Monday, September 09, 2019

RENUNGAN : ASYURAA’ DAN YAHUDI


Daripada Abdullah bin Abbas r.a. dia berkata: "Rasulullah s.a.w. telah berhijrah ke Madinah. Baginda mendapati orang-orang Yahudi berpuasa pada hari Asyuraa’ (hari ke 10 bulan Muharram).
Baginda bertanya: "Hari apakah kamu berpuasa ini?"
Mereka menjawab: "Ini merupakan hari yang sangat agung. Pada hari ini Allah selamatkan Musa dan kaumnya, dan Allah tenggelamkan Firaun serta kaumnya. Maka Musa telah berpuasa sebagai tanda syukur. Lalu kamipun ikut berpuasa."
Rasulullah s.a.w. bersabda: "Kalau begitu, kami lebih berhak dan lebih utama mengikuti Musa daripada kamu.
"Maka Rasulullah s.a.w. berpuasa dan menyuruh umatnya agar berpuasa."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Daripada Ibn Abbas r.a. dia berkata:
"Ketika Rasulullah s.a.w. berpuasa pada hari Asyuraa’ dan baginda menyuruh umatnya berpuasa, baginda diberitahu, "Ya Rasulullah, hari ini merupakan hari kebesaran Yahudi dan Nasrani!"
Maka baginda bersabda: "Pada tahun akan datang in syaa Allah kita berpuasa hari ke 9 (di samping hari ke 10). Dan sebelum tiba hari Asyuraa’ tahun berikutnya, baginda telah dijemput kembali ke pangkuan Tuhannya."
Di dalam riwayat lain, baginda bersabda maksudnya: "Hendaklah kalian berbeza daripada Yahudi. Berpuasalah juga satu hari sebelumnya (10 Muharram) atau satu hari selepasnya." Riwayat Muslim

Kisah di atas mengandungi banyak pengajaran yang boleh diambil.

1. Rasulullah s.a.w. tidak menolak terus kebaikan yang diamalkan oleh penganut agama sebelumnya. Sebaliknya baginda bertanya tentang sebab serta alasan kenapa mereka mengamalkannya. Dan setelah diberitahu sebabnya, dan baginda tidak mendapati sesuatu yang bercanggah dengan Syariatnya, bagindapun turut mengamalkannya.

2. Ia menggambarkan sikap keterbukaan Nabi s.a.w. Sikap keterbukaan seperti itu pastinya bertitik tolak dari ajaran Islam yang diwahyukan kepada baginda.

3. Sungguhpun begitu, baginda tidak menceduk apa yang dilakukan oleh orang lain 100%. Bina identity kita yang tersendiri supaya kita tidak di”label” sebagai umat yang hanya tahu meniru. Walaupun kebaikan itu boleh diceduk dari sumber lain, ia seharusnya dicorakkan dengan warna yang selari dengan pilihan kita sendiri.

4. Menunjukkan kesatuan agama samawi (agama yang bersumberkan wahyu). Yahudi, Nasrani (Kristian) dan Islam semuanya berasal dari sumber yang satu: Allah SWT Penguasa sekelian alam. Justeru, kenapa kita harus berpecah dan bertelagah?

Thursday, August 29, 2019

SELAMAT HARI MERDEKA….!!!



Merdeka bererti bebas.

Kemerdekaan dan kebebasan adalah hak asasi manusia yang diperakui oleh semua pihak. Di Malaysia terdapat satu badan yang ditubuhkan oleh kerajaan dinamakan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) bagi mempastikan hak asasi semua golongan tidak terabai.

Sayyidina Umar bin al-Khattab r.a. pernah mengungkapkan kata-katanya yang masyhur berkaitan dengan hak kebebasan manusia: “Bilakah kamu memperhambakan manusia, pada hal mereka telah dilahirkan oleh ibu mereka sebagai insan yang merdeka?”

Manusia yang merdeka ialah manusia mempunyai kebebasan untuk memilih dan melakukan sesuatu tanpa sekatan dan halangan dari pihak lain. Namun dengan kebebasan yang dimiliki, terdapat golongan menyalahgunakannya.

