Monday, December 14, 2009

15 Nasihat Imam Sufyan ath-Thauri

1. Perbaiki urusan dalamanmu, Allah akan baiki urusan luaranmu. Perbaiki hubunganmu dengan Allah, Dia akan baiki hubunganmu dengan manusia. Beramallah untuk akhiratmu, Allah akan jamin urusan duniamu. Juallah duniamu dengan akhirat, engkau akan beroleh keuntungan kedua-duanya. Jangan jual akhiratmu dengan dunia, kelak engkau akan rugi kedua-duanya.

2. Beramallah untuk duniamu berpadanan dengan kadar kehidupanmu di sini (sementara). Dan beramllah untuk akhiratmu berpadanan dengan kadar kehidupanmu di sana (selama-lamanya).

3. Akan tiba satu masa dalam kehidupan manusia di mana hati-hati semuanya mati, yang hidup hanyalah jasad.

4. Pemandangan paling indah adalah di kala si kaya merendah diri di hadapan si miskin. Dan pemandangan paling jelik adalah di kala si miskin menghina diri di hadapan si kaya.

5. Tiada yang lebih sukar untuk dirawat selain daripada nafsuku; sekali ia menang, sekali lagi ia kalah.

6. Kamu termasuk orang yang sabar apabila memiliki tiga perkara: tidak menceritakan musibah yang menimpa diri sendiri, tidak menghebahkan penderitaan yang dialami dan tidak memuji diri sendiri.

7. Sekiranya saudaramu berkunjung ke rumahmu, jangan engkau tanya ‘adakah anda sudah makan’ atau ‘mahukah saya hidangkan makanan’? Sebaliknya, hidangkanlah makanan. Jika dia mahu, dia makan. Jika tidak, angkatlah kembali hidangan itu.

8. Andainya engkau mengenali dirimu, maka apa saja yang diperkatakan manusia tentang dirimu, tidak akan memudaratkanmu sedikitpun.

9. Hendaklah kamu sentiasa berwaspada daripada orang yang tidak ada sesuatupun yang terlindung daripadanya, berharaplah kepada orang yang mempunyai kuasa untuk menunaikannya, dan berhati-hatilah daripada orang yang memiliki kekuasaan untuk menyiksamu.

10. Sekiranya binatang ternakanmu memahami tentang kematian sebagaimana yang engkau fahami, tentu engkau tidak akan dapat makan binatang yang gemuk sama sekali.

11. Hendaklah engkau membanyakan kebaikan, dengannya Allah akan jadikan temanmu di dalam kubur. Jauhilah perkara yang haram, engkau akan rasai kemanisan iman.

12. Terima dengan ridha apa yang Allah bahagikan kepadamu, nescaya engkau jadi kaya. Dan bertawakkallah kepada Allah, nescaya engkau jadi kuat.

13. Jangan suka mencela, nescaya engkau selamat daripada celaan manusia. Jadilah seorang yang penyayang, nescaya engkau akan dikasihi manusia.

14. Apabila terlintas di dalam hatimu tentang urusan akhirat, segeralah laksanakannya dengan bersungguh-sungguh sebelum syaitan berpeluang menghalangimu daripada melakukannya.

15. Jangan engkau bencikan seseorang yang taat kepada Allah, jadilah seorang yang penyayang kepada semua golongan manusia, jangan putuskan silatul rahim sekalipun dengan orang yang tidak menghiraukanmu, jangan berdendam kepada mereka yang menzalimimu, nescaya engkau akan mendampingi anbiaa’ dan syuhadaa’.

Friday, December 04, 2009

Di saat kematian menjengah III

v. Mu’az bin Jabal

ketika maut menghampiri dan dia dalam keadaan nazak, dia menyeru Tuhannya: Ya Tuhanku, sesungguhnya selama ini aku takut kepada-Mu. Dan hari ini aku mengharap akan rahmat-Mu. Wahai Tuhanku, sesungguhnya Engkau mengetahui bahawa aku cintakan dunia ini bukan kerana sungainya yang mengalir, bukan untuk menanam pokok yang banyak. Sebaliknya aku cintakan menahan dahaga ketika berpuasa, melawan mengantuk ketika berjaga, menggauli ulamak di halaqah ilmu….
Kemudian terbanglah ruhnya selepas dia menyebut
لا إله إلا الله
At-Tirmizi meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda maksudnya: Sebaik-baik lelaki ialah Mu’az bin Jabal.
Al-Bukhari pula meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: Manusia yang paling mengasihani umatku ialah Abu Bakar, dan yang paling alim tentang halal dan haram ialah Mu’az bin Jabal.

vi. Bilal bin Rabah

ketika maut menghampiri Bilal, menangislah isteri melihatnya sambil merintih: aduhai betapa sedihnya…!
Mendengar rintihan isterinya, Bilal membuka selimut yang meliputi wajahnya sedang dia berada dalam keadaan nazak, lantas berkata:
jangan engkau berkata alangkah sedihnya, tetapi katakanlah: alangkah girangnya..! esok kita akan bertemu para kekasih, Muhammad dan sahabat-sahabat!

vii. Abdullah bin Mas’ud

Ketika hampir mati, dia memanggil anaknya dan berkata:
wahai Abdul Rahman bin Abdullah bin Mas’ud, aku wasiatkan kamu lima perkara, peliharalah ia:

- Putuskan harapan kamu daripada manusia kerana itulah kekayaan yang sebenarnya.

- Berhenti dari meminta hajat kamu kepada manusia kerana itulah kefakiran yang pasti

- Tinggalkan perkara-perkara yang engkau tidak mampu, jangan lakukannya.

- Sekiranya engkau dapat jadikan hari ini lebih baik daripada semalam, maka lakukanlah.

- Dan sekiranya engkau menunaikan solat, maka tunaikanlah solat selamat tinggal, seolah-olah engkau tidak akan solat lagi selepas itu.

Bersambung.....

Tuesday, December 01, 2009

Di saat kematian menjengah II

iii. Uthman bin Affan

Ketika ditikam oleh puak pemberontak, dalam keadaan darah mengalir ke atas janggutnya, beliau berkata:

لا إله إلا أنت سبحانك إني كنت من الظالمين

Ya Tuhanku, sesungguhnya aku memohon pertulungan-Mu dalam segala urusanku dan meminta daripada-Mu kesabaran dalam menghadapi dugaan ini.
Setelah beliau syahid, keluarganya membuka peti simpanan barang-barangnya. Mereka menemui sebuah kotak yang dikunci. Apabila kotak itu dibuka, mereka menemui sehelai kertas yang bertulis: inilah wasiat Uthman.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Uthman bin Affan bersaksi bahawa sesungguhnya tiada tuhan melainkan Allah, Dia Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya dan sesungguhnya Muhammad itu hamba-Nya dan pesuruh-Nya, dan sesungguhnya syurga itu benar, dan sesungguhnya Allah akan membangkitkan orang yang berada di dalam kubur pada hari yang tiada kesangsian tentangnya, sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji-Nya. Di atas persaksian itulah dia (Uthman) hidup, dia mati dan dia dibangkitkan insya Allah.

iv. Ali bin Abi Talib

Selepas ditikam oleh pengkhianat, beliau berkata: apa yang terjadi ke atas orang yang menikamku?
Bila diberitahu bahawa dia telah ditahan, beliau berkata: beri dia makan daripada makananku dan beri dia minum daripada minumanku. Sekiranya aku hidup, biar aku tentukan hukuman ke atasnya. Dan sekiranya aku mati pukullah (mungkin maksudnya pancung?) dia dengan sekali pukul sahaja, jangan ditambah lebih daripada itu.
Kemudian dia berpesan kepada puteranya al-Hasan supaya memandikannya. Pesannya: jangan berlebih-lebihan mengkafankan aku. Sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya): jangan berlebih-lebihan dalam mengkafan kerana kain itu akan segera reput dengan cepat sekali. Ketika berjalan mengusung jenazahku, jangan kamu berjalan terlalu pantas dan jangan pula terlalu lambat. Sekiranya jenazahku itu baik, bererti kamu dapat segera menghantarku kepada kebaikan. Dan sekiranya jenazahku itu tidak baik bererti kamu dapat segera melepaskan beban daripada bahu kamu .

v. Mu’az bin Jabal

bersambung...

Monday, November 30, 2009

Di saat kematian menjengah

i. Abu Bakar as-Siddiq

Beliau berpesan kepada bakal penggantinya, Umar bin al-Khattab: “Sesungguhnya aku tinggalkan kepadamu satu pesanan. Sekiranya engkau terima tanggungjawab ini selepasku, maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah tidak menerima kewajipan malam pada waktu siang dan tidak menerima kewajipan siang pada waktu malam. Dan Dia tidak menerima amalan sunat sebelum engkau tunai yang fardhu. Sesungguhnya beratnya timbangan amal seseorang di akhirat nanti adalah kerana dia mengikuti kebenaran di dunia ini. Sewajarnyalah timbangan itu menjadi berat seandainya diletakkan kebenaran di atasnya. Dan sesungguhnya ringannya timbangan amal seseorang di akhirat nanti adalah kerana dia mengikuti kebatilan di dunia ini. Sewajarnyalah timbangan itu menjadi ringan seandainya diletakkan kebatilan di atasnya.”

ii. Umar bin al-Khattab

Ketika beliau ditikam, Abdullah bin Abbas r.a. menghampirinya seraya berkata: Wahai Amirul Mukminin, engkau memeluk Islam ketika manusia masih kafir, engkau berjihad bersama Rasulullah s.a.w. ketika ramai manusia berpaling daripadanya, engkau dibunuh dalam keadaan tiada siapa mempertikaikan tentang dirimu berada di pihak yang benar dan Rasulullah s.a.w. wafat dalam keadaan dia redha kepadamu.
Lalu Umar berkata kepadanya: Ulangi kata-katamu itu wahai Abdullah!
Maka Abdullah mengulanginya.
Kemudian Umar berkata: Orang yang tertipu ialah yang tertipu oleh kata-katamu. Demi Allah sekiranya aku memiliki segala yang ada di muka bumi ini aku akan tebus kesukaran yang mungkin aku akan hadapi nanti.
Anak lelakinya, Abdullah menceritakan: Ketika ayahku sedang tenat, aku letakkan kepalanya di atas pehaku tetapi beliau menyuruh aku meletakkannya di atas lantai. Aku berkata kepadanya apa masalahnya kalau kepala di atas pehaku? Beliau bertegas supaya aku letakkan juga kepalanya di atas lantai. Maka aku letakkan seperti yang dimintanya. Setelah itu dia berkata: Malanglah aku! Malanglah ibuku sekiranya Tuhanku tidak merahmatiku!

iii. Uthman bin Affan

bersambung...

Tuesday, November 24, 2009

SELAMAT HARI RAYA KORBAN

Sempena kedatangan 'eid al-adha al-mubarak ana ingin mengucapkan salam kesejahteraan kepada semua sahabat yang sudi mengunjungi zaadut-taqwa yang dhaif ini, moga kita semua termasuk dalam golongan hamba yang mendapat petunjuk daripada-Nya. Amin!



Monday, November 23, 2009

Haji dan umat yang satu

Perutusan Mursyid Ikhwan Muslimin, Muhammad Mahdi ‘Aakif
(19/11/2009)

Segala puji bagi Allah. Selawat dan salam ke atas Rasulullah, keluarganya, sahabat-sahabatnya dan semua pengikutnya.
Saat ini hati semua umat Islam di seluruh penjuru dunia tergapai-gapai merindui Baitillahil-Haram. Ia sebagai tanda Allah memaqbulkan doa kekasihNya Ibrahim a.s. ketika baginda berdoa
فَاجْعَلْ أَفْئِدَةً مِّنَ النَّاسِ تَهْوِي إِلَيْهِمْ
Maksudnya: “Maka jadikanlah hati sebahagian daripada manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ) dan kurniakanlah rezeki kepada mereka daripada berbagai-bagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.” (Ibarahim:37)

Dan janji Allah ini terus terlaksana di mana hati-hati manusia sentiasa terpaut kepada Baitillahi-Haram. Ratusan ribu umat Islam datang mencurah-mencurah dari segenap ceruk yang jauh menuju ke Kaabah yang mulia, menghirup udara di sisinya, menimba berbagai-bagai pelajaran mengenai kehidupan di sepanjang mereka mengerjakan haji. Antara pengajaran paling berguna ialah:

i. Haji merealisasikan prinsip persamaan

Umat Islam dari pelbagai Negara yang berbeza dari segi bangsa, bahasa, budaya dan warna kulit bertemu di suatu tempat “Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban)…” (Al-Hajj:28). Maka terserlahlah persamaan dengan erti kata yang sebenarnya; semua mereka memakai pakaian yang serupa yang sangat ringkas tanpa bermewah dan bermegah. Semuanya bertawaf di sekeliling Baitillah “yang Kami jadikan ia tempat beribadat untuk seluruh umat manusia (yang beriman) sama ada yang tinggal menetap di situ atau yang datang berziarah…” (Al-Hajj:25). Semuanya mengalunkan ungkapan yang sama yang tidak terdapat di dalamnya sebarang unsur pemujaan bangsa dan keturunan:
(لبيك اللهم لبيك، لبيك لا شريك لك لبيك)

Semuanya berwuquf di bumi yang sama, bumi Arafah. Tiada keistimewaan antara mereka kecuali dengan taqwa. Maka lenyaplah kasta, sirnalah pangkat dan darjat. Persamaan yang hakiki terserlah dengan wajahnya yang sebenar, bersih dari segala penipuan dan penyamaran, persamaan yang telah hilang di dunia yang dikatakan maju, telah terkubur di Negara yang kononnya moden.

