendaklah dia berkata: “Sesungguhnya aku berpuasa, sesungguhnya aku berpuasa!” Riwayat Abu Daud dan lain-lain.

Di dalam bulan Ramadan, ditambat syaitan-syaitan sebagaimana dinyatakan di dalam hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim. Ia bertujuan untuk memudahkan kita melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan tanpa kekangan, tanpa hasutan. Maka ruang kebaikan terbuka luas tanpa batasan. Buatlah kebaikan semaksimumnya sama ada kebaikan pada diri sendiri dengan membanyakkan solat, tilawah al-Quran, menambah ilmu dengan membaca atau menghadiri kuliah-kuliah pengajian dan sebagainya. Berbuat baik kepada sesama manusia seperti menziarahi orang sakit, bersedekah, mengajak berbuat perkara yang makruf, melarang kemungkaran, membantu orang yang kurang upaya dan banyak lagi. Tidak ketinggalan juga berbuat baik untuk agama seperti berdakwah,  menjelaskan kekeliruan dan membetulkan salah faham mengenainya dan lain-lain.

Dan Ramadan adalah bulan yang dijanjikan pengampunan dosa untuk orang yang berpuasa pada siang hari dan qiam pada malamnya. Justeru, mukmin mesti merebut peluang ini untuk memperbanyakkan istighfar dan bertaubat agar pintu taubat yang terbuka luas tidak dibiarkan kosong dan sepi.


Marilah kita sambut Ramadan yang penuh kebaikan ini dengan berusaha bersungguh-sungguh memperbaiki diri, ummah dan masyarakat agar menjadi hamba yang dicintai dan mencintai Allah Yang Maha Pengasih dan Penyayang dengan menghayati ciri-ciri yang disukaiNya: taqwa, sabar, ihsan dan taubat. Penghayatan ciri-ciri tersebut merupakan asas kepada tegaknya negara rahmah: negara tayyibah yang dilimpahi maghfirah. 

Monday, May 22, 2017

Muhasabah Menjelang Ramadan



عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ  . أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَقِيَ الْمِنْبَرَ ، فَقَالَ : آمِينَ ، آمِينَ ، آمِينَ ، فَقِيلَ لَهُ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، مَا كُنْتَ تَصْنَعُ هَذَا ؟ فَقَالَ : قَالَ لِي جِبْرِيلُ :  رَغِمَ أَنْفُ عَبْدٍ دَخَلَ  عَلَيْهِ رَمَضَانُ لَمْ يُغْفَرْ لَهُ ، فَقُلْتُ : آمِينَ ، ثُمَّ قَالَ : رَغِمَ أَنْفُ عَبْدٍ أَدْرَكَ أَبَوَيْهِ أَوْ أَحَدَهُمَا لَمْ يُدْخِلاهُ الْجَنَّةَ ، فَقُلْتُ آمِينَ ، ثُمَّ قَالَ : رَغِمَ أَنْفُ عَبْدٍ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيْكَ ، فَقُلْتُ ، آمِينَ .  .

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. menaiki minbar, lantas baginda berkata: “Aamiin, Aamiin, Aamiin!”
Baginda ditanya: “Ya Rasulullah, kenapa anda berbuat demikian?”
Baginda menjawab: “Jibril berkata kepadaku: “Celakalah seorang hamba yang memasuki bulan Ramadan, namun dosanya tidak diampunkan!” Maka aku berkata: “Aamiin”.
Kemudian dia berkata: “Celakalah seorang hamba yang sempat bersama kedua ibu bapanya atau salah seorang daripada keduanya, namun keduanya tidak menjadi sebab untuk dia masuk syurga.” Maka aku berkata: “Aamiin”.
Kemudian dia berkata: “Celakalah seorang hamba yang namaku disebut di sisinya tetapi dia tidak berselawat ke atasku.” Maka aku berkata: “Aamiin”.

Kata Sheikh al-Albani Hadis Hasan Sahih.