Islam memberi panduan agar setiap umatnya, malah setiap insan supaya membuat pertimbangan dan memilih bukan sahaja memilih yang baik tetapi yang terbaik.
Ukuran baik atau buruk sesuatu yang dipilih bukan mengikut neraca nafsu, atau mengikut keperluan, kemaslahatan dan keuntungan jangka pendek. Sebaliknya ia mesti dinilai dan dilihat mengikut neraca iman serta keuntungan jangka panjang.

1.     Memilih antara iman atau kufur

Allah Ta’ala berfirman maksudnya: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): "Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya". (Al-Kahfi 18:29)

Jelas di dalam ayat di atas, manusia diberi hak sepenuhnya untuk memilih sama ada mahu beriman atau sebaliknya.
Justeru, Rasulullah s.a.w. serta pendakwah wajib menyampaikan Islam yang sebenar dengan terang dan jelas agar manusia memahami dengan kefahaman yang betul. Kemudian merekalah yang memilih sama ada mahu menerima atau menolak berdasar bukti dan hujjah. Bukan menolak atas sebab kejahilan, kekeliruan, kebencian, salah faham atau sebagainya.

2.     Memilih antara bercakap atau diam

Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, hendaklah dia bercakap perkara yang baik atau hendaklah dia diam!” Riwayat Muslim
Kelebihan manusia adalah keupayaannya untuk bercakap dan meluahkan apa saja yang berligar di dalam hati, yang terlintas di dalam minda, yang tercetus di dalam perasaan melalui kata-kata dan percakapan. Namun tidak semua perkara yang terhimpun di dalam diri kita baik untuk diluahkan.
Kita bercakap bukan kerana kita suka bercakap. Sebaliknya Islam mengajar kita berfikir terlebih dahulu apa yang patut kita cakap dan apa yang tidak. Bercakap bukan hanya untuk memuaskan hati dan nafsu yang suka bercakap, tetapi difikirkan kesan baik atau buruknya. Baik atau buruk itu bukan setakat di dunia yang sementara ini. Sebaliknya kesan jangka panjang di akhirat kelak. Semua kata-kata dicatat dan diperhitungkan di akhirat nanti. “Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).” (Qaaf 50:18)
Jadi, orang yang beriman hanya ada dua pilihan sahaja: bercakap perkara yang baik atau diam. Tidak ada pilihan untuk bercakap perkara yang buruk, yang sia-sia, yang tidak berfaedah dan seumpamanya.

3.     Memilih antara sabar atau membalas dendam

Sebuah kisah yang masyhur tentang Nabi s.a.w. yang pergi ke Taif untuk menyampaikan dakwah kepada penduduk di sana. Baginda mendapat layanan yang sangat buruk. Mereka bukan sahaja tidak mahu menerima dakwah baginda, malah menghalau baginda dengan membaling batu, kaya dan sebagainya sehingga luka dan berdarah.
Dalam perjalanan pulang ke Mekah baginda berhenti di suatu tempat. Ketika itu Allah mengutus malaikat penjaga gunung menawarkan kesediaan mereka untuk menghempap gunung-ganang ke atas penduduk Taif sebagai balasan ke atas keingkaran dan layanan paling yang mereka lakukan kepada Pesuruh Allah yang mulia. Malaikat menunggu apa saja yang Rasulullah s.a.w. perintahkan, mereka akan segera laksanakan dengan izin Allah. Namun Rasul yang mulia tidak memilih untuk membalas dendam kerana baginda berdakwah bukan untuk kepentingan dirinya, tetapi untuk menyelamatkan manusia dari kesesatan dan mengajak mereka kepada kebenaran Islam.
Baginda berkata kepada malaikat bahawa baginda tidak mahu mereka dibinasakan, sebaliknya baginda berharap akan lahir zuriat keturunan mereka yang beriman dan memeluk Islam.

4.     Memilih antara penjara atau membuat dosa

Allah Ta’ala berfirman maksudnya: “Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya".