Semuanya berangkat keluar dari Arafah menuju Masy’ar al-Haram di Muzdalifah. Keistimewaan yang diberikan khusus kepada bangsa Quraisy pada masa jahiliah dulu telah dihapuskan oleh Islam sebagai bukti secara praktikal prinsip persamaan di kalangan semua bangsa. Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa sebelum ini bangsa Quraisy dan sekutu-sekutunya wuquf di Muzdalifah dan mereka namakan al-hums, sedang bangsa arab lain wuquf di Arafah. Setelah Islam datang, Allah Ta’ala perintahkan Nabi-Nya s.a.w. supaya wuquf di Arafah kemudian berangkat keluar darinya “Kemudian hendaklah kamu bertolak turun dari (Arafah) tempat bertolaknya orang ramai dan beristighfarlah kamu kepada Allah (dengan memohon ampun), sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Baqarah:199)

Kemudian Nabi s.a.w. berdiri menyampaikan ucapan, mengisytiharkan prinsip kemanusiaan yang padu pada hari haji wada’. Antara lain baginda bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla berifrman (maksudnya): “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Al-Hujurat:13) Oleh itu tiada kelebihan bagi bangsa Arab ke atas bangsa ajam dan tiada kelebihan bagi bangsa ajam ke atas bangsa Arab, tiada kelebihan bagi orang hitam ke atas orang putih, dan tiada kelebihan bagi orang putih ke atas orang hitam kecuali dengan taqwa” (At-Tobrani)

Baginda juga bersabda pada hari Fathu Makkah (maksudnya): “Wahai sekelian manusia, sesungguhnya Allah s.w.t. telah melenyapkan daripada kamu kesombongan jahiliah dan berbangga-bangga dengan nenek moyang. Sesungguhnya manusia terdiri dari dua golongan: seorang yang berbakti, bertaqwa, mulia di sisi Allah dan seorang yang jahat, celaka, hina di sisi Allah. Manusia semuanya anak Adam, dan Allah menciptakan Adam daripada tanah”. (At-Tirmizi)

Sesungguhnya telah tiba masanya bagi umat Islam, malah dunia seluruhnya belajar akan makna persamaan yang hakiki daripada fardu haji yang mulia ini dan daripada semua syi’ar agama yang lurus ini. Itu lebih baik daripada terpedaya dengan slogan-slogan kosong yang didendangkan oleh sebahagian bangsa-bangsa di bibir sahaja. Mereka menanda tangani permadamaian, mengisytiharkan deklarasi atas nama persamaan, namun mereka juga yang memijak-mijak dengan tapak kaki mereka sendiri, dengan kuasa, kekuatan dan kegagahan mereka deklarasi dan perjanjian itu pagi dan petang. Mereka menyorokkan di dalam diri mereka perasaan benci dan dendam kesumat terhadap bangsa-bangsa yang lain.

ii. Haji adalah muktamar umat yang satu yang bersatu

Lihatlah! Pada hari ini para hujjaj berduyun-duyun dari segenap arah menuju ke Rumah Allah yang mulia. Umat yang terdiri dari pelbagai warna kulit, bertutur dengan pelbagai bahasa berasak-asak di bumi yang suci lagi dihormati dengan melupakan pergeseran politik yang berlaku antara Negara masing-masing. Kedatangan mereka tidak digerakkan kecuali oleh kekuatan aqidah dan pegangan agama yang terpacak di lubuk hati dan jiwa mereka. Iman yang menolak mereka kepada kesatuan sesama manusia tanpa mengira bangsa, warna kulit dan darjat keturunan. Iman memberi amaran kepada mereka agar tidak tunduk kepada kehendak musuh yang mahu memecah belah dan mencerai beraikan mereka. “Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu taat akan sesuatu puak dari orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang-orang kafir sesudah kamu beriman. (Maksud Aali-‘Imran:100).

Al-Quran secara jelas menyeru dan memerintahkan umat Islam supaya bersatu padu, “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga).” (Maksud Aali-‘Imran:103).
Justeru umat Islam hari ini mara ke depan dengan mengingat kembali kesatuan yang telah terbina pada masa lalu seraya berusaha untuk menghidupkan semula kesatuan yang utuh itu pada masa mendatang. Hasrat murni ini diungkapkan di dalam madah syair:
Jiwaku bergelojak menyahut seruan Muhammad
suara Bilal dari ma’zan (tempat dilaungkan azan) tinggi menjulang
jeritan Sa’ad dan Khalid di medan-medan perang
kemuliaan salaf bergema mengekori perjalanan
aku mengangkat kepala dengan tabah mengharungi cabaran
meskipun dengan cara itu akan mengundang kematian
bagiku bumi ini tiada sempadan
negeriku dan bangsaku di mana jua Nama Tuhan diserukan

Sesungguhnya musim haji menghimpun segala kekuatan umat Islam; ulamak dan orang awam, cerdik pandai dan orang biasa, orang kuat dan lemah, orang kaya dan miskin, mereka berhimpun di tempat yang sama, mereka belajar memahami bahawa umat yang mendokong kebenaran ini adalah satu lagi bersatu, mereka mesti saling melengkapi, harta orang kaya dihimpunkan dengan tenaga orang yang kuat, digabungkan dengan ilmu para ulamak serta kebijaksanaan cendikiawan demi mrealisasikan kesatuan yang dituntut dan diinginkan. Firman Allah
إِنَّ هَـٰذِهِۦۤ أُمَّتُكُمۡ أُمَّةً۬ وَٲحِدَةً۬ وَأَنَا۟ رَبُّڪُمۡ فَٱعۡبُدُونِ
maksudnya: “Sesungguhnya agama Islam inilah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya dan Akulah Tuhan kamu; maka sembahlah kamu akan Daku.” (Al-Anbia’:92)
Dan betapa besarnya makna tawaf. Seluruh umat bergerak ke arah matlamat yang satu, berpusing pada titik yang satu dengan penuh perasaan, penuh penghayatan bahawa mereka sebenarnya mengejar matlamat yang satu. Maka sewajarnya mereka berkerjasama dan melupakan kepentingan diri sendiri, mereka belajar secara praktikal erti kesatuan dan kasih sayang.

Demi Tuhanmu! Katakan kepadaku, apakah perasaanmu ketika engkau melihat ratusan ribu hujjaj yang terdiri daripada berbagai-bagai bangsa, bertutur dengan bahasa yang berbeza – berjalan seiringan, bahu membahu sambil mengalunkan zikir dan doa dengan khusyuk. Kemudian bila azan berkumandang, semuanya secara serentak menyahut seruan, semuanya berhenti berjalan, tiada lagi suara bergema kecuali hembusan nafas yang khusyuk, tiada lagi pergerakan kecuali semuanya berdiri kaku seolah-olah menahan burung yang hinggap di atas kepala, tapak-tapak kaki mereka tersusun rapi, apabila imam rukuk, semuanya akan rukuk, apabila imam sujud, semuanya akan sujud, apabila imam membaca al-Quran, semuanya diam mendengar, dan apabila imam berdoa, semuanya mengaminkan.

Sesungguhnya itu adalah satu gambaran daripada beberapa gambaran yang cantik, indah dan mengagumkan. Satu pemandangan daripada pemandangan-pemandangan yang cukup sempurna. Ayuhlah wahai dunia seluruhnya! Mari saksikan pemandangan yang indah lagi sempurna ini. Lihatlah wahai sekelian yang wujud di maya pada ini! Bahawa sesungguhnya Islam adalah agama kesatuan dan system hidup yang sempurna dan unik.
Sesungguhnya umat Islam kini ditindas di semua tempat, di kelilingi musuh dan diancam konspirasi jahat dari segenap penjuru. Oleh itu mereka harus sedar betapa pentingnya kesatuan, mereka harus faham bahawa pusat penyatuan mereka adalah agama itu sendiri, agama yang mereka berbangga menjadi penganutnya, aqidah yang daripadanya mereka memperoleh kekuatan. Mereka hendaklah mendengar seruan Nabi yang mulia s.a.w. yang bermaksud: “Jangan kamu benci membenci, jangan dengki mendengki, jangan belakang membelakangi. Jadilah kamu semua hamba-hamba Allah yang bersauda.” (Al-Bukhari dan Muslim). Mereka jangan lepaskan asas kesatuan mereka, iaitu berpegang kepada kitab Allah dan Sunnah Rasulullah s.a.w. “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selagi berpegang dengan keduanya: kitab Allah dan sunnah NabiNya.” (Muwatto’, Malik)

Maka adakah pemimpin umat dan ahli fikirnya mengambil peluang daripada muktamar tahunan Islam pada tahun ini untuk mengeratkan kesatuan, merungkai perselisihan, menyatukan barisan dan menyamakan langkah menghadapi musuh yang sentiasa mengintai peluang?

iii. Memelihara darah dan kehormatan umat Islam

Semasa haji wadak, pemimpin agong dan Rasul mulia, Muhammad s.a.w. berdiri menyampaikan ucapan paling bermakna sepanjang kehidupan ini, mengabadikan satu deklarasi di lembaran sejarah, mengasaskan satu gagasan perlembagaan yang paling adil di dalam sejarah, menggariskan kepada manusia jalan penyelesaian, ketinggian, kebahagiaan dan kemuliaan. Baginda telah melakarkan kepada dunia undang-undang yang paling benar, yang dapat menjamin kesejahteraan masyarakat dan kemuliaan insan. Baginda membacakan firman Allah
ٱلۡيَوۡمَ أَكۡمَلۡتُ لَكُمۡ دِينَكُمۡ وَأَتۡمَمۡتُ عَلَيۡكُمۡ نِعۡمَتِى وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلۡإِسۡلَـٰمَ دِينً۬ا‌ۚ
Maksudnya: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” (Al-Maidah:3)

Antara perkara paling penting yang diberi penakanan oleh Rasulullah s.a.w. ialah haramnya darah umat Islam. Pada hari Nahar (10 Zulhijjah) baginda berucapa di hadapan ribuan manusia:
Rasul: wahai sekelian manusia, hari apakah ini?
Manusia: hari yang haram (mulia/dihormati).
Rasul: negeri apakah ini?
Manusia: negeri yang haram.
Rasul: bulan apakah ini?
Manusia: bulan yang haram.
Rasul: sesungguhnya darah kamu, harta kamu, maruah kamu adalah haram ke atas kamu (mencerobohinya) seperti haramnya hari ini, di negeri ini, pada bulan ini.
Baginda mengulanginya beberapa kali kemudian bersabada maksudnya: “Wahai Tuhanku, adakah aku telah sampaikan? Wahai Tuhanku, adakah aku telah sampaikan?”
Ibn Abbas r.a. berkata: Demi Tuhan yang jiwaku di TanganNya, sesungguhnya ia benar-benar merupakan wasiat kepada umatnya. Baginda berpesan: “Hendaklah orang yang hadir menyampaikan kepada yang tidak hadir. Jangan kamu kembali kepada kekafiran selepasku, sebahagian kamu membantai sebahagian yang lain.” (Al-Bukhari)

Baginda menolak semua adat kebiasaan jahiliah yang berbangga dengan perangai membalas dendam dan menumpahkan darah dengan apa alasan sekalipun. Baginda telah memulakan dengan menghalalkan darah ahli keluarganya sendiri (yang telah dibunuh semasa jahiliah). Baginda bersabda maksudnya: “sesungguhnya darah kamu, harta kamu, maruah kamu adalah haram ke atas kamu (mencerobohinya) seperti haramnya hari ini, di negeri ini, pada bulan ini. Ketahuilah bahawa semua urusan jahiliah kini terletak di bawah tapak kakiku. Darah (yang tumpah semasa) jahiliah telah diletakkan (di bawah tapak kaki). Dan sesungguhnya darah pertama yang diletakkan adalah darah Ibn Rabi’ah bin al-Harith, dia disusukan oleh Bani Sa’d, lalu dia dibunuh oleh Hudayl.” (Muslim)

Nabi s.a.w. juga mengisytiharkan bahawa syaitanlah yang mengheret umat ini agar berperang sesama sendiri. Baginda bersabda maksudnya: “Sesungguhnya syaitan telah berputus asa untuk menjadikan orang yang bersolat di Jazirah Arab ini menyembahnya. Tetapi dia tidak berputus asa untuk menjadikan mereka bergaduh sesama mereka.” (Muslim). Jadi fitnah dan peperangan yang berlaku di dalam bulan-bulan haram ini di negeri-negeri Arab dan negeri umat Islam adalah dicetuskan oleh kuncu-kuncu syaitan di timur dan barat. Merekalah yang membekalkan senjata dan peralatan perang. Itulah asakan syaitan yang telah diperingatkan oleh Nabi s.a.w.

