Saturday, October 30, 2010

أستغفر الله

Allah Ta’ala memerintahkan manusia yang mukallaf supaya beristighfar setiap kali selesai mengerjakan amal soleh atau amalan yang baik.
Dia memerintahkan Rasul-Nya صلى الله عليه وسلم supaya beristighfar di ketika penghujung usia baginda di dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Mekah); Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai; Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat." (An-Nasr: 1-3)
Allah perintahkan para hujjaj supaya beristighfar setelah mereka menyelesaikan manasik haji mereka. Firman-Nya bermaksud:
“Kemudian hendaklah kamu bertolak turun dari (Arafah) tempat bertolaknya orang ramai dan beristighfarlah kamu kepada Allah (dengan memohon ampun), sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Al-Baqarah:199)
Demikian para nabi عليهم السلام, orang-orang soleh yang terdahulu dan yang kemudian, mereka beristighfar memohon ampun sedangkan mereka mengerjakan kebaikan, kebajikan dan amal soleh.
Nabi Nuh عليه السلام mengajak kaumnya beristighfar sebagaimana dinyatakan di dalam ayat yang bermaksud:
“Maka aku berkata (kepada mereka): Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun.” (Nuh:10)
Adam dan isterinya mengakui kesilapan dengan memohon ampun seraya berkata:
(ربنا ظلمنا أنفسنا وإن لم تغفر لنا وترحمنا لنكونن من الخاسرين)
Maksudnya:
“Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi.” (Al-A’raf:23)
Nabi Hud عليه السلام juga menyeru kaumnya berisatighfar dengan katanya (maksud):
“Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya; supaya Dia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Dia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang soleh) akan pahala kelebihannya itu…” (Hud:3)
Nabi Sulaiman عليه السلام ketika melihat angkatan tenteranya yang hebat dan kerajaannya yang mantap, berkata dengan penuh tawadhuk (maksudnya): “Wahai Tuhanku! Ampunkanlah kesilapanku dan kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan (yang tidak ada taranya dan) yang tidak akan ada pada sesiapapun kemudian daripadaku; sesungguhnya Engkaulah yang sentiasa Melimpah kurniaNya.” (Sod:35)
Nabi Ibrahim عليه السلام ketika di penghujung usianya setelah selesai menjalankan tugas dakwah yang diperintahkan kepadanya berdoa (maksudnya): “Dan (Dialah) yang aku harap-harapkan supaya mengampunkan dosaku pada hari kiamat; Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan agama dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh;” (Asy-Syu’ara’: 82-83)
Dan Allah berjanji kepada mereka yang beristighfar tidak akan menimpakan azab sengsara di dunia selagi mereka tetap beristighfar. Firman Allah bermaksud:
“Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang engkau (wahai Muhammad) ada di antara mereka dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar (meminta ampun).” (Al-Anfal:33)
Dia sentiasa menyeru manusia semua agar tidak berputus asa dari rahmat serta keampunan-Nya.
“Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Maksud az-Zumar:53)
Allah juga menegaskan bahawa sesiapa yang menjauhi dosa-dosa besar, akan diampunkan dosa-dosa kecilnya.
“Jika kamu menjauhkan dosa-dosa besar yang dilarang kamu melakukannya, Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan (dosa kecil) kamu dan kami akan masukkan kamu ke tempat yang mulia (Syurga).” (Maksud an-Nisa’:31)
Maha Suci Allah yang sentiasa menghulur ‘tangan’ di waktu siang untuk mengampuni dosa yang dilakukan di waktu malam. Dan menghulurkan ‘tangan’ di waktu malam untuk mengampuni dosa yang dilakukan di waktu siang.
Maka bilakah orang yang belum bertaubat akan bertaubat?
Bilakah orang yang menjauhkan diri daripada-Nya akan kembali kepada-Nya?
Bilakah orang yang masih leka dari mengingati Hari Pembalasan akan menginsafi dirinya pada hari yang tiada guna segala penyesalan?
Mana lagi penyesalan yang lebih hebat daripada ini, ketika kita melihat ratusan ribu insan berdosa mendapat keampunan-Nya Yang Esa, sedang kita tidak termasuk di dalam golongan itu? Kita seorang yang tercicir dari senarai hamba yang diampuni oleh Tuhannya? نعوذ بالله من ذلك
Marilah beristighfar:
أستغفر الله العظيم

Wednesday, October 27, 2010

Dalam kategori manakah namamu tersenarai?

