Tuesday, April 28, 2009

Al-Quran dan Bakul Arang



Di sebuah dusun berhampiran sebatang sungai yang jernih, seorang lelaki tua tinggal bersama seorang cucu yang masih kecil. Setiap pagi, selepas solat subuh dia duduk di atas kerusi di hadapan meja makan sambil menjerang air. Sementara menuggu air mendidih dia membaca al-Quran dengan tartil.

Cucunya ingin menjadi seperti datuknya dan meniru apa saja yang dilakukan oleh datuknya. Setiap pagi dia bangun awal. Selepas solat subuh dia duduk di sisi datuknya dan membaca al-Quran.

Suatu hari, cucu bertanya datuk:
Cucu: Tuk, setiap pagi Cu baca al-Quran seperti yang Tuk lakukan, tapi Cu banyak tak faham apa yang Cu baca. Kadang-kadang ada sedikit yang Cu faham, tapi bila Cu tutup al-Quran Cu lupa apa yang dibaca dan difahami sebentar tadi. Kalau macam tu, apa guna Cu baca al-Quran?

Datuk mendengar luahan hati cucu dengan tenang sambil menambah beberapa ketul arang ke dalam tungku. Kemudian dia berpaling ke arah cucu seraya menjawab. Di tangannya sebuah bakul usang bekas dia mengisi arang.
Datuk: Ambil bakul arang yang kosong ni, bawa ke sungai, isikan air ke dalamnya sampai penuh kemudian bawa balik kepada Tuk di rumah.

Cucu lakukan apa yang disuruh datuk tanpa soal. Alangkah terperanjatnya dia mendapati air yang diisi meleleh keluar dari bakul sebelum dia tiba ke rumah.

Datuk hanya tersenyum sambil berkata:
Datuk: Mungkin Cu jalan perlahan sangat. Cuba jalan laju sikit.

Sekali lagi cucu cuba lakukan apa yang dipinta datuknya. Namun hasilnya tetap sama. Dia tidak berjaya membawa sebakul air kepada datuk. Dengan nada marah dia berkata:
Cucu: Tak mungkin Cu boleh bawa air kepada Tuk dengan bakul ni. Sekarang Cu nak ambil baldi dan isi air untuk Tuk.
Datuk: Tuk tak minta sebaldi air, yang Tuk minta sebakul air. Mungkin Cu belum usaha bersungguh-sungguh.

Datuk pergi ke sungai bersama cucu untuk mempastikan cucu telah lakukan dengan betul apa yang disuruhnya. Datuk meminta supaya cucu mencedok air dengan bakul arang yang ada di tangannya. Cucu yakin bahawa usahanya akan sia-sia. Dia akan buktikan kepada datuk apa yang diyakininya supaya datuk lihat dengan matanya sendiri. Cucu memasukkan bakul ke dalam air dan mengangkatnya. Tepat seperti apa yang diyakininya, air meleleh keluar dan tiada sedikitpun yang tinggal di dalam bakul. Dengan tercungap-cungap dia berkata kepada datuk sambil menunjukkan bakul yang kosong,
Cucu: Lihat ni! Cu dah kata, tiada faedah.
Datuk: Cu yakin usaha yang Cu lakukan tiada faedah? Mari sini! Cuba perhatikan bakul ini betul-betul! Bukankah bakul ini telah bersih luar dan dalam? Habuk-habuk dan kesan-kesan arang yang hitam semuanya telah hilang.

Cucu perhatikan bakul yang masih terpegang di tangannya. Betul kata Tuk. Bakul ni dah bersih. Bisik hatinya. Belum sempat dia meluahkan persoalan yang berligar di benaknya, datuk menyambung bicara,
Datuk: Itulah bandingannya jika kita baca al-Quran. Mungkin kita tidak faham atau tidak ingat apa yang kita faham. Namun kesannya tetap ada. Ia membersihkan hati dan jiwa kita, menyucikan diri kita dari dosa luar dan dalam.

Thursday, April 23, 2009

Seorang Mulhid Memeluk Islam Selepas Membaca Al-Quran.



Banyak ayat yang menjadi sebab seorang yang dulunya kafir memeluk Islam. Hal sebegini berlaku sejak zaman permulaan Islam sehingga ke hari ini. Dari masa ke masa kita temui pelbagai kisah menarik bagaimana seorang musyrik mendapat hidayah lalu memeluk Islam.

Kisah yang akan dipaparkan di sini adalah mengenai seorang mulhid (orang yang tidak percaya kewujudan Tuhan) yang sangat-sangat benci kepada agama dan tidak percaya sama sekali kepada Tuhan. Dia sering mengejek dan mempersendakan orang-orang yang beriman. Katanya: Kalau betul Allah itu wujud, kenapa Dia tidak muncul dan menunjukkan diriNya?

Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui telah memberikan satu pengajaran yang cukup berkesan terhadap kesombongan hamba yang dungu dan degil itu.