Wahai cendikiawan umat! Wahai pemimpin umat! Wahai ulamak umat! Ayuhlah berkerja dengan serius dan tungkus lumus untuk menghentikan pertumpahan darah di Yaman, Iraq, Somalia, Pakistan, Afghanistan, Sudan dan semua tempat yang bergolak di setiap negeri umat Islam demi menyelamatkan darah umat Islam daripada tumpah di medan yang bukan sepatutnya ia tumpah dan demi melaksanakan wasiat Nabi kita s.a.w. di dalam sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya hancurnya dunia ini lebih ringan di sisi Allah berbanding seorang lelaki muslim mati dibunuh.” (At-Tirmizi)

Tidakkah menghairankan bangsa Arab dan kaum muslimin menghulukan tangan untuk berdamai dan mengadakan persefahaman dengan musuh umat Islam, yang menjajah bumi Islam dan membunuh orang-orang yang tidak berdosa di Palestin dan lain-lain, tetapi pada masa yang sama mereka enggan bersefahaman dengan bangsa sendiri yang tinggal di dalam satu negeri? Mereka tidak menemui jalan untuk menyelesaikan masalah di dalam tanah air mereka kecuali dengan perang dan pedang yang dibeli oleh tentera umat untuk memelihara keselamatan tanah air, bukan untuk menyelesaikan masalah dalaman!?
Bukankah lebih menakjubkan lagi mereka membenarkan senjata dibawa ke semua pihak yang bergaduh di dalam negeri umat Islam, sedangkan pada masa yang sama Negara Arab dan Islam bersekongkol dengan zionis untuk menghalang senajata sampai ke tangan pejuang dan mujahidin?!!

Tidakkah terbangkit rasa harga diri di hati pemimpin umat dan orang-orang yang mempunyai kuasa untuk bersuara, lantas berusaha membetulkan kepincangan, dan meluruskan situasi yang bengkok ini?

iv. Al-Quds dan Al-Aqsa di hati setiap muslim

Sesungguhnya bumi suci Mekah dan Madinah mengingatkan kita kepada negeri yang Allah berkati di sekelilingnya, al-Quds yang mulia yang sedang mengadu kepada Tuhannya keganasan Yahudi yang zalim, kelemahan umat Islam yang pengecut dan bacul. Penduduknya hidup di bawah penguasaan, cengkaman dan penindasan. Mereka dihalau dari kediaman tempat mereka berlindung, harta dirampas, rumah diroboh. Sesungguhnya tawaf di sekeliling Kaabah mengingatkan kita kepada saudara kandungnya yang tertawan, Masjid al-Aqsa yang diberkati. Sesungguhnya al-Quds dan al-Aqsa menduduki tempat yang tinggi di hati setiap muslim. Seandainya pemimpin Arab dan Islam tidak mampu untuk mendepani usaha zionis untuk meyahudikan al-Quds dan meruntuhkan al-Aqsa, maka sesungguhnya anak-anak al-Aqsa yang sentiasa siap siaga telah membuktikan bahawa mereka sedia mengorbankan jiwa dan nyawa mereka. Maka sewajarnyalah umat Islam seluruhnya berdiri di belakang mereka, mendokong semangat dan ketabahan mereka sehingga Allah menganugerahkan kemenangan kepada mereka dan membebaskan al-Aqsa kita dan bandaraya kita dengan izin-Nya.

Sesungguhnya saya menyeru setiap muslim pada hari-hari yang penuh barakah ini, terutama para pengunjung Baitillah agar berdoa kepada Allah dengan ikhlas dan khusyuk supaya Allah leraikan cengkaman musuh ke atas bumi yang diberkati, supaya ia sama merdeka seperti dua saudara kandungnya Mekah dan Madinah, supaya Allah anugerahkan kepada penduduknya dan pengunjungnya keamanan di bawah naungan Islam yang suci, supaya Allah memelihara dan meneguhkan pendirian para mujahidin yang mempertahankannya, supaya Allah ikat hati-hati mereka sehingga terlaksana kemenangan yang dijanjikan insya Allah dan supaya Allah memelihara masjid al-Aqsa yang diberkati daripada perancangan jahat zionis yang kejam, supaya dia berada dalam keadaan aman dan sejahtera seperti dua suadara kandungnya Masji al-Haram dan Masjid an-Nabawi

وكل عام وأمتنا الإسلامية بألف خير, والله أكبر ولله الحمد, وصلى الله على سيدنا محمد وعاى آله وصحبه وسلم

Wednesday, November 11, 2009

Ibadah haji lambang tauhid paling unggul

Sempena Hari Raya Haji yang bakal menjelang beberapa saja lagi, dikongsikan di sini artikel yang telah ana tulis dan disiarkan di dalam BH hampir empat tahun yang lalu. Moga kandungannya dapat memberi manfaat kepada diri sendiri khususnya dan sahabat-sahabat para pengunjung ZT umumnya.

Ibadah haji lambang tauhid paling unggul
FRIDAY, JANUARY 06, 2006
Oleh Prof Madya Maznah Daud

ZULHIJAH bermaksud bulan haji. Pada bulan ini umat Islam menunaikan ibadah haji, rukun Islam yang kelima. Berbahagialah mereka yang terpilih untuk menjadi tetamu Allah pada bulan ini.

Banyak kelebihan disediakan untuk mereka yang membelanjakan harta, meninggalkan keluarga dan keselesaan di tanah air semata-mata menyahut seruan Allah menuju ke Tanah Suci bagi mengerjakan haji.

Justeru, haji dikatakan sebagai puncak pengabdian dan lambang ketauhidan yang paling unggul.

Kelebihan paling utama ibadah haji adalah terhapusnya segala dosa. Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya: “Sesiapa yang mengerjakan haji di rumah ini (Baitullah), ketika mengerjakan haji itu dia tidak mencarut dan tidak melakukan perkara-perkara yang dilarang, dia terkeluar daripada dosanya seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya.”

Di samping itu, ada kelebihan lain ketika berada di Tanah Suci seperti solat di Masjidil Haram yang ganjarannya 100,000 kali ganda dan solat di Masjid Nabawi pula 10,000 kali.

Bagi umat Islam yang tidak terpilih untuk menjadi tetamu Allah pada tahun ini, tetap berpeluang untuk menikmati kelebihan Zulhijah.

Allah berfirman maksudnya: “Demi waktu fajar. Demi 10 malam. Demi hari yang genap dan hari yang ganjil...” (Surah al-Fajr, ayat 1-3)

Menurut Ibn ‘Abbas, Ibn az-Zubayr, Mujahid dan ramai dari kalangan mufassirin salaf dan khalaf, 10 malam yang disebut di dalam ayat itu ialah 10 malam pertama Zulhijah.

Pendapat itu diperkuatkan dengan hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Ibn ‘Abbas bahawa Rasulullah bersabda maksudnya: “Amal salih yang paling disukai Allah adalah amalan yang dilakukan pada hari-hari ini (10 hari pertama Zulhijah). Sahabat bertanya: “Apakah lebih disukai daripada jihad fi sabilillah?” Baginda menjawab: “Ya. Lebih disukai daripada berjihad fi sabilillah, kecuali seorang lelaki yang pergi berjihad dengan jiwa dan hartanya kemudian dia tidak membawa pulang sedikit pun kedua-duanya itu (semua harta dan jiwanya dikorbankan untuk jalan Allah).”

Hari yang ganjil adalah hari Arafah iaitu hari ke-9. Hari yang genap adalah Hari Nahar (Aidiladha) yang jatuh pada hari ke-10 Zulhijah.

Demikian pendapat Ibn ‘Abbas, ‘Ikrimah dan adh-Dhahhak.

Ayat al-Quran dan hadis di atas menjelaskan betapa mulianya bulan ini di sisi Allah, khususnya 10 hari pertamanya sehingga dikatakan amalan hamba yang paling Allah suka adalah amalan yang dilakukan pada hari itu.

Apakah amalan yang sebaiknya dilakukan? Terlalu banyak kebaikan yang boleh difikir dan di senaraikan.

Antaranya ialah berpuasa sunat, lebih-lebih lagi pada hari Arafah (hari ke 9). Dalam hal ini Nabi bersabda maksudnya: “Berpuasa pada hari Arafah menghapuskan dosa selama dua tahun, setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. Dan berpuasa pada hari Asyura’ (10 Muharam) menghapuskan dosa setahun yang lalu.” (Hadis riwayat Muslim)

Kedua, ibadat korban yang disunatkan pada hari ke-10, 11, 12 dan 13.

Korban adalah sunnah muakkadah. Ada ulama yang menyebut sebagai sunnah wajibah bagi mereka yang mampu. Cukup satu korban bagi satu keluarga.

Antara dalil berkaitan dengan korban adalah firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu nikmat yang banyak. Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah.” (Surah al-Kauthar, ayat 1-2)

“Kamu sekali-kali tidak akan mencapai kebajikan yang sempurna sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai. Apa-apa yang kamu nafkahkan itu, sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya.” (Surah Ali Imranm, ayat 92)

Dalil hadis: “Barang siapa yang memiliki kemampuan (untuk membeli haiwan korban), lalu tidak melakukannya (tidak berkorban), maka janganlah mendekati tempat solatku.” (Hadis riwayat Ahmad)

Daripada Ummu Salamah, Rasulullah bersabda: "Apabila kalian telah melihat hilal bulan Zulhijah dan ada di antara kalian yang akan berkorban maka hendaklah dia tidak memotong rambut dan kukunya." (Hadis riwayat Muslim)

“Amalan anak Adam yang paling Allah sukai pada Hari Nahar adalah menyembelih haiwan ternakan. Sesungguhnya haiwan itu akan bangkit pada hari kiamat nanti bersama tanduk, kuku dan bulunya. Sesungguhnya darahnya akan sampai kepada Allah sebelum ia menitis ke bumi. Maka, laksanakanlah korban dengan sepenuh hatimu.” (Hadis riwayat Ibn Majah dan at-Tirmizi)

Sahabat bertanya Nabi: “Apa maksud ibadah korban ini?” Baginda menjawab: “Ini sunnah bapa kamu Ibrahim.” Mereka bertanya lagi: “Apa yang kita peroleh daripadanya?” Baginda menjawab: “Dengan setiap helai bulunya satu kebaikan.” Mereka berkata: “Bulu yang halus itu?” Baginda menjawab: “Ya. Dengan setiap helai bulu yang halus itu satu kebaikan.” (Hadis riwayat Ibn Majah dan at-Tirmizi)

Amalan adalah solat sunat, tilawah al-Quran, bersedekah, menuntut ilmu, berbakti kepada ibu bapa, menziarahi orang sakit, mengajak orang berbuat baik dan melarang berbuat jahat.

Yang penting tanamkan azam di dalam diri untuk melakukan kebaikan di mana juga dan pada bila-bila masa. Apabila tersemat keazaman, muncullah ilham, terhasillah amalan.

Kita (Ikhwan) dan Palestin

Fadhilah al-Mursyid: al-Ustaz Muhammad Mahdi ‘Aakif
Risalah al-Ikhwan, bil 610, 18 Zul-Qa'idah 1430H / 6 November 2009M

Sejak bermulanya dakwah Ikhwan, kita telah menyedari bahayanya perancangan Zionis untuk menakluk dan menjajah Negara Islam dan umatnya.

Bersama kemunculan gerakan penentangan di Palestin pada awal tahun 30an Masihi pada kurun yang lalu, Ikhwan telah berdiri bersama-sama rakyat Palestin dengan menghulurkan bantuan kewangan sedaya mampu di samping bertungkus lumus memberi kesedaran tentang bahayanya ancaman zionis.

Ketika perancangan melahirkan Negara haram zionis mula dilaksanakan, katibah-katibah Ikhwan berbodong-bondong turun ke bumi Palestin yang diberkati untuk mempertahankan kedaulatan Bangsa Arab, Agama Islam dan rakyat Palestin di bumi Palestin. Anggota-anggota Ikhwan telah melakarkan babak-babak perjuangan yang membanggakan bersama rakyat Palestin menentang kemaraan penjajah. Semua itu telah disaksikan oleh para pemerhati dan ahli sejarah.

Di saat sempurnanya konspirasi jahat untuk menduduki bumi Palestin, Imam asy-Syahid, pengasas jamaah Ikhwan telah mengorbankan hidupnya untuk menghalang kerajaan minority Saadiyyah di Mesir bekerjasama dengan Inggeris untuk meletakkan batu asas kewujudan zionis. Anggota-anggota Ikhwan telah mengorbankan sebahagian umur mereka berbulan-bulan lamanya di dalam penjara, malah ada yang bertahun-tahun disiksa. Jamaah sendiri diharamkan atas desakan musuh agar Negara haram zionis dapat dibangunkan di bumi Palestin.