Daripada Abdullah bin Amru bin al-‘Aas radhiallahu ‘anhuma katanya, Rasulullah صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ bersabda maksudnya:

“Sesiapa yang qiam (solat malam) dengan membaca 10 ayat daripada al-Quran, dia tidak ditulis dalam senarai al-ghafilin (الْغَافِلِينَ : orang-orang yang lalai),

Sesiapa yang qiam (solat malam) dengan membaca 100 ayat daripada al-Quran, dia ditulis dalam senarai al-qanitin (الْقَانِتِينَ : orang-orang yang merendah diri, taat kepada Allah)

Sesiapa yang qiam (solat malam) dengan membaca 1000 ayat daripada al-Quran, dia ditulis dalam senarai al-muqantarin (الْمُقَنْطِرِينَ) ”

Riwayat Abu Daud

Al-muqantarin ialah orang yang mendapat pahala berpikul-pikul, satu pikul lebih baik daripada dunia dan segala isinya!

Wednesday, October 20, 2010

Penghakiman paling aneh di dunia!



Selepas Samarkand jatuh ke tangan tentera Islam, padri besar negeri itu mengutus surat kepada khalifah Islam, Amirul-Mu’minin Umar bin Abdul Aziz. Di dalam surat tersebut dia mendakwa panglima tentera Islam, Qutaibah serta angkatan tenteranya telah memasuki Samarkand tanpa amaran dan tanpa seruan dakwah kepada Islam.


Umar mengarahkan hakim yang dilantik untuk bertugas di Samarkand bernama Jumay’ supaya membicarakan kes yang didakwa oleh padri besar tersebut.


Hakim memanggil kedua-dua pihak, pendakwa (padri besar Samarkand) dan yang didakwa (Qutaibah, panglima angkatan tentera Islam). Qutaibah dipanggil oleh petugas mahkamah atas nama peribadinya, tanpa dikaitkan dengan sebarang gelaran.


Datanglah Qutaibah ke mahkamah. Dia duduk bersebelahan padri besar Samarkand di hadapan hakim Samarkand yang muslim.


Hakim memulakan perbicaraannya dengan mengajukan soalan kepada padri besar Samarkand:
- Apakah dakwaan kamu wahai orang Samarkand?
- Qutaibah dan tenteranya telah memasuki dan menakluki negeri kami tanpa menyeru kami kepada Islam terlebih dahulu dan memberi tempoh kepada kami untuk kami membuat keputusan mengenai pendirian kami!


Hakim berpaling kepada Qutaibah seraya bertanya:
- Apa jawapan kamu terhadap dakwaan ini wahai Qutaibah?
- Peperangan adalah tipu muslihat. Samarkand merupakan negeri yang besar. Semua negeri-negeri di sekitarnya melawan kami. Mereka tidak menerima Islam dan tidak mahu membayar jizyah.
- Wahai Qutaibah! Adakah kamu telah menyeru mereka (penduduk Samarkand) kepada Islam atau membayar jizyah atau perang?
- Tidak! Sebaliknya kami terus serang mereka secara mengejut dengan alasan yang telah saya sebutkan tadi.
- Aku mendapati kamu telah mengaku. Dan apabila pihak yang didakwa mengaku, selesailah perbicaraan. Wahai Qutaibah! Allah tidak menulung umat ini melainkan dengan (berpegang kepada) agama, menjauhi tipu daya dan menegakkan keadilan.


Kemudian hakim mengisytiharkan keputusan penghakimannya:
- Kami memutuskan supaya semua orang Islam dikeluarkan dari bumi Samarkand, merangkumi pemerintah, tentera, orang-orang lelaki, kanak-kanak dan wanita. Mereka hendaklah mengosongkan kedai-kedai dan rumah-rumah mereka. Jangan ada seorangpun orang Islam yang tinggal di Samarkand!


Padri besar terpinga-pinga,tidak percaya dengan apa yang dilihat dan didengarnya. Tanpa bukti, tanpa saksi, perbicaraan selesai dalam masa beberapa minit sahaja. Padri besar dan orang-orang Samarkand yang turut hadir dalam mahkamah ketika itu, tidak menyedari bahawa perbicaraan telahpun selesai kecuali setelah melihat hakim, Qutaibah dan para petugas bangun dan beredar.