Pada suatu malam dia didatangi mimpi yang tak terduga. Dia lemas dipukul ombak di lautan yang bergelora. Dalam kecemasan berhadapan dengan kematian, tiba-tiba dia menjerit memanggil: Oh Tuhan!
Jeritan kuat yang terpantul dari mulutnya sendiri itu membuat dia terjaga. Seluruh tubuhnya menggeletar luar dan dalam, lahir dan batin. Perasaan hairan menyelinap ke dalam fikirannya, bagaimana mungkin dia memanggil Tuhan sedangkan dia seorang yang tidak pernah percaya kepada Tuhan?

Malam berikutnya dia didatangi mimpi yang sama dan berlaku seperti malam pertama. Dia mula resah dan diserang perasaan takut dan panic. Akhirnya dia bertekad untuk membaca al-Quran.
Mulalah dia membaca al-Quran dengan penuh minat. Apabila tiba satu ayat,
وَإِذَا مَسَّكُمُ ٱلضُّرُّ فِى ٱلۡبَحۡرِ ضَلَّ مَن تَدۡعُونَ إِلَّآ إِيَّاهُ‌ۖ فَلَمَّا نَجَّٮٰكُمۡ إِلَى ٱلۡبَرِّ أَعۡرَضۡتُمۡ‌ۚ وَكَانَ ٱلۡإِنسَـٰنُ كَفُورًا
Yang bermaksud: “Dan apabila kamu terkena bahaya di laut, (pada saat itu) hilang lenyaplah (dari ingatan kamu) makhluk-makhluk yang kamu seru selain dari Allah; maka apabila Allah selamatkan kamu ke darat, kamu berpaling tadah (tidak mengingatiNya); dan memanglah manusia itu sentiasa kufur (akan nikmat-nikmat Allah)”. (Al-Isra’ 17:67)
dia benar-benar terpukau. Fikirannya diselubungi tanda tanya bagaimana kata-kata ini boleh dikeluarkan oleh seorang manusia lebih 1400 tahun lalu, pada hal dia (Muhammad SAW) hidup di padang pasir, tidak pernah belayar di dalam laut? Bagaimana dia tahu keadaan yang dialami oleh orang yang hampir lemas serta dapat menceritakan dengan begitu tepat sekali?

Maka tiada lagi alasan kecuali akur kepada jawapan yang lahir dari fitrahnya sendiri. Kitab ini tidak mungkin ditulis oleh manusia, apa lagi seorang yang buta huruf seperti Muhammad. Jadi dari manakah datangnya kitab suci ini kalau tidak dari Tuhan Yang Maha Mengetahui yang cuba dipadamkan dari fitrahnya selama ini?

Leburlah segala kesombongan. Lenyaplah kekufuran. Dia tunduk, akur kepada kebenaran. Sesungguhnya tiada Tuhan yang layak dan berhak diimani dan disembah kecuali Allah.

Sahabat, usah keberatan untuk menghadiahkan kawan yang belum Islam senaskhah al-Quran (pastinya yang mengandungi makna dalam bahasa yang difahami kawan itu). Siapa tahu hadiah itu menjadi sebab dia mendapat hidayah dan memeluk Islam? Andai benar terjadi anda akan mengutip pahala yang lebih baik daripada dunia dan segala isinya!

Kisah di atas dipetik dari laman web: http://kaheel7.com

Anak-anak kekal agama asal walaupun salah seorang ibu bapa bertukar agama

23/04/2009 2:04pm
Tajuk berita yang sungguh memeranjatkan dan membingungkan saya. Dengan penuh debaran saya membaca berita yang terpapar di dalam Utusan Online….

KUALA LUMPUR 23 April – Mesyuarat Jemaah Menteri semalam telah membuat keputusan bahawa anak-anak kekal menganut agama asal walaupun salah seorang ibu atau bapa mereka memeluk agama lain.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, mesyuarat itu juga membuat ketetapan bahawa penceraian tidak akan berlaku secara automatik walaupun salah seorang telah memeluk agama Islam.
"Kabinet juga memutuskan segala isu berkaitan penjagaan anak-anak dan penceraian perlulah diselesaikan di mahkamah sivil dan bukannya mahkamah syariah," katanya pada sidang akhbar di Bangunan Parlimen di sini hari ini.
Selaras dengan keputusan itu, Jabatan Peguam Negara akan diarahkan membuat pindaan terhadap undang-undang yang berkaitan bagi memastikan segala keputusan Kabinet itu dapat dikuatkuasakan dengan berkesan.
Beliau berkata, pihak peguam negara juga akan diarahkan memaklumkan perkara itu pada negeri-negeri bagi membolehkan mereka membuat pindaan yang sama terhadap undang-undang syariah. - Utusan