Selepas itu anggota-anggota Ikhwan serta umat Arab hidup di bawah pemerintahan tentera, pengguling kuasa dan raja-raja yang hanya diam membisu terhadap kekejaman yang dilakukan ke atas Palestin kerana menjaga kedudukan serta kuasa mereka lebih daripada lima dekad lamanya, sehingga kedudukan zionis bertambah kukuh. Mereka telah membangunkan projek senjata nuclear, meluaskan penguasaan mereka menerusi serangan-serangan yang merugikan pemerintah Arab yang lemah. Apa yang ditumpukan oleh kerajaan Arab hanya sekadar menghilangkan kesan penjajahan zionis ke atas Mesir, Syria dan Jordan sahaja. Mereka tidak berusaha untuk mengembalikan Palestin, membebaskan al-Quds dan mengambil semula tempat-tempat suci yang dirampas seperti Masjid al-Aqsa dan Kanisah (Gereja) al-Qiamah.

Wahai Ikhwan Muslimun,

Mengapa kita bangkitkan semua pengorbanan yang telah dicurahkan demi Palestin?
Mengapa kita terus bermati-matian mempertahankan hak orang Islam, Arab dan Palestin di bumi Palestin?

Jawapan paling ringkas ialah kerana :
- ini adalah kewajipan kita! Kewajipan yang dituntut oleh Syara’, peranan kita terhadap tanah air dan tugas kita terhadap bangsa.
- projek zionis dan penularan kuasanya di peringkat tempatan dan peringkat dunia bertentangan dengan projek Islam yang didokong oleh Ikhwan Muslimun.
- kemerdekaan kita, kemuliaan kita dan kebangkitan kita sebagai umat Arab dan Islam tidak mungkin akan terlaksana dengan kewujudan penjajah zionis yang merupakan duri di dalam hati umat Arab dan Islam, duri yang sentiasa mencucuk-cucuk sehingga darah kita sentiasa mengalir, tenaga dan keupayaan kita tumpah secara sia-sia dan menjadi penghalang kepada kemajuan kita.
- seruan fitrah insaniah yang menuntut untuk membela orang-orang yang dizalimi, serta kefarduan yang diwajibkan oleh Syara’ ke atas kita. Firman Allah bermaksud: “Dan mengapa kamu tidak mau berperang di jalan Allah dan (membela) orang-orang yang lemah, baik lelaki, perempuan maupun anak-anak yang berdoa, “Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami dari negeri ini yang penduduknya zalim. Berilah kami pelindung dari sisi-Mu, dan berilah kami penolong dari sisi-Mu.” (An-Nisaa’:75)
- seluruh ulamak Islam telah memutuskan bahawa jihad adalah wajib bagi mengembalikan bumi umat Islam daripada tangan perampas dan untuk menghadapi sebarang konspirasi yang ditujukan untuk menundukkan rakyat Palestin, bangsa Arab dan umat Islam. Tuntutan supaya berdamai atau meletakkan senjata bererti menyerah kalah yang sangat hina.

Lantaran itu semua, selama ¾ kurun lamanya Ikhwan telah mempersembahkan pengorbanan jiwa dan harta demi melaksanakan tuntutan Syara’ ke atas kita. Dan kita akan terus menghulurkan segala yang berharga dan bernilai demi menghadapi kezaliman dan penindasan. Kita akan terus berpegang kepada janji kita dengan Allah ‘Azza wa Jalla, berdiri teguh di atas pendirian kita yang jelas dalam menentang kezaliman dan keganasan, menentang penjajahan dan penaklukan, menentang kediktatoran dan kuku besi, sehingga terlaksana harapan umat dalam membebaskan Palestin, seluruh bumi Palestin, mengembalikan masjid al-Aqsa yang dirampas. Mungkin dengan sebab itu kita dapati tekanan terhadap Ikhwan semakin memuncak kerana sikap kita yang sentiasa berusaha menghulurkan bantuan dan dokongan kepada saudara kita di Palestin dengan apa cara sekalipun.

Oleh kerana itu wajib di atas setiap akh mulim, setiap usrah muslimah, setiap umat Islam tanpa mengira bangsa dan aliran kefahaman, wajib berdiri teguh di sisi hak yang dirampas di Palestin dengan:
- Berdoa kepada Allah ‘Azza wa Jalla
- Memberi kesedaran tentang isu Palestin
- Menyokong pendirian rakyat Palestin
- Memberi bantuan kepada saudara kita di Palestin
- Menentang perancangan damai yang ditaja oleh musuh dan mendedahkannya kepada umum
- Menyebarkan fikrah ini kepada dunia seluruhnya untuk menarik sokongan massa terhadap hak rakyat Palestin
- Menggesa umat Islam di semua tempat agar menentang kemungkaran dan salah guna kuasa di Negara-negara Arab dan Negara-negara Umat Islam
- Menentang sebarang percubaan untuk menunudukkan bangsa Arab dan umat Islam
- Menghalang bertapaknya zionis di mana-mana jua dan menghalau mereka keluar dari sempadan Negara kita.

Allahu Akbar wa liLlahil-hamd
“… Dan orang-orang yang zalim kelak akan tahu ke tempat mana mereka akan kembali.” (Asy-Syu’araa’:227)

Tuesday, November 10, 2009

GAMBAR-GAMBAR BERBICARA

1


2


3


TIMUR JABALIYA, ISNIN 9/11/2009

Monday, November 09, 2009

PENAWAR DUKA NESTAPA



Sejak lebih 1400 tahun yang lalu Rasulullah s.a.w. mengajar kita doa yang bermaksud: “Ya Allah, aku berlindung denganMu daripada kerisauan dan kesedihan, aku berlindung denganMu daripada sifat pengecut dan kedekut, dan aku berlindung denganMu daripada cengkaman hutang dan penindasan manusia”. Maka kita membacanya sebagai ibadah, mengharap pahala kerana mengamalkan sunnah. Hari ini baru kita ketahui rupa-rupanya kerisauan dan kesedihan merupakan penyakit yang berbahaya kepada manusia.
Kerisauan dan kesedihan akibat masalah yang melanda boleh menyebabkan berlakunya kemurungan. Statistic kemurungan seperti yang didedahkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengkategorikan depresi sebagai penyakit keempat serius melumpuhkan jiwa seseorang.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga menganggarkan kadar kematian (bunuh diri) akibat kemurungan di rantau Asia adalah lebih tinggi dengan nisbah kemurungan antara lelaki dan perempuan adalah satu nisbah dua.

Kajian di Malaysia pula mendedahkan kira-kira sembilan peratus rakyat negara ini mengalami kemurungan tahap serius.

Dikatakan bahawa, baik wanita sudah berumah tangga, bujang, remaja mahupun kanak-kanak tidak terlepas daripada menanggung masalah yang akhirnya boleh menyebabkan kemurungan. Sekiranya tidak diatasi dengan baik, boleh memberi kesan buruk kepada diri, orang sekeliling dan masa depan mereka.

Di dalam kitab suci al-Quran, Allah s.w.t. mendedahkan tabiat jiwa manusia yang sentiasa berada dalam keadaan keluh kesah dan tidak tetap pendirian. Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut). Apabila dia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah. Dan apabila dia beroleh kesenangan, dia sangat bakhil kedekut.” (Al-Ma’arij:19-21)

Namun setiap penyakit ada ubatnya. Demikian juga penyakit risau, sedih dan murung ini.

Tanpa menidakkan kaedah rawatan dan terapi yang disarankan oleh pakar-pakar zaman sekarang, al-Quran dan as-Sunnah sebenarnya mengandungi pelbagai saranan dan bimbingan yang sangat penting. Jika dihayati sepenuhnya tidak mungkin kerisauan akan bertandang, apalagi melekat sehingga menjadi racun dan menanah di dalam jiwa.

Sila ikuti sambungan bicara ini di:
http://www.malaysiaharmoni.com/

Jazakumullahu khaira

Friday, November 06, 2009

CITA-CITA (Sambungan)

Cita-cita orang toleh

i. Saat menghampiri kematian dia berharap dan bercita-cita agar ditambah usianya walau seketika cuma untuk bersedekah dan berbuat kebajikan.
Ibn Abbas r.a. berkata maksudnya: “Sesiapa yang mempunyai harta yang cukup untuk dia menunaikan haji tetapi tidak ditunaikannya, atau memiliki harta yang cukup nisab untuk membayar zakat tetapi tidak dibayarnya, maka dia akan meminta dikembalikan nyawanya apabila sampai masa dia dimatikan”. Seorang lelaki berkata kepadanya: “Wahai Ibn Abbas, Takutlah kamu kepada Allah! Sesungguhnya yang meminta supaya dipulangkan nyawa itu adalah orang kafir”. Ibn Abbas menjawab: “Aku akan bacakan kepadamu ayat-ayat ini”. Dia membacakan ayat-ayat daripada surah al-Munafiqun yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (dengan menjalankan perintahNya). Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi. Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya dan Allah Amat Mendalam PengetahuanNya mengenai segala yang kamu kerjakan.” (9, 10, 11). Riwayat at-Tirmizi.
Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Mu’minun bermaksud: “Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah dia: Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia). Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan. Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang dia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).” (99-100)

ii. Ketika diusung ke tanah perkuburan dia bercita-cita untuk melarikan diri dari dibawa ke tempat persemadiannya. Abi Sa’eid al-Khudri meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Apabila diletakkan jenazah di atas keranda, lalu dia diusung oleh beberapa orang pengusung, jika dia terdiri dari orang soleh maka dia berkata: ”Qaddimuni! Qaddimuni! (Ayuh segera hantarkan saya! Ayuh segera hantarkan saya!)”. Jika dia bukan dari kalangan orang yang soleh, dia menjerit: “Aduhai celakanya! Ke mana mereka hendak manghantarkan aku!”. Nabi s.a.w. menjelaskan maksudnya: “Jeritannya itu didengari oleh segala sesuatu kecuali manusia. Sekiranya manusia mendengarnya nescaya mereka akan mati serta merta”.

iii. Ketika berada di alam barzakh ia bercita-cita untuk kembali ke dunia walau seketika untuk melakukan amal soleh sekadar solat dua rakaat sahaja dirasakan cukuplah. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa ketka Rasulullah s.a.w. melintasi sebuah kubur, baginda bertanya: “Kubur siapakah ini?” Sahabat menjawab: “Kubur si fulan”. Baginda lalu bersabda maksudnya: “(Kembali ke dunia untuk) menunaikan solat dua rakaat lebih diingini oleh pemilik kubur ini daripada segala isi dunia”.

iv. Ketika dihimpunkan di Padang Mahsyar dia bercita-cita, merayu dan meminta supaya dikembalikan semula ke dunia untuk beramal soleh. Allah s.w.t. telah berfirman maksudnya: “Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin.” (As-Sajadah:12)

Dia juga bercita-cita untuk memiliki harta lebih besar daripada dunia untuk menebus segala dosa-dosanya. Hal ini dinyatakan di dalam al-Quran bermaksud: “…..dan orang-orang yang ingkar yang tidak menyahut seruanNya, kalaulah mereka mempunyai segala apa jua yang ada di bumi disertai dengan sebanyak itu lagi, tentulah mereka rela menebus diri dengannya. Mereka itu disediakan baginya hitungan hisab yang seburuk-buruknya, serta tempat kembali mereka ialah Neraka Jahanam dan amatlah buruknya tempat tinggal itu.” (Ar-Ra’d:18)

Bukan sekadar harta, malah segala miliknya yang paling berharga dan amat disayanginya semasa di dunia, dia tidak teragak-agak untuk menggunakan semua itu demi menebus dosa dan kesalahannya. Allah s.w.t. berfirman maksudnya: “….(pada saat yang demikian) orang yang kafir suka kiranya dapat menebus dirinya dari azab itu dengan anak-anaknya sendiri. Dan isteri serta saudaranya. Dan kaum kerabatnya yang melindunginya. Dan juga sekalian makhluk yang ada di bumi, kemudian (diharapkannya) tebusan itu dapat menyelamatkannya. Tidak sekali-kali (sebagaimana yang diharapkannya)! Sesungguhnya Neraka (yang disediakan baginya) tetap menjulang-julang apinya. (Membakar serta) menggugurkan kulit ubun-ubun dan anggota anggota tubuh badan. Neraka itu juga memanggil dan menarik orang yang membelakangi serta berpaling (dari kebenaran).” (Al-Ma’arij: 11-17)

Monday, November 02, 2009

CITA-CITA



Setiap orang yang hidup mesti ada cita-cita, sehingga ada yang berkata orang yang tidak mempunyai cita-cita itu sebenarnya telah mati sebelum ajal.

Benarkah begitu?

Di pandang dari segi pentingnya mempunyai cita-cita, mungkin ungkapan itu ada benarnya. Tetapi kalau dipandang dari segi maksud bahawa orang yang tidak mempunyai cita-cita itu adalah mati, secara tidak langsungnya membawa maksud orang mati itu tidak mempunyai cita-cita, maka ungkapan itu boleh dipersoalkan. Sebenarnya orang mati juga mempunyai cita-cita!

Benar! Orang mati juga mempunyai cita-cita! Mungkin lebih hebat daripada cita-cita kita yang masih hidup ini.