Hanya beberapa saat saja selepas itu, penduduk Samarkand mendengar deringan suara loceng memenuhi angkasan, debu-debu berterbangan memenuhi setiap ruang dan bendera-bendera kelihatan berkibaran di sebalik debu-debu yang bertiupan. Mereka tertanya-tanya kehairanan, apa yang telah terjadi? Lalu diberitahu kepada mereka bahawa pemerintahan Islam telah ditamatkan dan angkatan tenteranya telah ditarik keluar. Satu pemandangan yang sungguh menakjubkan dan menggemparkan.


Dan terbenam sahaja matahari pada hari itu, anjing-anjing berkeliaran di jalan-jalan yang sunyi, suara-suara tangisan bersahutan dari setiap rumah menangisi pemergian satu umat yang adil lagi penyayang dari negeri mereka. Lantas padri besar dan seluruh penduduk Samarkand tidak dapat menahan diri lebih lama lagi. Mereka keluar berarak beramai-ramai dikepalai padri besar menuju ke arah angkatan tentera Islam sambil melaungkan syahadah bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad pesuruh Allah.


Ya Allah! Betapa hebatnya kisah ini. Betapa gemilangnya lembaran sejarah Islam yang agung.


Pernahkah anda dengar satu angkatan tentera menakluk sebuah kota, kemudian penduduk kota itu membuat dakwaan ke atas tentera yang menakluk, dan akhirnya tentera yang menakluk itu kalah dalam perbicaraan dan diperintahkan keluar dari kota yang telah ditakluknya?
Demi Allah! Kita tidak akan temui kisah serupa ini dalam sejarah mana-mana umat di dunia ini selain dari umat Islam!


Dipetik dari buku ‘Qasas min at-Tarikh’ oleh Syaikh Ali at-Tantawi

Kami menyertainya demi membina umat dan mengislah tanah air

Ucapan Manal Ismail, calon wanita Ikhwan Muslimin, Kawasan Parleman al-Buhairah dalam pilihanraya umum Mesir yang akan datang



Wanita bukan terletak di pinggiran masyarakat. Wanita adalah satu tonggak daripada tonggaknya yang penting dalam proses pembinaan umat dan pengislahan tanah air tercinta. Itulah yang ditegaskan di dalam Syariah Islam yang suci murni. Sesungguhnya Nabi s.a.w. telah bersabda maksudnya: “Wanita adalah saudara kandung lelaki”. Kami, kaum wanita mempunyai hak untuk mengajukan penyelesaian, berkongsi di dalam membuat keputusan berasaskan manhaj perubahan dan pengislahan masyarakat. Manhaj yang lahir dari kesyumulan Syariah Islam yang merangkumi seluruh aspek kehidupan.

Bertolak dari prinsip Islam yang suci dan prinsip yang dipegang oleh jamaah yang saya diberi penghurmatan menjadi anggotanya, yang mana di antara prinsip paling utama ialah sikap positif dan sentiasa menyedari besarnya tanggungjawab, dan sebagai calon yang mewakili Ikhwan Muslimin bagi memenuhi kerusi kuota wanita dalam pilihanraya umum 2010 untuk Parleman al-Buhairah; saya menegaskan bahawa calon-calon jamaah bagi kuota wanita adalah bertujuan untuk mengemukakan contoh wanita Mesir yang berjuang demi :

- mengislah tanah air tercinta bergandingan dengan semua puak, semua golongan, di semua medan dan semua lapangan sama ada kemasyarakatan, politik, ekonomi dan lain-lain,
- membawa rakyat keluar dari kelemahan dan putus asa, menyingkirkan kezaliman dan kuku besi, memerangi kerosakan yang meresap ke seluruh tiang-tiang masyarakat.

Kami sedari bahawa rakyat Mesir merupakan bangsa yang berlatarbelakangkan pegangan agama yang kuat. Cuma sejak akhir-akhir ini pengaruh kebendaaan dan akhlak-akhlak yang negatif mula menular sehingga membawa kesan negatif terhadap sebahagian individu di Mesir.Lantaran itu kami akan berusaha bersama-sama mengambalikan rakyat Mesir kepada keadaan yang lebih baik daripada sekarang berlandaskan warisan nilai dan akhlaknya yang gemilang.