Saya segera berlari ke rak buku, mencari beberapa naskhah kitab fikah untuk mengetahui hukum Islam mengenai perkara tersebut.
1. Agama anak.
a. Jika kedua ibu bapa muslim, maka anak-anak adalah muslim tanpa khilaf (tiada perbezaan pendapat di kalangan ulamak semua mazhab)
b. Jika kedua ibu bapa bukan muslim, maka anak-anak mereka juga bukan muslim tanpa khilaf.
c. Jika kedua ibu bapa bukan muslim memeluk Islam, maka anak-anak juga menjadi muslim.
d. Jika salah seorang daripada kedua ibu bapa bukan muslim memeluk Islam, maka agama anak mereka adalah Islam. Ini juga disepakati semua mazhab, Hanafiy, Malikiy, Syafi’iy, Hanbaliy dan Zhohiriy.
e. Jika salah seorang daripada kedua ibu bapa muslim atau kedua-duanya murtad, maka anak-anak mereka kekal muslim tanpa khilaf.
2. Suami isteri berlainan agama.
a. Apabila suami isteri bukan muslim memeluk Islam, maka ikatan perkahwinan mereka kekal sah jika kedua-duanya adalah halal berkahwin (bukan mahram) tanpa melihat cara perkahwinan yang mereka lakukan semasa berada di dalam agama yang mereka anuti. Ertinya selagi cara perkahwinan itu dikira sah di sisi agama asal mereka, maka Islam terima sebagai sah.
b. Jika salah seorang daripada suami isteri memeluk Islam, apakah hukum perkahwinan mereka? Terdapat beberapa pandangan ulamak mengenai hal ini.
i. Mazhab Zhohiriy: Sekiranya isteri memeluk Islam, maka terfasakhlah perkahwinan mereka pada saat isteri memeluk Islam, sama ada suami memeluk Islam selepas itu atau tidak. Walaupun sekiranya suami memeluk Islam sekelip mata selepas isterinya. Tidak ada lagi hak suami ke atas isteri kecuali dengan kerelaannya. Sekiranya suami memeluk Islam sedangkan isterinya Ahli Kitab, maka perkahwinan mereka kekal sama ada isteri memeluk Islam atau tidak. Jika isteri bukan Ahli Kitab, maka perkahwinan mereka terfasakh saat suami memeluk Islam.
ii. Mazhab Syafi’iy, Hanbaliy dan Ja’fariy: Jika salah seorang memeluk Islam sebelum berlaku persetubuhan antara keduanya, maka terfasakh nikah serta merta. Jika salah seorang memeluk Islam selepas berlaku persetubuhan, maka ikatan perkahwinan terputus selepas tempoh iddah. Ertinya setelah salah seorang memeluk Islam, keduanya mesti dipisahkan. Sekiranya dalam masa iddah, pihak yang belum Islam itu ikut memeluk Islam, maka kedua-duanya disatukan atas perkahwinan asal (tanpa perlu aqad yang baru). Jika tidak, maka terputuslah perkahwinan mereka.
iii. Mazhab Malikiy: Jika isteri memeluk Islam sebelum berlaku persetubuhan antara keduanya, maka ikatan perkahwinan terputus serta merta. Jika isteri memeluk Islam selepas berlaku persetubuhan, kemudian suami ikut memeluk Islam sebelum tamat iddah, maka keduanya disatukan atas nikah yang asal dengan syarat keduanya bukan mahram. Jika suami tidak ikut memeluk Islam dalam tempoh iddah, maka terputuslah perkahwinan mereka. Suami tidak ditawarkan supaya mengikuti isterinya memeluk Islam. Kecuali dia memeluk Islam atas kehendaknya sendiri.
Jika suami yang memeluk Islam sebelum berlaku persetubuhan antara keduanya, maka ikatan perkahwinan mereka terputus serta merta. Jika suami memeluk Islam selepas berlaku persetubuhan antara keduanya, maka ditawarkan isteri agar memeluk Islam. Sekiranya dia terima, maka mereka kekal sebagai suami isteri. Jika tidak, terputuslah ikatan perkahwinan mereka.
iv. Mazhab Hanafiy: Jika salah seorang memeluk Islam, maka diberi tawaran kepada pasangannya agar memeluk Islam. Jika dia terima, maka kekallah ikatan perkahwinannya. Jika tidak maka qadhi hendaklah memutuskan ikatan perkahwinan mereka.
Setiap pandangan yang dikemukakan masing-masing ada dalil dan hujjahnya yang boleh dirujuk.
(Rujukan: Al-Mufassol fi Ahkam al-Mar’ah, Abdul Karim Zaidan, jld 9, hal 93 – 100 dan 442 – 447)

Berdasarkan pandangan ulamak pelbagai mazhab, maka keputusan Jemaah Menteri di dalam mesyuarat mereka semalam, anak-anak kekal menganut agama asal walaupun salah seorang ibu atau bapa mereka memeluk agama lain, sangat-sangat membimbangkan. Kalau kedua ibu bapa bukan penganut Islam, kemudian salah seorang bertukar agama bukan Islam juga, tidak jadi masalah kepada kita. Namun sekiranya salah seorang memilih untuk menganut Islam, apa terjadi pada anak itu?

Begitu juga ketetapan bahawa penceraian tidak akan berlaku secara automatik walaupun salah seorang telah memeluk agama Islam, pandangan manakah yang diterima pakai dan apa alasannya?

Wednesday, April 22, 2009

Rahsiah Ungkapan (لا إله إلا الله)

TIADA TUHAN (YANG SEBENARNYA BERHAK DISEMBAH) MELAINKAN ALLAH

Susunan angka-angka yang memukau membongkar rahsia Kalimah Tauhid

(لا إله إلا الله) adalah sebaik-baik kalimah, semulia-mulia ungkapan, seindah-indah susunan. Tiada yang seumpama atau yang serupa dengannya, baik dari segi bahasa atau maknanya.