Apakah cita-cita mereka? Bagaimana kita mengetahuinya?
Tidak ada siapapun di antara kita yang sempat menemuramah orang yang mati untuk mengetahui cita-cita mereka.

Satu-satunya saluran untuk mengetahui apakah cita-cita mereka adalah apa yang diberitahu kepada kita oleh Nabi s.a.w. berdasarkan wahyu yang diterimanya daripada Allah Yang Memiliki kehidupan dan kematian sekelian hambaNya.
Orang yang telah mati terbahagi kepada dua golongan: soleh (baik/beruntung) dan toleh (jahat/rugi).

Cita-cita orang soleh

i. Ketika diusung ke tanah perkuburan dia bercita-cita untuk segera sampai ke tempat persemadiannya. Abi Sa’eid al-Khudri meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Apabila diletakkan jenazah di atas keranda, lalu dia diusung oleh beberapa orang pengusung, jika dia terdiri dari orang soleh maka dia berkata: Qaddimuni! Qaddimuni! (Ayuh segera hantarkan saya! Ayuh segera hantarkan saya!)”

ii. Ketika berada di alam barzakh dia berharap agar segera terjadinya qiamat. Rasulullah s.a.w. meneceritakan bahawa seseorang hamba yang beriman, apabila telah selesai menjawab soalan dua malaikat di dalam kuburnya, suara dari langit akan berseru maksudnya: “hambaKu telah berkata benar. Maka sediakan untuknya hamparan daripada syurga, pakaikan dia pakaian daripada syurga, bukakan untuknya pintu ke syurga! Maka terbentanglah di hadapannya syurga dengan wangian-wangian, diluaskan dan dilapangkan kuburnya sejauh pandangan matanya. Datanglah kepadanya seseorang yang sangat cantik parasnya, bersih dan harum pakaiannya seraya berkata kepadanya: “Berbahagialah dengan kenikmatan yang diberikan kepadamu, inilah hari yang dijanjikan untukmu”. Dia bertanya kepada orang yang datang itu: “Siapakah kamu? Sesungguhnya wajahmu adalah wajah yang membawa kebaikan!”, lalu dia menjawab: “Aku adalah amalanmu yang soleh”. Maka dia berkata: “Ya Allah! Segerakanlah qiamat! Segerakanlah qiamat! Semoga aku dapat bertemu dengan keluargaku dan hartaku!”

iii. Bercita-cita untuk kembali menemui ahli keluarga dan memberitahu apa yang sedang dialaminya daripada kesenangan dan kenikmatan yang tiada tandingnya. Jabir bin Abdullah r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: “Apabila seorang mukmin melihat betapa lapang dan luas kuburnya, dia berkata: “Biarkan aku kembali menyampaikan berita gembira kepada ahli keluargaku”. Hal ini juga telah diceritakan di dalam al-Quran, di mana seorang pendakwah yang telah dibunuh oleh kaumnya bercita-cita agar kaumnya mengetahui nikmat yang sedang dikecapinya. Allah berfirman maksudnya: “(Setelah dia mati) lalu dikatakan kepadanya: Masuklah ke dalam Syurga. Ia berkata; Alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui. Tentang perkara yang menyebabkan daku diampunkan oleh Tuhanku, serta dijadikannya daku dari orang-orang yang dimuliakan.” (Ya-Sin:26-27)

iv. Bagi orang yang syahid fi sabilillah, cita-cita mereka berlainan pula. Mereka bercita-cita untuk kembali ke dunia agar dapat berperang dan terbunuh beberapa kali lagi. Anas bin Malik r.a. berkata bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Tidak ada orang yang telah masuk syurga bercita-cita untuk kembali ke dunia, sedangkan dia tidak memiliki apa-apapun di atas muka bumi, kecuali orang yang syahid. Dia bercita-cita untuk kembali ke dunia dan terbunuh di jalan Allah sepuluh kali kerana kemuliaan yang dilihatnya”

Cita-cita orang toleh

Insya Allah bersambung….

Tunggu!

Wednesday, October 28, 2009

Seruan al-Banna: Boikot COCA COLA demi Palestin!

Hasan al-Banna, Mursyidul-‘Aam Ikhwan Muslimin telah menghantar perutusan khas kepada semua markaz Ikhwan di seluruh Mesir menyeru agar umat Islam memboikot minuman coca cola. Di dalam perutusan itu, beliau menyatakan:

“Sikap Kerajaan Amerika terhadap isu Arab dan Islam adalah jauh dari kebenaran, keadilan dan pembelaan. Sebaliknya ia cenderung kepada membela kezaliman dan orang-orang yang zalim.

Oleh kerana coca cola adalah minuman yang dihasilkan oleh Amerika, maka wajib atas kita di hadapan Allah, tanah air, agama dan bangsa agar tidak bekerjasama dengan orang yang menolong Yahudi dalam memerangi umat Islam kerana bejersama dengan mereka tidak selaras dengan perintah agama kita yang suci dan mulia yang memerintahkan kita agar memusuhi orang yang menentang Allah dan RasulNya.

Justeru, saya meminta semua Ikhwan agar menjadikan coca cola sebagai minuman yang haram bagi mereka. Jangan bawa masuk ke dalam rumah dan pejabat , jangan hidang kepada tetamu dan pengunjung. Sesungguhnya Ikhwan wajib memboikot minuman Amerika ini dan apa saja produk Amerika. Ikhwan yang menjualnya hendaklah memulangkannya kepada pembekalnya supaya mereka tahu bahawa kita adalah umat yang mengetahui tanggungjawabnya dan kita sama sekali tidak akan bekerjasama dengan musuh-musuh kita serta mereka yang secara terus terang menyokong musuh kita.
Itulah pesanan saya kepada kamu, bahkan itu adalah pesanan Allah dan pesanan al-Quran”.

Allahu Akbar wa lilLahil-Hamd

Pusaka al-Banaa, Akhbar Tanta, bil 838, tahun ke 23, 18 Sya’ban 1367/ 26 Jun 1948

Monday, October 26, 2009

Dakwah Ikhwan Bersifat ‘Alami (Sambungan)

2. Ustaziyyatul-Alam

Imam al-Banaa telah menetapkan objektif-objektif penting yang ingin dicapai dan direalisasikan . Antara objektif itu adalah yang diletak sebagai objektif ke 7: Ustaziyyatul-Alam.

Beliau telah menerangkan apa yang dimaksudkan dengan Ustaziyyatul-Alam, iaitu dengan menyebarkan dakwah ke seluruh pelusuk buana ini.

Pada kesempatan lain, beliau menjelaskan dengan ungkapan: Islam menganggap umatnya sebagai pemegang amanah yang menjaga risalah Allah di bumiNya. Kedudukan umat Islam adalah sebagai maha guru (ustaz), kita tidak berkata bahawa umat Islam adalah tuan atau penguasa dengan sebab amanah yang dipikulkan ke atas bahunya ini. Sesungguhnya mereka (umat Islam) tidak dibenarkan untuk menundukkan diri kepada pihak lain, memperhambakan diri , bersikap lemah dan menyerah kalah kepada pihak yang menjajah dan merampas dengan cara yang salah. “… dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang yang beriman.” (An-Nisaa’:141)

3. Mihwar ad-Dakwah

Imam al-Banna menjelaskan bahawa hubungan antara Ikhwan dengan institusi dan badan-badan dakwah yang berselerak di seluruh muka bumi adalah berlegar di atas kepentingan dakwah. Dakwah adalah tunjang yang menjadi paksi semua hubungan.

Beliau menegaskan dengan berkata: “Perhubungan dengan semua badan-badan dakwah bukan hanya sekadar kerana persamaan dari segi nama atau persamaan dari segi matlamat umum sahaja, tidak sama sekali. Sebaliknya ia lebih daripada itu. Hubungan kita dengan mereka lebih kuat daripada itu, iaitu hubungan yang berteraskan kasih sayang yang mendalam, kerjasama yang kukuh, ikatan keagamaan yang suci dan berlegar di atas kepentingan dakwah, kesatuan matlamat, kesatuan rasa, cita-cita, jihad, amal, wasilah, ghayah, manhaj dan derap langkah.

Ikhwan yang menziarahi saudara-saudara mereka dan bergaul dengan mereka mengetahui bahawa perkara paling penting dalam hidup mereka dan urusan mereka adalah dakwah. Aku tidak menyembunyikan daripada kamu bahawa aku benar-benar rasa bertuah dengan kesatuan dan ikatan persaudaraan yang sejati ini, bangga dengan hubungan yang ditambat dengan tali ketuhanan yang kuat ini, besar harapanku untuk masa depan yang gemilang selama mana kamu berkeadaan begini, iaitu bersaudara kerana Allah, berkasih sayang, bertolong-tolongan pada jalanNya. Maka peliharalah kesatuan ini kerana ia adalah senjata kamu dan bekalan kamu. (Risalah Muktamar ke 5).

Oleh itu wajib ke atas kita memelihara beberapa perkara berikut:
• Isitiqamah membaca doa dan wirid rabitah yang mengikat hati-hati para duat meskipun jarak mereka berjauhan antara satu dengan lain.
• Sentiasa memahami alamiyyahnya dakwah ini dan besarnya tanggungjawab kita terhadap umat Islam khususnya dan alam seluruhnya.
• Berusaha memperkenalkan dakwah ini, prinsip-prinsip serta fikrahnya di serata tempat di dalam dunia ini. Kita adalah duta kepada dakwah ini dan pembawa khabar gembira mengenainya.
• Memahami dan menghayati isu-isu dunia Islam dan sentiasa berdiri teguh di belakangnya sedaya mungkin.
• Bekerja keras dengan sungguh-sungguh dan berterusan demi merealisasikan kebangkitan umat dan pembinaan tamadunnya.
• Menaruh harapan yang besar dan luas, keyakinan yang tidak berbelah bagi terhadap janji Allah s.w.t. Sesungguhnya Dia telah berjanji akan memberikan kemenangan dan keteguhan kepada umat ini. Alangkah indahnya kalimah yang pernah diungkapkan oleh Imam al-Banna tentang perkara ini di dalam Risalah Muktamar ke 5: “Wahai Ikhwan Muslimun: janganlah kamu berputus asa kerana putus asa itu bukan akhlak orang Islam. Reality hari ini adalah impian semalam dan impian hari ini akan jadi reality esok hari. Masih ada waktu untuk kita. Anasir-anasir yang baik masih kuat dan hebat di dalam jiwa bangsa kamu yang beriman sekalipun mereka diserang pelbagai gejala yang merosakkan. Sesungguhnya sesuatu yang lemah itu akan tetap lemah sepanjang hayatnya dan sesuatu yang kuat itu akan terus kuat selama-lamanya. Bacalah firman Allah yang bermaksud: “Dan Kami hendak berihsan dengan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (apa yang dimiliki oleh Firaun dan kaumnya).” (Al-Qasas:5)

Sesungguhnya akan tiba masanya peristiwa-peristiwa besar akan menyerlah.
Sesungguhnya peluang akan terbentang untuk kamu melakukan kerja-kerja yang hebat. Sesungguhnya dunia sedang menanti dakwah kamu, dakwah yang membawa petunjuk, hidayah, kemenangan, kejayaan dan kesejahteraan. Dakwah yang akan membebaskan dunia daripada derita yang dialami kini. Sesungguhnya kini giliran kamu untuk memimpin umat dan memerintah bangsa-bangsa. Demikian kami tukar gantikan hari-hari di kalangan manusia. Kamu mengharap (rahmat serta pertolongan) daripada Allah apa yang mereka tidak harapkan. Maka bersiap sedialah dan beramallah kamu mulai hari ini kerana mungkin esok kamu tidak mampu untuk beramal lagi.

Wednesday, October 21, 2009

Menjadi Menantu Kesayangan Mentua

Perkahwinan bukan sahaja mengikat antara sepasang manusia yang bergelar suami dan isteri. Malah ia merupakan pertautan antara dua keluarga, mungkin juga dua bangsa atau dua negara. Justeru, apabila secara sah anda dinobatkan menjadi suami atau isteri, maka serentak dengan itu anda juga menjadi menantu kepada orang yang bergelar ayah dan ibu mentua.

Untuk menjamin kelangsungan sebuah perkahwinan, tidak cukup sekadar pandai menjaga hati, memadu kasih antara suami dan isteri sahaja. Sebaliknya anda juga harus tahu mengambil hati dan menagih kasih mentua.

Mentua adalah orang yang menjadi sebab kepada wujudnya pasangan anda. Merekalah yang bertanggungjawab membesar dan mendidiknya hingga menjadi manusia yang serasi sebagai pasangan untuk anda. Mereka mengenali pasangan anda jauh lebih dahulu daripada anda dan sayangnya mereka kepada pasangan anda tiada taranya.

Oleh itu jika anda ingin bahagia di sisi pasangan anda, disayangi oleh mentua dan disenangi oleh ahli keluarganya perkara-perkara berikut perlu difahami. Sebahagiannya apa yang wajib anda lakukan dan sebahagiannya apa yang mesti anda jauhi.