Ikhwan dan akhawat,

Kami tidak mengambil pendirian ini melainkan kerana kesedaran tentang tanggungjawab yang memenuhi perasaan kami, yang melonjak-lonjak di dalam hati-hati kami. Sesungguhnya terlalu berat bagi kami untuk melihat apa yang melingkungi bangsa kami kemudian kami hanya diam menyerah tanpa berbuat apa-apa, atau kami redha dengan kehinaan atau tunduk kepada bisikan tiada lagi harapan. Kami berkerja untuk manusia di jalan Allah lebih banyak daripada kami berkerja untuk diri kami. Maka percayalah wahai umatku yang tercinta, kami untuk kamu bukan untuk orang lain. Kami tidak akan sekali-kali melawan atau menzalimi kamu.

Tuesday, October 19, 2010

Mampukah kita mengawal anak-anak kita?

Membaca liputan yang dipaparkan di dalam Metro Ahad lepas (17 Oktpber 2010) membuat hati rasa cemas, gusar, bimbang dan resah tak terkata.

Ayat-ayat yang berbunyi ‘remaja licik lindungi kegiatan’, ‘kerana nafsu dan wang tunai, akhirnya saya merelakan diri dinodai. Saya aktif melakukan kegiatan ini mekipun masih belajar’ menggambarkan betapa hancurnya nilai akhlak di kalangan remaja, anak-anak kita, pewaris masa depan umat dan negara.

Akhbar itu melaporkan pengakuan seorang remaja yang diberi nama Syafika, “Sejak berjinak-jinak dengan kegiatan berkenaan, saya mula berasa kemewahan. Dengan merahsiakan segala kegiatan ini daripada pengetahuan keluarga, saya semakin aktif melayan lelaki yang dahagakan seks menerusi laman social. Kini, saya mengenakan bayaran RM80 kepada sesiapa yang menghubungi saya di laman social terbabit. Setidak-tidaknya, saya dapat mengumpul wang tambahan sebanyak RM500 sebulan”.

Menurut Syafika, setakat ini aktiviti nakalnya masih belum diketahui ibu bapanya kerana dia bijak menyembunyikan kegiatan berkenaan.

Terduduk saya membaca pengakuan itu. Siapakah Syafika itu? Anak kita? Jiran kita? Saudara kita? Ya, dia adalah anggota masyarakat kita yang mungkin satu hari nanti akan menjadi guru kepada anak-anak kita atau menantu kita?

Dan siapakah pula lelaki yang dahagakan seks yang menjadi pelanggan kepadanya? Pastinya dia adalah seorang ayah atau suami atau anak lelaki kepada salah seorang daripada ahli masyarakat kita!

Lantas, di mana lagi kesucian? Di mana lagi kejujuran? Di mana amanah kalau anak-anak gadis begitu ‘bijak’ menipu ibu bapa. Ayah, suami, anak lelaki apatah lagi? Anak gadis menipu ibu bapa di dalam rumah sebagaimana dinyatakan oleh Syafika bahawa dia online di rumah saja kerana ibu dan ayahnya tidak menghalangnya menggunakan internet lebih-lebih lagi atas alasan menyiapkan tugasan university! Ayah, suami, anak lelaki di luar rumah itu, apakah tidak mungkin mereka menipu anak-anak, menipu isteri dan menipu ibu bapa?

Belum terpanggil lagikah pihak berwajib dalam Negara kita untuk melihat dan menangani isu ini dengan bersungguh-sungguh? Sampai bila gejala mungkar ini hendak dibiarkan?

Silalah baca sambungan artikel ini di: http://www.malaysiaharmoni.com/

Sunday, October 17, 2010

Kamulah yang menaiki kenderaan, sedangkan aku berjalan kaki

Ibrahim bin Adham keluar dari negerinya untuk menunaikan haji dengan berjalan kaki.
Dalam perjalanan, seorang lelaki yang menunggang untanya bertemu dengan Ibrahim lantas menegurnya:
- Tuan hendak ke mana?
Ibrahim menjawab:
- Saya hendak pergi menunaikan haji
- Mana kenderaan tuan? Perjalanannya sangat jauh!
- Aku mempunyai banyak kenderaan yang kamu tidak Nampak.
- Apa dia?
Ibrahim menjelaskan:
- Apabila aku ditimpa musibah, aku menaiki kenderaan SABAR
- Apabila aku diberi ni’mat, aku menaiki kenderaan SYUKUR
- Apabila berlaku ke atasku qadha’ dan qadar, aku menaiki kenderaan REDHA!
Lelaki itupun berkata:
- Berjalanlah tuan dengan iringan keberkatan dari Allah. Sesungguhnya tuanlah yang sebenarnya menaiki kenderaan sedangkan aku orang yang berjalan kaki.