(لا إله إلا الله) adalah Kalimah Tauhid, Kalimah Ikhlas yang diseru oleh seluruh para Nabi dan Rasul sejak dahulu hingga kini dan selamanya.

(لا إله إلا الله) adalah kunci pintu syurga. Sesiapa yang akhir kalamnya di dunia ini (لا إله إلا الله) akan masuk syurga.

Lantaran itu Allah telah menyusun ungkapan ini dengan huruf-huruf yang menunjukkan keesaanNya dan menunjukkan bahawa Dialah Pencipta 7 lapis langit dan segala-galanya!

Susunan (لا إله إلا الله) Yang Penuh Mukjizat

Ungkapan yang Maha Agung ini disusun dengan menggunakan tiga huruf sahaja: alif, lam dan ha (الألف واللام والهاء)

Di sini sudah ketara kehebatan ungkapan ini. Apakah ada di kalangan manusia yang mampu menyusun satu ungkapan kata yang mengandungi makna yang cukup besar dengan hanya menggunakan tiga huruf sahaja?

Dari segi bahasa, dalam mana-mana bahasa sekalipun tidak akan ada satu ungkapan yang mengandungi makna yang besar disusun dengan menggunakan tiga huruf selain daripada ungkapan (لا إله إلا الله)

Inilah yang dikatakan sebagai mukjizat dari sudut bahasa.

Huruf kalimah (الله) itu sendiri itulah juga huruf (لا إله إلا الله)
Perhatikan kalimah atau perkataan(الله) juga terdiri dari tiga huruf, iaitu alif, lam dan ha (الألف واللام والهاء)

Ertinya Allah SWT menggunakan huruf-huruf yang ada pada NamaNya (الله)
untuk menyusun satu ungkapan yang menunjukkan hakikat DiriNya. Bukankah ini merupakan satu mukjizat yang sangat besar?

Itu sedutan daripada buku saya yang baru terbit minggu lepas.
Terdapat banyak lagi rahsia yang tersingkap di sebalik ungkapan Kalimah Tauhid yang maha agung itu. Rahsia hebat yang menjadi bukti kebenaran dan kebijaksanaan Allah Yang Maha Esa.
Anda berminat?
Sila email ke alamat:
maznah.daud@gmail.com

Sunday, April 19, 2009

DO'A

Dilantunkan oleh K.H. Rahmat Abdullah pada Deklarasi Partai
Keadilan
Lapangan Masjid Agung Al-Azhar Jakarta, 09 Agustus 1998, yang
diiringi oleh tetesan air mata hadirin.