Nabi Yusuf ‘alaihis-salam dikurniakan kelebihan memiliki wajah yang amat kacak dan menawan. Kebanyakan wanita pada masa itu bermula dengan ibu angkatnya sendiri tidak dapat menahan nafsu berahi mereka apabila terpandangkan wajahnya yang sungguh lawa. Mereka rela menyerahkan diri mereka kepada Nabi Yusuf untuk memuaskan nafsu kesyaitanan yang amat keji.

Kalau mengikut neraca dunia, mengapa harus ditolak ajakan mereka? Bukankah itu peluang besar untuk seorang jejaka yang masih muda belia melempiaskan nafsu semahu-mahunya? Mengapa memilih penjara yang menyesakkan? Penjara yang menyekat dan membataskan kebebasan dan pergerakan?

Itulah Islam mengajar kita tentang erti kebebasan di dalam membuat pilihan. Tidak ada tolak ansur dalam memilih kejahatan walaupun terpaksa menghadapi apa jua kemungkinan termasuk meringkuk di dalam penjara bertahun-tahun lamanya.

5.     Memilih antara tangguh atau lupus

Allah Ta’ala berfirman maksudnya: “Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).” (Al-Baqarah 2:280)

Ayat ini ditujukan kepada pemberi hutang.
Lumrahnya orang yang berhutang terdiri dari kalangan mereka yang kurang atau tidak berkemampuan. Mereka terpaksa berhutang untuk memenuhi keperluan diri atau keluarga. Dan pemberi hutang pula biasanya terdiri dari mereka ada lebihan walaupun tidak kaya.

Apa yang digambarkan di dalam ayat di atas ialah ketika sampai waktu untuk membayar hutang, si berhutang tidak mampu untuk melunaskannya. Maka Allah mendidik pemberi hutang agar bermurah hati memberi tempoh. Dan pada masa yang sama memberi peluang memilih tindakan yang lebih baik, iaitu lupuskan hutang tersebut.

Jadi, memberi tempoh itu wajib. Melupuskan adalah sunat. Namun ganjaran yang menanti di sisi Allah lebih besar. Kita tetap mempunyai kebebasan untuk memilih.

6.     Memilih antara membalas atau memaaf

Jabir r.a. menceritakan bahawa beliau mengikuti Rasulullah s.a.w. di dalam suatu peperangan. Di dalam perjalanan pulang mereka singgah berehat di waktu tengah hari di suatu lembah yang banyak pokok. Masing-masing mencari pokok untuk merehatkan diri dan berteduh. Lantas merea semua tertidur. Rasulullah s.a.w. berteduh di bawah sebatang pokok. Pedangnya digantung didahan pokok tersebut.
Jabir berkata: Tiba-tiba kami terdengar Rasulullah s.a.w. memanggil kami. Di sisinya terdapat seorang lelaki arab badwi. Baginda berkata: “Sesungguhnya lelaki ini menghunuskan pedang kepunyaanku ke arahku ketika aku sedang tidur. Lalu aku terjaga. Dia berkata kepadaku: “Siapakah yang boleh menghalang aku dari membunuhmu sekarang?” Aku menjawab: “Allah!”
Maka pedang yang sedang terhunus di tangannya terjatuh.

Rasulullah s.a.w. mengambil pedang itu dan berkata kepada lelaki itu: “Siapakah yang dapat menghalang aku dari membunuhmu sekarang?”
Lelaki itu menjawab dan merayu: “Jadilah engkau sebaik-baik orang yang mengambil pedang itu!”
Rasulullah s.a.w. bertanya: “Adakah engkau mahu bersyahadah bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan aku adalah pesuruh Allah?”
Lelaki itu menjawab: “Tidak. Tetapi aku berjanji tidak akan memerangimu dan tidak akan bersama dengan kaum yang memerangimu.”
Maka lelaki itu kembali menemui kaumnya dan berkata: “Aku kembali kepada kamu dari menemui seorang manusia terbaik dari kalangan semua manusia.” Muttafaq ;alaih.