Wednesday, October 13, 2010

MALAM AMAL KONSERT ‘SAVE A SOUL’ BERSAMA MAHER ZAIN

Alhamdulillah dan terima kasih kepada pihak penganjur yang memberi kesempatan kepada ana hadir ke konsert tersebut. Ia sungguh meriah, ceria dan menghiburkan.

Ana perhatikan ketika MZ menyanyi di atas pentas, kebanyakan hadirin yang terdiri dari pelbagai lapisan; kanak-kanak, remaja dan orang tua meninggalkan kerusi masing-masing dan pergi duduk bersila di hadapan pentas mahu menyaksi dan penghayati persembahan dari jarak yang sedekat mungkin. Dan apabila mereka diminta ikut menyanyi bersama, boleh dikatakan majoriti hadirin tanpa mengira usia mampu menyanyi bersama-sama dengannya. Mereka hafal lagu serta senikatanya.

Apabila MZ menyanyi insya-Allah, mereka ikut menyanyi insya-Allah.
Apabila MZ menyanyi barakallah, mereka ikut menyanyi barakallah.
Serentak dan senada dengan MZ.
Begitulah dengan lagu-lagu yang lain.

Alangkah besar pahala MZ dapat mengajak umat sama-sama berzikir dengannya.

Cuma yang ana musykil (maaf, bukan bermaksud nak mengata kepada sesiapa, sekadar untuk renungan dan muhasabah diri dalam melaksanakan misi dakwah yang berat ini) adakah mereka datang untuk berzikir atau untuk melihat dan menikmati persembahan MZ?

Ana terfikir, apakah dakwah melalui nyanyian lebih berkesan daripada dakwah dengan menyampaikan ceramah, forum, tazkirah dan seumpamanya?

Bayangkanlah, sebab ada persembahan nyanyian orang datang berduyun-duyun walaupun terpaksa membayar dengan harga yang 'mahal'.

Kalau mereka dijemput ke majlis, ceramah, forum, tazkirah dan seumpamanya, mahukah mereka datang dan bayar dengan harga yang sama?

Hanya Allah Yang Maha Mengetahui.
Moga-moga Dia memimpin dan memberi petunjuk kepada kita jalan dan pendekatan terbaik dalam menyampaikan risalah Islam yang suci ini. Amin....!!!

Tuesday, October 12, 2010

Peringatan Salaf as-Soleh tentang waktu

Al-Hasan al-Basri berkata:

- Wahai anak Adam! Sesungguhnya dirimu adalah hari-hari yang engkau lalui. Apabila berlalu satu hari maka berlalulah sebahagian daripada dirimu!
- Wahai anak Adam! Siangmu itu adalah tetamumu. Maka berbuat baiklah kepadanya kerana sekiranya engkau berbuat baik kepadanya, ia pergi meninggalkanmu dalam keadaan ia memujimu. Dan sekiranya engkau berbuat jahat kepadanya, ia pergi meninggalkanmu dalam keadaan ia mencelamu. Begitulah juga halnya dengan malammu.
- Dunia ini hanya ada tiga hari sahaja: semalam, esok dan hari ini. Adapun semalam, maka ia telah pergi membawa apa yang ada di dalamnya. Esok pula, mungkin engkau tidak sempat menyusulinya. Dan hari ini, itulah untukmu. Maka beramallah pada hari ini.

Ibn Mas’ud berkata:

- Tidak ada perkara yang paling aku sesali seperti mana aku menyesal apabila tenggelamnya matahari yang menandakan kian berkurang umurku sedang amalku tidak bertambah pada hari itu.

Ibn al-Qayyim berkata:

- Membuang waktu lebih bahaya daripada kematian kerana engkau membuang waktu akan menyebabkan engkau terputus hubungan dengan Allah dan hari akhirat, sedangkan kematian memutuskan hubungan engkau dengan dunia dan isinya.

As-Sirri bin Muflis berkata:

- Jika engkau bersedih kerana berkurangnya hartamu, maka sewajarnya kamu menangis kerana berlurangnya usiamu.

Tuesday, October 05, 2010

Tukar selera

Alhamdulillah sedar tak sedar, Syawal pula akan berakhir. Diharap anda semua telah selesai menunaikan puasa sunat Syawal, enam hari.
Sepanjang bulan Syawal, kita sibuk menghadiri acara rumah terbuka. Bermacam-macam juadah dihidangkan.
Mungkin anda dah jemu dengan juadah yang hampir sama setiap kali menghadiri rumah terbuka.
Jadi saya nak kongsi satu resepi kegemaran saya. Sedap, insya-Allah.
Nama masakan: BAMIA
Resepi saya ni tak ada sukatan. Semuanya secukup rasa sesedap selera.