Ya ALLAH, berikan taqwa kepada jiwa-jiwa kami dan sucikan dia.
Engkaulah sebaik-baik yang, mensucikannya.
Engkau pencipta dan pelindungnya
Ya ALLAH, perbaiki hubungan antar kami
Rukunkan antar hati kami
Tunjuki kami jalan keselamatan
Selamatkan kami dari kegelapan kepada terang
Jadikan kumpulan kami jama'ah orang muda yang menghormati orang
tua
Dan jama'ah orang tua yang menyayangi orang muda
Jangan Engkau tanamkan di hati kami kesombongan dan kekasaran
terhadap sesama hamba beriman
Bersihkan hati kami dari benih-benih perpecahan, pengkhianatan dan
kedengkian
Ya ALLAH, wahai yang memudahkan segala yang sukar
Wahai yang menyambung segala yang patah
Wahai yang menemani semua yang tersendiri
Wahai pengaman segala yang takut
Wahai penguat segala yang lemah
Mudah bagimu memudahkan segala yang susah
Wahai yang tiada memerlukan penjelasan dan penafsiran
Hajat kami kepada-Mu amatlah banyak
Engkau Maha Tahu dan melihatnya
Ya ALLAH, kami takut kepada-Mu
Selamatkan kami dari semua yang tak takut kepada-Mu
Jaga kami dengan Mata-Mu yang tiada tidur
Lindungi kami dengan perlindungan-Mu yang tak tertembus
Kasihi kami dengan kudrat kuasa-Mu atas kami
Jangan binasakan kami, karena Engkaulah harapan kami
Musuh-musuh kami dan semua yang ingin mencelakai kami
Tak akan sampai kepada kami, langsung atau dengan perantara
Tiada kemampuan pada mereka untuk menyampaikan bencana kepada
kami
"ALLAH sebaik baik pemelihara dan Ia paling kasih dari segala
kasih"
Ya ALLAH, kami hamba-hamba-Mu, anak-anak hamba-Mu
Ubun-ubun kami dalam genggaman Tangan-Mu
Berlaku pasti atas kami hukum-Mu
Adil pasti atas kami keputusan-Mu
Ya ALLAH, kami memohon kepada-Mu
Dengan semua nama yang jadi milik-Mu
Yang dengan nama itu Engkau namai diri-Mu
Atau Engkau turunkan dalam kitab-Mu
Atau Engkau ajarkan kepada seorang hamba-Mu
Atau Engkau simpan dalam rahasia Maha Tahu-Mu akan segala ghaib
Kami memohon-Mu agar Engkau menjadikan Al Qur'an yang agung
Sebagai musim bunga hati kami
Cahaya hati kami
Pelipur sedih dan duka kami
Pencerah mata kami
Ya ALLAH, yang menyelamatkan Nuh dari taufan yang
menenggelamkan dunia
Ya ALLAH, yang menyelamatkan Ibrahim dari api kobaran yang
marak menyala
Ya ALLAH, yang menyelamatkan Musa dari kejahatan Fir'aun dan
laut yang mengancam nyawa
Ya ALLAH, yang menyelamatkan Isa dari Salib dan pembunuhan
oleh kafir durjana
Ya ALLAH, yang menyelamatkan Muhammad alaihimusshalatu
wassalam dari kafir Quraisy durjana, Yahudi pendusta, munafik
khianat, pasukan sekutu Ahzab angkara murka
Ya ALLAH, yang menyelamatkan Yunus dari gelap lautan, malam,
dan perut ikan
Ya ALLAH, yang mendengar rintihan hamba lemah teraniaya
Yang menyambut si pendosa apabila kembali dengan taubatnya
Yang mengijabah hamba dalam bahaya dan melenyapkan prahara
Ya ALLAH, begitu pekat gelap keangkuhan, kerakusan dan dosa
Begitu dahsyat badai kedzaliman dan kebencian menenggelamkan
dunia
Pengap kehidupan ini oleh kesombongan si durhaka yang membuat-
Mu murka
Sementara kami lemah dan hina, berdosa dan tak berdaya
Ya ALLAH, jangan kiranya Engkau cegahkan kami dari kebaikan
yang ada pada-Mu karena kejahatan pada diri kami
Ya ALLAH, ampunan-Mu lebih luas dari dosa-dosa kami
Dan rahmah kasih sayang-Mu lebih kami harapkan daripada amal
usaha kami sendiri
Ya ALLAH, jadikan kami kebanggaan hamba dan nabi-Mu
Muhammad SAW di padang mahsyar nanti
Saat para rakyat kecewa dengan para pemimpin penipu yang
memimpin dengan kejahilan dan hawa nafsu
Saat para pemimpin cuci tangan dan berlari dari tanggung jawab
Berikan kami pemimpin berhati lembut bagai Nabi yang menangis
dalam sujud malamnya tak henti menyebut kami, ummati ummati,
ummatku ummatku
Pemimpin bagai para khalifah yang rela mengorbankan semua
kekayaan demi perjuangan
Yang rela berlapar-lapar agar rakyatnya sejahtera
Yang lebih takut bahaya maksiat daripada lenyapnya pangkat dan
kekayaan
Ya ALLAH, dengan kasih sayang-Mu Engkau kirimkan kepada kami
da'i penyeru iman
Kepada nenek moyang kami penyembah berhala
Dari jauh mereka datang karena cinta mereka kepada da'wah
Berikan kami kesempatan dan kekuatan, keikhlasan dan kesabaran
Untuk menyambung risalah suci dan mulia ini
Kepada generasi berikut kami
Jangan jadikan kami pengkhianat yang memutuskan mata rantai
kesinambungan ini
Dengan sikap malas dan enggan berda'wah
Karena takut rugi dunia dan dibenci bangsa


Sumber: http://hdn.edu.ms

Lelaki Hanya Memiliki Satu Hati (qalbu*)



Di dalam sebuah dewan kuliah, seorang pensyarah sedang penyampaikan syarahan mengenai al-Quran.
Baliau menegaskan bahawa al-Quran merupakan kitab suci yang paling sempurna dalam serba serbi. Tidak ada siapa yang boleh mencabar kesempurnaan dan ketulinannya. Setiap patah perkataan dan setiap ayat mengandungi makna dan hikmah yang tidak boleh diragui dan dipertikaikan lagi.
Seorang pelajar non muslim tiba-tiba bangun dan membantah kenyataan pensyarah tersebut. Beliau berkata, terdapat ayat al-Quran yang tidak betul dan boleh dipersoalakan. Sebagai contoh ayat 4 surah al-Ahzab:
مَّا جَعَلَ ٱللَّهُ لِرَجُلٍ۬ مِّن قَلۡبَيۡنِ فِى جَوۡفِهِۦ‌ۚ
Maksudnya: ”Allah tidak sekali-kali menjadikan seorang lelaki itu mempunyai dua hati (jantung) dalam rongga dadanya..”
Kenapa disebut lelaki, bukan manusia? Sedangkan kita tahu bahawa semua manusia tak kira lelaki atau wanita memiliki satu jantung. Bukan lelaki sahaja. Jadi kenapa di dalam ayat ini menyebut lelaki sahaja?
Seluruh dewan dibungkus sepi. Para pelajar berpandangan sesama sendiri. Pensyarah menundukkan kepala, mencari idea, memikir jawapan yang paling tepat dan berhikmah. Silap-silap pelajar yang muslim pun boleh terpesong akidah dan yang non muslim semakin sukar untuk didekatil.
Akhirnya pensyarah bersuara memecahkan kesepian:
Memang betul hanya lelaki sahaja yang mempunyai satu jantung di dalam badannya. Perempuan mungkin ada yang memiliki dua jantung, iaitu ketika dia mengandung, maka di dalam badannya terdapat dua jantung.
*Perkataan qalbu dalam Bahasa Arab sering diterjemahkan sebagai hati. Namun jika merujuk aspek fizikal, perkataan qalbu bermakna jantung atau dalam bahasa Inggeris haert. Manakala hati atau dalam bahasa Inggeris liver, dalam bahasa Arab disebut kibdah.