Sunday, May 14, 2017

Menanti Ramadan


Diceritakan bahawa seorang hamba perempuan baru berpindah dari satu keluarga kepada keluarga yang lain. Kebetulan ketika itu waktu hampir menjelang Ramadan. Dia mendapati ahli keluarga itu membuat persiapan yang hebat dengan menyediakan bekalan makanan dan sebagainya.
Dia bertanya, “untuk apa semua ini?”
Mereka menjawab, “kami membuat persiapan untuk berpuasa di bulan Ramadan.”
Dia berkata, “adakah kalian tidak berpuasa kecuali Ramadan? Sesungguhnya aku dahulu tinggal dengan satu keluarga di mana sepanjang tahun bagi mereka adalah Ramadan. Kembalikan aku kepada mereka!”

Mungkin inilah maksud ungkapan Dr Yusuf al-Qaradhawi, “Kunu Rabbaniyyin, wala takunu ramadhaniyyin”

“Jadilah kamu insan rabbani, jangan jadi insan ramadhani! (beribadah hanya dalam bulan ramadan sahaja)” 

Sunday, May 07, 2017

Harapan seorang da’ei (pendakwah)



Selepas perjanjian Hudaibiah, al-Walid bin al-Walid, saudara kepada Khalid bin al-Walid memeluk Islam.

Ketika Rasulullah s.a.w. datang ke Mekah untuk menyelesaikan umrah qadha’ baginda bertanya al-Walid: “Di manakah Khalid?”
Al-Walid menjawab: “Dia akan dibawa datang oleh Allah...”
Lalu Nabi s.a.w. bersabda: “Tidak patut orang sepertinya jahil tentang Islam! Kalaulah dia meletakkan ketangkasannya menewaskan musuh bersama kaum muslimin dalam menewaskan kaum musyrikin, pastinya itu lebih baik untuknya. Dan kami akan meletakkannya di hadapan memimpin yang lain.”

Mendengar kata-kata Nabi s.a.w. itu, al-Walid segera mencari saudaranya Khalid, namun tidak bertemu. Dia meninggalkan sepucuk surat yang dituliskan: “Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Sesungguhnya aku tidak bertemu dengan sesuatu yang lebih aneh daripada hilangnya fikiranmu dari Islam. Aku tidak menemui seseorang yang akalnya lebih aneh daripada akalmu. Aku tidak menemui sesuatu yang lebih aneh daripada orang yang jahil tentang Islam! Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah menanyaiku tentangmu. Baginda berkata: “Di manakah Khalid? Tidak patut orang sepertinya jahil tentang Islam! Kalaulah dia meletakkan ketangkasannya menewaskan musuh bersama kaum muslimin dalam menewaskan kaum musyrikin, pastinya itu lebih baik untuknya. Dan kami akan meletakkannya di hadapan memimpin yang lain.” Maka segeralah saudaraku, menangkap apa yang selama ini telah terlepas daripadamu! Sesungguhnya berapa banyak tempat-tempat yang baik telah luput daripadamu”

Surat saudaranya itu dibaca dengan gembira tak terkata. Kata-kata Nabi s.a.w. benar-benar berkesan di jiwanya. Keinginannya memeluk Islam membuak-buak. Dia segera berangkat ke Madinah untuk menemui Rasulullah s.a.w. dan memeluk Islam.

Kedatangan Khalid untuk memeluk Islam pada tahun ke lapan hijrah, enam bulan sebelum pembukaan Mekah dan dua bulan sebelum Ghazwah Mu’tah bersama dua orang rakannya Uthman bin Talhah dan Amru bin al-‘Aas disifatkan oleh Nabi s.a.w. dengan kata-kata: “Mekah telah membalingkan kamu dengan buah hati mereka!”.



Pengajarannya, pendakwah mesti melihat logam-logam berharga di kalangan mereka yang belum Islam. Tidak jemu berusaha mengajak dan memberi penerangan sehingga akhirnya Allah buka pintu hidayahnya dan mereka menjadi sebahagian daripada pejuang Islam yang unggul.