Sila ikuti sambungannya di:

http://www.malaysiaharmoni.com/

Tuesday, October 20, 2009

Dakwah Ikhwan Bersifat ‘Alami

عالمية الدعوة في فكر الإمام البنا

Dakwah ikhwan mempunyai ciri-ciri keistimewaan tertentu yang menjadikannya berkesan dan senang diterima oleh berbagai-bagai masyarakat dan bangsa.
Meskipun masyarakat dan bangsa-bangsa itu berbeza dari segi bahasa, budaya, tahap pendidikan dan latar belakang, dakwah Ikhwan mampu menghubungkan mereka dengan Allah ‘Azza wa Jalla, membawa mereka kembali kepada kitab Allah dan mengikuti Sunnah Rasulullah s.a.w.

Dakwah Ikhwan berjaya menanamkan di dalam diri mereka kefahaman Islam yang sahih serta kesyumulannya, dan membangkitkan kesedaran tentang kewajipan beramal untuk melaksanakannya di dalam kehidupan dan berusaha membangunkan Negara Islam yang benar-benar mendaulatkan Syariah.

Keistimewaan ini juga menjadi factor penting kelansungan dakwah ini dan keupayaannya memainkan peranan di dalam membangkitkan jiwa-jiwa umat Islam dan menyatu padukan mereka dengan ikatan persaudaraan dan berkasih sayang.
Meskipun sepanjang perjalanannya, dakwah sering berdepan dengan bermacam-macam mehnah, bermacam-macam rintangan dan halangan yang hebat, ia tidak pernah pudar dan menguncup. Sebaliknya ia terus menyinar dan berkembang hampir 80 tahun lamanya. Semua ini terjadi adalah kerana rahmat dan kurniaNya Yang Maha Esa serta berkat keistimewaan yang dimilikinya. Antara keistimewaan dakwah Ikhwan ialah:

1. ‘Alamiyyah

Dakwah Ikhwan telah muncul di medan amal dengan mengemukakan Islam kepada dunia seluruhnya, khususnya dunia Islam sejak 80 tahun yang lalu. Islam yang dikemukakan oleh Ikhwan adalah Islam yang sempurna, syumul, jelas, praktikal serta sesuai untuk dilaksanakan di semua tempat dan pada setiap masa. Seandainya manusia benar-benar memahami dan melaksankannya pasti mereka akan berbahagia di dunia dengan menikmati kebenaran dan keadilan. Di akhirat pula mereka beroleh kemenangan mencapai redha Allah yang telah menciptakan mereka, memberi rezeki dan menetapkan usia mereka.
Sesungguhnya kesyumulan Islam yang kita fahami inilah yang dapat mendidik jiwa, membangun rijal, membentuk masyarakat, menyelesaikan pertelingkahan, menjamin hak setiap yang berhak dengan adil dan saksama sama ada muslim atau bukan muslim. Pada pandangan Islam, semua manusia adalah makhluk yang dimuliakan sebagaimana dinyatakan di dalam firman Allah yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan.” (Al-Isra’:70)

Manusia di bawah panji Islam semuanya dirahmati. Allah s.w.t. menegaskan di dalam firmanNya yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Al-Anbia’:107)

Dan semua manusia tanpa mengira akidah mereka, di bawah naungan Islam, tidak akan dizalimi. “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Al-Maidah:8)

Inilah Islam yang diperlukan oleh dunia hari ini. Dunia yang penuh dengan kezaliman, penyelewengan dan kerosakan. “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Ar-Rum:41)

Oleh kerana dakwah Ikhwan adalah dakwah Islam yang sejati dan tulin, maka semua umat Islam mudah menerimanya dan menggabungkan diri di dalam safnya. Mereka berpegang teguh kepada ajarannya, berusaha bersungguh-sunggh untuk menyebarkannya, bermujahadah dan berjihad demi menegakkan ajarannya sebagai mematuhi firman Allah yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk.” (An-Nahl:125)

Sesungguhnya telah nyata dan terbukti bahawa dakwah Ikhwan tidak ditujukan kepada sesuatu negeri tertentu atau sesuatu bangsa tertentu. Sebaliknya ia ditujukan kepada manusia seluruhnya. Sehubungan dengan ini, Imam al-Banna berkata: “Asal usul mereka satu, bapa mereka satu, keturunan mereka satu. Tidak ada kelebihan antara mereka kecuali dengan taqwa. Firman Allah bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Al-Hujurat:13)

dan firmanNya bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya iaitu Hawa) dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan, lelaki dan perempuan yang ramai…” (An-Nisaa’:1).
Justeru kita tidak berbegang kepada kefahaman kebangsaan yang sempit, kita tidak menggalakkan sikap taasub kepada bangsa dan warna kulit. Tetapi kita menyeru kepada persamaan yang hakiki di kalangan semua umat manusia.

Sesungguhnya Imam al-Banna benar-benar memberikan perhatian agar dakwah Ikhwan tidak menjadi suatu gerakan yang berligar di sekitar daerah tertentu sahaja. Sebaliknya gerakan Ikhwan bersifat ‘alami sebagaimana ‘alaminya dakwah itu sendiri. Buktinya sejak tahun 40an gerakan Ikhwan telah melebar ke serata dunia Arab, kemudian menjalar ke setiap tempat. Sesungguhnya Imam al-Banna telah mengutus wakil-wakilnya menemui para pemimpin di India, Pakistan, Indonesia, Afghanistan, Sudan, Somalia, Syria, Jordan, Iraq dan Palestin.

Di atas landasan inilah dakwah Ikhwan berjalan sejak mula penubuhannya hingga sekarang. Fikrah Ikhwan telah menjalar ke seluruh pelusuk dunia, didokong oleh pelbagai bangsa, diwarisi daripada yang tua kepada yang muda. Ikatan mereka hanya satu, wala’ mereka satu, matlamat mereka satu dan manhaj mereka satu meskipun warna mereka berbeza, bahasa mereka berbeza, budaya mereka berbeza dan bangsa mereka berbeza. Mereka adalah manifestasi kata-kata Imam al-Banna: ‘Kamu adalah ruh jadeed (jiwa yang baru) yang mengalir di dalam hati umat ini yang dihidupkan oleh al-Quran’.

Bersambung insya Allah…

Sumber: http://www.ikhwanonline.com

Wednesday, October 14, 2009

PERUTUSAN MURSYID AM IKHWAN MUSLIMIN KEPADA SISWA DAN SISWI SEMPENA SESI PENGAJIAN YANG BARU

Segala puji bagi Allah, Rabb sekelian alam. Selawat dan salam ke atas Rasulullah al-Amin. Wa ba’du;

Kamu adalah pencetus kebangkitan

Sesungguhnya telah menjadi ketentuan Allah s.w.t. bahawa dakwah tidak tegak dan tidak menang kecuali di atas bahu orang muda. Sirah Nabi s.a.w. adalah saksinya. Ibn Abbas r.a. melaporkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda pada hari peperangan Badar (maksudnya): “Sesiapa yang melakukan begini dan begini dan datang ke tempat ini dan ini, maka baginya ini dan ini!”, lalu berlumba-lumbalah para pemuda ke arahnya, sedangkan orang tua-tua terpacak sahaja di sisi bendera. (Riwayat an-Nasaei)
Maka pemuda hari ini adalah harapan bagi umat ini. Merekalah roh yang menghidupkannya dan tiang yang menjadi tonggaknya.
Mahasiswa dan mahasiswi khususnya adalah mereka yang mencipta kecemerlangan dan keunggulan. Merekalah agen perubahan yang dinanti-nantikan. Merekalah factor kebangkitan yang diharapkan. Lantaran itu, Allah s.w.t. menjadikan hati-hati pemuda sebagai bejana penampung ilmu. Dia menjadikan ilmu serasi bersemadi di dalam hati para pemuda. Ibn Abbas r.a. pernah berkata maksudnya: “Allah ‘Azza wa Jalla tidak memberikan ilmu kepada seseorang hamba kecuali pemuda. Kebaikan itu semuanya ada pada pemuda. Kemudian beliau membacakan firman Allah ‘Azza wa Jalla yang bermaksud:( (Setengah dari) mereka berkata: Kami ada mendengar seorang anak muda bernama Ibrahim, mencacinya. (Al-Anbia’:60) dan “Wahai Yahya, terimalah Kitab itu (serta amalkanlah) dengan bersungguh-sungguh! Dan Kami berikan kepadanya Hikmat kebijaksanaan semasa dia masih kanak-kanak.” (Maryam:12)
Maka ummah berhajat kepada kejayaan akademik kamu, menanti cetusan ilmu hasil penyelidikan kamu, mengharap kecemerlangan dan keunggulan daripada kegigihan kamu. Siapakah yang lebih layak daripada kamu wahai pemuda. Kamu punya energy yang disalut cahaya ilmu untuk mengubah masa depan tanah air kita, memimpin dunia ini ke arah kebenaran, keadilan dan persamaan. “Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahi mereka dengan hidayat petunjuk.” (Al-Kahf:13)

Kewajipan Mahasiswa Yang Paling Utama

Sebenarnya saya telah melontarkan kepada kamu sebelum ini beberapa soalan. Hari ini akan saya lontarkan buat kali ke dua. Saya meminta setiap pemuda dan pemudi menggariskan di dalam jawapannya lukisan yang menggambarkan kewajipannya yang saebenar. Selepas itu mula bergerak ke arah kebangkitan dan mengembalikan hak-hak yang dirampas dari umat ini.
- Di manakah letaknya para pemuda dunia Islam di atas peta dunia dan sejauh mana kesan yang mereka bawa terhadap perubahan yang berlaku di dalam dunia hari ini?
- Bagaimana para pemuda di dunia Islam melihat kedudukannya di atas peta tanah airnya?
- Adakah pengetahuan pemuda dunia Islam sekarang bersumberkan Islam dan diwarnai pemikiran Islam atau diceduk daripada sumber yang lain?
- Apakah yang dicita-citakan oleh pemuda dunia Islam kita mengenai masa depan mereka?
Bukankah dengan jawapan itu kamu wahai pelajar, kamu dapat memahami reality umat hari ini, tentang apa yang kita harapkan daripada umat kita yang berusaha untuk membebaskan diri daripada ikatan penjajahan, kediktatoran, kerosakan dan penindasan? Sesungguhnya Imam al-Banna telah mengingatkan hal ini kepada para pemuda di mana beliau pernah berkata: “Dan pada ketika itu kewajipan pemuda yang paling utama adalah memberi tumpuan kepada umatnya lebih daripada tumpuan kepada diri mereka sendiri!” Inilah juga yang dilihat oleh Rasulullah s.a.w. terhadap pahlawan-pahlawan dari kalangan pemuda di sekelilingnya. Baginda bersabda maksudnya: “Aku dibangkitkan, maka aku dikeciwakan oleh orang tua, dibantu oleh pemuda”
Dan hari ini tibalah masa untuk kamu menulung agama kamu tanpa takut dan ragu. Berpegang teguhlah kepada hak-hak kamu sekalipun berhadapan dengan ancaman dan tekanan yang berat. Suarakan kebenaran dengan lantang meskipun ia mengundang seribu rintangan. Kemukakan idea dan buah fikiran kamu tanpa segan dan malu. Jangan endahkan system kuku besi yang mencengkam kini kerana sesungguhnya tidak lama lagi ia akan berkubur. Tiada yang kekal kecuali kebenaran.