Bahan-bahan:
1. Daging (lembu/kambing/ayam)
2. Bawang besar
3. Bamia (kacang bende, orang arab panggil bamia)
4. Tomato buah (dikisar)
5. Tomato puri
6. Lada hitam
7. Puah pelaga
8. Minyak
9. Air
10. Garam dan gula

Cara memasak:
1. Rebus daging dengan bawang besar, lada hitam (dipecah-pecahkan), garam dan buah pelaga sampai daging empuk.
2. Tumis bawang besar sampai kuning (boleh guna minyak biasa/minyak sapi/mentega)
3. Masukkan tomato yang telah dikisar serta tomto puri
4. Masukkan air rebusan daging
5. Masukkan bamia
6. Masukkan daging yang telah direbus tadi
7. Masukkan garam dan gula secukup rasa
8. Angkat dan hidangkan. Enak dimakan bersama nasi atau roti.
Peringatan: air jangan terlalu banyak kerana kalau cair sangat, kurang sedap.

SELAMAT MENCUBA

Monday, October 04, 2010

KEPENTINGAN AMANAH

Imam Ibn Jarir at-Tobari (224H – 310H bersamaan 838M – 923M) menekankan kepentingan sifat amanah menerusi sebuah cerita yang pernah dialaminya bersama seorang penduduk Mekah bernama Abu Ghayyats dan isterinya Lubabah.
Beliau menceritakan:
Ketika aku berada di dalam musim haji di Mekah, aku terlihat seorang lelaki dari Khurasan sedang menyeru: wahai sekelian hujjaj, wahai penduduk Mekah di kota atau di desa, aku telah kehilangan sebuah beg yang mengandungi wang sebanyak 1000 dinar. Sesiapa yang memulangkannya kepadaku, Allah akan memberinya ganjaran yang baik, membebaskannya dari api neraka dan baginya pahala pada hari perhitungan.
Lalu seorang lelaki tua dari pendudukan Mekah bangun seraya berkata: wahai Khursani (orang Khurasan), negeri kami menghadapi kemelesetan yang teruk, hari haji hanyalah beberapa hari yang boleh dibilang, musim haji pula amat terbatas, pintu-pintu usaha mencari rezeki amat sempit. Mungkin begmu itu ditemui oleh seorang mukmin yang tua dan faqir yang mengharap janjimu sekiranya beg itu dipulangkan engkau akan berikannya sedikit hadiah dan dia mendapat sedikit harta yang halal.
Khursani bertanya: berapa kadar hadiahnya? Berapa yang dia mahu?
Orang tua menjawab: dia mahu 100 dinar, 1/10 daripada 1000 dinar.
Khursani berkata: tidak, saya tidak akan melakukannya. Tetapi saya serahkan urusan saya kepada Allah, saya mengadu kepada-Nya pada hari pertemuan dengan-Nya. Dia adalah sebaik-baik tempat mengadu dan tempat berserah.
Ibn Jarir berkata: aku terfikir di dalam hati, mungkin orang tua itu adalah lelaki faqir yang dimaksudkan. Dia telah menjumpai beg itu dan sangat berharap untuk mendapat sedikit habuan. Maka aku memerhati dan mengekurinya sampai ke rumahnya. Dan memang benar seperti yang aku sangkakan. Aku dengar dia memanggil istrerinya: wahai Lubabah!
Isterinya menjawab: saya wahai Abu Ghayyats.
Abu Ghayyats: aku telah bertemu dengan tuan beg yang sedang mencari begnya tetapi dia tidak mahu memberi sedikitpun kepada sesiapa yang memulangkannya. Aku mencadangkannya supaya dia memberi 100 dinar, tetapi dia enggan. Sebaliknya dia menyerahkan urusannya kepada Allah. Apa yang harus aku lakukan wahai Lubabah? Aku mesti pulangkannya. Aku takut kepada Tuhanku. Aku takut dosaku akan berlipat ganda lagi.
Lubabah: wahai suamiku, kita telah harungi bersama kefaqiran selama 50 tahun. Engkau menanggung empat orang anak perempuan, dua orang adik perempuan, aku dan ibuku dan dirimu sendiri sebagai orang yang ke Sembilan. Kita tidak punya walau seekur kambing dan tidak ada tempat ternak. Ambillah semua harta itu supaya dapat kita kenyang dengannya. Sesungguhnya kita sedang kelaparan. Kita dapat beli pakaian. Engkau sendiri lebih mengetahui keadaan kita yang amat dhaif. Boleh jadi selepas itu Allah akan kayakan engkau, Dia akan beri engkau harta selepas engkau beri makan kepada keluarga engkau atau Allah akan tunaikan hutangmu pada hari Dialah Raja bagi segala raja.