Wednesday, April 08, 2009

Doa Ketika Sujud


Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
"أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ".
Maksudnya: “Seseorang hamba paling hampir dengan Tuhannya ialah ketika ia sujud. Maka hendaklah kamu membanyakkan doa ketika sujud”.
Riwayat Muslim, Abu Daud, al-Nasa’iy, Ahmad, Ibn Hibban dan al-Baihaqiy.

Di dalam kitab Syarah Sahih Muslim, Imam al-Nawawi berkata: maksud Hadis ini ialah:
 Paling hampir dengan Tuhan bererti paling hampir dengan rahmat dan kurniaNya
 Galakan supaya membanyakkan doa ketika sujud
 Dalil yang menguatkan pendapat mereka yang berkata sujud adalah yang paling afdhal berbanding rukun-rukun solat yang lain.

KELEBIHAN BERZIKIR


Daripada Umm Hani’ RA, dia berkata: “Pada suatu hari, Rasulullah SAW melintasi rumah saya. Saya berkata kepada baginda: “Ya Rasulullah, sesungguhnya usiaku telah lanjut dan aku tidak kuat lagi. Maka ajarkanlah aku amalan yang boleh aku lakukan dalam keadaan duduk!”
Baginda bersabda maksudnya:
• Bertasbilah 100 kali. Ganjarannya menyamai memerdekakan 100 orang hamba dari anak Ismail.
• Bertahmidlah 100 kali. Ganjarannya menyamai 100 ekor kuda terlatih yang engkau bawa berjihad pada jalan Allah.
• Bertakbirlah 100 kali. Ganjarannya menyamai 100 ekor unta yang engkau kurban dengan ikhlas.
• Bertahlillah 100 kali. Ganjarannya memenuhi antara langit dengan bumi.
Dan tidak diangkat amalan seseorang pada hari itu lebih baik daripada amalanmu kecuali seseorang yang melakukan amalan yang serupa denganmu.

Riwayat Ahmad dan al-Baihaqiy. Diakui sebagai Hadis Hasan oleh al-Albaniy.

Sunday, April 05, 2009

Wanita Islam Menunaikan Haji / Umrah Sunat Tanpa Mahram

Pendahuluan
Islam adalah agama sejahtera yang membawa rahmat dan keadilan kepada seluruh umat manusia, khususnya mereka yang beriman.
Islam sangat menitik beratkan keselamatan dan kesejahteraan umatnya dalam semua aspek; nyawa, harta dan maruah.
Antara bukti yang menunjukkan Islam mementingkan keselamatan umatnya ialah larangan terhadap kaum wanita bermusafir bersendirian tanpa ditemani mahram atau suami. Setengah kalangan menganggap larangan ini merupakan satu bentuk diskriminasi terhadap wanita dan bukti yang menunjukkan Islam memandang rendah terhadap kaum wanita serta mengongkong kebebasan mereka.
Namun hakikatnya mereka tidak memahami atau sengaja tidak mahu memahami bahawa di sepanjang sejarah kemanusiaan, hatta dalam zaman yang dikatakan maju dan bertamadun sekarang wanita tidak pernah mendapat pembelaan yang sewajarnya. Wanita sering terdedah kepada pelbagai ekploitasi sampai ke tahap meruntuhkan nilai-nilai kemanusiaan sejati atas nama kemajuan, persamaan dan sebagainya. Hanya Islam yang benar-benar mengangkat darjat wanita dan meletakkan diri mereka di tempat yang mulia sama dengan lelaki.

Wanita dan Ibadah
Ulamak bersepakat bahawa wanita ditaklifkan hukum-hukum Syara’ sama seperti lelaki sama ada yang berekaitan dengan hukum-hukum akidah, ibadah, akhlak dan sebagainya. Ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud:
”Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah) dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar. (al-Ahzab 33:35)
Walaupun begitu terdapat sedikit perbezaan dari aspek teknikal dalam pelaksanaan sesuatu ibadah antara lelaki dan wanita.
Umpamanya menunaikan fardhu haji adalah wajib ke atas setiap umat Islam yang berkuasa seperti dinyatakan di dalam firman Allah yang bermaksud:
”..... dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya .... ” (Aali ’Imran 3:97)
Jumhur berpendapat maksud berkuasa bagi lelaki ialah mempunyai kenderaan (sekiranya tempat tinggal lebih dari dua marhalah), bekalan, aman perjalanan, sihat tubuh badan dan tiada kesuntukan waktu. Manakala wanita tidak wajib walaupun memiliki semua di atas sekiranya tiada yang menamani sama ada suami, mahram atau beberapa orang wanita yang thiqah.(Kitab al-Idhah, m.s.96-97)