Melangkah ke medan amal

Antara kewajipan pelajar yang paling utama terhadap umat adalah langkah-langkah praktikal yang diajukan oleh mereka dan ikhwan dari segi fikrah, amal dan pelaksanaan. Ayuhlah dari sekarang kita bergerak demi merealisasikan impian Imam al-Banaa ketika beliau berucap di hadapan para pelajar di dalam muktmar mereka: “Kita tinggalkan medan bercakap ke medan amal, medan meletakkan strategi dan manhaj ke medan melaksana dan merealisasi. Timur menuntut kita dengan sungguh-sungguh sepaya bekerja keras, kerja yang membuahkan hasil. Dunia seluruhnya mempersiapkan diri mereka dengan membina kekuatan kekuatan dan mencari jalan-jalan yang membawa kepada kejayaan. “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.” (As-Saff:2-3)
Ayuh kita fahami Islam. Ia satu-satunya risalah yang mampu menyelamatkan dunia dan seluruh isinya. Ia mengandungi siasah, ekonomi, kemasyarakatan, kebudayaan dan undang-undang. Kalau bukan itu, maka apakah dia?
Imam al-Banna telah menjawab di hadapan para pelajar dengan berkata: “Adakah Islam itu rakaat-rakaat yang lahir dari hati yang tiada khusyu’? Atau adakah ia lafaz-lafaz/perkataan-perkataan yang diucapkan di bibir semata? Adakah hanya untuk ini al-Quran diturunkan? Tidak! Ia merupakan system yang sempurna, kemas, rapi dan terperinci! “…dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayat petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang menggembirakan, bagi orang-orang Islam.” (An-Nahl:89)
Mari kita lakukan pengislahan dan berpegang dengannya sekalipun terdapat halangan dan rintangan kerana pengislahan adalah perintah Allah “Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliah? Padahal kepada orang-orang yang penuh keyakinan, tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik dari Allah.” (Al-Maidah:50).
Sesungguhnya Rasul ikutan kita telah mengingatkan kita dengan sabdanya yang bermaksud: “Din itu nasihat. Mereka bertanya: “Untuk siapa ya Rasulullah? Baginda menjawab: “Untuk Allah, RasulNya, KitabNya, imam-imam muslimin dan awam mereka”. Dengan itu, mustahil bagi kita berjalan ke suatu matlamat selain daripada matlamat Islam, atau kita berkerja untuk satu fikrah selain daripada fikrah Islam yang suci. “(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: Agama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): Celupan Allah (yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam) dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat.” (Al-Baqarah:138)
Ayuh kita laungkan dakwah Islam senyaring-nyaringnya agar gemanya tinggi dan didengari. Sesungguhnya inilah tabiat dakwah yang dibawa oleh Nabi kita s.a.w. Adakah kita mahu menyimpang daripadanya? Atau adakah ia seharusnya sebati dengan urat saraf kita, darah kita, jiwa kita dan akal kita? Maka kita jadi seperti generasi pertama yang memikul amanah ini dan mempertahankannya? Mereka adalah rahib di waktu malam, perwira di waktu siang. Teman setia masjid, ahli ibadah yang taat, penghafaz kitab suci, mendokong ilmu, tentera dakwah, pembina hadharah yang menjulang tinggi memenuhi bumi, membebaskan bangsa-bangsa, mengajar manusia, menanam benih kemuliaan di mana jua.
Maka jadilah kamu utusan kesejahteraan di sekolah-sekolah kamu, di universiti-universiti kamu sehingga makna-makna ini hidup di dalam diri kawan-kawan kamu, guru-guru kamu dan keluarga kamu.
Kamu wahai pemuda orang yang memelihara kebebasan umat dan kemerdekaannya, yang mengembalikan kemuliaan dan ketinggiannya, yang memertabatkan keagongan dan kepemimpinannya, supaya ia kembali mengambil tempatnya yang di hadapan di kalangan bangsa-bangsa, darjatnya yang tinggi di kalangan umat-umat di muka bumi, supaya dia terlepas daripada cengkaman penjajahan yang jelik di Palestin, yang menceroboh tanah suci umat Islam, yang sedang berusaha untuk meyahudikan al-Quds dan meruntuhkan masjid kita, atau penjajah yang hina di Iraq dan Afghanistan, atau penguasaan yang memualkan di Kasymir dan Turkistan, atau kelemahan yang menyeluruh di semua negara umat Islam. Di dalam negara umat Islam sendiri pula, berlaku pembunuhan sesama Islam, penangkapan orang-orang mulia yang tidak berdosa, pembatasan kebebasan bergerak dan bersuara, pemalsuan undi dalam pilihanraya, penghukuman tanpa berpandukan akal dan perasaan kemanusiaan. Kamulah yang bertanggungjawab membetulkannya.
Dan tidak ada jalan untuk merealisasikan semua itu melainkan dengan membuat persediaan dan melengkapkan bekalan “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu dan kamu tidak akan dianiaya.” (Al-Anfal:60). Dengan itu kamu akan dapat membuka lembaran baru ke arah membangun umat kita. Ini juga memerlukan paduan tenaga, gabungan kekuatan, memanfaatkan semua kebolehan, kerja yang bersunguh-sungguh di setiap medan. Jangan tuang tenaga kamu kecuali untuk merealisasikan matlamat kamu, iaitu menyelamatkan bangsa kita sekarang ini. Sesungguhnya bangsa kita telah mula bernafas, telah bersedia untuk bangkit dengan cergas, tetapi ia berhajat kepada orang yang dapat memandu arah dan menunjukkan jalan.
Dan dengan itu kamu telah menyiapkan jalan untuk berpindah daripada kelemahan, kefaqiran, kejahilan dan kehinaan yang ditaja oleh mereka yang tidak inginkan kebaikan dan pembaikan. Mereka hanya melakukan kerosakan di bumi. Jangan kamu hiraukan mereka itu. Kamu adalah pencetus kebangkitan. Hadapi mereka dengan hikmah. Hikmah bererti jangan berhenti dan jangan undur atau berpaling ke belakang. Sekiranya mereka menghalang kamu daripada menyuarakan pandangan kamu dengan cara berdemontrasi maka nyatakan pandangan kamu di angkasa raya, menerusi internet atau risalah-risalah dengan segala macam dan cara, atau suarakan kepada kaum kerabat, rakan-rakan, pusat-pusat komuniti, kelab-kelab sosial atau berbicara dengan ahli akademik, golongan berpendidikan tinggi dan para profesynal. Sesungguhnya dakwah kita bukan dakwah yang meruntuhkan atau mengoyakkan, memalsukan atau memecahkan. Dakwah kita adalah kesejahteraan, kejujuran, pembinaan dan pembaikan.
Jadilah kamu barisan pemuda yang satu. Ia sudah cukup untuk mengambil kembali semua hak-hak. Awasi perpecahan dan pertelingkahan. Sesungguhnya musuh sentiasa mengintai kamu dan menunggu peluang untuk memecah belahkan tenaga kamu, mencerai beraikan usaha kamu, pergeseran sesama kamu, percakaran di kalangan kamu, pemboikotan antara kamu, perbezaan hala tuju di dalam saf kamu. Sesungguhnya masa depan benar-benar memanggil kamu, mendesak kamu supaya beramal dan berjalan selaju mungkin, melangkah sepantas yang boleh. Kemukakan dakwah Islam dengan iman yang mendalam, dengan bukti yang kukuh, dengan keyakinan yang teguh. Jadikanlah firman Allah sebagai slogan kamu “Wahai orang-orang yang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila Dia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menjadikan kamu hidup sempurna dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan.” (Al-Anfal:24)

Akhirnya:

Ketahuilah bahawa Allah bersama kamu selagi kamu mengetahui tangungjawab kamu, kamu memahami betapa besarnya dakwah kamu, kamu ikhlaskan niat kamu untuk Allah. Kamulah tonggak kekuatan umat ini, kuasa penolaknya ke hadapan, yang membawakan kemajuan dalam bidang ilmu pengetahuan. Kamulah lambang kesatuannya, kemantapan pendiriannya, harapan masa depannya, keamanan hari ini dan hari esoknya.
Maka tunggulah saat kemenangan, nantikanlah waktu kejayaan. “… Kepada pentadbiran Allah jualah terpulang segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira; Dengan kemenangan yang diberi Allah. Dia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Dialah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.” (Ar-Rum:4-5)

Al-Ustaz Muhammad Mahdi ‘Aakif
Khamis 12 Syawal 1430/1 Oktober 2009
Risalah al-Ikhwan, bil 610, 13 Syawal 1430/2 Oktober 2009

Tuesday, October 06, 2009

DASAR PENIPU

Seorang penipu datang ke sebuah pekan bersama isterinya untuk menipu penduduk pekan tersebut.
Hari Pertama: Dia membeli seekor keldai. Keldai tersebut dibawa pulang lalu disumbat ke dalam mulutnya wang emas sepenuh-penuhnya. Kemudian diheretnya ke tengah-tengah pasar tempat manusia berkumpul. Tiba-tiba si keldai terpandang seekor keldai betina muda, maka bertempiklah ia sekuat-sekuatnya dan berhamburanlah keluar kepingan-kepingan emas dari mulutnya.
Kejadian aneh itu pastinya mengundang perhatian orang ramai. Si penipu itu memberitahu mereka yang datang berpusu-pusu mengerumuni keldainya bahawa keldainya itu, setiap kali bertempik akan mengeluarkan wang emas dari mulutnya.
Apa lagi, tanpa berfikir panjang saudagar-saudagar besarpun mula berebut-rebut menawarkan harga yang tinggi untuk membelinya. Akhirnya keldaipun terjual kepada saudagar yang menawarkan harga paling tinggi.
Hanya beberapa jam sahaja selepas membeli keldai ajaib itu, saudagar tersedar bahawa dia telah tertipu! Dengan membendung segunung penyesalan dan kemarahan dia segera mencari penipu itu. Dia dan rakan-rakan beramai datang ke rumahnya lalu mengetuk pintu bertalu-talu. Si isteri membuka pintu dengan tenang dan memberitahu bahawa suaminya tidak ada di rumah. Isteri mempersilakan saudagar itu duduk sementara dia mengutus anjingnya untuk menjemput suaminya agar pulang segera. Dia turun ke bawah dan melepaskan anjing yang ditambatnya. Apabila terlepas, berlarilah anjing itu sekuat-kuatnya. Sebentar kemudian pulanglah si penipu ditemani seekor anjing yang serupa dengan anjing yang dilepaskan si isteri tadi.
Kagum akan ‘kepintaran’ si anjing menyebabkan mereka lupa tujuan asal mereka datang. Lalu sekali lagi mereka berebut menawarkan harga yang tinggi untuk membeli anjing yang ‘pintar’ itu. Akhirnya penipu Berjaya menjualnya kepada saudagar yang menawarkan harga paling tinggi.
Saudagarpun membawa pulang anjing ‘pintar’ itu ke rumahnya dan berpesan kepada isterinya bila dia keluar, hantarkan anjing itu untuk menjemputnya pulang. Apabila isteri melakukan apa yang disuruh suami, anjing terus lesap tanpa meninggalkan kesan. Sekali lagi saudagar tersedar bahawa dia telah tertipu seperti sahabatnya sebelum ini. Dan sekali lagi mereka beramai-ramai mengerumuni rumah penipu untuk menyatakan bantahan. Mereka menyerbu masuk tanpa salam dan meminta izin. Namun mereka tidak menemui yang dicari kecuali sang isteri.
Sebentar kemudian yang ditunggupun pulang. Dia memandang para tetamu, kemudian memandang isterinya yang diam membatu. Tiba-tiba dia berkata kepada isterinya: “Kenapa kamu tidak melayan para tetamu terhormat ini? Kenapa tidak dihidangkan makanan dan minuman kepada mereka?”
Isterinya menjawab acuh tak acuh: “Mereka tetamu kamu, kamulah yang sepatutnya melayan mereka!”
Penipu berpura-pura menunjukkan kemarahan kepada isterinya, lantas dengan pantas mengeluarkan sebilah pisau lipat yang kelihatan sangat tajam daripada sakunya dan terus menikam tepat ke dada isterinya yang telah tersimpan di situ bola yang berisi warna merah darah.
‘Darah’ terpancut keluar dan dia rebah buat-buat mati.
Kejadian di luar jangkaan itu sungguh memeranjatkan para saudagar. Mereka mengutuk dan mengecam sekeras-kerasnya kekejaman yang dilakukan sang suami ke atas isteri. Si penipu dengan selamba menenangkan para saudagar yang sedang marah. Dia berkata: “Jangan bimbang! Sebenarnya saya sudah banyak kali membunuhnya, tetapi saya boleh menghidupkannya semula!”. Lantas dia mengeluarkan seruling dari sakunya dan meniupnya. Dengan segera isterinya bangkit dari ‘kematiannya’ dan bergerak dengan cergas dan pantas menuju ke dapur untuk menyediakan kopi kepada para tetamu yang tercengang-cengang kebingunan.
Kejadian luar biasa itu membuatkan mereka amat terpegun dan sekali lagi terlupa tujuan mereka. Berebut-rebutlah mereka membuat tawaran yang hebat untuk membeli seruling ‘sakti’ yang dapat menghidupkan orang yang telah mati. Dan akhirnya serulingpun terjual. Pastinya kepada yang menawarkan harga paling tinggi!
Pembeli membawa pulang serulingnya dan mencuba kesaktiannya dengan menikam isteri sendiri, kemudian duduk di sisinya meniup seruling yang baru dibeli berjam-jam lamanya. Malangnya isterinya terus terkujur. Keesokan hari teman-temannya bertanya tentang ‘kesaktian’ serulingnya. Dia takut untuk mengatakan dia telah membunuh isterinya. Maka diapun berbohong dengan mengatakan seruling itu memang boleh menghidupkan orang yang telah mati. Teman-teman meminta untuk meminjamnya dan masing-masing mencuba dengan membunuh isteri sendiri.
Akhirnya penipuan terbongkar jua. Mereka menyerbu rumah penipu dan memberkasnya kemudian menyumbatnya ke dalam guni untuk dihumbankan ke dalam laut.
Para saudagar mengusungnya. Sebelum tiba ke laut mereka kepenatan dan berhenti seketika untuk berehat tetapi terus tertidur. Penipu menjerit dan meronta-ronta di dalam guni. Datanglah seorang pengembala kambing bertanya akan halnya, mengapa dia berada dalam guni sedang yang lain-lain pula tidur? Dia berkata, mereka hendak nikahkan dia dengan anak seorang saudagar kaya sedangkan dia cintakan sepupunya dan tidak mahu bernikah dengan anak saudagar kaya itu. Pengembala yang malang itu percaya apa yang diceritakan. Dengan segala senang hati dia menukarkan dirinya dengan penipu, masuk ke dalam guni dengan harapan dapat berkahwin dengan anak suadagar kaya. Penipu pulang ke rumah membawa kambing-kambing pengembala yang malang.
Apabila terjaga, saudagar-saudagar mengusung kembali guni ke laut dan dicampaknya. Mereka pulang dengan dada yang lapang, hati yang senang. Namun setiba di pekan mereka bertemu penipu yang tiba lebih awal daripada mereka. Bersamanya terdapat pula 300 ekor kambing! Mereka bertanya apa pula rahsianya? Penipu menceritakan bahawa ketika mereka mencampakannya ke dalam laut, dia disambut oleh bidadari. Bidadari itu memberinya emas dan kambing serta menghantarnya ke pantai. Bidadari juga memberitahu sekiranya mereka mencampakkannya ke tempat yang lebih jauh, dia akan disambut oleh saudaranya yang lebih banyak harta dan akan memberinya kambing beribu-ribu ekor. Dan saudaranya itu akan lakukan begitu dengan semua orang. Semua yang mendengar khabar gembira itu tidak berlengah untuk pergi ke laut dan mencampakkan diri mereka ke dalamnya. Maka pekanpun menjadi milik penipu itu sepenuhnya.