Abu Ghayyats: wahai Lubabah, adakah aku akan makan harta yang haram selepas usiaku menjangkau 86 tahun, aku akan membakar tubuhku dengan api selepas aku bersabar menanggung kefaqiran begitu lama dan aku akan mengundang kemurkaan Yang Maha Perkasa ketika aku telah hampir dengan kuburku? Tidak! Demi Allah aku tidak akan lakukan!
Ibn Jarir berkata: aku beredar meninggalkan mereka. Aku begitu kagum terhadap orang tua itu dan isterinya.
Keesokan harinya aku mendengar lagi seruan yang sama daripada lelaki yang sama. Dan lelaki tua itu bangun lagi sambil berkata: wahai Khursani, semalam aku telah bagi tahu dan mengemukakan cadanganku. Engkau tahu bahawa negeri kami tidak banyak tanaman dan ternakan. Berilah sedikit hadiah kepada orang yang menemui harta itu supaya dia memperolehinya dengan cara yang tidak melanggar Syara’. Semalam aku cadangkan kepadamu supaya berikannya 100 dinar, tetapi engkau enggan. Hari ini aku ingin mencadangkan sekiranya hartamu itu dipulangkan oleh seseorang yang takut kepada Allah, mahukah kamu berikannya 10 dinar, bukan 100. Moga-moga 10 dinar itu menjadi pelindung baginya dari keaiban, mencukupkannya dan memelihara sifat amanahnya.
Khursani: tidak! Aku tidak akan lakukannya. Aku menyerahkan hartaku kepada Allah, aku akan mengadu kepada-Nya pada hari aku bertemu dengan-Nya kelak. Dia-lah sebaik-baik tempat mengadu dan berserah!
Ibn Jarir berkata: kemudian semua manusia beredar dan pulang ke tempat masing-masing.
Hari ketiga, Khursani itu menyeru lagi dengan seruan yang sama. Aku melihat orang tua itu bangun lagi sambil berkata: wahai Khursani, hari pertama aku cadangkan engkau beri 100 dinar, engkau enggan. Hari kedua aku cadangkan engkau beri 10 dinar, engkau enggan. Hari ini aku ingin mencadangkan engkau beri 1 dinar sahaja supaya dia boleh membeli tali buat mengikat kayu yang dicari dengan setengah dinar, dan setengah dinar lagi dia membeli seekur kambing untuk diperah susunya dan mendapat wang dengan menjual susu itu kepada manusia, dan dapat pula memberi makan anak-anaknya.
Khursani tetap menjawab dengan jawapan yang sama.
Maka orang tua itu menarik Khursani sambil berkata: mari ikut aku dan ambillah hartamu supaya aku dapat tidur malam ini. Sesungguhnya aku tidak berasa tenang langsung semenjak aku menemui harta ini.
Ibn Jarir berkata: Khursani mengikuti lelaki tua itu dan aku mengikuti mereka berdua. Setiba di rumah, orang tua itu memasuki rumahnya dan menggali tanah lalu dikeluarkan beg yang mengandungi wang 1000 dinar. Dia berkata kepada Khursani: ambillah hartamu ini! Aku mohon agar Allah ampunkan dosaku dan mengurniakan aku rezeki dari sisi-Nya.
Khursani mengambil hartanya dan melangkah keluar. Tiba di muka pintu, dia berhenti dan berpaling kepada orang tua sambil berkata: wahai orang tua, sebenarnya ayahku telah meninggal dunia dan dia meninggalkan aku 3000 dinar. Dia telah berwasiat supaya aku keluarkan 1/3 daripadanya dan berikan kepada orang yang paling berhak menurut pandanganku. Lalu aku masukkan 1000 dinar di dalam beg ini dan mengikatnya sehingga aku bertemu dengan orang yang paling layak menerimanya. Demi Allah aku tidak pernah bertemu dengan seseorang yang paling layak sejak aku keluar dari Khurasan sampai sekarang selain dari engkau. Maka ambillah harta ini. Semoga Allah memberkatimu, membalasmu dengan kebaikan di atas amanahmu dan kesabaranmu menanggung kefaqiran.