Menunaikan Haji / Umrah Tanpa Mahram
Telah dinyatakan bahawa menurut kebanyakan ulamak wanita tidak wajib menunaikan haji atau umrah sekiranya tidak ada teman sama ada suami, mahram atau beberapa orang wanita yang thiqah. Di dalam kitab Fatawa al-Mar-ah al-Muslimah, penal penulisnya berkata:
”Para ilmuan mengatakan, seorang wanita yang tiada mahram tidak wajib mengerjakan haji. Sekiranya dia meninggal dunia tidak dihajikan untuknya daripada harta peninggalannya kerana dia termasuk dalam golongan mereka yang tidak mempunyai kemampuan (istito’ah)”. (Fatawa al-Mar-ah al-Muslimah, m.s.369)
Pendapat ini disandarkan kepada beberapa Hadis yang bermaksud:
1. ”Janganlah seseorang wanita itu musafir dua hari kecuali bersama dengan suami atau mahramnya”. Riwayat al-Bukhari dari Abi Sa’eid.
2. ”Janganlah seseorang wanita itu musafir tiga hari kecuali bersamanya mahram”. Muttafaq ’Alaih dari Ibn Umar RA.
3. ”Tidak halal bagi wanita yang beriman dengan Allah dan hari akhirat musafir tiga hari tiga malam kecuali bersamanya mahram”. Muslim dari Ibn Umar.
4. ”Janganlah seseorang wanita itu musafir kecuali bersamanya mahram”. Lalu seorang lelaki berkata: ”Ya Rasulullah! Saya hendak keluar (berjihad) bersama angkatan tentera sekian dan sekian, sedangkan isteri saya hendak menunaikan haji?” Baginda menjawab: ”Keluarlah bersama dengannya (isterimu)”. Muttafaq ’Alaih dari Ibn ’Abbas.
Nas-nas di atas jelas menunjukkan larangan ke atas wanita musafir tanpa suami atau mahram.
Namun ulamak tidak sekata dalam memahami Hadis-hadis di atas. Sebahagian mereka mengambil maknanya yang zahir. Manakala sebahagian lain melihat kepada sebab dan hikmah larangan itu.
Mereka yang mengambil maknanya yang zahir seperti yang disebutkan di dalam kitab Fatawa al-Mar-ah al-Muslimah berpendapat wajib ada suami atau mahram. Al- Hanafiyyah juga berpendapat wajib ada suami atau mahram kecuali jika jarak tempat tinggal wanita itu kurang dari tiga marhalah. (’Atiyyah Saqar, jzk 2, m.s.134)
Mereka yang melihat kepada sebab atau illah larangan, antaranya Imam asy-Syafi’e sebagaimana disebut oleh an-Nawawi di dalam Syarah Sahih Muslim, tidak mensyaratkan suami atau mahram. Yang penting perjalanan itu selamat. Maka harus bagi wanita menunaikan haji sekiranya ditemani beberapa orang wanita yang thiqat kerana dalam hal ini boleh dikira selamat.
Begitu juga Imam Malik dan satu riwayat daripada Imam Ahmad, tidak mensyaratkan ada suami atau mahram untuk menunaikan haji fardhu.
Antara Musafir Wajib dan Musafir Sunat.
Pandangan yang diutarakan di atas adalah berkaitan dengan haji wajib. Berkenaan haji sunat dan musafir lain yang tidak wajib, pandangan mereka juga berbeza.
An-Nawawi berkata: Adapun haji sunat, safar ziarah, tijarah dan lain-lain yang tidak wajib, maka setengah mereka berkata harus keluar bersama kumpulan wanita yang thiqat seperti haji wajib. Jumhur berkata tidak harus kecuali bersama suami atau mahram dan inilah yang sahih.(Al-Majmuk, jzk 7, m.s.62)
Dalil jumhur adalah nas-nas yang telah dikemukakan di atas.
Para ilmuan masa kini seperti al-Ustaz Dr. Hasan Ahmad al-Kabir, Dekan Kulliyyah Bahasa Arab Universiti al-Azhar Zaqaziq, Syaikh Ali Jumah, Mufti al-Dayyar al-Misriyyah, Atiyyah Saqar cenderung kepada pendapat yang mengatakan harus.
Dalil mereka yang mengatakan harus adalah:
1. Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim daripada ’Aadi bin Hatim bahawa Rasulullah SAW menceritakan kepadanya mengenai perkembangan Islam pada masa akan datang dan tertegaknya panji-panji Islam di seluruh pelusuk bumi. Antara maksud ungkapan baginda dalam Hadis tersebut: ”... hampir-hampir seorang wanita dari al-Hirah di Iraq keluar menuju Baitillah tanpa suami bersama dengannya dan dia tidak takut melainkan Allah...” Hadis ini bukan sekadar suatu perkhabaran mengenai keluasan penyebaran Islam, sebaliknya ia menunjukkan keharusan wanita musafir tanpa suami. (Fatawa al-Mu’asarah, m.s.431)
2. Umar RA telah mengizinkan isteri-isteri Rasulullah SAW pergi menunaikan haji bersama Uthman bin Affan RA dan Abdul Rahman bin Auf RA sedangkan mereka berdua bukan mahram kepada kesemua isteri-isteri Rasulullah SAW. Keizinan itu tidak pula dibantah oleh Uthman dan Abdul Rahman juga para sahabat yang lain. Ini boleh dikira sebagai ijmak di kalangan mereka.
3. Hikmah di sebalik pensyaratan wanita ditemani suami atau mahram ialah memastikan keselamatannya di dalam perjalanan dan memudahkannya melaksanakan segala urusan tanpa gangguan dan pergaulan yang tiada batasan. Kini semua masalah itu boleh diatasi dengan pelbagai kemudahan yang disediakan, sama ada dari segi pengangkutan, penempatan serta keperluan-keperluan asas dan sampingan di sepanjang perjalanan serta masa melaksanakan ibadah.
4. Hadis-hadis yang melarang wanita musafir tanpa suami atau mahram ditakwilkan untuk zaman nubuwwah di mana kaum musyrikin menguasai Jazirah dan sentiasa mengintai peluang untuk melakukan sebarang tindakan yang mengancam keselamatan umat Islam. Dalam zaman sekarang, harus wanita musafir bersama taman yang amanah dan boleh dipercayai dengan izin suaminya sekiranya perjalanan itu aman serta keadaan negeri yang dituju itu aman. Keharusan ini tidak tertentu bagi haji sahaja, malah harus juga untuk tujuan belajar atau lain-lain tujuan yang tidak dilarang oleh Syara’. (Syaikh Ali Jum’ah, m.s.267)
Pandangan di atas juga bersesuaian dengan fatwa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 19 Rabiul Awwal 1422 bersamaan 11 Jun 2001. Fatwa tersebut berbunyi: ”Diharuskan musafir bagi wanita untuk tujuan menunaikan haji sunat atau umrah sunat tanpa suami atau mahram dengan syarat-syarat yang ketat dan disiplin-disiplin tertentu”
Jawatankuasa telah menyenaraikan 17 syarat yang mesti dipatuhi.