Pengajaran:
Penipu akan tetap menipu.
Malanglah mereka yang membiarkan dirinya terus tertipu.
Dedikasi untuk pengundi PRK Bagan Pinang.

Thursday, September 24, 2009

Adakah Mereka Lebih Sensitif Daripada Kita?

UNIONS ROW OVER BOYCOTT OF ISRAEL

Friday September 18,2009

By Daily Express Reporter

UNION leaders yesterday backed a boycott of goods from “illegal” Israeli settlements and called for a halt to arms sales to Israel.
But the TUC Congress in Liverpool headed off calls for a general ban on goods from Israel.
The Fire Brigades Union had urged the TUC to promote a “targeted” boycott and to encourage members not to buy any goods from Israel.
But after frantic behind-the-scenes negotiations delegates accepted a toned-down version.
TUC general secretary Brendan Barber said: “This is not a call for a general boycott of Israeli goods and services, which would hit ordinary Palestinian and Israeli workers, but targeted, consumer-led sanctions directed at businesses based in, and sustaining, the illegal settlements.”

Wednesday, September 23, 2009

RAYA KITA MEMANG BERBEZA



Setiap umat, setiap bangsa ada perayaan, ada hari raya yang disambut dengan penuh kemeriahan.
Kebiasaannya hari raya disambut oleh sesuatu kaum atau bangsa bersempena dengan sesuatu peristiwa tertentu yang dianggap penting bagi mereka seperti kelahiran seseorang pemimpin, kemenangan melawan musuh dan lain-lain.
Di dalam sejarah Islam, banyak peristiwa penting yang boleh dijadikan sebab untuk disambut sebagai hari raya seperti hari kelahiran Nabi s.a.w., hari permulaan baginda menerima wahyu, hari baginda berhijrah, kemenangan besar dalam peperangan Badar dan hari pembukaan kota Mekah. Semua itu merupakan peristiwa penting yang menjadi mercu tanda kebangkitan dan keunggulan perjuangan Rasulullah s.a.w. dalam menyebarkan Islam yang suci. Namun tidak pernah baginda menyuruh umatnya merayakan hari-hari tersebut, tidak pernah baginda memerintahkan agar hari-hari tersebut dijadikan sebagai hari raya.
Sesungguhnya hari raya kita disyari’atkan oleh Allah ‘Azza wa Jalla untuk hamba-hambaNya selepas mereka menunaikan ibadah kepadaNya.
Hari raya fitrah disyari’atkan selepas umat Islam menunaikan ibadah tahunan yang menjadi rukun Islam yang ke empat, iaitu puasa Ramadhan supaya mereka bergembira dengan keampunan yang dianugerahkan kepada mereka kerana berpuasa dan berqiam selama sebulan.
Hari raya adha pula disyari’atkan selepas mereka menunaikan ibadah haji yang diwajibkan ke atas hambaNya yang berkemampuan, ditunaikan sekali seumur hidup dan merupakan rukun Islam ke lima.
Jadi hari raya adalah hari kesyukuran, hari kegembiraan kerana dapat melaksanakan ibadah yang diperintah oleh Tuhan. Ia adalah anugerahNya Yang Maya Penyayang kepada sekelian hambaNya yang beriman. Lantaran itu hari raya mesti dirai, disambut dan dirasai oleh semua hambaNya tak kira miskin atau kaya. Maka yang kaya wajib mengeluarkan zakat fitrah selewat-lewatnya sebelum solat eid pada hari raya fitrah. Pada hari raya adha pula disunatkan qurban dengan menyembelih bintang ternakan.
Hari raya bukan rekaan Nabi s.a.w. dan tidak ada kena mengena dengan sejarah perjuangan serta perjalanan hidup baginda. Ia adalah lambang pengabdian yang tulus ikhlas antara hamba dengan Pencipta. Lantaran itu ia disambut dengan acara-acara berbentuk ibadah seperti takbir, solat, sedekah, ziarah dan sebagainya. Tidak harus sama sekali hari raya dicemari dengan maksiat dan hiburan yang berlebih-lebihan sehingga melanggari batas ajaran Islam.

Thursday, September 17, 2009

Berakhirnya Ramadhan

Setiap yang bermula pasti akan berakhir.
Esok atau lusa berakhirlah Ramadhan tahun ini.
Tahun hadapan belum tentu kita sempat menemuinya lagi.

Setiap orang daripada kita pasti mempunyai sejarahnya yang tersendiri di bulan mulia ini.

Untuk hari-hari terakhir ini, mari kita sama-sama berkongsi sebahagian peristiwa yang berlaku di minggu terakhir bulan Ramadhan di sepanjang sejarah Islam.


22 Ramadhan
- Tahun 273H bersamaan 20 Feb 886M Imam al-Hafiz Abu Abdullah Muhammad bin Yazid bin Majah al-Qazuwaini penulis kitab Sunan Ibn Majah yang merupakan satu daripada enam kitab sahih (Sahih al-Bukhari, Muslim, Sunan an-Nasaei, at-Tirmizi, Abu Daud dan Ibn Majah) kembali ke rahmatullah.
- Tahun 277H bersamaan 7 Jan 891M kelahiran Abdul Rahman an-Nasir, pemerintah Andalusia ke 6 daripada Bani Umayyah. Beliau merupakan pemerintah pertama di Andalusia yang dipanggil Amirul-Mukminin. Pemerintahannya yang menjangkau 50 tahun dianggap sebagai zaman keemasan Andalusia dari segi kemajuan dan kekuatan.

23 Ramadhan
- Tahun 9H bersamaan 631M berhala al-Lat diruntuhkan
- Tahun 31H bersamaan 652H pada zaman pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan r.a. kaum muslimin menewaskan as-Sasaniyyin selepas pemimpin mereka Yazdajrad bin Syahrayar, raja Parsi yang terakhir terbunuh. Dengan itu tamatlah kerajaan Parsi.

24 Ramadhan
- Tahun 20H bersamaan 5 Sep 641M selesai pembinaan Masjid Amru bin al-’Aas r.a. di Fustat, Mesir.
- Tahun 1393H bersamaan 21 Okt 1973 negara-negara Teluk yang terdiri daripada Kuwait, Qatar, Bahrain, Dubai menghentikan sepenuhnya penghantaran minyak ke Amerika Syarikat dan Belanda sebagai tanda sokongan kepada Mesir dan Suriya dalam peperangan mereka terhadap penjajah Yahudi. Dan buat pertama kalinya kedua-dua negara tersebut mencipta kemenangan dalam peperangan yang berlaku pada 10 Ramadhan bersamaan 6 Okt.

25 Ramadhan
- Tahun 8H bersamaan 15 Jan 630 Rasulullah s.a.w. mengutus Khalid bin al-Walid untuk meruntuhkan berhala-berhala, diantaranya al-’Uzza, Amru bin al-’Aas meruntuhkan Suwa’, Sa’ad bin Zaid al-Asyhaliy meruntuhkan Manat. Semua mereka menjalankan tanggungjawab dengan jayanya.
- Tahun 658H bersamaan 8 Sep 1260M tercetus peperangan Ain Jalut yang terletak di antara Bisan dan Nablus di Palestin. Tentera Islam dipimpin oleh panglima yang hebat Saifud-Din Qutuz, manakala Monggol dipimpin oleh Kitbuka. Dengan izin Allah serta pertulunganNya, tentera Islam mencapai kemenangan yang sekaligus menghentikan kemaraan tentera Monggol serta dapat menyelamatkan tamadun Islam dari kemusnahan.

26 Ramadhan
- Tahun 9H bersamaan 5 Jan 631M Rasulullah s.a.w. kembali dari Tabuk. Setiba di Madinah, baginda terus ke Masjid Nabawi dan mendirikan solat sunat. Orang-orang yang tidak ikut serta dalam peperangan datang memohon maaf dan menceritakan alasan masing-masing kecuali Ka’ab bin Malik, Murarah bin ar-Rabi’ al-’Amriy dan Hilal bin Umayyah al-Waqifiy yang berteru terang mengaku bahawa mereka telah tidak pergi bersama Rasulullah s.a.w. tanpa alasan. Mereka diboikot selamat 50 hari sehingga turun ayat menyatakan Allah s.w.t. telah menerima taubat mereka dan mengampunkan mereka.
- Tahun 808H bersamaan 16 Mac 1401M perginya tokoh sejarah dan ilmu kemasyarakatan Abdul Rahman bin Khaldun meninggalkan kepada dunia hasil penyelidikan yang amat bernilai dalam pelbagai bidang yang menjadi rujukan para sarjana hingga sekarang.

27 Ramadhan
- Tahun 392H bersamaan 1002M wafatnya al-Mansur, khalifah umawiyyin ke empat Andalus. Ketika itu beliau berusia 65 tahun.
- Tahun 1093H bersamaan 29 Sept 1682 Kerajaan Uthmaniah berjaya menawan Slovakia

28 Ramadhan
- Tahun 9H bersamaan 1 Jan 631 rombongan dari Thaqif datang mengadap Rasulullah s.a.w. dan mengisytihar memeluk Islam
- Tahun 92H bersamaan 18 July 711M pertempuran antara tentera Islam yang dipimpin oleh Panglima Tariq bin Ziyad dengan tentera Asbania yang berakhir dengan kemenangan Islam. Asbania menjadi sebahgian daripada negara Islam berterusan sehingga lapan abad.

29 Ramadhan
- Tahun 2H bersamaan 24 Mac 624M difardhukan zakat fitrah dan disyariatkan solat sunat hari raya.
- Tahun 48H bersamaan 9 Nov 669 Uqbah bin Nafi’ memimpin pembinaan al-Qayrawan supaya menjadi benteng pertahanan umat Islam dari serangan tentera Salib.

30 Ramadhan
- Tahun 48H bersamaan 24 Mac 624M adalah hari kewafatan Amru bin al-’Aas r.a. dalam usia 100 tahun.
- Tahun 256H bersamaan 31 Ogos 869M juga merupakan tarikh kewafatan Imam Muhammad bin Ismail bin al-Mughirah yang dikenali dengan gelaran al-Bukhari penulis kitab Sahih al-Bukhari, kitab paling sahih selepas al-Quran.

Tuesday, September 15, 2009

Kelebihan Ikhlas

Allah s.w.t. berfirman maksudnya:
• “Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya.” (Al-Kahf:110)
• “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat dan yang demikian itulah agama yang benar. (Al-Bayyinah:5)
• “Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Quran ini kepadamu (wahai Muhammad) dengan membawa kebenaran; oleh itu hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat dan bawaanmu kepadaNya. (2) Ingatlah! (Hak yang wajib dipersembahkan) kepada Allah ialah segala ibadat dan bawaan yang suci bersih (dari segala rupa syirik)…” (Az-Zumar:2-3)

Al-Ghazali menceritakan sebuah kisah yang menggambarkan kelebihan ikhlas, lebih-lebih lagi ketika berdoa. Seorang lelaki suka berlagak sebagai wanita. Dia memakai pakaian wanita dan bercampur gaul dengan mereka. Suatu hari dia menghadiri majlis keramaian yang khusus untuk kaum wanita. Tiba-tiba berlaku kecurian, seorang peserta kehilangan barang kemas yang dibuat daripada mutiara yang berharga. Pihak penganjur memerintahkan agar semua pintu dikunci dan setiap peserta diperiksa seorang demi seorang. Lelaki ini begitu cemas, takut rahsianya terbongkar. Bertambah cemas lagi apabila semua peserta telah diperiksa kecuali dia dan seorang peserta yang duduk di sebelahnya. Lalu dia berdoa dengan ikhlas: ”Ya Allah, sekiranya aku selamat daripada keaipan ini aku tidak akan menyamar lagi selama-lama!”. Maka dengan izinNya mutiara yang hilang itu ditemui pada badan wanita di sebelahnya itu dan pencarianpun berakhir.