Kemudian Khursani itu pergi meninggalkan hartanya.
Orang tua bangun sambil menangis dan berdoa kepada Allah: Semoga Allah rahmati tuan harta ini di dalam kuburnya, dan memberkati anaknya.
Ibn Jarir berkata: akupun beredar dari situ mengikuti langkah Khursani. Tiba-tiba Abu Ghayyats mengekuriku dan menarikku ke rumahnya. Dia berkata: silakan duduk. Sesungguhnya aku melihat engkau telah memerhatikanku sejak hari pertama dan engkau mengetahui ceritaku semalam dan hari ini. Aku telah mendengar Ahmad bin Yunus al-Yarbu’ei berkata, aku mendengar Malik berkata, aku mendengar Nafi’ berkata, daripada Abdullah bin Umar r.a. bahawa Nabi s.a.w. berkata kepada Umar dan Ali r.a. (maksudnya): apabila datang kepadamu hadiah tanpa kamu meminta dan tanpa mengharap, maka terimalah hadiah itu dan jangan tolak. Jika kamu tolak bererti kamu tolak pemberian Allah. Dan ini adalah hadiah daripada Allah kepada sesiapa yang hadir bersama.
Abu Ghayyats memanggil isteri, anak-anak, adik-adik serta ibu mertuanya. Kami duduk bersama-sama seramai 10 orang.
Beliau berkata: bentangkan kain di atas ribamu! Maka aku membentangkan kain di atas ribaku. Ahli keluarganya tidak ada kain yang boleh dibentang. Maka mereka membentangkan tangan-tangan mereka. Mulalah Abu Ghayyats mengeluarkan satu demi satu wang yang berjumlah 1000 dinar sehingga aku memperolehi 100 dinar.
Ibn Jarir berkata: hatiku sungguh gembira melihat mereka kaya lebih daripada kegembiraanku mendapat 100 dinar. Ketika aku hendak keluar dari rumah itu, Abu Ghayyats berkata: wahai orang muda, sesungguhnya engkau adalah seorang yang diberkati. Sesungguhnya aku tidak pernah melihat harta sebegini dan tidak pernah mengimpikannya. Aku nasihatkan engkau sesungguhnya harta ini adalah halal, maka peliharalah ia. Katahuilah bahawa selama ini aku bangun dari tidur dan solat subuh dengan bajuku yang lusuh ini kamudian aku menanggalkannya untuk dipakai oleh anak-anakku seorang demi seorang. Selepas itu aku keluar bekerja sehingga aku memperoleh beberap biji tamar dan beberapa keping cebisan roti. Aku pulang ke rumah supaya anak-anakku dapat solat zohor dan asar dengan baju ini. Begitu juga dengan maghrib dan isya’. Kami tidak pernah terfikir akan melihat dinar-dinar ini. Moga-moga Allah menjadikannya bermanfaat apa yang mereka ambil, yang aku ambil dan yang engkau ambil. Moga-moga Dia merahmati tuannya di dalam kubur, menggandakan pahala serta pemberian untuk anaknya.
Ibn Jarir berkata: aku ucapkan selamat tinggal kepadanya dan mengambil 100 dinar. Aku gunakannya untuk menulis ilmu selama dua tahun, iaitu untuk belanja makan, beli kertas, musafir (mencari bahan) memberi upah dan tambang.
Selepas 16 tahun, aku pergi ke Mekah sekali lagi. Aku mencari Abu Ghayyats dan bertanya tentangnya. Aku diberitahu bahawa beliau meninggal dunia beberapa bulan sahaja selepas peristiwa itu. Isteri, ibu mertua dan adik-adiknya juga telah meninggal dunia. Yang tinggal hanyalah anak-anak perempuannya. Semuanya telah berkahwin dengan orang besar kerana kesolehan keluarga itu tersebar di merata tempat. Aku sering menziarahi anak-anak Abu Ghayyats di rumah suami-suami mereka. Aku disambut dan dilayan dengan sebaik-baiknya sehinggalah mereka semua meninggal dunia.

Firman Allah Ta’al bermaksud: “….Dengan hukum-hukum yang tersebut diberi peringatan dan pengajaran kepada sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” (at-Talaq: 2-3)