7.     Memilih antara sembunyikan atau isytiharkan

Memberi sedekah adalah satu amalan yang mulia. Namun jika tersalah niat amalan jadi sia-sia. Hanya yang ikhlas sahaja akan mendapat ganjaran berlipat ganda di sisi Allah SWT.

Di dalam sepotong ayat, Allah Ta’ala berfirman maksudnya:
“Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu; dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.”


Di dalam ayat di atas, Allah mengingatkan orang beriman agar sentiasa menjaga dan membetulkan niat ketika memberi sedekah atau apa-apa sumbangan. Sama ada sumbangan itu diberikan secara diam-diam atau secara terang-terangan, itu bukan persoalan pokok. Ia adalah kaedah dalam menghulurkan sumbangan. Mukmin diberi kebebasan memilih salah satu daripada kaedah tersebut selagi ia dapat menjaga keikhlasan di dalam memberi. Dan Allah tetap sentiasa menghitung dan memerhati.

Tuesday, August 27, 2019

SURAH AL-FIL DAN MENGAHNCURKAN MUSUH


Sedang tular di media sosial khususnya WhatsApp seruan untuk menghimpunkan 20 juta bacaan surah al-Fil dengan niat untuk menghancurkan segala pakatan musuh2 islam dan para munafiq...dan selamatkan malaysia ini drpd musuh2 islam.....

Bukan hendak menafikan mukjizat serta kelebihan al-Quran, tetapi timbul satu persoalan adakah itu cara yang betul dalam memahami dan mengamalkan ajaran al-Quran?

Surah al-Fil diturunkan di Mekah. Ketika itu Rasulullah s.a.w. dan pengikut-pengikut baginda di kelilingi musuh yang siang malam berusaha untuk menyekat perkembangan dakwah. Sepanjang 13 tahun di Mekah Rasulullah s.a.w. tidak pernah melawan sama ada dengan tangan, maupun dengan doa atau membaca surah-surah termasuk surah al-Fil supaya para penentangnya dihancurkan. Sebaliknya baginda terus berdakwah dan berdakwah sehingga akhirnya terpaksa keluar berhijrah meninggalkan tanah air tercinta.

Di Madinah, baginda terus berdepan dengan pelbagai ancaman dan tentangan dari segenap penjuru sama ada dari dalam Madinah yang terdiri dari puak Yahudi dan munafiq atau dari luar yang terdiri dari musyrikin Quraisy serta sekutu-sekutu mereka.

Keadaan ini digambarkan oleh Ibn Kathir rahimahullah ketika mentafsirkan ayat ke 55 surah an-Nur:
“Nabi s.a.w. dan para sahabatnya r.anhum berada di Mekah selama lebih kurang 10 tahun menyeru manusia kepada beriman dan menyembah Allah Yang Esa tanpa mempersekutukanNya dengan sesuatupun secara diam-diam dalam keadaan ketakutan. Namun mereka tidak diperintahkan berperang. Sehingga mereka diperintahkan berhijrah ke Madinah, lalu mereka berhijrah ke sana. Selepas itu Allah izinkan mereka berperang. Mereka sentiasa berada dalam keadaan takut dan berwaspada. Petang dan pagi tidak meninggalkan senjata. Mereka terus bersabar sekian lama. Kemudian seorang lelaki daripada sahabat berkata:
“Ya Rasulullah, adakah sepanjang masa kita akan berada dalam keadaan takut seperti ini? Tidak akan datangkah masanya kita menikmati keamanan dan meletakkan senjata kita?” Rasulullah s.a.w. menjawab: “Kamu tidak perlu bersabar menunggu kecuali sekejap saja. Akan datang satu masa kamu boleh duduk dengan selesa di tempat terbuka di tengah-tengah manusia berhimpun tanpa bersama kamu besi (senjata).”

Perhatikanlah jawapan Nabi s.a.w.
Adakah baginda mengajak mereka beramai-ramai membaca surah al-Fil supaya musuh-musuh luar dan dalam yang sentiasa mengancam segera tewas dan tersungkur?


Renung-renungkanlah…!!!