Kesimpulan
Setelah diteliti pandangan para ulamak dahulu dan kini, didapati mereka mempunyai sudut pandangan yang berbeza sama ada wajib atau tidak wanita diiringi suami atau mahram atau boleh diganti dengan teman yang boleh dipercayai ketika musafir, sama ada musafir wajib atau bukan wajib. Perbezaan sudut pandangan ini berlaku hatta di kalangan ulamak mazhab yang sama. Malah ada di kalangan mereka seperti Ibn Hazm, Ibn Taimiyyah dan lain-lain tidak mewajibkan diiringi teman langsung sekiranya perjalanan itu aman. Di dalam kitab Mughni al-Muhtaj, pengarangnya berkata: Harus bagi perempuan mengerjakan haji atau umrah Islam bersama perempuan-perempuan thiqat. Bahkan mengikut qaul yang sahih, harus walaupun dengan seorang perempuan thiqah. Pada satu pandangan yang lain, harus ia mengerjakan haji atau umrah fardhu walaupun seorang diri sahaja sekiranya aman dirinya daripada fitnah. (Mughni al-Muhtaj, j.2, m.s.465)
Imam asy-Syafie sendiri tidak berpegang kepada zahir nas seperti yang diriwayatkan oleh an-Nawawi di dalam Syarah Sahih Muslim (jld 9, m.s.104): tidak disyaratkan mahram, bahkan disyaratkan keamanan dirinya.
Lantaran itu kita dapati beberapa orang dari kalangan ulamak zaman kini mertarjihkan wajib haji ke atas wanita dan harus bagi mereka musafir jika keselamatan dan kemudahan terjamin dengan apa cara sekalipun, sama ada dengan cara ditemani suami, mahram, kawan yang amanah, pengendalian pihak berwajib atau lain-lain. Isteri-isteri Rasulullah SAW telah menunaikan haji dengan keizinan Khalifah Umar bin al-Khattab RA. Umar telah mengutus Uthman bin Affan RA dan Abdul Rahman Auf sebagai pengiring mereka. Haji yang ditunaikan oleh Ummahat al-Mukminin RA itu adalah haji sunat kerana mereka telahpun menunaikan haji wajib bersama Rasulullah SAW. (’Atiyyah Saqar, j.2, m.s.134-135)

Rujukan:1. Mughni al-Muhtaj
2. Al-Majmuk, Abi Zakaria Muhyiddin Yahya bin Syaraf an-Nawawi
3. Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, Dr. Wahbah al-Zuhaili
4. Fatawa ‘Asriyyah, Syaikh Ali Jum’ah
5. Fatawa al-Mu’asarah, Dr. Hasan Ahmad al-Kabir
6. Ahsan al-Kalam fi al-Fatawa wa al-Ahkam, Syaikh ‘Atiyyah Saqar
7. Fatawa al-Mar-ah al-Muslimah, Muhammad Ibrahim asy-Syaikh dan lain-lain..
8. Fatwa-Fatwa Negeri Johor, jld 3, hal.62-68